Anda di halaman 1dari 18

SASTERA MELAYU: NILAI DAN ETIKA Jelani Harun Universiti Sains Malaysia

Jika hidup dikandung adat, Mati hendaknya dengan ibadat. (Muda Omar Ali Saifuddien, 2006) Apabila bekerja niatnya ikhlas, Orang suka tuhan pun belas. (H. Tenas Effendy, 2003)

Sastera adalah sebahagian daripada dokumen sosial masyarakat yang mempunyai ciri keistimewaannya yang tersendiri kerana mampu membicarakan persoalan-persoalan manusia dan masyarakat secara luaran dan dalaman, material dan spiritual, realiti dan ilusi, objektif dan kreatif.1 Sastera menjadi suatu medium ilmu pengetahuan yang lebih halus sifatnya, mendorong manusia berfikir dengan akal dan mata hati, malah juga naluri. Sastera sebagai dokumen sosial akan sentiasa hidup dalam masyarakat selagi masyarakat memberi keyakinan terhadapnya dan menerima kewujudannya sebagai bahan yang memperkayakan pengetahuan dan pengalaman bangsa. Memupuk dan

mempertahankan keyakinan masyarakat terhadap sastera menjadi satu tugas yang semakin mencabar dewasa ini.

Bagi masyarakat di Alam Melayu, hal-hal yang berhubungan dengan tradisi kehidupan, adat istiadat, kepercayaan, keagamaan dan kerohanian adalah sebahagian daripada unsur yang membina identiti bangsa. Sastera Melayu, sama ada lisan atau tulisan, tradisi rakyat atau istana, adalah rakaman tersurat dan tersirat tentang budaya hidup masyarakat Melayu yang merentasi kepelbagaian zamannya. Sebahagian besar
Lihat perbincangan sastera sebagai dokumen sosial (works of literature as social documents) dlm. Laurenson &Swingewood (1972).
1

daripada peristiwa yang terkandung dalam karya sastera adalah gambaran sebenar tentang peribadi bangsa Melayu, sama ada dalam konteks lokal mahu pun seluas Alam Nusantara. Berasaskan premis sastera sebagai dokumen sosial yang bersifat dalaman dan halus, makalah ini akan menjuruskan perbincangan kepada dua unsur yang begitu sebati dengan kehidupan masyarakat Melayu, iaitu nilai dan etika.

Nilai amat sinonim sekali dengan akal budi. Apa yang bernilai adalah sesuatu yang menepati kehendak akal budi bangsa. Makna luas akal budi Melayu telah tertanam kukuh dalam hasil-hasil sastera, sekian lama menjadi medium pendidikan dan hiburan masyarakat. Sesiapa yang ingin mengenali nilai Melayu harus kembali membuka lipatan akal budi Melayu yang terpahat dalam pantun, peribahasa, pepatah, malahan juga hikayat serta karya-karya sejarah yang tiada terhitung banyaknya. Hampir segala aspek yang mencirikan bangsa Melayu sama ada dari segi prinsip atau falsafahnya telah menjadi bahan pengisian dalam karya-karya sastera Melayu, termasuk pautan eratnya dengan nilai-nilai keislaman yang menjadi agama bagi masyarakat Melayu sejak zaman awal peradabannya.

Dari sudut pandangan ethnocentrism, sudah pasti sebuah masyarakat yang mewarisi nilai daripada generasi lampau sangat memandang tinggi semangat dan ketinggian sesuatu nilai itu sebagai sebahagian daripada harta intelek budaya bangsa.2 Oleh itu, sering kali pengarang Melayu meletakkan penghargaan yang tinggi kepada nilai keberanian dan keperwiraan para perajurit Melayu dalam karya-karya peperangan yang mereka hasilkan berbanding dengan perajurit asing yang dilebelkan dengan pelbagai keburukan. Demikian juga dalam karya-karya yang mengangkat martabat bangsa seperti Hikayat Hang Tuah, penuh dengan nilai keperibadian bangsa Melayu yang setia, sabar

Lihat konsep ethnocentrism dalam Sumner (1911).

dan tahan menghadapi segala ujian atau rintangan. Dari kaca mata ethnocentrism, bias kepada nilai tradisi tempatan adalah lumrah kepada semua bangsa yang ada di dunia. Nilai patriotisma misalnya, cukup banyak tersurat dalam sastera Melayu yang perlukan penghayatan ethnocentrism yang kental daripada masyarakat Melayu sendiri.

Berpegang kepada pemikiran ethnocentrism bukan bermaksud kita tidak berlaku kritis terhadap budaya bangsa. Sastera Melayu juga sarat dengan kepelbagaian nilai yang hidup dan merentasi beberapa zaman, termasuk daripada zaman-zaman awal pembentukan tamadun masyarakat Melayu itu sendiri. Nilai dalam konteks ini perlu diteliti secara lebih halus, ditapis mana-mana yang perlu dipisahkan daripada tradisi yang tidak diingini berlanjutan, atau nilai yang perlu dilupuskan. Nilai yang bercampur-baur dengan kepercayaan karut, animisme, sesat dan melemahkan jiwa, apatah lagi bagi nilai yang bercanggahan dengan amalan agama Islam, harus segera ditolak daripada kehidupan. Sikap Hang Jebat yang ingin membela keadilan dengan melakukan ketidakadilan jelas bukan daripada nilai murni yang asal bagi masyarakat Melayu.

Salah satu isu dominan bagi masyarakat Melayu pada abad ke-21 ini adalah berhubungan dengan permasalahan identiti Melayu baru. Masyarakat Melayu zaman siber sering kali diuji dengan berbagai-bagai tekanan nilai baru yang berasal-usul daripada budaya luar. Isu pertembungan nilai dan budaya yang dibawa oleh Munshi Abdullah dan Raja Ali Haji pada pertengahan abad ke-19 lalu masih berlaku dalam masyarakat Melayu hari ini, malahan lebih serius lagi. Asimilasi budaya mungkin membawa kesan kebaikan kepada perubahan masyarakat, dan ada pula yang berlaku sebaliknya.

Keadaan akan semakin rumit apabila ada sebilangan masyarakat Melayu sendiri yang mula mempersoalkan nilai-nilai yang terdapat dalam amalan masyarakat. Nilai 3

sudah menjadi bahan yang bebas diperdebatkan di mana-mana dan oleh sesiapa sahaja sehingga memunculkan krisis nilai atau konflik nilai yang berpanjangan dalam masyarakat. Banyak nilai Melayu yang sepatutnya memberi manfaat dalam kehidupan tetapi kini kian pupus dalam amalan, antaranya termasuklah nilai kekeluargaan, patriotisme, etika kerja, keikhlasan, kemanusiaan, kesetiaan dan sebagainya. Di sini barangkali, sastera boleh memainkan kembali peranannya sebagai bahan berfikir masyarakat tentang bagaimana nilai-nilai yang kian pupus tersebut sebenarnya pernah berada di tengah-tengah amalan masyarakat, lambang kewujudan dan kekukuhan institusi kekeluargaan, kemasyarakatan, keagamaan dan kenegaraan masyarakat Melayu.

Peranan sastera sebagai dokumen sosial masyarakat Melayu dilihat amat penting terus dipelihara sehingga ke hari ini. Adalah amat wajar bagi sesebuah masyarakat membuat perbandingan terhadap nilai tradisi tempatan dengan nilai yang ada dalam tradisi masyarakat lain secara lebih terbuka. Pada tanggapan awal, sesuatu nilai yang unggul dan tahan zaman akan terus lestari dan tidak memerlukan apa-apa convention yang baru. Justeru, nilai-nilai murni dan adab sopan santun warisan budaya Melayu tidak memerlukan apa-apa convention baru berbanding dengan budaya masyarakat luar, cuma memerlukan pengukuhan dan pemerkasaan. Nilai-nilai murni inilah yang sebenarnya wajar diketengahkan ke dalam karya sastera kebangsaan dan seterusnya ke persada sastera dunia.

Bagi mencapai maksud ini, medan orientasi penelitian sarjana tempatan harus sedia bergerak daripada intracultural ke intercultural. Kaedah kajian yang bercorak silang budaya ini (cross-cultural study) harus segera mendapat respons daripada sarjana tempatan untuk melakukan kajian perbandingan nilai yang terkandung dalam hasil sastera

Melayu berbanding dengan sastera masyarakat lain di dunia.3 Nilai yang unggul dan lestari perlu terus dipertahankan sementara pencarian nilai yang baru harus berterusan dengan mengambil pelbagai panduan dan iktibar daripada sastera multicultural di Nusantara, Asia dan dunia secara keseluruhannya. Dalam hal ini, apa yang berlaku dalam budaya kehidupan masyarakat Jepun mungkin boleh menjadi contoh perbandingan yang baik, tentang bagaimana sebuah negara industri yang cukup maju dan moden masih memelihara dan mempertahankan budaya tradisi sehingga tersebar ke seluruh dunia.

Selain persoalan nilai, sastera Melayu juga menjadi sumber kukuh bagi masyarakat Melayu memahami hal-hal yang berhubungan dengan etika dalam kehidupan. Sama keadaannya dengan nilai, apa sahaja perkara berkaitan etika boleh disusuri maksud atau contoh amalannya dalam berbagai-bagai bentuk hasil sastera Melayu. Walau bagaimanapun, antara kepelbagaian hasil sastera tersebut, persoalan etika dalam sastera Melayu begitu terserlah di dalam segolongan karya yang dikenali sebagai ketatanegaraan Melayu, antaranya Taj al-Salatin, Bustan al-Salatin, Thamarat al-Muhimmah, Bayan alAsma dan beberapa yang lainnya.4

Karya ketatanegaraan mengandungi berbagai-bagai panduan dan nasihat kepada raja dan para pembesar dalam melaksanakan tugas pemerintahan negara mengikut lunaslunas yang dikehendaki dalam agama berperanan sebagai manual tentang adab tatacara
3

Lihat perbincangan cross-cultural study dalam Fokkema (1989).

Penulisan ketatanegaraan Melayu bukanlah suatu tradisi yang asli lahir daripada kepengarangan Melayu, sebaliknya berasal-usul daripada suatu tradisi kesusasteraan adab Islam yang sudah berakar umbi sejak ratusan tahun lamanya, antara lain melalui Kitab al-Sultan oleh Ibn Qutaybah (m.d. 889), Kitab al-Taj oleh al-Jahiz (m.d. 865), Kitab al-Baghdad oleh Ibn Taifur (m.d. 893), Siraj al-Muluk oleh al-Turtushi (m.d. 1126), Siyar al-Muluk oleh Nizam al-Mulk (1018-1092), Qabusnamah oleh Kay Kaus (1082) dan Nasihat al-Muluk oleh Imam al-Ghazali (1058-1111). Beberapa contoh karya juga telah ditemui di India (misalnya Mauizah-i Jahangiri oleh Muhammad Baqir Najm-i Sani), Turki (misalnya Kutadgu Bilig karangan Yusuf Khass Hajib) dan lain-lainnya.

pemerintahan kepada raja-raja. Tumpuan pengarang lebih kepada pembentukan sahsiah dalaman seseorang raja, tentang bagaimana mereka membentuk keperibadian yang selaras dengan tugas selaku pemimpin atau ketua negara. Aspek pembentukan sahsiah dalaman ini meliputi sama kepentingan bagi raja-raja memiliki integriti diri yang kukuh, yang sentiasa mendahulukan kebaikan, kebenaran, keikhlasan dan nilai-nilai murni dalam segenap urusan pemerintahan. Lebih penting daripada itu, karya ketatanegaraan Melayu turut berperanan dalam menanam persepsi Islam tentang kedudukan, peranan dan adab seseorang pemimpin dalam sebuah negara dengan segala syarat dan peraturannya, kebaikan dan keburukannya, pembalasan pahala dan dosanya. Kedudukan selaku ketua atau pemimpin bagi sesebuah negara mempunyai banyak keistimewaan, tetapi tidak kurang juga dengan berbagai-bagai syarat dan batasannya.

Kekuatan karya ketatanegaraan banyak bergantung kepada pengarangnya yang terdiri daripada golongan raja-raja atau penasihat sultan atau pembesar yang mempunyai kedudukan tertentu di istana. Sebahagian daripada mereka adalah ulama dan sasterawansejarawan istana yang memiliki ilmu dan pengalaman dalam aspek sejarah, adat istiadat, moral dan tatacara pentadbiran istana. Daripada minda para intelektual ini lahirlah puluhan manuskrip Melayu yang khusus berbicara tentang persoalan pemerintahan negara, sama ada sebagai pengarang asal mahupun sebagai penyalin manuskrip, dalam mana sebahagian besar daripada koleksi manuskrip masih boleh ditemui sehingga ke hari ini tersimpan di beberapa buah perpustakaan dalam dan luar negara. Melalui koleksi manuskrip ini tergambar pemikiran para pengarang silam tentang idealisme kepimpinan Islam yang cuba dianjurkan kepada raja-raja dan para pembesar agar selaras dengan nilai, etika dan integriti selaku seorang pemimpin mengikut perspektif Islam. Kelahiran karya ketatanegaraan Melayu berperanan sebagai cermin buat raja-raja dan pembesar istana Melayu muhasabah diri atau merenungi diri sendiri dalam membina keperibadian seorang pemimpin kepada sebuah masyarakat dan negara Islam. 6

Pengarang ketatanegaraan Melayu memberi kedudukan yang sangat tinggi kepada raja atau pemerintah bagi sesebuah kerajaan yang selaras dengan ajaran agama. Salah satu ungkapan yang sering dikaitkan dengan kebesaran raja-raja ialah melalui kata-kata zillullah fil alam atau raja adalah sebagai bayang-bayang Tuhan di dunia (atau, the king is the shadow of God). Melalui ungkapan ini, raja diangkat sebagai pelindung atau penaung kepada semua manusia. Sebuah negara harus memiliki seorang ketua yang menjadi pohon rendang tempat berteduh segala rakyat yang berada di dalam negara tersebut. Ungkapan raja adalah sebagai bayang-bayang Tuhan di dunia lantas menjadi suatu eulogi dalam karya ketatanegaraan seperti yang terakam dalam Nasihat al-Muluk, Bustan al-Salatin dan lain-lainnya.

Walau bagaimanapun, keistimewaan dan kemuliaan raja-raja selaku bayangbayang Tuhan di dunia hanya dapat dicapai sekiranya raja-raja memerintah dengan adil berdasarkan ajaran Islam. Hanya raja yang adil akan berada dalam lingkungan makna sebagai bayang-bayang Tuhan di dunia sementara raja yang bertindak sebaliknya akan mendapat balasan buruk yang setimpal daripada Allah SWT. Dari sudut etikanya, seorang raja harus benar-benar memahami tugas dan tanggung jawab mereka dengan jelas dan dapat melaksanakannya dengan penuh integriti, ikhlas dan tuduk di bawah kebesaran kekuasaan Allah SWT.

Oleh itu, ketatanegaraan Melayu banyak menggariskan panduan dan nasihat kepada raja-raja untuk mencapai ciri keadilan dalam pemerintahan, dan dalam masa yang sama menghindarkan diri daripada perilaku kezaliman. Raja-raja dinasihati supaya memiliki sifat pengasih, pemurah, berani, sentiasa mengambil berat permasalahan rakyat, saksama dalam memberikan hukuman, bersederhana dalam kehidupan, tegas atas segala kemungkaran dan sebagainya. Malah, ada karya ketatanegaraan yang menuntut agar seorang raja yang adil itu sentiasa kuat beribadat, mengamalkan kehidupan zuhud, 7

warak, mencintai ulama dan sebagainya. Setiap raja sangat dituntut memiliki, memahami dan mengamalkan sifat adil dalam pemerintahan dalam konteks maksud adil yang seluasluasnya. Bagi seorang raja, sifat adil adalah salah satu amalan etika pemerintahan yang besar dan mulia kedudukannya di sisi masyarakat dan agama.

Dalam melaksanakan tugas sebagai pembesar atau penasihat istana, pengarang ketatanegaraan tidak hanya memberikan berbagai-bagai sanjungan dan pujian kepada raja-raja, sebaliknya turut sama memberikan peringatan atau amaran-amaran keras terhadap perlakuan buruk raja-raja, khususnya raja-raja yang memerintah secara zalim. Dengan kata-kata lain, di samping menyampaikan nasihat dan panduan kepada raja-raja tentang hal-hal keadilan atau kebaikan, pengarang ketatanegaraan akan memasukkan sama beberapa persoalan yang berhubungan dengan kezaliman atau kejahatan raja-raja zaman silam. Ada ketikanya, maksud keadilan akan lebih difahami oleh pembaca sekiranya disertai dengan kisah-kisah kezaliman, keburukan, kemungkaran atau kejahatan manusia.

Raja yang zalim sudah pasti akan membawa keburukan dan kesusahan kepada rakyatnya, apatah lagi bagi raja-raja yang memerintah secara kuku besi, kejam dan tanpa kawalan. Akibatnya, rakyat akan hidup dalam ketakutan, kemiskinan, ketiadaan pembelaan dan sebagainya. Keresahan hidup rakyat ini telah digambarkan oleh Syeikh Duyung dalam Kitab Nasihat Raja-Raja dengan perumpamaan menarik: Betapa kehidupan kambing antara harimau besar dan harimau akar dan anjing, dalam erti kata, rakyat bukan sahaja berhadapan dengan bahaya kezaliman raja tetapi juga terdedah kepada berbagai-bagai kesusahan akibat ketidakadilan para pembesar yang lainnya.5

Lihat petikan Kitab Nasihat Raja-Raja dalam Jelani Harun, 2003: 375

Sementara dalam Taj al-Salatin terdapat kata-kata Hilang daulat daripada sebab aniaya.6

Kelahiran karya ketatanegaraan merupakan suatu contoh bagaimana pengaruh Islam telah membentuk suatu konsep yang sistematis tentang pentadbiran dan pengurusan negara dalam sosio-politik kesultanan Alam Melayu. Penekanan yang diberikan adalah jelas bahawa seorang raja harus memiliki ilmu pengetahuan dalam pengurusan negara termasuk dalam hal yang berhubungan dengan para pembesar dan rakyat jelata. Dalam masa yang sama, rakyat harus memberikan taat setia kepada raja selaku teraju kepimpinan negara, agar perjalanan pentadbiran kerajaan berjalan lancar, justeru membawa kebaikan kepada golongan pemerintah dan golongan yang diperintah. Hubungan timbal balik yang harmoni antara kedua-dua pihak ini akan membawa negara ke arah keamanan dan keharmonian.

Persoalan berkaitan nilai dan etika kepimpinan adalah hal-hal yang sangat diberi perhatian berat dalam Islam kerana segala aspek kepimpinan seorang raja atau pembesar mempunyai hubungan erat dengan ajaran agama. Kemunculan karya ketatanegaraan adalah sebahagian daripada usaha para cendekiawan, intelektual dan penasihat istana zaman silam memberi panduan dan nasihat kepada para pemerintah tentang tatacara pemerintahan dan pembentukan keperibadian yang selaras dengan tuntutan agama. Sungguhpun segala nilai dan panduan yang terdapat dalam ketatanegaraan Melayu ditujukan khusus buat golongan raja dan pembesar terdapat juga sebahagian daripadanya yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat umum sebagai bahan perbincangan dan renungan yang relevan sehingga ke hari ini. Lebih-lebih lagi, persoalan-persoalan yang berhubungan dengan etika kepimpinan Islam seperti adil, jujur, ikhlas, amanah dan

Lihat petikan Taj al-Salatin dalam Khalid M. Hussain, 1992: 70

sebagainya adalah nilai-nilai Islam yang sejagat, lestari dan tahan zaman selamalamanya. Perbincangan ini akan dilanjutkan lagi dengan memetik sebuah kata-kata yang diungkapkan oleh Sultan Mahmud Syah sewaktu baginda hendak berperang dengan Peringgi seperti terakam dalam Sulalatus Salatin / Sejarah Melayu (A. Samad Ahmad, 1996: 280) berikut: Kita hendak berperang dengan Peringgi, kerana istiadat raja-raja itu, negeri alah rajanya mati. Ungkapan ini membawa berbagai-bagai makna yang boleh difikirkan semula pada hari ini, terutamanya dalam hal-hal yang berkaitan dengan nilai dan etika kepimpinan, ketuanan dan keutuhan institusi kesultanan Melayu. Ungkapan bernada patriotik daripada Sultan Mahmud Syah tersebut sebenarnya hanya lahir pada bahagian akhir Sulalatus Salatin, pada saat-saat akhir kehancuran negeri Melaka akibat serangan Peringgi (Portugis), yang menusukkan juga nada-nada putus asa seorang raja. Kepentingan ungkapan tersebut bukan sahaja bergantung kepada nilai adat istiadat yang terkandung di dalamnya, tetapi juga memahatkan beberapa etika ketuanan Melayu yang menjadi asas pembentukan tamadun hidup masyarakat Melayu, khususnya dalam persoalan yang berhubungan dengan kuasa dan tanggung jawab raja terhadap rakyat, dan begitulah sebaliknya. Rakyat yang dimaksudkan dalam makalah ini diwakili oleh seorang watak yang bernama Temenggung Seri Udani.

Dalam Sulalatus Salatin (A. Samad Ahamd, 1996: 247), nama Temenggung Seri Udani pada awalnya muncul sebagai seorang pemuda yang pandai berbahasa dan berjenaka di negeri Melaka bernama Tun Mai Ulat Bulu. Sikap jenakanya tergambar sewaktu beliau mempersendakan Makhdum Sadar Jahan yang tidak dapat menyebut

10

perkataan kunyit, nyiru dan kucing dengan betul. Akibat sendaannya, Markhdum Sadar Jahan bertaubat tidak mahu mengajar Tun Mai Ulat Bulu lagi.7

Pengarang Sulalatus Salatin (A. Samad Ahmad, 1996: 265) menyusur-galur asalusul Tun Mai Ulat Bulu sebagai Tun Mahaiyid-Din anak kepada Tun Zainal Abidin dan cucu kepada Bendahara Paduka Raja yang tinggal di Lubuk Cina, Melaka. Panggilan Ulat Bulu itu diberikan oleh orang Melaka kerana tubuh Tun Mahaiyid-Din tersebut dipenuhi bulu. Berdasarkan salasilah ini, ternyata Tun Mai Ulat Bulu bukanlah dari kalangan rakyat biasa, sebaliknya tergolong dalam kalangan anak bangsawan Melaka ketika itu. Lebih-lebih lagi, beliau adalah rakan sepermainan yang rapat kepada Raja Ahmad putera kepada Sultan Mahmud Syah.

Titik perubahan hidup Tun Mai Ulat Bulu bermula apabila Raja Ahmad menaiki takhta Melaka menggantikan Sultan Mahmud Syah.8 Tun Mai Ulat Bulu telah dilantik sebagai Temenggung bagi istana Melaka bergelar Temenggung Seri Udani. Sifat keberanian dan kepahlawanan Temenggung Seri Udani begitu terserlah sewaktu beliau bersama-sama Sultan Ahmad Syah mempertahankan serangan Peringgi ke atas Melaka. Dalam pertempuran itu, Temenggung Seri Udani mengalami luka di bahagian ari-arinya terkena tombak Peringgi, yang hampir-hampir meragut nyawanya.9 Setelah Melaka tewas, Sultan Ahmad dan kerabat istana berpindah ke Johor dan kemudiannya ke Bintan.
Diceritakan, Tun Mai Ulat Bulu belajar mengaji kepada Makhdum Sadar Jahan. Walau bagaimanapun, Mahkdum Sadar Jahan tidak puas hati dengan lidah Tun Mai Ulat Bulu yang dikatakannya terlalu amat keras kerana gagal menyebut bahasa Arab dengan betul. Tun Mai Ulat Bulu sebaliknya mendakwa guru bahasa Arab itu juga akan berhadapan dengan masalah yang sama sekiranya bertutur dalam bahasa Melayu. Dakwaan itu ternyata benar apabila Makhdum Sadar Jahan menyebut perkataan kunyit sebagai kuzit, nyiru sebagai niru dan kucing sebagai kusyin. Menurut Sulalatus Salatin (A. Samad Ahmad, 1996: 264), Sultan Mahmud Syah turun takhta kerana menyesal dan berduka cita membunuh Bendahara Seri Maharaja sekeluarga. Ari-ari adalah bahagian bawah perut yang di bawah sekali, ke atas sedikit daripada bahagian kemaluan. Menurut tabib yang merawat luka Temenggung Seri Udani (A. Samad Ahmad, 1996: 270): Insya-Allah taala tiada mengapa, dapat diubat, jikalau sekerat beras juga lagi masuknya, nescaya Seri Udani mati.
9 8 7

11

Sewaktu di Bintan, berlaku peristiwa pembunuhan ke atas Sultan Ahmad Syah yang dikatakan tidak menghormati beberapa orang pembesar istana yang lebih tua, melainkan yang dikasihi baginda segala orang muda-muda dengan segala hamba raja yang tersebut itu juga dikasihi baginda. Sultan Mahmud Syah yang termakan dengan aduan para pembesar akhirnya menitahkan agar Sultan Ahmad di bunuh dalam senyap.10 Pembunuhan Sultan Ahmad Syah menimbulkan rasa tidak senang hati kepada beberapa orang pembesar yang rapat dengan baginda, terutamanya Tun Ali Hati dan Temenggung Seri Udani. Tun Ali Hati beberapa kali meminta agar Sultan Mahmud Syah membunuh beliau sama. Permintaan tersebut akhirnya dilaksanakan ke atas Tun Ali Hati.11

Dari segi nilai, sikap raja-raja, pembesar dan rakyat jelata bermati-matian mempertahankan Melaka daripada serangan Peringgi adalah suatu tradisi keberanian dan patriotisma yang sangat disanjung tinggi. Sebelum Peringgi berjaya mencerobohi istana Melaka, mereka telah menerima tentangan yang cukup hebat daripada raja, pembesar dan hulubalang Melayu: bahawa wira-wira Melaka tidak melepaskan negeri tumpah darah mereka dengan mudah kepada musuh bangsa dan agama. Demikian juga dari segi etikanya, raja selaku penaung rakyat jelata harus berani berhadapan dengan musuh yang mengancam keselamatan negara. Dalam konteks peristiwa di atas, Raja Ahmad adalah lambang ketuanan Melayu yang bertanggung jawab dalam memimpin rakyat menentang serangan musuh.

10

Sulalatus Salatin (A. Samad Ahmad, 1996: 271) tidak menyatakan cara kematian Sultan Ahmad Syah secara tepat, hanya mencatatkan arahan pembunuhan ke atas Sultan Ahmad Syah daripada Sultan Mahmud Syah secara ringkas seperti berikut: .. . maka disuruh baginda kerjakan dalam senyap. Tun Ali Hati sangat bersedih dengan peristiwa pembunuhan Sultan Ahmad Syah sehingga beliau tidak mahu lagi datang ke istana Sultan Mahmud Syah. Baginya, peristiwa pembunuhan tersebut ibarat langit menimpa bumi yang tidak sepatutnya berlaku. Oleh itu, beliau meminta agar Sultan Mahmud Syah membunuhnya.

11

12

Walau bagaimanapun, Sulalatus Salatin sebagai sebuah karya sastera sejarah, turut mengandungi berbagai-bagai makna dan perutusan yang jauh lebih tersirat lagi, sebagai bahan renungan dan pengajaran. Sikap Sultan Ahmad yang dikatakan tidak menghormati para pembesar istana yang tua adalah suatu perbuatan yang bertentangan dengan adat istiadat istana Melayu. Malahan, sikapnya yang mengasihi pegawai-pegawai istana yang muda-muda, mungkin yang sebaya dengan baginda, boleh mengundang sikap pilih kasih dalam pemerintahannya, lantas menimbulkan rasa iri hati kepada pegawai yang lain, munkin juga memunculkan rasa berpuak-puak, sisih-menyisih, pinggirmeminggir dan sebagainya. Perbuatan Sultan Ahmad akhirnya memakan dirinya sendiri, terkena hasutan jahat para pembesar, sehingga diperintah bunuh oleh ayahandanya sendiri.

Meletak kesalahan ke atas bahu Sultan Ahmad mungkin akan menimbulkan suatu tanggapan yang berat sebelah pula. Sebagai seorang sultan yang masih muda, baginda sewajarnya diberi nasihat, panduan dan bimbingan oleh para pembesar yang lebih tua dan berpengalaman. Malangnya, Sulalatus Salatin tidak memberikan sebarang tanda tentang kewujudan unsur-unsur nasihat dan bimbingan tersebut. Kenyataannya, Sultan Ahmad telah dititahkan oleh Sultan Mahmud Syah agar dibunuh dalam senyap, sebagai petanda tiadanya nasihat dan amaran yang diberikan terlebih dahulu kepada baginda, apatah lagi peluang untuk baginda membela diri secara terbuka. Perbuatan membunuh zuriat sendiri secara senyap ini hanya akan lahir daripada minda seorang bapa yang sangat zalim, tidak berperikemanusiaan, sangat mementingkan diri sendiri dan langsung tiada beretika dalam memegang tampuk kekuasaan.

Sekiranya sungguh Sultan Mahmud Syah termakan aduan para pembesarnya tentang kelakuan buruk Sultan Ahmad, sehingga sanggup menjatuhkan hukuman bunuh terhadap raja yang masih muda itu, ternyatalah Sultan Mahmud Syah tidak belajar 13

daripada kesalahan baginda yang lalu. Walaupun Sultan Mahmud Syah beberapa kali rasa menyesal atas perbuatannya menghukum bunuh Bendahara Seri Maharaja sekeluarga atas hasutan fitnah Raja Mendaliar dan Kitul, tetapi rasa sesalan itu tidak benar-benar melekat di hati baginda, malah seolah-olah tidak meninggalkan apa-apa kesan pun. Sikapnya yang tidak mengadili dengan teliti terhadap fitnah Raja Mendaliar dan Kitul kini diulanginya pula dalam kecuaiannya mendengar aduan dan tuduhan terhadap anaknya sendiri. Dalam kezaliman dan kecuaian yang kedua kalinya ini, Sultan Mahmud Syah terpaksa berhadapan dengan protes sinis daripada dua orang pembesarnya, iaitu Tun Ali Hati yang minta dibunuh, dan Temenggung Seri Udani yang hidup miskin dan terbiar.

Diceritakan, Peringgi di Melaka sedang dalam perjalanan untuk menyerang kedudukan Sultan Mahmud Syah di Bintan (A. Samad Ahmad, 1996: 278). Bagi menghadapi serangan tersebut, Sultan Mahmud Syah memerintahkan hulubalang istana menjemput Temenggung Seri Udani datang ke istana membuat persiapan pertahanan tentera. Kedatangan hulubalang kali pertama gagal membawa Temenggung Seri Udani kerana katanya dia lagi menentukan segala hartanya banyak dipinjam orang. Kedatangan hulubalang kali kedua juga masih gagal membawa Temenggung Seri Udani yang sedang menyurat akan segala harta dan hamba sahaya belum habis. Pada kali ketiganya, Sultan Mahmud Syah menitahkan agar Temenggung Seri Udani segera datang ke istana dan menangguhkan pengiraan harta bendanya yang sudah masuk tiga hari tiga malam itu.

Setelah semuanya siap disuratkan, Temenggung Seri Udani pun segera belayar menuju ke Kota Kara untuk menahan serangan Peringgi di sana. Setibanya di Kota Kara, Temenggung Seri Udani menyerahkan surat wasiat harta miliknya kepada seorang hulubalang untuk disampaikan kepada Sultan Mahmud Syah dengan pesan: jikalau patik mati, itulah banyak bilangan harta dan hamba sahaya patik itu, yang disuratkan tiga hari 14

tiga malam, insya-Allah taala, Kota Kara alah, patik itu mati. Setelah menerima surat itu, Sultan Mahmud Syah pun membacanya (A. Samad Ahmad, 1996: 279):
Patik pacal yang tua, dianugerahi nama Temenggung Seri Udani, lagi dijadikan panglima, empunya sembah ke bawah duli Yang Dipertuan, Yang Maha Mulia. Barang maklum duli tuanku, itulah banyak bilangan harta dan hamba sahaya patik itu, yang disuratkan tiga hari tiga malam: Pertama harta patik itu, talam tiada berbibir lagi pesuk satu; dan bokor pecah alas ternang Pahang sumbing satu; dan pinggan retak Cina satu; dan mangkuk semawa retak satu; piring karang satu; periuk tembaga putus bibir satu; belanga Keling tembaga retak satu; dan budak tiga orang, Si Berkat namanya, berkayuh di buritan, lagi membawa pedang; Si Lamat seorang namanya, duduk menimba ruang, lagi membawa epok; Si Tuakal seorang namanya, berkayuh di haluan, lagi membawa pengudut; itulah banyak bilangan harta dan hamba sahaya patik itu. Dan akan patik ini tiadalah mengadap ke bawah duli Yang Dipertuan lagi; insya-Allah taala, jika Kota Kara alah, patik itu mati.

Setelah berperang dengan hebat, akhirnya pertahanan Kota Kara alah oleh tembakan meriam Peringgi, termasuk meragut nyawa Temenggung Seri Udani. Mendengar berita kematian Temenggung Seri Udani, Sultan Mahmud Syah sendiri ingin pergi berperang dengan Peringgi dengan memegang pesan, kerana istiadat raja-raja itu, negeri alah rajanya mati. Malangnya, keinginan baginda dihalang oleh Seri Nara Diraja yang mahu baginda dan rakyat jelata berundur, sehingga akhirnya sampai ke Kampar. Sultan Mahmud Syah mangkat di Kampar (Sumatera) dan dikenali dengan panggilan Marhum Kampar.

Demikian secebis catatan peristiwa yang terakam dalam Sulalatus Salatin, sebuah karya yang kaya dengan nilai dan etika masyarakat Melayu abad ke-16 dan ke-17. Karya seumpama ini perlu dibaca oleh masyarakat Melayu sebagai iktibar terhadap peristiwaperistiwa masa lalu yang membawa nilai pengajaran, tentang bagaimana kesannya apabila berlaku pelanggaran ke atas nilai dan etika masyarakat. Peristiwa-peristiwa pengajaran yang seperti ini boleh diperolehi dengan banyaknya dalam khazanah sastera Melayu di Malaysia, Indonesia dan juga Brunei Darussalam, mungkin dalam bentuk yang sedikit-sebanyak berbeza di sana sini.

15

Sastera Melayu masih menjadi dokumen sosial bagi masyarakat Melayu sehingga ke hari ini. Kepentingan sastera Melayu sebagai sumber asas bagi pembentukan dan pemupukan nilai dan etika masyarakat Melayu selaras pula dengan kedudukannya sebagai dokumen sosial yang begitu dekat dengan hati dan perasaan orang Melayu, terbenam jauh di lubuk sanubari, menjadi dasar kepada kepercayaan dan archetype bangsa. Adalah menjadi tanggung jawab kepada badan-badan pemerintahan negara memastikan kelangsungan hayat sastera Melayu melalui sistem pendidikan, amalan pekerjaan dan kehidupan seharian serta program-program penghayatan yang berterusan, suatu pernyataan yang sememangnya terlaksana dengan baik buat masa ini di Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam.

Lebih utama daripada itu, kelangsungan hayat sastera Melayu amat bergantung kepada penerimaan yang berterusan daripada masyarakat Melayu sendiri terhadap warisan bangsa ini. Persoalan nilai dan etika akan terus menduga kesetiaan dan kekuatan pautan masyarakat Melayu terhadap warisan silam yang kian berubah-ubah pada abad ke21 ini. Sebagai sebuah bangsa yang ada asas tamadunnya, nilai dan etika yang baik harus terus kekal menjadi dasar pengenalan identiti dan rupa bangsa Melayu itu sendiri, khususnya dalam menghadapi kemasukan nilai dan etika baru yang lebih mempengaruhi budaya hidup baru masa kini. Dalam masa yang sama, masyarakat Melayu harus bermuhasabah diri dalam menangani nilai-nilai kusut yang agak banyak jumlahnya dalam hasil sastera Melayu. Walaupun kita menerima sastera sebagai dokumen sosial, tetapi kita menginginkan rekod yang bersih untuk kelangsungan tradisi bangsa, sementara catatancatatan yang kusut kita simpan sebagai perbandingan atau bahan kenang-kenangan dalam sejarah peradaban bangsa.

16

Bibliografi A. Samad Ahmad (peny.), 1996. Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Budi Bahasa Budaya Kita, 2005. Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia. Fokkema, Douwe, 1989. Towards A Methodology in Intercultural Studies dlm. Chandra Mohan (ed.). Aspects of Comparative Literature: Current Approaches. New Delhi: India Publishers & Distributors. Hasan Junus, 1996. Raja Ali Haji dan Karya-Karyanya. Riau: Pusat Pengajian Bahasa dan Kebudayaan Melayu, Universitas Riau. H. Tenas Effendy, 2003. Ethos Kerja. Riau: Unri Press. Jelani Harun, 2003. Pemikiran Adab Ketatanegaraan Kesultanan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Jelani Harun (peny.), 2004. Bustan al-Salatin (Bab Pertama dan Kedua) Karangan Nuruddin al-Raniri. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Jelani Harun, 2009. Bustan al-Salatin: A Malay Mirror for Rulers. Penang: USM Press. Jelani Harun, 2010. Perbandingan Adat Istiadat Kesultanan Melayu-Jepun Berdasarkan Naskhah Klasik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Khalid M. Hussain (ed.), 1992. Taj Us-Salatin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Laurenson, Diana & Swingewood, Alan, 1972. The Sociology of Literature. London: Paladin. Moreland, W.H. (ed.)., 1934. Peter Floris: His Voyage to the East Indies in the Globe 1611-1615. London: The Hakluyt Society. Muda Omar Ali Saifuddien, 2006. Syair Nasihat. Brunei Darussalam: Dewan Bahasa dan Pustaka. Sumner, William Graham, 1911. Folkways: A Study of the Sociological Importance of Usages, Manners, Customs, Mores, and Morals. Boston: Ginn & Company Publishers. Tonggak Dua Belas: Penerapan Nilai, Norma dan Etika Perkhidmatan, 1992. Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara Malaysia.

17

Biodata: PROF. MADYA DR. JELANI HARUN anak kelahiran Negeri Perak Darul Ridzuan pada tahun 1962. Mendapat pendidikan guru di MPSI (1986), BA (1994) dari USM, MA (1995) & PhD (1999) dari School of Oriental and African Studies (SOAS), London. Sekarang berkhidmat sebagai pensyarah di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Telah menghasilkan beberapa buah buku antaranya Pemikiran Adab Ketatanegaraan Kesultanan Melayu (DBP, 2003), Undang-Undang Kesultanan Melayu Dalam Perbandingan (Penerbit USM, 2008), Bustan al-Salatin: A Malay Mirror for Rulers (USM Press, 2009) dan Perbandingan Adat Istiadat Kesultanan Melayu (DBP, 2010).

jelani@usm.my

18

Anda mungkin juga menyukai