Anda di halaman 1dari 6

errrIMPLIKASI TEORI PEMBELAJARAN PAVLOV, WATSON DAN THORNDIKE DI

DALAM PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

TEORI IVAN PETROVICH PAVLOV


Ivan Pavlov berpendapat bahawa pembelajaran berlaku akibat daripada rangsangan
yang telah diterima oleh seseorang. Setiap rangsangan yang diterima pula akan
menimbulkan suatu gerak balas. Daripada teori ini, guru perlu sedar bahawa rangsangan
dan gerak balas mempunyai kaitan yang boleh dilazimkan atau dipelajari. Kaitan antara
rangsangan dengan gerak balas boleh diperkukuhkan melalui latihan. Semakin kerap
rangsangan itu dikaitkan dengan sesuatu gerak balas, semakin kukuh gerak balas terlazim
itu. Sebagai contoh, apabila guru memberi pujian (rangsangan) setiap kali murid membuat
hasil kerja yang baik (gerak balas), maka gerak balas tersebut (hasil kerja yang baik) akan
dapat diteruskan walaupun tiada pujian daripada guru. Oleh itu, guru perlu kerap
memberikan rangsangan untuk memperkukuhkan gerak balas terlazim. Guru juga boleh
memotivasikan muridnya dengan ganjaran yang sesuai supaya dapat mengawal tingkah laku
yang dikehendaki dalam proses pengajaran dan pembelajarannya. Sebagai contoh, guru
boleh memberi motivasi dalam bentuk pujian, hadiah dan kata-kata perangsang untuk
membentuk tingkah laku yang diingini. Guru juga boleh meningkatkan motivasi murid-
muridnya dengan menyediakan suasana pengajaran dan pembelajaran yang
menyeronokkan seperti memulakan pengajaran dan pembelajaran dengan set induksi yang
dapat menarik perhatian murid.
Selain itu, guru juga perlu melibatkan murid-murid dalam proses pengajarannya
seperti penglibatan dalam aktiviti berkumpulan, perbincangan, projek dan sebagainya.
Melalui aktiviti seperti ini, murid-murid dapat belajar dengan lebih berkesan kerana
pembelajaran boleh berlaku melalui latihan, kebiasaan dan pengalaman. Dalam proses
pembelajaran juga, generalisasi boleh berlaku di mana murid dapat melakukan tingkah laku
yang sama di dalam situasi yang berlainan. Sebagai contoh, murid dapat mengaplikasikan
konsep wang yang dipelajari di kelas ketika proses jual beli di kantin atau di kedai buku
sekolah.
Dalam pembelajaran juga, penghapusan boleh berlaku jika peneguhan tidak
diberikan. Ini bermakna, sekiranya sesuatu tingkah laku tidak diperkukuhkan melalui
ganjaran, tingkah laku itu mungkin akan terhapus begitu sahaja. Apabila seseorang guru
berhenti memberi ganjaran, prestasi muridnya mungkin akan merosot. Oleh itu, konsep
pemulihan semerta dapat membantu seseorang guru meningkatkan keberkesanan
pengajarannya dengan memberikan insentif semula kepada murid-murid dengan
mempelbagaikan hadiah, aktiviti, alat bantu mengajar dan projek untuk meningkatkan semula
semangat ingin belajar murid-murid.

TEORI JOHN BROADUS WATSON


Kajian J.B Watson banyak dipengaruhi oleh Teori Pelaziman Klasik Pavlov. Menurut
Watson, tingkah laku adalah refleks terlazim iaitu sesuatu gerak balas yang dipelajari melalui
proses pelaziman klasik. Selain tingkah laku, Watson turut menjalankan kajian terhadap
pembelajaran emosi manusia. Menurut beliau, manusia mewarisi tiga jenis emosi iaitu takut,
marah dan kasih sayang. Beliau berpendapat bahawa rasa takut dan respons emosi lain
boleh diperoleh atau dihapuskan melalui pelaziman. Seperti kajian yang dijalankan olehnya
terhadap seorang bayi berusia 9 bulan dengan seekor tikus putih.
Watson juga memperkenalkan dua prinsip iaitu prinsip kekerapan dan prinsip
kebaruan. Prinsip kekerapan menekankan bahawa semakin kerap seseorang menunjukkan
suatu respons terhadap suatu rangsangan, semakin tinggi kemungkinan orang itu akan
memberikan respons (gerak balas) yang sama terhadap rangsangan tersebut. Prinsip ini
membawa implikasi bahawa murid perlu memahami dan mengulangkaji setiap tajuk dalam
sesuatu mata pelajaran dengan kerap bagi mengingati kembali konsep-konsep pelajaran
dengan mudah. Prinsip kebaruan pula menegaskan bahawa semakin baru respons
seseorang terhadap suatu rangsangan, semakin tinggi kemungkinan orang itu akan
memberikan respons atau gerak balas terhadap rangsangan itu. Ini bermakna, setiap murid
perlu membuat ulang kaji dengan sempurna sebelum menempuh peperiksaan bagi
membolehkan mereka mengaplikasikan konsep-konsep yang diulang kaji. Sekiranya sesuatu
tajuk itu lama tidak diulangkaji, ia akan terhapus daripada ingatan begitu sahaja. Oleh itu,
seseorang guru perlu memberikan latihan dengan kerap untuk mengukuhkan ingatan murid.
Selain itu, minat murid juga boleh ditimbulkan dan dihapuskan. Guru yang mengajar
dengan pelbagai alat bantu mengajar dan mengelola pelbagai jenis aktiviti akan dapat
menimbulkan minat murid terhadap pengajarannya dan seterusnya menyebabkan murid
ternanti-nanti kemunculan guru berkenaan untuk mengajar mereka. Sebaliknya, minat murid
terhadap sesuatu mata pelajaran akan berkurangan sekiranya didapati pengajaran guru
tersebut tidak menarik atau membosankan.
Sama seperti Pavlov, teori Watson juga menggalakkan rangsangan yang baik bagi
mewujudkan tingkah laku positif. Sebagai guru kita harus memastikan rangsangan dalam
bilik darjah (termasuk tingkah laku guru) menimbulkan perasaan keseronokkan serta
keselesaan dan bukan perasaan takut atau risau. Guru juga perlu menggunakan rangsangan
yang boleh memotivasikan murid seperti mewujudkan persekitaran yang kondusif dan kaya
dengan bahan pengajaran bagi mendorong mereka berminat untuk belajar.

TEORI EDWARD LEE THORNDIKE


Beliau berpendapat bahawa pembelajaran merupakan proses cuba-ralat (trial and
error) atau memilih dan menghubungkait (selecting and connecting). Proses cuba-ralat ini
juga dikenali sebagai proses juba jaya. Latihan yang dilakukan secara berulang-ulang akan
menyebabkan gerak balas yang dihasilkan pada peringkat permulaan akan semakin
berkurangan. Manakala perhubungan antara rangsangan dan gerak balas akan semakin
kukuh. Gerak balas operan berlaku secara sendiri dan jika mendapat hasil yang berkesan, ia
akan dikukuhkan dan dikekalkan. Ini bermakna apabila ganjaran diberi, gerak balas yang
terhasil akan berulang kerana sudah berlakunya proses pembelajaran. Tetapi jika ganjaran
tidak diberikan, gerak balas tersebut akan hilang secara perlahan-lahan. Oleh itu, guru perlu
menyediakan pelbagai sumber pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan
mengagumkan agar proses pembelajaran yang berkesan boleh berlaku. Contohnya dengan
menggunakan ICT dan audio atau video yang menarik agar murid dapat menjalani proses
pembelajaran dengan berkesan.
Thorndike juga terkenal dengan tiga hukumnya iaitu Hukum Kesediaan, Hukum
Latihan dan juga Hukum Kesan. Thorndike amat menyarankan ketiga-tiga hukum tersebut
digunakan dalam mengawal pembelajaran manusia kerana beliau percaya jika hukum-
hukum tersebut dipatuhi, maka pembelajaran akan menjadi mudah dan berkesan.
Hukum kesediaan adalah perkara yang paling penting dan asas sebelum seseorang
murid memulakan pembelajaran. Seseorang murid perlu mempunyai persiapan yang rapi
sebelum menghadapi sesi pembelajaran di dalam kelas. Murid perlu mempersiapkan diri
mereka dari segi mental, fizikal, emosi, sosial dan psikomotor sebelum pembelajaran
berlaku. Faktor-faktor ini sangat membantu dalam mewujudkan aktiviti pembelajaran yang
aktif, mudah, seronok dan berkesan. Justeru kesediaan murid sangat penting dalam
memulakan sesuatu aktiviti pembelajaran. Jika murid bersedia sepenuhnya untuk menjalani
aktiviti pembelajaran, kesannya mereka akan berasa seronok sepanjang pembelajaran
berlaku dan seterusnya objektif pembelajaran dapat dicapai dengan mudah. Guru boleh
menggunakan motivasi yang sesuai untuk meningkatkan kesediaan murid untuk belajar.
Kesediaan murid untuk belajar adalah perkara yang paling utama kerana jika mereka
bersedia, maka gerak balas yang positif akan dihasilkan. Motivasi yang diberikan adalah
sebagai satu rangsangan yang baik untuk meningkatkan semangat murid untuk belajar.
Dalam Hukum Latihan pula, Thorndike berpendapat bahawa perhubungan antara
rangsangan dengan gerak balas akan bertambah kukuh jika latihan diberikan. Ini bermakna,
untuk meningkatkan perhubungan antara rangsangan dan gerak balas, seseorang murid
hendaklah diberi latihan dan pengulangan untuk meningkatkan keberkesanan pembelajaran.
Semakin banyak latihan yang diberi semakin kukuh ikatan antara rangsangan dengan gerak
balas seseorang murid. Sebagai contoh, jika seseorang murid diberi latihan Matematik yang
banyak, murid itu akan menjadi semakin mahir dan tempoh masa untuk menyelesaikan
soalan matematik tersebut semakin singkat. Ini juga dapat mengukuhkan dan meningkatkan
kemahiran dan ingatan mereka terhadap isi pembelajaran yang telah dipelajari. Oleh itu, guru
perlu sentiasa memberikan latih tubi, kuiz atau soal jawab yang menyeronokkan supaya
murid dapat mengukuhkan dan meningkatkan keberkesanan pembelajaran mereka.
Hukum Kesan pula menyatakan bahawa perhubungan antara rangsangan dengan
gerak balas akan bertambah kukuh jika terdapat kesan yang menyeronokkan. Manakala
kesan yang menyakitkan akan melemahkan perhubungan antara rangsangan dan gerak
balas. Ini bermakna, sekiranya seseorang murid mendapat kesan pembelajaran yang
menyeronokkan, ini akan mendorong mereka memperolehi pencapaian yang lebih baik.
Sebaliknya, jika seseorang murid mendapat kesan yang menyakitkan, gerak balas tersebut
akan semakin lenyap. Perkara ini boleh dikaitkan dengan ganjaran dan denda yang diberikan
berdasarkan gerak balas yang dihasilkan. Oleh itu, guru berperanan mewujudkan
pembelajaran yang menyeronokkan dengan memberi ganjaran, motivasi dan menyediakan
peluang yang sama rata untuk semua murid supaya mereka terdorong untuk belajar. Guru
juga perlu memastikan tugasan yang diberi tidak terlalu tinggi supaya murid dapat
menyelesaikannya dengan perasaan puas hati seterusnya dapat meningkatkan motivasi
mereka untuk belajar. Di samping itu, guru boleh memberikan peluang kepada murid untuk
menikmati kejayaan yang diperolehi dalam pembelajaran mereka. Guru tidak boleh
memandang rendah terhadap kejayaan yang telah dicapai oleh murid malah guru perlu
memberikan sokongan yang padu supaya mereka tidak mudah putus asa dan akan terus
mencuba untuk mencapai kejayaan yang mereka ingini.

Kesimpulannya, ketiga-tiga tokoh ini (Teori Behavioris) menekankan peranan


persekitaran dalam proses pembelajaran. Pembelajaran berlaku dengan wujudnya perkaitan
dan perhubungan antara suatu rangsangan dengan suatu gerak balas. Pelaziman klasik dan
pelaziman operan adalah contoh teori behavioris yang menekankan kajian tentang tingkah
laku yang dapat diperhatikan. Disebabkan teori ini memberi penekanan terhadap tingkah
laku kanak-kanak, maka aktiviti yang menarik akan mendorong murid untuk terlibat aktif
dalam proses pembelajaran di dalam kelas. Guru pula perlu memainkan peranan dengan
menjalankan aktiviti yang menarik dan menyeronokkan untuk menguatkan hubungan antara
rangsangan dan gerak balas. Akhir sekali, ganjaran terhadap gerak balas yang baik dan
peneguhan perlu diberi kepada murid bagi membantu murid menikmati perkembangan yang
seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

IMPLIKASI TEORI KONSTRUKTIVISME KEPADA PENGAJARAN

Mengikut Noriati, Boon Poon Ying dan Sharifah Fakhriah Syed Ahmad (2009), antara
implikasi teori konstruktivisme ini kepada proses pengajaran ialah guru hendaklah bijak
merancang pengajaran dan pembelajaran dengan teliti serta mengambil kira segala aspek
yang berkaitan dengan keupayaan murid. Hal ini adalah kerana segala pembelajaran yang
dilakukan adalah lebih berpusat kepada murid di mana murid belajar melalui segala proses
membuat atau beraktiviti yang dijalankan oleh guru semasa di dalam kelas. Jadi, hal-hal
yang berkaitan dengan keupayaan murid adalah sangat ditekankan kerana sekiranya hampir
kesemua murid di dalam sesuatu kelas itu tidak mampu menguasai sesuatu proses
pembelajaran, maka, proses pembelajaran yang dilakukan oleh guru itu adalah tidak berjaya
sama sekali.

Selain itu, implikasi lain bagi teori konstruktivisme ini ialah guru haruslah dapat mengenal
pasti Zon Perkembangan terdekat ( ZPD ) atau juga dikenali sebagai Zon Perkembangan
Proksimal dalam diri murid-murid berdasarkan beberapa aktiviti yang dijalankan di dalam
kelas. Hal ini bertujuan untuk mengetahui tahap murid tersebut sama ada berada di zon
bawah ataupun zon atas. Hal ini secara tidak langsung akan memudahkan guru mencari
pendekatan yang bersesuaian untuk membantu murid menguasai sesuatu sesi
pembelajaran.

Menjadi tanggungjawab guru-guru juga untuk memilih beberapa orang murid yang lebih
berkemahiran untuk mengajar murid lain yang belum lagi menguasai sesuatu proses
pembelajaran. Bantuan daripada rakan-rakan yang lebih mahir adalah sangat membantu
kerana berkemungkinan besar murid yang tidak mahir itu lebih selesa diajarkan oleh rakan-
rakan yang lebih dikenali dan mesra. Kanak-kanak juga sebenarnya adalah lebih mudah
memahami sesuatu perkara itu apabila dibimbing oleh rakan sebaya mereka jika
dibandingkan dengan guru.
Di samping itu, implikasi bagi teori ini juga ialah guru haruslah menyediakan lebih banyak
contoh dan bahan sumber yang boleh digunakan untuk membantu murid membuat perkaitan
dengan isi pelajaran yang dipelajari. Hal ini secara tidak langsung akan membantu murid-
murid tersebut membina pemahaman baharu yang belum lagi diketahui atau dikuasai oleh
mereka. Lebih banyak contoh dan bahan sumber ditunjukkan kepada murid-murid, lebih
banyak pengetahuan dapat dikuasai oleh seseorang murid itu.

Guru juga seharusnya mengaitkan isi pelajaran yang diajarkan kepada murid dengan situasi
sebenar. Apabila sesuatu isi pelajaran itu dikaitkan dengan situasi sebenar, murid secara
tidak langsung akan lebih memahami sesi pengajaran yang disampaikan oleh guru. Jadi,
tugasan autentik yang berasaskan masalah alam nyata, pengalaman berasaskan konteks
sebenar, aktiviti simulasi dan sebagainya bolehlah dijalankan oleh guru ketika di dalam kelas.

Seterusnya,gerak kerja kumpulan dan perbincangan kumpulan merupakan salah satu


strategi yang baik sekali bagi mewujudkan interaksi yang berkualiti dalam kalangan murid-
murid. Melalui aktiviti perbincangan dalam kumpulan, murid secara tidak langsung dapat
berkongsi idea, mendapat pemahaman yang lebih jelas daripada rakan-rakan yang lebih
mahir serta dapat meluahkan buah fikiran mereka. Perbincangan dalam kumpulan juga dapat
mewujudkan hubungan yang erat dalam kalangan murid-murid kerana setiap murid
berpeluang memberikan idea serta pandangan masing-masing.

Implikasi teori ini yang terakhir sekali ialah guru haruslah sentiasa memberikan penerangan
yang jelas kepada murid-murid ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Penerangan yang jelas ini adalah sangat penting kepada murid-murid kerana tanpa
penerangan yang jelas, murid berkemungkinan akan menyalahtafsir arahan atau kehendak
guru. Hal ini secara tidak langsung akan mengakibatkan sesi pengajaran tidak berjalan
dengan lancar. Maka, penerangan guru haruslah jelas, selaras dengan pemikiran dan laras
bahasa murid. Guru juga adalah digalakkan sama sekali untuk menyertakan pelbagai contoh
ketika sesi perbincangan bersama murid.

Anda mungkin juga menyukai