Anda di halaman 1dari 2

Mengamal al-Quran dalam kehidupan

Bersama Dr Juanda Jaya

Ajaran dalam kitab suci boleh jadi benteng serangan anasir jahat rosakkan akidah

SUDAH tiba masanya kaum muslimin memperbaiki kesilapan ketika mendekatkan diri kepada al-Quran. Jika boleh disebut sebagai barang
jualan agaknya, peminat barangan al-Quran agak sepi berbanding produk teknologi maklumat dan komunikasi dan fesyen yang semakin
menguasai pemuda-pemudi Islam masa kini.

Mengapa al-Quran begitu asing daripada pandangan generasi Islam sekarang? Sarjana Islam terkenal Indonesia yang menghasilkan karya
agung Tafsir Al-Misbah, Prof Dr Quraisy Shihab menyatakan perlunya seorang mukmin berusaha ke arah ‘membumikan al-Quran’ dalam
kehidupan nyata.

Mampukah kita menurunkan segala khazanah petunjuk Kitabullah yang agung ini ke dunia nyata? Jika setiap 17 Ramadan umat Islam
menyambut peringatan Nuzul Al-Quran, tetapi mengapa seolah-olah al-Quran tidak turun ke hati generasi muda?

Mengapa kita memfokuskan penurunan al-Quran ke hati generasi Islam saat ini? Fenomena pertembungan budaya yang terjadi di seluruh
dunia menyebabkan anak kita tumbuh sebagai generasi yang terdedah oleh nilai selain Islam.

Mereka memerlukan kekuatan al-Quran sebagai benteng yang mampu menjaga keperibadian daripada serangan anasir jahat yang
merosakkan. Tetapi sayang, berapa ramaikah keluarga Muslim yang meluangkan masa untuk membaca al-Quran walaupun tanpa kajian?

Atau menyediakan masa untuk membaca al-Quran di rumah 20 hingga 30 minit sehari. Atau meletakkan al-Quran di tempat yang paling
hidup dalam diri mereka iaitu hati. Padahal selama ini anda letakkan al-Quran hanya di dalam almari.

Merujuk kepada perkataan Prof Dr Hamka ketika menulis tafsir beliau yang terkenal, Tafsir Al-Azhar: “Ketika aku menulis tafsir ini, aku
membayangkan wajah-wajah orang-orang yang aku kasihi supaya mereka dapat mengambil manfaat dan memahaminya.” Tak bisakah kita
membayangkan wajah anak-anak kita yang ternganga disebabkan keliru dan tak tahu bahkan tak mahu tahu mengenai kitab mereka? Apa
akan jadi dengan umat ini jika hati mereka kosong tanpa diturunkan al-Quran ke dalamnya?

Melalui al-Quran, Allah SWT berfirman menerangkan dua keadaan berbeza pada diri manusia. Yang pertama, hati yang hidup dengan al-
Quran dan yang kedua, mereka yang berada dalam kegelapan tanpa cahaya al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apakah orang yang sudah mati hatinya kemudian dia kami hidupkan dan kami berikan kepadanya
cahaya yang terang, dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah manusia. Adakah keadaannya serupa dengan orang yang berada
dalam kegelapan yang sekali-kali tidak dapat keluar daripadanya?” (Surah al-An’am, ayat 122)

Setiap kali sambutan Nuzul al-Quran, seharusnya kita kembali berkempen untuk diri, keluarga serta umat supaya kembali kepada al-Quran
yang sudah lama ditinggalkan. Usaha mencelupkan al-Quran ke dalam kolam hati bukan semudah yang dibayangkan.

Budaya membaca buku agama yang diterjemah dan penerusan kajian ilmiah Qurani amat baik dipraktikkan dalam diri dan keluarga. Di
samping majalah hiburan yang menjadi rebutan anak kita bak goreng pisang panas, mengapa tidak cuba sediakan buku agama bermutu
untuk menjadi santapan minda dan rohani?

Atau sesekali membawa anak kita mendengar ceramah tafsir dan hadis yang dibawakan ulama terkemuka supaya minda dan hati mereka bisa
terasah dengan wahyu, supaya kecerdasan mereka dipandu oleh petunjuk al-Quran.

Rasulullah SAW pernah disifatkan oleh isteri Baginda, Saidatina Aisyah seperti al-Quran yang berjalan. (Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan Abu
Daud). Adakah sesiapa yang merujuk ke dalam al-Quran apabila mahu melakukan sesuatu pekerjaan?

Tidak kira apakah perbuatan kita itu ibadat atau adat, yang penting adakah ia selari dengan petunjuk al-Quran. Tetapi ramai juga orang Islam
yang memisahkan al-Quran daripada perniagaannya sehingga tidak wujud amaran haram dalam kamus untung dan rugi.

Ada yang memisahkan al-Quran daripada akhlak dan budi pekerti hingga mereka beranggapan jika mahu jadi alim duduk di masjid, apabila
sudah keluar masjid boleh ke pusat hiburan melepas bebas sepuasnya. Mengapa masih ada pemisahan ketara dalam perilaku umat Islam
dengan kitab mereka?

Sebagaimana sindiran al-Quran kepada si pemisah yang mempermainkan ajaran al-Quran semahunya. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Apakah kamu beriman kepada sebahagian daripada al-Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang-orang
yang melakukan demikian di kalangan kamu melainkan kekecewaan di dalam kehidupan dunia dan pada hari kiamat mereka dikembalikan
kepada seksaan-seksaan yang sangat berat. Allah tidak lalai terhadap apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Baqarah, ayat 85)

Kita sedar masih banyak lagi ajaran al-Quran yang belum dipraktikkan. Usaha untuk mencelupkan diri ke dalam nilai Qurani hendaklah
dilakukan secara berterusan dan berperingkat supaya tidak terjadi kejutan yang memberi kesan negatif kepada kejiwaan.

Prof Dr Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya Malamih Al-Mujtama’ Al-Muslim Alladzi Nansyuduhu menyatakan: “Tidak dinafikan syariat Islam
telahpun sempurna, Namun pelaksanaannya pada zaman kita memerlukan kepada penyediaan dan persiapan untuk menukarkan masyarakat
kepada beriltizam dengan ajaran Islam yang sebenar setelah mereka melalui zaman pembaratan.
“Oleh yang demikian, tidak menjadi kesalahan kalau syariat Islam itu dilaksanakan secara berperingkat-peringkat sebagai menjaga keadaan
manusia dan mengikuti petunjuk Rasulullah SAW yang bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyukai kelembutan dalam semua
perkara”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

“Apa yang mahu ditegaskan ialah perkara ini jangan sampai dijadikan alasan untuk menangguhkan usaha melaksanakan syariat Islam dengan
harapan ia mati dengan berlalunya masa. Berperingkat maksudnya menentukan matlamat, meletakkan tahap tertentu dan memperkuat
keupayaan untuk berkhidmat sehingga tercapai sasaran yang dirancangkan.”

Maknanya, usaha mengamalkan al-Quran sebagai prinsip hidup seraya menegakkan syariatnya perlu dilaksanakan dengan bersungguh,
jangan bertangguh dan dengan kesedaran hati yang kuat berazam membentuk masyarakat al-Quran.

Kita memerlukan perpaduan kekuatan pemimpin, ulama dan umat seluruhnya yang komited memperjuangkan kalam Allah yang agung lagi
suci. Al-Quran tidak pernah rapuh, hanya jiwa kita terlalu lemah dihempas gelombang duniawi yang tidak pernah berhenti memisahkan Al-
Quran daripada jiwa ini.

Penulis ialah pendakwah dari negeri Sarawak dan boleh dihubungi melalui juanda@kutpm.edu.my

INTI PATI
Al-Quran

• Setiap 17 Ramadan umat Islam menyambut peringatan Nuzul Al-Quran.

• Melalui al-Quran, Allah SWT berfirman menerangkan dua keadaan berbeza pada diri
manusia. Yang pertama, hati yang hidup dengan al-Quran dan yang kedua, mereka
yang berada dalam kegelapan tanpa cahaya al-Quran.
• Rasulullah SAW pernah disifatkan oleh isteri Baginda, Saidatina Aisyah seperti al-Quran
yang berjalan.

Anda mungkin juga menyukai