Anda di halaman 1dari 5

1.

0 Pengenalan

Konsep sekolah cemerlang yang diperkenalkan dalam sistem pendidikan adalah


bermatlamat untuk membawa sistem pendidikan yang berkesan. Sekolah cemerlang boleh
dikatakan sekolah yang mempunyai pengaruh yang positif terhadap mempertingkatkan
pencapaian akademik pelajar. Kecemerlangan akademik ini diukur melalui peperiksaan awam
khasnya Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan pencapaian melebihi purata
pencapaian negara selama tiga tahun berturut-turut dalam penguasaan kemahiran asas
dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Pemimpin
sekolah iaitu guru besar adalah orang yang penting yang memimpin dan mengurus sekolah
bagi mencapai matlamat sekolah (Hussein Mahmood, 2008). Konsep kepimpinan merupakan
proses memberikan jalan dan mempengaruhi ahli-ahli organisasi dengan memberi keyakinan
bahawa mereka mampu menunjukkan daya usaha dan kecintaan terhadap tugasan sebagai
sebahagian daripada ibadat untuk memenuhi matlamat organisasi (Ulin Tabor, 1998). Maka,
bolehlah disimpulkan bahawa kepemimpinan yang cemerlang secara langsung dapat
melahirkan sekolah cemerlang melalui penglibatan aktif pemimpin dalam program dan aktiviti
kurikulum dan pengajaran yang diadakan di sekolah.

2.0 Kepentingan kepimpinan guru besar dalam meningkatkan kecemerlangan sekolah

Kepimpinan adalah sangat penting kepada pemimpin semasa proses pengurusan dan
pentadbiran sebuah organisasi sekolah khususnya semasa perancangan, pengelolaan,
pengarahan dan pengawalan (Hussein Mahmood, 1993). Ia juga merupakan proses
mempengaruhi pihak kedua untuk melakukan sesuatu yang dikehendaki. Keberhasilan
sekolah untuk mencapai tujuannya ditentukan oleh kehandalan kepemimpinan sekolah dalam
mengelola sekolahnya. Peranan kepimpinan dalam suatu organisasi sangat berpengaruh
untuk mewujudkan sasaran yang telah ditetapkan. Peranan sebagai pemimpin menguji
kemampuan guru besar dalam membimbing warga sekolah bagi meningkatkan kualiti
pengajaran dan pembelajaran dalam situasi sekolah yang pelbagai.

2.1 Guru besar dapat merancang objektif organisasi sekolah

Dengan adanya pemimpin di sekolah, beliau dapat menetapkan arah dan hala tuju
yang betul kepada organisasinya (Haji Mohd Nor, 2004). Oleh itu, pemimpin dapat mengenal
pasti status terkini organisasinya dengan mengkaji, meneroka dan memahami persekitaran.
Dalam membentuk visi, misi dan objektif organisasinya pemimpin juga dapat meramal situasi
yang akan datang. Hal ini adalah supaya dapat menentukan tindakan dan keperluan sumber
sebelum menilai perancangan yang di buat. Kegagalan menitikberatkan aspek ini akan
menyebabkan organisasi tidak dapat beroperasi dengan jayanya. Beliau juga akan
merancang dan menentukan aliran tindakan bagaimana hendak mencapai matlamat dalam
meningkatkan prestasi kurikulum dengan mengenalpasti isu, analisis masalah, membuat
perancangan strategik dan melaksanakan rancangan tindakan (Ulin Tabor, 1998). Contohnya,
guru besar akan memastikan Guru Penolong Kanan, Pembantu Guru Besar dan Pengerusi
Panitia berfungsi sepenuhnya serta faham tugas dan peranan masing-masing. Dengan
mempunyai perancangan organisasi yang jelas maka pemimpin dapat membentuk sekolah
cemerlang kerana proses akademik akan berjalan dengan lancar.

2.2 Guru besar dapat memimpin dan memotivasi warga sekolah

Guru besar harus memimpin dan memotivasi guru dan pelajar setiap kali bagi
mewujudkan sekolah yang cemerlang. Pemimpin yang berwibawa bertanggungjawab
menjelaskan piawaian prestasi yang ditentukan supaya dapat difahami oleh pengikutnya. Hal
ini adalah untuk mempamerkan komitmen yang tinggi dan dapat mewujudkan hubungan baik
dua hala. Kaedah melakukan motivasi terhadap orang-orang bawahan seperti guru dan
pelajar kearah pencapaian matlamat bersama adalah pengukur utama bagi menentukan
kejayaan seorang pemimpin (Azizi Yahaya, 2010). Oleh itu, guru besar bertanggungjawab
mendorong individu-individu yang dipimpinnya melalui ganjaran dan suasana kerja yang baik.
Hal ini adalah untuk memastikan perkhidmatan yang berterusan supaya mereka berjaya
melakukan apa yang mereka lakukan pada tahap cemerlang. Sesungguhnya motivasi,
potensi untuk berkembang dan kemampuan untuk menerima tanggungjawab adalah ciri-ciri
yang sememangnya wujud dalam diri manusia. Guru besar harus memimpin ke arah hala tuju
sasaran dengan menentukan kos, jangka waktu, arahan-arahan, panduan, dorongan dan
ransangan serta memberi bimbingan, latihan, teguran dan tunjuk ajar untuk mencapai
kejayaan (Haji Mohd Nor, 2004). Guru besar juga dapat mengembangkan potensi guru
dengan membuat penyeliaan dan pencerapan dalam mata pelajaran, menggalakkan
penggunaan komputer dan alat bantu mengajar dalam pengajaran dan pembelajaran serta
memberi bimbingan dan ganjaran kepada pelajar dan guru. Contohnya, guru besar boleh
memastikan guru-guru beliau mengajar mengikut cara pengajaran abad ke-21. Dengan ini,
pemimpin tersebut dapat meningkatkan pencapaian pelajar dalam akademik dan berjaya
mewujudkan sekolah cemerlang

2.3 Guru besar akan memastikan semua aktiviti berjalan dengan sempurna

Pemimpin bertanggungjawab memastikan semua aktiviti berjalan lancar seperti yang


dirancangkan supaya setiap unit dalam organisasinya menunjukkan prestasi yang cemerlang
selaras dengan matlamat yang telah ditetapkan (Munirah Mustaffa, 2010). Guru besar akan
mengawal tugas dalam menentukan apa yang dirancang seperti membuat penyeliaan,
pemerhatian, penilaian prestasi, laporan kemajuan, membetulkan kesalahan dan membuat
penilaian peringkat-peringkat pelaksanaan perancangan. Beliau juga akan mengawal selia
melalui pemantauan bilik darjah, pemeriksaan buku latihan pelajar serta perjumpaan dengan
ibu bapa pelajar. Seterusnya, pemimpin akan mengambil tindakan susulan ke atas
peningkatan atau pemulihan ke atas program berdasarkan analisis dan mengurus penilaian
secara terancang dengan program yang strategik. Contohnya, jika sesuatu sekolah terdapat
pelajar Tahun 6 yang lemah dalam subjek tertentu maka guru besar harus mengadakan
program-program pemulihan supaya prestasi pelajar tersebut meningkat. Maka, sekolah
tersebut boleh menjadi sekolah berkesan kerana prestasi pelajar yang semakin meningkat.

3.0 Bagaimana guru besar dapat merealisasikan usaha mlahirkan sekolah yang
cemerlang

Kecemerlangan atau kejayaan sesebuah sekolah dipengaruhi dan disebabkan oleh


kepimpinan guru besar yang berkesan (Ahmad Riduan Ismail, 2013). Ini bermakna, guru
besarlah yang mendorong sesebuah sekolah itu maju ke hadapan untuk mencapai
kecemerlangan dalam akademik dan kegiatan ko-kurikulum. Kegagalan guru besar untuk
berbuat demikian maka sesebuah sekolah mundur ke belakang sebagai sekolah yang tidak
berkesan. Guru besar harus membantu ke arah kecemerlangan organisasi yang dipimpinnya
seterusnya mencapai matlamat sebenar iaitu menjadikan sekolah berkesan hasil daripada
kejayaannya memimpin sesebuah organisasi. Oleh itu, guru besar haruslah melaksanakan
strategi-strategi berikut untuk merealisasikan usahanya dalam menghasilkan sebuah sekolah
yang cemerlang.

3.1 Guru besar harus mewujudkan tekanan akademik

Sebagai langkah pertama, guru besar boleh mempengaruhi tingkah laku pelajar dan
pencapaian akademik mereka dengan mewujudkan tekanan akademik melalui dasar sekolah
dan amalan dalam kelas seperti yang dinyatakan dalam Teori Tekanan Akademik Murphy
1984. Guru besar hendaklah mengarahkan tanggungjawab guru terhadap pelajar melalui
pembinaan dan pelaksanaan dasar sekolah yang meletakkan jangkaan yang tinggi dalam
kecemerlangan akademik pelajar. Dasar yang memberikan kesan terhadap pembelajaran
pelajar adalah berkaitan dengan fungsi sekolah, struktur, tujuan dan matlamat sekolah,
kumpulan pelajar mengikut kebolehan, mewujudkan persekitaran yang kuat dan kondusif
untuk proses pengajaran dan pembelajaran dan sebagainya.

Dasar yang berkaitan dengan bilik darjah adalah seperti pemulihan, kemajuan pelajar,
pengesanan kemajuan pelajar, buku laporan, sistem gred dan lain-lain. Pelaksanaan dasar
ini memberikan kesan dalam amalan di dalam kelas. Apabila guru besar melaksanakan dasar-
dasar tersebut, guru dapat mewujudkan tekanan akademik di kelas dengan beberapa cara.
Antaranya ialah mewujudkan suasana yang mendorong pencapaian akademik setiap pelajar,
menentukan kejayaan akademik pelajar, mengurus kelas secara teratur dan berkesan dan
melaksanakan amalan pengajaran yang dapat memajukan kejayaan pelajar.

Kedua-dua pelaksanaan dasar sekolah dan amalan dalam kelas ini akan mewujudkan
tekanan akademik dalam kalangan guru dan pelajar. Perkara ini akan membentuk norma,
sikap guru dan pelajar yang mempunyai konsep kendiri bahawa setiap pelajar boleh berjaya
dalam akademik dan mempunyai daya kecekapan untuk melakukannya. Oleh itu, prestasi
mereka juga dapat ditingkatkan maka sekolah berkesan mampu diwujudkan.

3.2 Guru besar harus mewujudkan hubungan baik dalam kalangan warga sekolah

Guru besar boleh memajukan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas melalui
hubungan birokratik dan hubungan budaya seperti yang dinyatakan dalam Teori Hubungan
Firestone & Wilson. Hubungan birokratik ialah hubungan rasmi yang meliputi peranan,
peraturan, prosedur, penyeliaan dan penilaian, rancangan, jadual dan kuasa yang
menggerakkan perjalanan sekolah (Munirah Mustaffa, 2010). Hubungan ini digunakan untuk
menyelaras semua aktiviti di sekolah. Dalam hubungan ini, empat aspek mempengaruhi
pengajaran dan pembelajaran iaitu jadual rancangan pelaksanaan (setahun, seminggu dan
sehari), pengagihan pelajar (bilangan dan kebolehan pelajar kepada seseorang guru),
belanjawan (agihan kewangan untuk memajukan aktiviti P&P) dan kurikulum atau rancangan
pengajaran (Hussein Mahmood, 2008).

Hubungan budaya pula adalah tumpuan guru besar terhadap perkembangan


pemikiran dan kesedaran guru. Guru besar harus mempengaruhi dua aspek pemikiran guru
iaitu peranan setiap individu guru dalam pengajaran dan bagaimana hendak mencapai
matlamat pengajaran yang ditetapkan. Kedua ialah komitmen guru terhadap tugas dan
tanggungjawabnya di sekolah. Hal ini merujuk kepada kesanggupan guru bekerja keras di
sekolah, kerja lebih masa, sayang akan sekolah, mengutamakan pelajar dan tanggungjawab
daripada hal peribadi dan lain-lain. Budaya ini dapat diterjemahkan melalui simbol sekolah,
hari penghargaan kepada guru dan pelajar, lagu sekolah, aktiviti tertentu, cerita sebenar
tentang pencapaian sekolah dan sebagainya.

Jika kedua-dua hubungan ini dapat diimplimentasikan oleh guru besar, tingkah laku
guru yang menghala ke arah keberkesanan pengajaran dapat dibentuk. Perubahan tingkah
laku guru ini akan membentuk perubahan tingkah laku pelajar yang mengutamakan
kecemerlangan pembelajaran. Hasilnya, matlamat pengajaran sekolah yang dibina akan
tercapai dan sekolah yang cemerlang mampu dilahirkan.
3.3 Guru besar harus melaksanakan tindakan proaktif terhadap pelajar Tahun 6

Guru besar harus melaksanakan tindakan proaktif dan progresif terhadap pelajar
Tahun 6 yang bakal menduduki UPSR. Guru besar harus merancang pelbagai program
kepada pelajar-pelajar yang menjadi harapan sekolah iaitu pelajar cemerlang mahupun
pelajar yang kurang arif. Bagi pelajar-pelajar yang cemerlang, guru besar boleh menyediakan
kelas khas kepada mereka. Kelas khas ini haruslah dilengkapi dengan alat teknologi
maklumat dan komunikasi (TMK) yang canggih supaya mereka dapat melayari internet dan
mencari sumber ilmu dengan lebih cepat (Ahmad Riduan Ismail, 2013). Guru besar juga harus
menyediakan kelas intensif kepada pelajar cemerlang supaya mereka dapat meningkatkan
kefahaman dalam sesuatu subjek. Bagi pelajar yang kurang arif pula, guru besar harus
merancang program pemulihan kepada mereka supaya mereka tidak memperolehi keputusan
gagal dalam UPSR. Perkara ini boleh menjejaskan status sekolah berkesan jika guru besar
gagal berbuat demikian. Selain daripada usaha tersebut, guru besar juga boleh melaksanakan
bengkel UPSR kepada semua pelajar. Melalui bengkel tersebut, pelajar didedahkan dengan
teknik menjawab soalan-soalan UPSR. Dengan ini, prestasi mereka dalam peperiksaan
UPSR akan mencapai tahap yang cemerlang dan ini akan menuju kearah sekolah berkesan.

4.0 Kesimpulan

Guru besar yang berkesan sentiasa berusaha untuk melengkapkan dirinya dengan
pelbagai ilmu kepimpinan kerana sekolah sebagai suatu sistem sosial terbuka terdedah
kepada pelbagai pengaruh. Kepimpinan cemerlang akan memastikan sekolah mencapai
matlamatnya. Kesannya, pelbagai perubahan positif dan menggalakkan akan berlaku di
sekolah. Guru besar sewajarnya mengamalkan tahap kepimpinan sehingga berjaya
menjadikan sekolahnya sebagai sekolah cemerlang. Hal ini penting kerana era globalisasi ini
semakin mencabar. Negara Malaysia memerlukan generasi yang bijak, cemerlang dan serba
boleh untuk memastikan negara tidak ketinggalan dalam arus pemodenan dan teknologi
canggih ini. Dan semuanya itu bertitik tolak daripada ketekalan usaha guru besar dalam
memimpin pengajaran guru dan pelajar di sekolahnya supaya dapat mewujudkan sekolah
cemerlang.

Anda mungkin juga menyukai