Anda di halaman 1dari 3

Nama: Ling Kuok Sieng

Tajuk: Implikasi Pendidikan Wajib di Malaysia

Menurut pengarang Norizan Abdul Muhid (2004) dalam Utusan Melayu Online,
pendidikan wajib di peringkat rendah telah dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM) dan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2003. Pendidikan wajib ini adalah
satu undang-undang di mana setiap ibu bapa warganegara Malaysia yang menetap di
Malaysia dan mempunyai anak mencapai umur enam tahun perlu mendaftarkan anaknya
di sekolah rendah. Tempoh pendidikan wajib adalah selama enam tahun, iaitu tempoh
pendidikan rendah. Menurut sumber itu lagi, peraturan pendidikan wajib diperkenalkan
demi kepentingan semua kanak-kanak mendapatkan pendidikan wajib di sekolah rendah
sekurang-kurangnya selama enam tahun. Pendidikan wajib ini mendatangkan pelbagai
implikasi terhadap negara kita.

Pendidikan wajib dilaksanakan dapat meningkatkan kadar celik huruf yang tinggi
dalam kalangan masyarakat. Menurut Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom (2012) dalam laman
sesawang Kreativiti, Inovasi Dalam Pendidikan, pendidikan amat penting kepada
seseorang dalam menjalani kehidupan yang kian moden pada hari ini. Melalui pendidikan,
pelbagai kemahiran khususnya kemahiran membaca dan menulis dapat dikembangkan
dengan baik. Setelah seseorang individu telah menguasai kemahiran ini, sebarang
maklumat atau segala ilmu pengetahuan akan dapat diperoleh dan difahami dengan
mudah dan tidak perlu bergantung kepada orang lain setiap kali.

Pendidikan wajib dilaksanakan juga dapat melahirkan modal insan yang seimbang
dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial menurut Noriati, Boon P. Y., Sharifah
Fakhriah, dan Zuraidah (2010) dalam buku Guru dan Cabaran Semasa, Kanak-kanak
yang diberikan pendidikan sejak dari kecil akan didedahkan pelbagai jenis ilmu
pengetahuan dalam pelbagai bidang di sekolah. Sebagai contohnya, kanak-kanak di
sekolah dapat mempelajari ilmu dalam bidang bahasa, bidang sains, bidang muzik,
bidang seni, bidang sukan yang memberi peluang kepada kanak-kanak menjadi insan
yang berilmu pengetahuan seterusnya menjadi tenaga kerja dalam membangunkan
negara Malaysia.

Selain itu, pendidikan wajib yang dilaksanakan juga akan dapat mengurangkan
gejala sosial dalam kalangan murid-murid. Menurut Maszuria, Salina, Marina, dan Hjh
Rosnah. (2015) dalam buku Guru dan Cabaran Semasa, pendidikan berperanan dalam
mencorakkan perkembangan dan pembentukan watak seseorang bagi melahirkan
individu yang berilmu pengetahuan dan berkelakuan baik. Murid-murid mempelajari ilmu
pengetahuan dan nilai murni baru dalam setiap aktiviti yang dilakukan di sekolah tanpa
mengira agama, bangsa dan latar belakang. Mereka dapat mempelajari pelbagai ilmu
contohnya cara menghormati, bekerjasama, menunjukkan keprihatinan dan sebagainya
melalui standard kandungan pendidikan yang dibentuk oleh KPM dan diajar oleh guru
yang terlatih melalui proses komunikasi setiap hari. Hal ini dapat membentuk murid-murid
yang mempunyai kecemerlangan dari segi pengetahuan, kemahiran, nilai-nilai yang
progresif, bakat dan secara langsung dapat mengurangkan murid terpengaruh dalam
budaya gejala sosial.

Sebagai kesimpulannya, pendidikan wajib yang dilaksanakan mempunyai


implikasi yang baik terhadap negara kita iaitu dapat meningkatkan kadar celik huruf yang
tinggi dalam kalangan masyarakat sekali gus dapat melupuskan atau menghilangkan
kadar buta huruf masyarakat. Pada era globalisasi hari ini, seseorang individu tidak akan
mendapat tempat sekiranya mereka tidak mengetahui membaca dan menulis menurut
Hashim Yaacob & Abdul Jalil Othman (2007) dalam artikel Dunia Pendidikan dalam Era
Globalisasi: Peranan dan Cabaran, Masalah Pendidikan. Oleh itu, seseorang perlu
menguasai kemahiran membaca dan menulis melalui pendidikan yang seterusnya
meningkatkan kadar celik huruf dalam kalangan masyarakat. Kadar celik huruf yang tinggi
dalam kalangan masyarakat juga melambangkan tahap kebijaksanaan sesebuah negara.
Bukan itu sahaja, pendidikan wajib dapat melahirkan modal insan yang berilmu
pengetahuan. Dengan wujudnya rakyat yang berilmu, maka kehidupan rakyat akan
menjadi lebih baik. Hal ini kerana mereka yang berpendidikan akan mendapat pekerjaan
yang baik dengan gaji yang lumayan. Dengan pendapatan yang lumayan, maka rakyat
dapat membeli keperluan asas yang lebih baik dan kehidupan mereka akan lebih bahagia.
Rakyat yang berilmu pengetahuan juga dapat menjadi pemangkin ke arah pembangunan
negara. Seterusnya, pendidikan wajib yang dilaksanakan juga akan dapat mengurangkan
gejala sosial dalam kalangan murid-murid. Hal ini dikatakan sedemikian kerana murid
yang berpendidikan merupakan murid yang celik akal dan rasional, mereka akan
membuat sesuatu yang berfaedah daripada melakukan perkara yang tidak rasional
seperti melakukan jenayah. Oleh itu, memang tidak dapat dinafikan, pendidikan wajib
diberi kepada kanak-kanak kerana ia amat penting untuk mereka membina keselesaan
hidup yang lebih sempurna.
Rujukan
Hashim Yaacob & Abdul Jalil Othman. (2007). Dunia Pendidikan dalam Era Globalisasi:
Peranan dan Cabaran, Masalah Pendidikan, jld 30(1), Kuala Lumpur: Fakulti
Pendidikan Universiti Malaya.

Maszuria, Salina, Marina, dan Hjh Rosnah. (2015). Guru dan Cabaran Semasa. Kuala
Lumpur: Pelangi Professional Publishing Sdn. Bhd.

Noriati, Boon P. Y., Sharifah Fakhriah, dan Zuraidah. (2010). Guru dan Cabaran Semasa.
Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Norizan Abdul Muhid. (2004). Pendidikan Wajib. Dicapai daripada


http://ww1.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20040519/pe_02/Pendidikan Wajib
pada 8 Julai 2017.

Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom. (2012). Kreativiti, Inovasi Dalam Pendidikan. Dicapai
daripadahttp://www.20120522Kreativiti-inovasi-dalam-pendidikan pada 9 Julai
2017.

Anda mungkin juga menyukai