Anda di halaman 1dari 2

3.

KEPENTINGAN ILMU DI DALAM AL-QURAN

Ilmu sememangnya tidak dapat dinafikan amatlah penting dalam kehidupan seharian kita. Ilmu
juga amat penting kepada manusia di mana manusia itu sendiri dapat memperbaiki kehidupan
mereka menjadi yang lebih baik. Ilmu boleh diumpamakan sebagai pelita yang menerangi
kegelapan hidup manusia. Sememangnya dengan adanya ilmu dalam diri setiap manusia, ia
menjadi bukti bahawa terdapat perbezaan antara manusia dan mahluk lain seperti haiwan yang
tidak mempunyai ilmu seperti manusia. Ilmu yang menerangi kehidupan kita seharusnya menjadi
petunjuk dan jalan kepada kita untuk memperolehi kehidupan yang harmoni dan bahagia. Ilmu
dan kemahiran yang ada pada seseorang itu juga memberikan manfaat jika disebarkan kepada
orang lain.

Berpandukan sumber Al-Quran dan hadith yang boleh kita perolehi, dapat dijelaskan di sini
bahawa terdapat banyak dalil menunjukkan ketinggian ilmu dan orang yang berilmu. Ini
bermaksud Allah swt amat bersungguh-sungguh meninggikan darjat orang yang berilmu.
Manakala dalam kalangan manusia pula orang berilmu akan dipandang tinggi dan ditinggikan
kedudukannya.

Mengenai keutamaan menuntut ilmu, Rasulullah saw ada menyatakan:


Sungguh, malaikat akan meletakkan sayapnya (menaungi) pada pencari ilmu kerana
senang apa yang sedang dituntutnya. Orang berilmu selalu diminta ampunkan oleh apa
yang ada di langit dan dibumi sampai oleh ikan di air. Keutamaan orang berilmu dibanding
dengan orang yang banyak beribadat seperti keutamaan bulan purnama berbanding semua
bintang. Para ulama pewaris nabi, mereka tidak mewarisi dinar dan dirham tetapi mereka
mewarisi ilmu. Maka sesiapa yang mengambilnya bererti ia mendapat keuntungan yang
banyak.
Hadith riwayat Abu Daud, Tirmizi dan ibnu Hibban.

Maka jelaslah apa yang dikatakan oleh Sayidina Ali ra kepada Kamil bin Ziyad:
Ilmu lebih baik daripada harta. Ilmu akan menjagamu dan kamu akan menjaga harta. Ilmu
semakin bertambah jika diinfakkan, Dan harta, sebaliknya semakin berkurang jika
dibelanjakan. Ilmu pembimbing dan harta dibimbing.

Ilmu pengetahuan amat penting bagi setiap individu dan dengan adanya ilmu ini, ianya dapat
meingkatkan martabat seseorang manusia. Menurut Islam, menuntut ilmu juga merupakan suatu
ibadah kepada Allah dan terdapat beberapa matlamat dan tujuan tertentu dalam proses
penglibatan menuntut ilmu. Pentingnya mempunyai ilmu adalah untuk membuktikan kekuasaan
Allah swt. Matlamat ini adalah untuk menguatkan lagi kepercayaan dan keimanan manusia
terhadap Allah swt. Dengan adanya ilmu, manusia dapat membaca Al-Quran yang mana
terkandung segala persoalan yang wujud di muka bumi ini. Ilmu juga membolehkan manusia
mengkaji alam semesta ciptaan Allah ini. Menuntut ilmu tidak hanya terbatas pada hal-hal ke
akhirat sahaja, bahkan juga tentang fahaman keduniaan. Jelaslah di sini bahawa ilmu amatlah
penting dalam kehidupan seseorang manusia mahupun ilmu berkaitan kehidupan dunia dan juga
akhirat. Rasulullah saw pernah bersabda:

Barangsiapa menghendaki kehidupan dunia maka dengan ilmu, dan barangsiapa yang
menghendaki kehidupan akhirat maka dengan ilmu, dan barangsiapa yang menghendaki
keduanya (kehidupan dunia dan akhirat) maka dengan ilmu.

Tambahan lagi, apabila seseorang manusia itu mempunyai ilmu, mereka dapat menjalankan
tugas dan kerja sebagai hamba dan kalifah di dalam muka bumi ini dengan mudahnya. Sebagai
hamba Allah di muka bumi ini, manusia perlu melaksanakan ibadah-ibadah umum dan juga
khusus yang dituntut dalam Islam. Dalam pada masa yang sama, manusia juga merupakan
khalifah Allah di muka bumi ini. Oleh sebab itu, Ilmu yang diperoleh oleh seseorang dengan
keizinan Allah swt perlulah disampaikan dan dikongsikan kepada individu lain dan masyarakat
sekeliling.

Anda mungkin juga menyukai