Anda di halaman 1dari 3

Terus martabatkan syariah pada 2017

PERUNTUKAN undang-undang yang memberi kelebihan kepada agama Islam dan


orang Melayu masih dipersoalkan meskipun ia jelas termaktub dalam
Perlembagaan Persekutuan. - GAMBAR HIASAN

BEBERAPA hari lagi, 2016 bakal ditinggalkan dan beranjak memasuki 2017. Masa
berlalu sangat pantas, sama ada berjaya mengisinya dengan baik atau
sebaliknya, ia tetap meninggalkan kita. Mustahil masa yang berlalu akan dapat
dikembalikan. Kita hanya dapat merenung kembali apa yang berlaku sebagai
sejarah. Sejarah mengajar kita lebih bertamadun, sekali gus bersedia
menghadapi segala kemungkinan mendatang.
Terdapat banyak perkara berlaku sepanjang 2016 yang memberi kesan kepada
masyarakat. Dari aspek perundangan, seperti tahuntahun sebelumnya, 2016
menyaksikan beberapa perkara melibatkan perbincangan hebat kedudukan
bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Syariah.
Peruntukan Perlembagaan Persekutuan terutama melibatkan perkara 121 (1A)
masih hangat diperbahas. Ia disulami dengan Perbahasan Rang Undang-Undang
(RUU)Persendirian Akta 355 dibentang oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang bagi meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah. Beberapa
kes yang berlaku menyentuh isu ini sehingga membawa kepada perbincangan
sama ada Malaysia negara Islam atau sebaliknya. Semua ini turut mewarnai
tahun 2016.
Landskap politik yang berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya turut mewarnai
dan memberi kesan kepada perundangan negara. Kemunculan beberapa parti
politik baharu dan kemelut politik yang masih belum selesai menyebabkan
rakyat meneliti setiap isu daripada lensa politik.
TERUS DIPERSOAL
Sebagaimana sebelum ini, peruntukan undang-undang yang memberi kelebihan
kepada agama Islam dan orang Melayu masih dipersoal walaupun ia jelas
termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Dokumen tolak ansur antara kaum
sering dilupakan apabila sesuatu kaum menuntut bagi pihak kaumnya.
Digambarkan seolah-olah kaum minoriti ditindas walaupun hakikatnya mereka
mendapat banyak kelebihan berbanding kaum minoriti negara lain.
Isu melibatkan Seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan
Perceraian) 1976 masih menjadi tajuk penting dalam perbahasan semasa. Ia
memperuntuk bahawa di mana satu pihak kepada sesuatu perkahwinan itu telah
memeluk Islam, pihak satu lagi yang tidak memeluk Islam boleh memfailkan
petisyen perceraian dengan syarat ia tidak boleh difailkan dalam tempoh tiga
bulan dari tarikh pihak itu memeluk Islam.
Apabila membubarkan perkahwinan tersebut, mahkamah boleh membuat
perintah kepada isteri atau suami tersebut untuk kepentingan anak-anak kepada
perkahwinan itu, jika ada, atau meletakkan syarat-syarat apabila membubarkan
perkahwinan itu. Mahkamah yang dimaksudkan di sini adalah Mahkamah Sivil.
Seksyen 51 ini hanya memberi hak kepada pihak yang tidak memeluk Islam itu
memfailkan petisyen pembubaran perkahwinannya di mahkamah. Manakala
pihak yang memeluk Islam tidak langsung mempunyai hak untuk
membubarkannya. Sekiranya pihak yang tidak memeluk Islam itu enggan
memfailkan petisyen atas alasan-alasan tertentu maka tiada sebarang remedi
dan jalan keluar bagi pihak yang memeluk Islam.
Namun yang mengejutkan, pihak kerajaan dilaporkan mahu mengekalkan agama
anak jika seorang pasangan memeluk Islam tanpa persetujuan kedua-dua pihak.
Ia jelas bertentangan dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan dan kes-
kes yang diputuskan sebelum ini.
NAFIKAN KEWUJUDAN MAHKAMAH SYARIAH
Persoalan murtad pula telah dituntaskan berkaitan bidang kuasa Mahkamah
Syariah. Namun masih terdapat segelintir yang enggan menerima hakikat
kewujudan Mahkamah Syariah dan bidang kuasanya. Malah sesetengah
golongan cuba mengaburi bidang kuasa mahkamah ini dengan mencampurkan
bidang-bidang lain yang bukan terletak bawah bidang kuasa mahkamah
berkenaan.
Pernikahan bawah umur juga dijadikan polemik pada tahun ini walaupun Islam
membenarkan seorang yang telah mencapai umur baligh bernikah. Perspektif
daripada lensa dan norma hidup Barat yang menghadkan pernikahan setelah
mencapai umur 18 tahun dipegang erat oleh sesetengah golongan walaupun
agama membenarkannya.
CAMBAH KEBENCIAN
Ketuanan, hak istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah serta Sarawak juga
tidak terlepas menjadi perbahasan utama sesetengah pihak. Begitu juga
kedudukan raja-raja Melayu juga adakala dicabar. Politik pula sering kali
mendapat tempat teratas semasa perbualan harian masyarakat Malaysia
khususnya orang Melayu. Benih-benih kebencian antara orang Melayu yang
berbeza fahaman politik juga terzahir dalam kalangan sesetengah orang Melayu.
Kemunculan Kumpulan G25 yang dikatakan kumpulan Melayu berwibawa pada
penghujung tahun 2014 dan sepanjang 2015 diteruskan pada 2016. Hujahan
mereka yang berpaksikan kepada hak asasi manusia daripada lensa konvensyen
antarabangsa perlu ditangani dengan penuh hikmah. Perlu diperbanyak dialog
dengan kumpulan ini dan golongan berfikiran seperti mereka.
Kita wajar menoleh ke belakang melihat kesilapan yang telah berlaku dan
mencari jalan serta membuat perancangan demi kebaikan tahun mendatang.
Berpindah ke tahun baharu sebenarnya membawa tanggungjawab lebih besar.
Kita ingin melihat negara berjaya mencapai status negara maju dengan nilai-nilai
murni yang dipertahan. Semoga 2017 membuka lembaran lebih baik dan
membawa kebaikan untuk semua khususnya perundangan Islam.
Terlalu banyak perkara yang menanti kita pada 2017 nanti. Sekiranya kita masih
tidak mengadakan anjakan paradigma sudah pasti 2017 juga akan meninggalkan
kita tanpa sebarang pencapaian yang boleh dibanggakan.
Ke mana hala tuju kita di 2017 nanti? Semoga ia menjadi tanda aras kejayaan
umat Islam.

Anda mungkin juga menyukai