Anda di halaman 1dari 2

Penyelia pasar hock kee seng cuba sogok pegawai BPR

KUALA TERENGGANU 27 Sept. – Seorang penyelia di sebuah pasar raya di Gong Badak di
sini ditahan selepas dia cuba menyogok pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR) dengan
sepasang baju Melayu.

Penyelia itu berbuat demikian supaya pegawai BPR terbabit tidak membuat laporan kepada
pihak berkuasa berhubung tindakan pasar raya itu menipu harga kacang yang dijualnya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.05 pagi ini, penyelia berumur 34 tahun itu cuba merasuah
pegawai berkenaan dengan sepasang baju Melayu bernilai RM89 supaya tidak melaporkan
penipuan harga itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
(KPDNHEP).

Menurut Timbalan Pengarah BPR Terengganu, Mohamad. Zahir Ismail, kejadian berlaku ketika
pegawai itu bersama rakan sekerjanya singgah di pasar raya yang baru dibuka tidak sampai
sebulan itu untuk membeli sedikit barangan termasuk sebungkus kacang.

“Selepas membuat pembayaran di kaunter, pegawai itu mendapati harga kacang yang dibayarnya
adalah RM2.29 sebungkus sedangkan harga yang dipamerkan adalah RM1.69 sebungkus,”
katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurutnya, pegawai itu yang tidak berpuas hati dengan harga kacang yang dibelinya itu
berjumpa dengan penyelia pasar raya berkenaan untuk mendapatkan penjelasan.

Katanya, bimbang jika penipuan itu terbongkar, penyelia tersebut cuba merasuah pegawai itu
dengan sepasang baju Melayu sebagai dorongan supaya tidak melaporkan kesalahan tersebut
kepada KPDNHEP.

Beliau memberitahu, bertindak atas perbuatan penyelia berkenaan, pegawai BPR terlibat
menahan lelaki itu di bawah Seksyen 11B Akta Pencegahan Rasuah 1997.

“Sebelum ini memang pihak berkuasa mendapat banyak aduan daripada orang ramai mengenai
tindakan pasar raya itu menjual barangan dengan harga yang mahal daripada biasa dan kebetulan
perkara itu `terkena' kepada pegawai kita,” ujarnya.

Menurutnya, penahanan di bawah seksyen berkenaan iaitu ditangkap ketika cubaan memberi
rasuah amat jarang berlaku dan ini merupakan yang pertama di negeri ini sepanjang tahun ini.

Jelasnya, penyelia itu kini ditahan untuk tempoh 24 jam bagi membantu siasatan sebelum
didakwa di mahkamah.

Kata beliau, jika sabit kesalahan, penyelia itu boleh dihukum di bawah Seksyen 16 Akta
Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara antara 17 hari dan 20 tahun serta
denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan mengikut mana yang lebih tinggi atau kedua-
duanya.

Anda mungkin juga menyukai