Anda di halaman 1dari 10

TUGASAN 1

1.0 Pengenalan

Pendidikan pemulihan merupakan satu cabang daripada sebahagian pendidikan dan ia


juga disebut sebagai Remedial Education dalam bahasa Inggeris iaitu suatu bentuk
pendidikan khas kepada murid yang menghadapi masalah atau kesulitan pembelajaran
dalam mata pelajaran tertentu sahaja. Definisi terapi dalam konteks pendidikan adalah
kaedah atau cara untuk menolong seseorang murid bergerak balas terhadap sesuatu
aktiviti atau kemahiran. Dengan itu, kaedah terapi amat berguna dalam membantu
murid-murid bermasalah dan ketidakupayaan pembelajaran untuk mencapai
perkembangan dari segi kognitif, emosi, sosial dan psikomotor. Konsep terapi dalam
pendidikan pemulihan adalah didasari dari kepelbagaian kategori individu berkeperluan
khas. Terapi dalam pendidikan pemulihan adalah salah satu cara yang digunakan dalam
pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kegiatan dalam terapi dapat membantu murid
menguasai sesuatu kemahiran dari satu peringkat ke satu peringkat yang lebih tinggi.
Namun, memang tidak dapat dinafikan bahawa terapi dalam pendidikan pemulihan
sangat mustahak kepada murid-murid yang berkeperluan khas. Antara kepentingan terapi
dalam perkembangan murid pemulihan ialah meningkatkan kemahiran pengamatan,
membantu untuk meningkatkan kemahiran bersosial murid, memperbaiki kualiti hidup
dan keyakinan diri, merangsang pemikiran dan kreativiti murid dan lain-lain. Oleh itu ,
terdapat banyak jenis terapi dalam pendidikan pemulihan. Misalnya seperti terapi fisio,
terapi cara kerja, terapi muzik, terapi seni dan sebagainya.

2.0 Jenis-jenis terapi

Kamus perubatan Mosby menyatakan bahawa terapi fisio atau terapi fizikal ialah
rawatan ke atas ketidakupayaan pada seseorang individu dengan menggunakan agen-
agen fizikal dan pelbagai kaedah yang sesuai dengan pengertian fizikal. Kepelbagaian
kaedah ini adalah sebagai satu cara memulihkan pesakit dan mengekalkan fungsi
normal selepas mengalami sesuatu kecederaan atau penyakit. Terapi fisio atau dikenali
juga sebagai terapi fizikal merupakan satu terapi yang sangat baik dan sangat
diperlukan bagi memulihkan kanak-kanak pendidikan pemulihan ini. Aktiviti terapi fisio
seperti membaling bola, menyambut bola, memasukkan jarum ke dalam lubang manik
dan pelbagai aktiviti boleh dilaksanakan untuk membantu murid-murid pemulihan.Terapi
fizikal sememangnya sangat efektif kepada murid-murid pendidikan khas kerana ianya
mampu meningkatkan kemampuan otot-otot iaitu motor kasar dan motor halus termasuk
koordinasi antara keduanya. Aktiviti terapi fizikal ini juga turut membantu perkembangan
fizikal dan tubuh badan mereka.Selain itu, terapi fizikal mampu membina keupayaan diri
dan keyakinan yang tinggi. Murid-murid akan merasakan sendiri perubahan-perubahan
yang mereka alami. Kesabaran dan keinginan yang kuat untuk menjalani rawatan
mampu mengubah persepsi diri dan rakan terhadap keupayaan dan kebolehan sendiri.
Menurut Turner, Foster dan Johnson (2002), terapi cara kerja adalah latihan aktiviti-
aktiviti yang bermakna untuk meningkatkan tahap kefungsian seharian dan mencegah
ketidakupayaan ke atas individu yang mempunyai masalah mental dan fizikal pada
semua peringkat umur. Selain pesakit mental, veteran peperangan yang cedera, terapi
cara kerja turut dipanggil untuk merawat pesakit yang terselamat daripada keajaiban
rawatan moden yang semakin meningkat. Kini, penggunaan terapi cara kerja semakin
meluas dengan klien-klien yang telah disebut sebelum ini, ditambah dengan pesakit
yang terselamat daripada kecederaan tulang belakang, amputasi, kecederaan otak
traumatik dan cerebral palsy. Pada tahun 1980-an dan 1990-an, terapi cara kerja telah
mula memberikan fokus yang lebih kepada kualiti kehidupan seseorang. Oleh itu,
penglibatannya dalam pendidikan, pencegahan, dan kesihatan telah menjadi lebih
besar. Matlamat terapi cara kerja adalah tertumpu pada pencegahan, kualiti dan
kemahiran berdikari yang berterusan. Terapi cara kerja adalah penting bagi merawat
individu yang menghadapi masalah sejak dari lahir hingga mereka mampu berdikari.
Melalui terapi cara kerja, individu yang bermasalah ini akan untuk mencapai ke tahap
yang lebih baik dalam mengendalikan kehidupan harian mereka. Jika kemahiran dan
keupayaan tidak mampu untuk berkembang, terapis cara kerja akan melakukan
pelbagai kaedah alternatif bagi individu tersebut menjalankan kehidupan harian mereka.
Kepentingan terapi cara kerja ialah membantu kanak-kanak dalam pekembangan asas
seperti mandi, berpakaian, memberus gigi, dan makan sendiri , membantu kanak-kanak
dengan gangguan perilaku emosi dengan mempelajari teknik-teknik penggurusan
emosi. Sebagai contoh, tidak memukul orang lain ketika marah ataupun bertindak ganas
bila menghadapi sebarang masalah. Di samping itu, kanak-kanak akan belajar cara-cara
yang positif untuk menghadapi kemarahan, seperti menulis tentang perasaan atau
menyertai dalam aktiviti fizikal. Contoh aktiviti terapi cara kerja adalah seperti
menghasilkan gelung tangan manik, membuat doh atau kerepek, membuat sandwich
dan sebagainya.
Pertuturan adalah aktiviti melafazkan bunyi-bunyi yang dilahirkan daripada alat
pertuturan (artikulator). Ia juga merupakan suatu kemahiran berinteraksi dalam suasana
bahasa manusia. (Kamaruddin :1987)Terapi pertuturan merupakan salah satu aktiviti
yang membantu murid untuk mempunyai masalah dengan alat artikulasi mereka seperti
gagap, sengau, sumbing dan sebagainya. Terdapat beberapa kepentingan terapi
pertuturan ini, antaranya ialah melatih murid menguasai kemahiran tertentu, membantu
murid menghasilkan bunyi bahasa. Hal ini bermaksud, terapi pertuturan ini dapat
membantu murid mengeluarkan bunyi-bunyi bahasa yang lebih bermakna. Tambahan
pula, terapi tersebut boleh menolong murid menyampaikan maklumat kepada individu
lain. Hal ini bermaksud, terapi pertuturan ini dapat membantu murid-murid
menyampaikan maklumat dengan betul dan tepat kepada orang lain dan meluahkan
perasaan mereka dengan saluran dan cara yang betul. Antara aktiviti terapi pertuturan
yang boleh dilaksanakan untuk mrid pemulihan ialah latihan lisan, meniup belon,
bercerita ,bermain cermin, alatan seperti wisel, straw, bola ping pong dan lain-lain untuk
membezakan bunyi.
Apa itu muzik? Muzik adalah satu getaran tenaga bunyi yang dihasilkan melalui
getaran tenaga bunyi bergetar pada tahap-tahap berbeza. Terapi muzik adalah alternatif
dalam rawatan moden dan satu bidang profesional yang menggunakan muzik bertujuan
untuk pemulihan, pemeliharaan dan peningkatan taraf kesihatan mental serta fizikal. Ia
adalah satu teknik klinikal dan evidence -based yang dijalankan oleh pakar dan
berdasarkan kepada fakta-fakta hasil kajian. Terapi muzik mustahak terutamanya
kepada murid-murid pemulihan kerana ia dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi,
meningkatkan kemahiran berkaitan dengan akademik, kognitif dan vokasional,
meningkatkan kemahiran melibatkan psikomotor, meningkatkan kemahiran bersosial dan
emosi dan sebagainya. Peralatan bagi terapi muzik ialah kerincing, piano, gitar, gendang
dan lain-lain. Sebelum rawatan terapi muzik dijalankan, kaunselor terlebih dahulu perlu
mendapatkan persetujuan dengan klien mengenai rawatan dan etika-etika ketika sesi
rawatan atau kaunseling dijalankan. Oleh itu, terapi muzik mempunyai teknik rawatan
tertentu yang memerlukan seseorang pesakit itu melalui pentafsiran klinikal khusus.
Melalui teknik itu, pakar terapi akan menjalankan program muzik terapi membabitkan
teknik mendengar pilihan muzik tertentu, memainkan alat muzik, menyanyi, mengarang
dan mengubah lagu, membuat persembahan berkumpulan, hipnosis muzik, menari atau
melukis menggunakan muzik.

Seni visual adalah hasilan karya seseorang individu degan menggunakan pelbagai
teknik seperti melukis, mewarna, menampal dan sebagainya dalam bentuk sama ada
satu, dua atau tiga matra. Terapi yang menggunakan hasil seni (lukisan, lakaran,
cetakan, arca) dikenali sebagai terapi seni iaitu bertujuan untuk seseorang individu
meluahkan perasaan dan pemikiran. Lazimnya, masalah-masalah yang dihadapi oleh
murid berkeperluan khas semasa menjalankan aktiviti seni visual adalah disebabkan
oleh masalah pengamatan, masalah koordinasi motor kasar dan motor halus, masalah
komunikasi, masalah sosialisasi, masalah imaginasi, masalah pemahaman konsep.
Terapi seni visual dapat membantu murid pemulihan yang menghadapi masalah-
masalah yang berkaitan dengan kehidupan dengan lebih efektif. Melalui terapi seni ,guru
pemulihan boleh mengajar anak murid pemulihan dengan menghasilkan lukisan, catan,
garisan, percikan dan sebagainya.Oleh yang sedemikian, ia dapat mengurangkan
tekanan perasaan murid, memberi peluang murid untuk merasa seronok semasa sesi
pembelajaran, memberi peluang kepada murid untuk menghasilkan karya sendiri dan
juga memberi peluang kepada murid untuk meningkatkan tahap kreativiti mereka.
Kelebihan terapi seni untuk guru pula ialah, guru juga dapat mengesan masalah dalam
diri murid.
Bermain merupakan suatu kegiatan bagi kanak-kanak supaya berasa seronok dan
suatu kaedah bagi mereka mengenal dunia. Terapi main ialah penggunaan sistematik
dari model teoritis untuk melahirkan suatu proses interpersonal serta untuk membantu
pelajar mengatasi cabaran psikososial dan mencapai perkembangan yang optimum.
Dari aspek psikologi pula, terapi main memberi kesempatan kepada kanak-kanak untuk
memperolehi perasaan dan mengawal keadaan yang dapat membantu kanak-kanak
untuk berurusan dengan realiti sebenar. Antara tujuan terapi main untuk murid-murid
pemulihan ialah mengurangkan masalah tingkah laku ,meningkatkan komunikasi,
meningkatkan keupayaan mempercayai seseorang, memberi peluang kepada kanak-
kanak untuk membuat pilihan mereka sendiri. Terdapat beberapa jenis aktiviti terapi
main iaitu mainan mencirikan kehidupan sebenar seperti set permainan pekejaan seperti
polis, doktor dan tukang masak. Seterusnya ialah mainan bercirikan luahan perasaan
agresif ialah gari, penukul, peralatan militari dan topeng manakala mainan bercirikan
luahan perasaan kreatif seperti melukis dengan crayon, permainan doh, menghasilkan
kad dan boneka.

3.0 Peranan guru pemulihan dan sekolah dalam memudahkan pihak guru dan ibu bapa
bagi membantu perkembangan diri murid-murid pemulihan

Saya berasa bertanggungjawab sebagai seorang guru pemulihan dan mempunyai


peranan untuk memudahkan pihak guru dan ibu bapa bagi memastikan perkembangan
diri murid-murid pemulihan tersebut. Peranan ibu bapa terhadap anak-anak pendidikan
pemulihan ialah mereka perlulah peka dan prihatin terhadap perkembangan anak-anak.
Dalam menentukan sesuatu proses pengajaran yang berkesan, peranan ibu bapa amat
perlu untuk menjayakan pendidikan untuk anak-anak mereka. Mereka juga perlu sentiasa
memberikan kerjasama dan membentuk tingkah laku dan akademik anak mereka.
Ibubapa seharusnya memberi latihan kepada anak mereka sewaktu anak mereka berada di
rumah dan memastikan anak mereka sentiasa menyelesaikan tugasan yang diberi. Ibu
bapa juga perlulah mengetahui cara untuk menangani anak-anak mereka yang memiliki
kecacatan dari segi mental, emosi dan fizikal. Ibu bapa juga perlulah mengesan dengan
kadar segera masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka kerana kemungkinan
kemelut itu dapat dipulihkan. Ibu bapa juga perlulah mendapatkan nasihat daripada
pakar-pakar perubatan tentang masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka. Oleh itu,
ibu bapa memainkan peranan yang mustahak bagi memastikan anak mereka yang terdiri
daripada murid pemulihan sentiasa dijaga dan tidak terabai.
Yang pertama, saya akan bekerjasama dengan jabatan atau agensi kerajaan seperti
Jabatan Pendidikan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan dan lain-lain.
Kolaborasi adalah usaha sama di antara beberapa pihak, kumpulan, organisasi atau agensi
untuk melaksanakan sesuatu projek. Usaha ini amat diperlukan kerana sumbangan dan
peranan mereka yang berbeza-beza dapat membantu kanak-kanak pemulihan tersebut.
Saya akan menjemput pegawai kesihatan daripada Kementerian Kesihatan atau pakar
Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memberi ceramah tentang kepentingan terapi fisio
atau terapi cara kerja serta menjelaskan dan memperincikan cara-cara pelaksanaannya
kepada pihak guru dan ibu bapa bagi memudahkan mereka membantu perkembangan
diri-diri murid pemulihan.Jabatan atau agensi kerajaan ini boleh melancarkan suatu
kempen terapi di sekolah-sekolah dengan memperkenalkan alat-alat yang digunakan
dalam terapi tersebut di samping memberi ilmu pengetahuan tentang kedua-dua terapi
itu. Tambahan pula, pakar daripada Jabatan Pendidikan Khas boleh diajak untuk
berkongsi maklumat dan pengetahuan tentang maklumat terapi yang sesuai untuk murid
pemulihan. Walaupun pendidikan khas berbeza dengan pendidikann pemulihan, tetapi
terdapat terapi yang sama boleh membantu perkembangan murid-murid pemulihan juga
seperti terapi muzik, terapi fisio dan lain-lain.
Kedua, agensi atau Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) banyak memainkan peranan yang
penting dalam memudahkan pihak guru dan ibu bapa bagi membantu perkembangan diri
murid-murid pemulihan. Saya akan berusaha untuk mempelawa Pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) seperti Malaysians Care, Pusat Bimbingan Sinar Matahari yang
mengajar kanak-kanak berkeperluan khas tentang kemahiran hidup dan kemahiran sosial,
Pusat Harian Kanak-Kanak Istimewa dan sebagainya bekerjasama dengan Kementerian
Pendidikan Malaysia bagi melancarkan Minggu Pendidikan Pemulihan secara berkesan
di seluruh negara secara berterusan. Walaupun badan NGO ini merupakan pertubuhan
bagi membantu murid pendidikan khas, namun pengalaman dan ilmu pengetahuan serta
kemahiran yang sedia ada pasti dapat membantu perkembangan murid-murid pemulihan.
Program secara besar-besaran ini pasti dapat membantu murid-murid pemulihan.
Misalnya , pakar daripada agensi NGO boleh memberi ceramah tentang pelbagai terapi
yang diajar kepada murid pendidikan khas kepada guru dan ibu bapa agar mereka dapat
mengajar murid atau anak mereka dengan cara pelaksaan terapi yang lebih berkesan.
Di samping itu, saya juga akan bekerjasama dengan pihak hospital terutamanya dengan
unit-unit khidmat sokongan hospital dengan mengadakan satu lawatan dengan membawa
ibu bapa dan pihak guru ke hospital untuk diberi taklimat dan ilmu pengetahuan tentang
terapi pemulihan supaya ibu bapa dan guru lebih berkeupayaan dan berpengetahuan
untuk membantu perkembangan murid-murid pemulihan. Sebagai contoh, saya boleh
berbincang dengan pihak sekolah agar merancang satu lawatan dengan membawa ibu
bapa dan guru ke Unit Pendidikan Pesakit Hospital Tuanku Fauziah untuk mendengar
taklimat tentang cara menjaga murid-murid pemulihan dengan betul dan baik serta cara
membantu perkembangan murid-murid pemulihan juga oleh ketua unit. Maklumat dan
sokongan serta kemahiran yang disampaikan banyak berguna kepada ibu bapa dan guru
bagi memudahkan mereka membantu perkembangan murid-murid pemulihan. Selain itu,
saya juga akan mengajak pakar perubatan daripada Hospital Serdang yang selalu
memberi terapi fisio kepada pesakit mereka untuk mengadakan satu seminar yang
berkaitan dengan cara pelaksanaan terapi fisio. Melalui seminar ini, guru dan ibu bapa
boleh melengkapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan terapi
fisio bagi mereka membantu murid-murid pemulihan menangani masalah yang dialami
mereka.

Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK) dikendali oleh Bahagian Pendidikan


Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia. Pusat Perkhidmatan Pendidikan (3PK) ialah
sebuah pusat yang ditubukan untuk membantu individu dengan keperluan khas,
mendapat khidmat nasihat dan bimbingan ke arah kualiti hidup yang lebih baik.
Peranannya adalah sebagai pusat penyebaran maklumat pendidikan khas dan
khidmat kepakaran, pusat bimbingan dan kaunseling serta sebagai pusat perantaraan
bagi individu berkeperluan khas dengan agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan.
Walaupun pusat ini lebih fokus kepada pendidikan khas tetapi pakar daripada pusat
tersebut boleh diundang untuk pergi ke sekolah untuk memberi taklimat kepada guru
dan ibu bapa tentang terapi yang digunakan oleh mereka pada murid pendidikan
khas tetapii terapi ini juga sesuai bagi murid pemulihan. Misalnya,perkhidmatan
Terapi Pertuturan Bahasa akan diberitahu oleh pakar tersbut Terapi ini dapat
membantu murid pemulihan mengenal pasti, menilai, membuat diagnostik dan
melakukan rehabilitasi dalam masalah bahasa, pertuturan dan komunikasi. Tambahan
pula, mereka juga terlibat dalam penilaian dan pengendalian masalah suara serta
masalah menelan. Terapi cara kerja juga diperkenalkan pakar tersebut dalam
taklimat. Terapi ini memang dapat memastikan tahap perkembangan murid
pemulihan dari aspek perkembangan motor kasar, motor halus, kognitif dan tingkah
laku berkembang dengan seimbang dan baik. Oleh itu, pakar daripada pusat ini
memang dapat berkongsi banyak ilmu tentang terapi pertuturan bahasa dan terapi
cara kerja. Walapun terapi ini dikhaskan untuk murid pendidikan khas tetapii terapi
ini memang amat sesuai untuk murid pemulihan juga.

Akhir sekali, saya juga mengajak ahli terapi untuk menghadiri ke sekolah untuk
memberi ceramah, bengkel dan seminar untuk memberi pengetahuan terapi kepada
para guru dan ibu bapa. Ahli terapi mempunyai kemahiran yang tinggi dan hebat
dalam cara pelaksanaan terapi tertentu seperti dalam muzik, seni, main, fisio, cara
kerja dan lain-lain. Oleh itu, pengalaman dan pengetahuan mereka amat mustahak
bagi guru dan ibu bapa untuk memudahkan mereka membantu perkembangan murid-
murid pemulihan. Misalnya, semasa sesi ceramah, saya juga akan membuka ruang
sesi soal jawab kepada para ibu bapa dan guru. Mereka boleh bertanya kepada ahli
terapi tentang kaedah dan cara untuk membantu murid-murid berkembang secara
seimbang. Sesi soal jawab ini memang bermanfaat kepada para guru dan ibu bapa.
Secara kesimpulannya, ahli terapi dapat membantu ibu bapa dan guru dalam
perkembangan murid-murid pemulihan.
TUGASAN 2

Anda mungkin juga menyukai