Anda di halaman 1dari 3

Islam larang main mercun

Oleh HASBULLAH MAT DAUD

Isu mercun cukup sebati dengan musim perayaan. Saban tahun setiap kali musim perayaan, pasti
ada kes berkaitan mercun atau tragedi malang membabitkan kanak-kanak menjadi mangsa
mercun.

Isu ini sudah sebati dalam masyarakat, malah seolah-olah menjadi tradisi setiap kali menjelang
Ramadan dan kes sedemikian sepatutnya dapat dielakkan itu masih berlaku.

Pelbagai usaha diambil kerajaan untuk mengatasi masalah ini melalui Akta Bahan Letupan 1957.
Seksyen 4 (2) akta tersebut memperuntukkan undang-undang sesiapa yang bersalah mengilang,
memiliki dan mengimport mercun atau bunga api, boleh dihukum penjara lima tahun atau denda
RM10,000 atau kedua-duanya.

Selain itu, tangkapan kerana kesalahan memiliki, menjual dan menyeludup mercun juga dibuat
pihak penguat kuasa tetapi penjualan dan penyeludupan mercun masih berleluasa.

Buktinya, setiap kali Ramadan tiba, pasti ada penjualan bahan mercun, malah penjual tersebut
terang-terang mempamerkan bahan larangan tersebut di khalayak ramai.

Orang ramai masih kurang mengambil berat dan menyedari bahaya bermain mercun. Ada
segelintir ibu bapa memainkan peranan membeli mercun untuk anak-anak tanpa menyedari
kemungkinan barang larangan tersebut mengundang padah.

Dalam hal ini, pendekatan agama boleh dilakukan bagi menyedarkan masyarakat bahaya
bermain mercun dan jelas ia mengundang bahaya yang boleh memudaratkan diri sendiri. Islam

sebagai agama yang merangkumi segala aspek dan ruang kehidupan baik di dunia mahupun di
akhirat. Islam menjelaskan tatacara hidup yang lengkap dan mempunyai prinsip tersendiri

dan selari dengan kehendak syariah bagi menjamin objektif syariah (maqasid al-syariah) dalam
erti kata yang sebenarnya.

Sebenarnya apa yang telah dilakukan oleh kerajaan dengan penggubalan dan penguatkuasaan
undang-undang bahan letupan adalah tanggungjawab kerajaan. Perkara ini telah diiktiraf oleh
Islam melalui konsep al-masalih al-mursalah. Oleh itu, menjadi kewajipan kita semua mentaati
dan memahami apa yang telah digariskan oleh kerajaan.

Al-masalih al-mursalah bermaksud kepentingan dan kepentingan yang tidak disebutkan oleh
secara jelas dan terang dalam nas iaitu al-Quran dan hadis. Oleh itu, kepentingan dan keperluan
undang-undang yang berkaitan dengan bahan letupan itu selari dengan kehendak ajaran Islam.

Sekiranya perbuatan bermain mercun dilihat dari perspektif maqasid al-syariah ia boleh
dikategorikan dalam konsep pemeliharaan nyawa (hifzu al-nafs).
Amanah

Islam menyuruh menjaga nyawa kepada kelangsungan kehidupan manusia supaya dapat terus
menjalankan tanggungjawab dan amanah sebagai khalifah Allah di muka bumi. Maka, tujuan ini
memberi kepastian bahawa perbuatan-perbuatan yang menjejaskan nyawa dan tubuh badan
adalah dilarang.

Oleh itu, perbuatan bermain mercun yang membabitkan kecederaan yang serius sehingga ada
mangsa yang cacat, malah ada yang buta akibat bermain mercun adalah dilarang keras oleh
Islam. Hakikatnya, maqasid al-syariah telah menggariskan panduan hidup untuk manusia sejagat
di dalam semua aspek kehidupan.

Sebaliknya, sebarang usaha untuk menyelamatkan nyawa manusia atau memperbaiki tahap
kesejahteraan dan kesihatan manusia adalah amat digalakkan manakala perkara-perkara yang
boleh memudaratkan, melakukan perbuatan yang boleh mengundang padah dan mencacatkan
anggota badan adalah dilarang sama sekali.

Dalam konteks yang lebih luas dapat difahami bahawa bermain mercun merupakan satu
perbuatan yang salah dan dilarang oleh Islam kerana impak dan akibat amalan bermain mercun
jelas membawa kepada kemudaratan kepada pemain mercun itu.

Akan tetapi, masyarakat hari ini memandang ringan dan remeh berkaitan bermain mercun
seolah-olah ia tidak menjadi kesalahan. Tahap kesedaran masyarakat khususnya ibubapa masih
kurang, malah di tahap membimbangkan.

Inilah penyakit yang menjadi barah dalam masyarakat yang belum dapat diubati. Saban tahun
pasti kedengaran ada mangsa akibat bermain mercun. Apa yang mengecewakan dan
menyedihkan ialah rata-rata mangsa terdiri daripada kanak-kanak pertengahan umur.

Oleh itu, peranan ibu bapa amat penting dalam membentuk peribadi dan sahsiah anak-anak. Ibu
bapa adalah pelindung kepada anak-anak. Perlu diingati bahawa yang menjadi mangsa adalah
anak-anak yang tidak tahu erti kecelakaan. Ada pula sesetengah ibu bapa bersikap lepas tangan
tanpa mempedulikan apa yang anak lakukan. Rasionalnya, ibu bapa bertanggungjawab secara
mutlak menjaga keselamatan anak-anak.

Firman Allah yang bermaksud: Dan belanjakanlah (harta benda kamu ) di jalan Allah, dan
janganlah kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan. (al-Baqarah: 195)

Dapat difahami bahawa Allah melarang kita melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan
kecederaan, kemusnahan dan penderitaan. Amat jelas perbuatan bermain mercun sudah tentu
boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan juga kepada orang lain.

Hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas yang bermaksud, “tiada mudarat dan tidak boleh
membalas sesuatu kemudaratan dengan mudarat. (Sunan Ibnu Majah)
Secara ilmiah, hadis tersebut menerangkan kepada kita adalah menjadi kewajipan menolak
kemudaratan atau kemusnahan sama ada pada diri sendiri atau orang lain.

Oleh itu, perbuatan bermain mercun yang boleh mendatangkan kecederaan anggota tubuh adalah
dilarang sama sekali. Kebarangkalian mendapat kecelakaan amat besar. Oleh itu, tindakan
menjauhi daripada bermain mercun mestilah diutamakan.

Tindakan kerajaan melarang menjual mercun adalah tepat dan selari dengan kehendak syariah.
Menjadi kewajipan kita semua mentaati arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Sewajarnya masyarakat mengetahui bermain mercun adalah dilarang oleh ajaran Islam.

Usaha yang berterusan mesti diteruskan bagi menjelaskan kepada orang ramai melalui pelbagai
pendekatan termasuk pendekatan agama supaya gambaran tentang masalah ini dapat
diperbetulkan.

Masyarakat perlu dijelaskan tentang garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam melalui
prinsip-prinsipnya dan tujuan-tujuan syariah (maqasid al-syariah) yang terkandung di dalamnya.

Menjadi tanggungjawab masyarakat, pihak kerajaan dan ibu bapa di dalam usaha menerapkan
nilai-nilai murni dan seterusnya dapat menjamin kehidupan yang lebih sempurna.

* HASBULLAH MAT DAUD ialah pelajar Sarjana, Akademi Pengajian Islam Universiti
Malaya.

Anda mungkin juga menyukai