Anda di halaman 1dari 10

Assignment - Year 4 (Semester 2 - May) ETIKA PROFESIONAL OUMM3203

1.PENGENALAN
Dewasa ini, kesibukkan dalam mengejar era globalisasi seseorang yang ingin berjaya dalam
apa jua bidang perlulah memiliki satu peraturan yang berhubung kait dengan tingkah laku
bagi mengawal dirinya dalam setiap tindakan yang dilakukan. Nilai murni seperti ini secara
tidak langsung akan membentuk etika seseorang individu tersebut. Pembentukan etika yang
baik juga sebenarnya bermula daripada diri seseorang individu itu sendiri. Dengan berasaskan
etika yang ada maka konflik terhadap keinginan boleh diselesaikan dan seterusnya
meningkatkan fungsi sosial seseorang individu. Secara umumnya, etika merupakan teori yang
berkaitan dengan tindakan, hujah dan tujuan yang mengarah kepada makna sesuatu tindakan.
Etika tidak bersangkutan dengan fakta atau fizikal manusia tetapi merupakan satu disiplin
ilmu yang mengkaji tentang moral, prinsip moral, kaedah moral dan tindakan serta kelakuan
manusia yang betul.

Walaupun bagaimanapun, setiap individu perlu terlebih dahulu memahami apa yang
dimaksudkan dengan etika. Istilah etika atau ethic sebenarnya berasal daripada perkata
greek iaitu ethos yang membawa maksud perwatakan atau keperibadian. Sementara itu,
mengikut pengertian Kamus Dewan (1995) terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka, etika
bermaksud satu sistem dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau kesusilaan. Dari segi Islam
pula, etika adalah akhlak dimana ianya merujuk kepada tingkah laku yang baik yang dituntut
syarak.

Sementara itu, menurut sarjana barat J. L. Mackie, beliau telah mendefinisikan etika sebagai
disiplin yang dapat menerangkan nilai baik dan buruk sesuatu perbuatan serta menyediakan
garis-garis perbezaan antara kebaikan dan keburukan seseorang individu. Menurut A.R. Licey
dan W.L. Reese pula, mereka mendefinasikan etika sebagai kegiatan aktiviti praktikal yang
melibatkan tingkah laku, adat dan cara hidup serta aspek niat dan kecenderungan seseorang
atau masyarakat dalam melakukan sesuatu aktiviti. Menurut pandangan ahli falsafah pula,
etika merujuk kepada pengajian moral yang bertumpu kepada nilai dan kelakuan manusia.

Justeru, etika di sini dapat disimpulkan sebagai prinsip-prinsip tingkah laku yang
bertanggungjawab yang menentukan tindakan individu yang boleh di terima dari segi moral.
Setiap individu haruslah mempunyai etika yang dapat diterima oleh pihak masyarakat.
Ketidakseimbangan etika individu sekarang ini banyak membawa kepada gejala-gejala yang
tidak bermoral seperti rasuah dan sebagainya.

Definasi etika profesional pula merujuk kepada etika dalam sesuatu profesion dan bidang
yang profesional. Profesional boleh ditakrifkan dengan keupayaan dan kecekapan dalam
melaksanakan sesuatu tanggungjawab berdasarkan kepada ilmu dan latihan serta kepakaran.
Etika profesional pula ditafsirkan sebagai satu panduan dan tatacara yang menentukan kualiti
moral, profesional dan nilai. Antara faktor-faktor yang membentuk etika individu seseorang
itu ialah pengaruh keluarga, pengaruh rakan, pengalaman hidup, nilai peribadi dan prinsip
moral dan faktor situasi.

2.TIGA FAKTOR YANG MEMBENTUK ETIKA INDIVIDU


Dalam tugasan kali ini, saya akan memilih tiga faktor yang membentuk etika individu iaitu
pengaruh keluarga, pengaruh rakan dan pengalaman hidup dan huraian serta contoh seperti di
bawah.

2.1.Pengaruh Keluarga
Sebagai seorang pekerja dan pelajar separuh masa, saya telah mengalami dan melihat sendiri
beberapa situasi pelanggaran etika yang mana ianya dipengaruhi oleh keluarga iaitu ibu,
bapa, abang, kakak, adik, sepupu, pakcik atau makcik dan saudara terdekat. Dalam erti kata
sebenar, seseorang individu itu mula membentuk standard etika sejak zaman kanak-kanak
sebagai tindak balas kepada persepsi mereka terhadap tingkah laku ibu bapa dan menjadikan
ibu dan bapa sebagai idola untuk membentuk keperibadian mereka. Keharmonian sesebuah
keluarga boleh membentuk sahsiah peribadi dan personaliti serta tingkah laku seseorang. Ini
kerana apabila seseorang ahli keluarga mempunyai masalah ia akan dikongsikan bersama dan
mencari jalan terbaik untuk penyelesaian bersama dari situ timbul perasaan sayang-
menyayangi di antara satu sama lain.

Dewasa ini, cara asuhan dan didikan ibu bapa terhadap anak-anak juga mempengaruhi
pembentukan etika mereka. Ibu bapa yang bersikap penguasaan serta autokratik akan
mewujudkan individu yang begitu taat kepada arahan tetapi menjadi pasif dalam tingkah laku
mereka. Sebaliknya, ibu bapa yang mengamalkan sikap bebas akan mendapati sikap anak-
anaknya tidak bersopan-santun, tidak bertanggungjawab dan tidak boleh berdikari.
Sementara ibu bapa yang mengamalkan cara demokrasi dan membincangkan masalah-
masalah dengan anak-anak mereka serta mempertimbangkan pendapat anak-anak apabila
membuat keputusan-keputusan penting secara tidak langsung akan mendapati anak-anak
mereka mempunyai keyakinan diri yang tinggi.

Sebagai contoh, sebagai seorang anak sulung dari lima adik-beradik dan merupakan anak
kepada seorang anggota polis yang tegas, saya dididik dengan cara yang penuh disiplin.
Boleh dikatakan, ayah saya seorang yang agak tegas dalam mendidik anak-anaknya. Walau
dalam ketegasannya, tetap ada kelembutan dalam dirinya. Ayah saya seorang yang sangat
mengambil berat akan perihal anak-anaknya. Sikap sebegini yang diterapkan membuatkan
saya menjadi seorang yang bertanggungjawab dan prihatin. Apa yang saya hendak katakan
disini bahawa, jika ayah saya tidak bersikap tegas, nescaya anak-anaknya akan terpengaruh
dengan gejala yang kurang sihat. Tidak semua keluarga sama dalam mendidik anak-anak
mereka dan masing-masing mempunyai cara yang tersendiri. Dalam erti kata lain, anak-anak
yang agresif kelakuannya atau etikanya adalah dari keluarga yang mengamalkan corak
disiplin yang terlalu ketat yang menghukum anak-anak mereka secara fizikal berlebihan.
Namun, terdapat juga ibu bapa yang menjadi pendorong kepada masalah dan sifat vandalisme
di kalangan anak-anak mereka. Sikap sebegini akan menjadi ikutan kepada anak-anak mereka
apabila mereka meningkat dewasa kelak dan berterusan sehingga turun temurun.

2.2.Pengaruh Rakan
Seperti yang sedia maklum, pengaruh rakan terutamanya rakan sebaya merupakan faktor
yang sering kali mendominan seseorang individu. Jika dilihat dalam konteks di sekolah,
individu itu akan merasa dirinya kesunyian apabila tidak mempunyai rakan dan ia akan cuba
mencari rakan. Melalui inilah sama ada sedar atau tidak ia akan terikut-ikut dengan rakan-
rakan yang beretika mahu pun tidak beretika. Antara beberapa contoh perlakuan tidak
beretika yang disebabkan oleh rakan ialah seperti ponteng sekolah, bermain semasa belajar,
menipu, menyahut cabaran dan sebagainya. Pengaruh rakan sebeginilah yang banyak
menjerumuskan seseorang individu terutamanya pelajar disekolah agar melakukan perkara
yang tidak beretika. Malahan ada yang sanggup berbohong dengan ibu bapa semata-mata
inginkan rakan yang ramai yang sama-sama melakukan perkara yang tidak beretika.
Menurut Hazil Abd Hamid (1990), beliau menyatakan bahawa rakan sebaya diistilahkan
sebagai golongan atau kumpulan kanak-kanak atau remaja yang rata-rata mempunyai
lingkungan umur yang sama. Oleh yang demikian, rakan sebaya merujuk kepada kanak-
kanak atau remaja yang sama umurnya yang menjadi pendengar setia, bersedia untuk
membantu dan bersama-sama tatkala ketika sedih mahu pun gembira.

Sementara itu, pengaruh rakan Pengaruh rakan juga amat serius kerana ia boleh
menyebabkan vandalisme. Ia akan mencorakkan sikap, nilai dan tingkah laku terutama bagi
remaja yang tercicir dalam pendidikan dan menghadapi masalah keluarga. Mereka yang
melakukan vandalisme merupakan remaja dalam kumpulan. Mereka tidak mempunyai tujuan
serta hala tuju dan apabila berada di dalam kumpulan tersebut, maka akan timbullah pelbagai
idea termasuklah menconteng harta benda awam dan merosakkannya.

Namun jika dilihat dari sudut positif, pengaruh rakan boleh menjadikan remaja sebagai
seorang yang berguna dan berbudi pekerti yang baik sekiranya mereka memilih untuk bergaul
dan mendapatkan rakan-rakan yang mempunyai etika yang baik. Mereka akan melakukan
perkara-perkara yang tidak terkeluar daripada norma-norma masyarakat seperti membantu
masyarakat atau komuniti ketika ada program-program kemasyarakatan melalui gotong-
royong. Belajar bersungguh-sungguh demi masa depan mereka dan memikirkan
tangungjawab sebagai seorang insan yang bergelar anak dan pewaris negara yang akan
menerajui negara pada masa hadapan. Dalam erti kata lain, rakan yang baik adalah rakan
yang saling menegur, saling mengingati serta saling membantu. Memilih rakan baik umpama
berkawan dengan si penjual minyak wangi, kita akan turut terkena percikan wangiannya dan
jika berkawan dengan si tukang besi pasti kita akan terkena percikan apinya.

Sebagai contoh dalam menghuraikan faktor ini, saya sendiri pernah mengalami pengalaman
dimana saya mendapat pengalaman yang buruk dalam pengaulan dengan seorang rakan.
Kepercayaan yang saya berikan telah disalahgunakannya dengan menikam saya dari
belakang. Dari situ, saya mula sedar betapa pengaruh rakan ini kadang-kadang menjadikan
kita bukan diri kita yang sebenar kerana kita telah dipengaruhi dengan sikap dan cara mereka
memanipulasikan keadaan sehingga kita tenggelam punca seterusnya bertindak tanpa berfikir
panjang. Bagi saya, faktor pengaruh rakan memang memberi kesan yang amat mendapat jika
kita salah memilih rakan untuk dijadikan rakan.
2.3.Pengalaman Hidup
Setiap manusia mempunyai pengalaman hidup yang berbeza antara satu sama lain dan
memang tidak boleh dinafikan. Justeru, setiap memori dan pengalaman yang dialami oleh
seseorang individu itu sebenarnya menjadi satu pengajaran untuknya bagi meneruskan
kehidupan. Setiap pengalaman yang diperoleh hasil daripada tindakan yang diambil sama ada
beretika atau tidak akan mendorongnya untuk meneruskan perbuatan tersebut atau terus
meninggalkannya. Ini sebenarnya menjadi salah satu faktor dalam pembentukan etika dalam
diri seseorang individu. Sebagai contohnya, seorang pekerja yang suka menyalahgunakan
harta benda pejabat tanpa di tegur atau dihukum akan perbuatannya itu, sampai bila-bila
beliau tidak akan sedar akan perbuatannya. Sebaliknya, jika perbuatan beliau itu ditegur atau
dihukum sudah pasti beliau akan sedar dan berubah ke arah kebaikan malah boleh menjadi
lebih baik.

Pengalaman hidup juga sebenarnya dapat mematangkan seseorang individu itu. Dari seorang
yang tidak mengerti apa-apa kepada yang lebih baik atau sebaliknya. Kadang-kadang kita
sendiri tidak menyedari apa akan berlaku jika kita memilih sesuatu keputusan itu. Sebagai
manusia, sesiapa pun tidak akan terlepas dari melakukan kesalahan sama ada kesalahan kecil
atau besar bergantung kepada keadaan tertentu. Walau bagaimanapun, kita perlu bijak
menangani setiap permasalahan yang mendatang supaya kita dapat menyesuaikan diri walau
dalam apa cara sekalipun.

Sebagai seorang yang mempunyai pengalaman hidup, saya juga pernah melalui pelbagai
cabaran dan rintangan. Saya berjaya mengatasi kebanyakkannya dan pengalaman sebegini
membuatkan saya lebih matang sering dengan usia saya. Memang tidak dapat dinafikan,
kadang-kadang saya sendiri pun pernah melakukan kesilapan. Namun, ini tidak menghalang
saya dari terus bergerak kehadapan untuk memajukan diri. Sementara itu terdapat beberapa
contoh bagaimana pengalaman hidup ini menunjukkan kehidupan yang tidak beretika seperti
meludah, membuang sampah, mencuri dan bahan lucah. Sikap-sikap negatif seperti ini
haruslah dijauhi dari kehidupan kita supaya kita tidak terjerebak dan terikut-ikut.

3.UNDANG-UNDANG SEBAGAI PANDUAN PILIHAN MORAL


Umum melihat undang-undang sebagai dasar kepada keputusan pengurusan apabila
berhadapan dengan sesuatu dilema etika. Justeru, undang-undang merupakan satu set
peraturan yang konsisten dan digubal oleh masyarakat dalam mengawal kelakuan sesebuah
masyarakat. Dalam erti kata lain, undang-undang memainkan peranan yang penting dalam
kehidupan manusia. Salah satu daripada kepentingan undang-undang ialah mengatur pelbagai
perjalanan hidup manusia tidak mengira pangkat, warna kulit, agama, bangsa, ideologi politik
dan sebagainya. Ini terbukti apabila undang-undang itu sendiri mengatur dan menentukan
peranan institusi atau badan kerajaan dalam sesebuah negara.

Di negara kita, undang-undang yang digunakan berteraskan sistem perundangan Common


Law. Undang-undang tertinggi iaitu Perlembagaan Malaysia menggariskan rangka
perundangan dan hak-hak warganegara Malaysia. Undang-undang persekutuan digubal oleh
Parlimen Malaysia berkaitan dengan seluruh negara. Terdapat juga undang-undang negeri
yang digubal Dewan Undangan Negeri (DUN) dan berkaitan dengan negeri berkenaan.
Perlembagaan Malaysia juga membenarkan sistem kehakiman berganda yang unik iaitu
undang-undang sekular dan undang-undang syariah.

Sementara itu, undang-undang juga berperanan sebagai ejen keamanan dan kesejahteraaan.
Undang-undang digunakan untuk mengawal masyarakat daripada melakukan sebarang
tindakan yang salah dan memudaratkan diri dan orang ramai. Individu yang melanggar
undang-undang akan dikenakan hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka. Hukuman
tersebut dibuat bertujuan untuk memberi pengajaran kepada si pelaku dan orang ramai. Oleh
itu, hak-hak dan kebebasan setiap individu akan terpelihara dan akhirnya satu bentuk
kehidupan sosial dan poitik yang stabil dapat diwujudkan dalam masyarakat.

Namun, apa yang paling penting adalah undang-undang dapat dijadikan sebagai panduan
pilihan moral. Ini bermaksud seseorang individu di dalam sesebuah masyarakat perlu
merujuk kepada undang-undang apabila berhadapan dengan dilema etika sama ada di dalam
atau di luar organisasi. Setiap individu yang tinggal di dalam negara Malaysia tertakluk di
bawah undang-undangnya. Undang-undang ini boleh dijadikan panduan untuk bertindak
apabila berlaku situasi seperti berikut.

Dalam situasi pengaruh keluarga, jika ibu bapa yang membesar anak-anaknya dengan cara
yang tidak sepatutnya seperti mendera mereka, jika didapati bersalah mereka anak dikenakan
hukuman yang setimpal. Secara tidak langsung, kebajikan anak-anaknya akan diambil alih
oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat jika anak-anak mereka tidak mempunyai saudara mara
terdekat yang boleh menjaga mereka.

Selain itu, undang-undang juga boleh dijadikan panduan untuk bertindak apabila berhadapan
dengan dilema etika dalam pengaruh rakan. Di mana jika penyalahgunaan kuasa yang telah
diberikan seperti penyelewengan dari perjanjian yang telah dibuat atau ditandatangani secara
rasmi dan bertulis. Dalam undang-undang, Jenayah pecah amanah ini telah diperuntukkan di
bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang mana perkataan amanah dalam peruntukan ini
merujuk kepada semua kejadian yang mana seseorang yang telah diamanahkan itu
menyalahgunakan atau menjadikan harta itu seperti kepunyaannya sendiri. Secara
keseluruhannya, kesan daripada gejala pecah amanah ini boleh mengakibatkan runtuhnya
institusi dalam sesebuah negara itu sendiri sama ada dari segi ekonomi, sosial mahupun
politik kerana melibatkan golongan yang professional dan mempunyai pendidikan yang
tinggi. Sekiranya tidak diatasi secara berkesan akan memberikan pelbagai masalah lain yang
akan timbul.

Sementara itu, dalam bercakap soal undang-undang dari segi faktor pengalaman hidup, kita
tidak akan terlepas dari dikenakan tindakan. Antaranya ialah seperti kesalahan membuang
sampah merata-rata, memiliki bahan lucah, mencuri dan sebagainya. hukuman yang
dikenakan bagi kesalahan membuang sampah merata-rata ialah Seksyen 47 Akta Jalan Parit
dan Bangunan 1974 dan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672).
Bagi kesalahan memiliki bahan lucah pula, hukuman yang boleh dikenakan ialah Seksyen
922 Kanun Keseksaan (menyimpan video lucah) dan Seksyen 5 (1) ( A ) Akta Penapisan
Filem 2002 (memiliki video lucah). Sementara itu, bagi kesalahan mencuri, hukuman yang
dikenakan ialah maka akta 574 seksyen 378 dan seksyen 379 Akta 574.

4.KESIMPULAN
Dalam dunia yang semakin mencabar ini, kita dapat lihat di mana etika menjadi salah satu
unsur yang penting dalam kehidupan manusia. Berdasarkan kepada hal-hal yang telah
dibincangkan di atas, ternyata etika membantu setiap individu membentuk keharmonian,
kesejahteraan, kerukunan dan kedamaian hidup. Daripada sudut individu, seseorang yang
beretika sentiasa menjaga perilakunya agar tidak bertentangan dengan nilai-nilai dan
kehendak moral dalam sesebuah masyarakat.

Ramai tidak mengetahui bahawa etika secara umumnya terbahagi kepada dua jenis iaitu etika
deskriptif dan normatif. Etika deskriptif merupakan disiplin yang membicarakan sistem moral
yang dianuti individu atau golongan dan berbeza mengikut perbezaan individu, masa, tempat
atau keadaan dan Ia dibicarakan dalam aspek yang luas. Manakala etika normatif ialah
menilai, mengkritik dan membuat keputusan terhadap sistem moral yang ada. Selain itu,
ianya juga mencadangkan sistem etika yang standard berpandukan sistem yang sedia ada
seperti etika pemimpin dan etika perubatan. Selalunya individu yang beretika mempunyai
kualiti emosi yang membantu mereka membentuk sifat-sifat positif seperti sabar, rajin,
rasional, bertanggungjawab dan sebagainya. Dalam pada itu, dari segi mental individu yang
beretika mulia tidak gemar memikirkan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan sia-sia.
Mereka akan sentiasa membuat pertimbangan daripada sudut baik dan buruk sesuatu perkara
sebelum mengambil tindakan. Justeru, individu yang sentiasa mengamalkan etika yang baik
mempunyai sifat-sifat terpuji dan jati diri yang unggul dan nilai etika tersebut mempengaruhi
falsafah hidup, gaya berfikir dan tindak-tanduknya.

Perbincangan tentang etika ini dihuraikan dalam tiga faktor di atas iaitu pengaruh keluarga,
pengaruh rakan dan pengalaman hidup. Di samping itu, undang-undang yang dilaksanakan
oleh masyarakat mestilah konsisten, menyeluruh, telah diwartakan, boleh diterima oleh
seluruh masyarakat dan dikuatkuasakan setelah diwartakan. Peraturan yang ditetapkan oleh
undang-undang adalah sebagai membendung dan melakukan halangan daripada perbuatan
tidak bermoral dan tidak beretika daripada terus berpanjangan. Undang-undang ini akan
menjadikan seseorang individu itu lebih beretika dan bermoral apabila dikenakan hukuman
dan tindakan undang-undang ke atas kesalahan yang dilakukannya.

Sebagai sebuah negara yang aman dan makmur dan menjadi contoh di mata dunia, setiap
individu yang bergelar rakyat dan warganegara perlu menunjukkan etika yang positif kepada
para pelancong luar yang dating ke Malaysia. Lebih-lebih lagi, pada tahun ini negara
merupakan detinasi pilihan dalam tahun melawat Malaysia. Slogan Malaysia Truly Asia
amatlah bersesuaian dan tepat dalam menggambarkan nilai etika masyarakatnya. Dalam erti
kata lain, selagi sesebuah masyarakat itu dapat mengekalkan tahap amalan etika yang tinggi,
selama itulah masyarafkat tersebut akan terus maju dan berkembang. Sejarah juga telah
banyak membuktikan bahawa beberapa tamadun agung yang pernah mengukir nama di mata
dunia akhirnya tumpas dan lenyap seperti tamadun Babylon di Iraq, Mesir, Rome dan banyak
lagi. Hal ini disebabkan oleh para pemimpin dan masyarakatnya sudah tidak bermoral dan
tidak beretika dalam menjalani kehidupan mereka.

2551 Perkataan

APENDIKS
5.RUJUKAN / REFERENSI
Maksud Etika. (n.a.). [Online]. Available :
http://syadidhabib.blogspot.com/2010/10/maksud-etika.html. [2014, Mei 25].

Konsep Etika : Definisi. (n.a.). [Online]. Available :


http://ciptaan-mulia.blogspot.com/p/konsep-etika.html. [2014, Mei 25].

Definisi Etika. (2010) [Online]. Available :


http://erniritonga123.blogspot.com/2010/01/definisi-etika.html. [2014, Mei 25].

Pengertian Etika Dan Beberapa Istilah Dalam Etika. (2013). [Online]. Available :
http://irasaffaghira.blogspot.com/2013/10/pengertian-etika-dan-
beberapa-istilah.html. [2014, Mei 25].

Etika Profesi Dan Tanggungjawab Profesi. (2006). [Online]. Available :


http://y0un13.blogspot.com/2006/03/etika-profesi-dan-tanggung-jawab.html.
[2014, Mei 26].

Professional Ethics. (n.a.). [Online]. Available :


http://madzani.blogspot.com/2013/05/professional-ethics.html. [2014, Mei 26].

Faktor Pembentukan Etika Dan Penguatkuasaan Undang-undang. (n.a.). [Online].


Available : http://realitiseorangaku.blogspot.com/2013/11/faktor-
pembentukan-etika-dan.html. {2014, Mei 26].

10 Keperibadian Yang Harus Dihindari. (n.a.). [Online]. Available :


http// www.carapedia.com. [2014, Mei 26].

Pembentukan Etika Individu. (n.a.). [Online]. Available :


http://dplipersatuan.blogspot.com/2012/10/apa-itu-etika.html. [2014, Mei 26].

Beberapa Faktor Yang Penting Dalam Pembentukan Etika Individu. (n.a.). [Online].
Available : http://etikaprof.blogspot.com/2006/06/etika-professional.html.
[2014, Mei 26].
Kemahiran Penting Dalam Mengatasi Pengaruh Rakan Sebaya. (2011). Available :
http://utusan-malaysia-online.com/kemahiran-penting-dalam-

mengatasi-pengaruh-rakan-sebaya-kata-taib. [2014, Mei 26].

Anda mungkin juga menyukai