Anda di halaman 1dari 13

BAB 2

PENGURUSAN SUMBER MANUSIA STRATEGIK

OBJEKTIF BAB

Selepas mengikuti bab ini, anda seharusnya dapat:


1. Membezakan konsep-konsep pengurusan sumber manusia,
pengurusan strategik dan pengurusan sumber manusia strategik.
2. Menerangkan tentang proses pengurusan strategik.
3. Menghuraikan perkaitan di antara pengurusan strategik dengan
pengurusan sumber manusia strategik.
4. Membincangkan tentang peranan-peranan sumber manusia di
dalam pengurusan sumber manusia strategik.
5. Mengenal pasti kecekapan-kecekapan yang diperlukan di dalam
pengurusan sumber manusia strategik.

2.1 PENGENALAN

Seperti yang telah kita pelajari, salah satu peranan pengurusan sumber
manusia adalah untuk memastikan organisasi mempunyai sumber
manusia yang cukup bilangannya, cekap dan berkeupayaan membantu
organisasi mencapai matlamat-matlamatnya. Kita juga telah
membincangkan tentang kepentingan-kepentingan dan proses
pengurusan sumber manusia di dalam bab yang lepas.

Di dalam pelajaran ini pula, kita akan membincangkan bagaimanakah


pengurusan sumber manusia yang berkesan dapat membantu organisasi
untuk mencapai matlamat-matlamat strategik serta meningkatkan
kelebihan daya saingnya. Seterusnya, kita juga akan cuba untuk mengenal
pasti kecekapan-kecekapan yang diperlukan oleh sumber manusia bagi
melaksanakan peranan-peranan strategik yang telah ditugaskan di dalam
sesebuah organisasi untuk membantu merealisasikan matlamat-
matlamatnya.

2.2 PENGURUSAN SUMBER MANUSIA DAN PROSES


PENGURUSAN STRATEGIK

Sebelum kita mulakan perbincangan, saya rasa lebih baik kita cuba
memahami konsep pengurusan sumber manusia strategik ini terlebih

27
dahulu. Jika di dalam pelajaran yang lepas kita telah pun membincangkan
tentang konsep dan proses pengurusan sumber manusia, di dalam
pelajaran ini pula kita akan cuba mengaitkan konsep tersebut dengan
pengurusan strategik sesebuah organisasi. Penekanan dan tumpuan yang
diberikan terhadap kepentingan pengurusan sumber manusia inilah yang
akan membawa kita kepada pengurusan sumber manusia strategik.

Seperti yang telah kita pelajari dalam Bab 1, pengurusan sumber manusia
bolehlah dirujuk sebagai polisi-polisi dan sistem-sistem yang diamalkan
bagi memastikan penggunaan sumber manusia yang cekap dan berkesan
untuk mencapai matlamat-matlamat organisasi. Ia melibatkan pelbagai
aktiviti penstafan seperti perancangan, perekrutan, pemilihan,
pengambilan dan pembangunan sumber manusia untuk memastikan
organisasi mempunyai tenaga kerja yang layak dan sesuai untuk
menjalankan pelbagai tugas dan kerja yang diperlukan. Kita akan
mempelajari dengan lebih lanjut lagi tentang setiap aktiviti pengurusan
sumber manusia di dalam pelajaran-pelajaran yang seterusnya.

Cuba anda bayangkan sebuah organisasi yang tidak


mempunyai pekerja. Apa yang akan terjadi kepada
organisasi tersebut? Apa pula yang akan terjadi jika
organisasi mempunyai pekerja yang tidak mencukupi
atau yang tidak berkelayakan?

Seperti yang telah kita bincangkan di dalam pelajaran yang lepas, sumber
manusia memainkan peranan yang sangat penting dalam pengurusan dan
pengendalian sesebuah organisasi. Tanpa tenaga kerja yang mencukupi,
organisasi tidak akan dapat berfungsi dengan sempurna. Sungguhpun
begitu, kita perlulah ingat bahawa mempunyai tenaga kerja sahaja belum
cukup untuk mencapai matlamat organisasi. Tenaga kerja yang ada di
dalam organisasi tersebut perlulah mempunyai jenis serta tahap
pengetahuan, kemahiran dan keupayaan yang tertentu bagi memastikan
mereka dapat menjalankan tugas dan kerja yang diberikan dengan cekap
dan berkesan.

Baiklah, setakat ini saya rasa kita telah pun memahami konsep
pengurusan sumber manusia. Jadi, apa pula yang dimaksudkan dengan
pengurusan sumber manusia strategik? Sebelum kita terus kepada konsep
tersebut, eloklah kita bincangkan dahulu konsep pengurusan strategik.
Secara ringkasnya, ia bolehlah dilihat sebagai satu usaha organisasi yang
terancang yang melibatkan penggunaan dan pembahagian sumber-
sumber, termasuklah sumber manusia untuk merealisasikan matlamat-
matlamatnya. Pengurusan strategik ialah satu proses yang memerlukan
organisasi mempelbagaikan langkah-langkah perancangan, penyusunan,

28
kepimpinan dan pengawalan yang boleh diambil bagi menghadapi
pelbagai cabaran dan perubahan dalam pasaran. Antara langkah-langkah
penting di dalam proses pengurusan strategik ialah

(i) Mengenal pasti dan membangunkan misi, matlamat-


matlamat dan strategi-strategi organisasi;
(ii) Menganalisis persekitaran pasaran dan persaingan yang
ada;
(iii) Menilai peluang-peluang dan ancaman-ancaman yang
wujud dalam pasaran;
(iv) Menentukan keperluan sumber-sumber organisasi;
(v) Mengkaji kelemahan dan kekuatan organisasi dalam
pasaran;
(vi) Membentuk strategi-strategi yang boleh dilaksanakan;
(vii) Melaksanakan strategi-strategi yang telah disusun
termasuk aktiviti-aktiviti yang melibatkan penggunaan
dan pembahagian sumber-sumber organisasi dengan
cekap dan berkesan agar dapat membantu menjadikan
sesebuah organisasi lebih berdaya saing; dan
(viii) Menilai hasil yang diperolehi untuk menentukan
keberkesanan pengurusan dalam mencapai matlamat-
matlamat strategik organisasi.

Kita sering memperkatakan tentang konsep daya saing dalam


perbincangan di atas. Tahukah anda apa yang dimaksudkan dengan daya
saing? Ya, kita bolehlah melihat daya saing sebagai kemampuan atau
keupayaan sesebuah organisasi untuk merangka dan menyusun strategi-
strategi yang kukuh yang dapat memberikan pulangan yang paling
maksimum kepada organisasi tersebut. Menurut Dessler (2000), daya
saing melibatkan sebarang faktor yang dapat membezakan barangan atau
perkhidmatan yang ditawarkan oleh sesebuah organisasi daripada
barangan atau perkhidmatan pesaing-pesaingnya. Dessler seterusnya
memberikan tiga cara untuk sesebuah organisasi meningkatkan daya
saingnya, iaitu sama ada melalui strategi kepimpinan kos, strategi
pembezaan ataupun strategi fokus.

Strategi kepimpinan kos merujuk kepada strategi yang diikuti oleh


sesebuah organisasi yang mahu menjadi pemimpin dalam industrinya
dengan menghasilkan barangan atau perkhidmatan yang bermutu pada
kos yang paling rendah berbanding dengan pesaing-pesaingnya dalam
industri yang sama. Strategi pembezaan pula merujuk kepada strategi-
strategi yang dilaksanakan oleh organisasi untuk menghasilkan atau
menawarkan barangan atau perkhidmatan yang unik dan berlainan dari
organisasi lain berdasarkan kehendak-kehendak pelanggannya, manakala

29
strategi fokus pula ialah strategi yang digunakan oleh organisasi yang
ingin meningkatkan kelebihan daya saingnya, sama ada dalam aspek kos
atau pembezaan, dalam industri yang disertainya.

SOALAN DALAM TEKS 2.1

1. Terangkan maksud pengurusan strategik mengikut


pemahaman anda.
2. Nyatakan tiga cara yang boleh digunakan oleh
organisasi untuk meningkatkan daya saingnya.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

2.3 DEFINISI PENGURUSAN SUMBER MANUSIA


STRATEGIK

Sekarang mari kita lihat apakah yang dimaksudkan dengan pengurusan


sumber manusia strategik. Menurut Dessler (2000), pengurusan sumber
manusia strategik ialah satu perkaitan antara pengurusan sumber manusia
dengan pengurusan strategik organisasi. Perkaitan ini perlu diwujudkan
untuk meningkatkan prestasi dan kelebihan daya saing organisasi
tersebut. Ini adalah kerana setiap organisasi yang ingin meningkatkan
kelebihan daya saingnya perlu meningkatkan keupayaan pekerja-
pekerjanya setiap masa secara berterusan. Langkah ini perlu kerana kualiti
pekerja-pekerjalah yang akan menentukan kualiti hasil kerja mereka.

Noe et al. (1997) pula melihat pengurusan sumber manusia strategik


sebagai satu usaha organisasi yang terancang dalam pembahagian dan
penggunaan sumber manusia untuk mencapai matlamat-matlamat
strategiknya. Dalam pengurusan sumber manusia strategik, para pekerja
dilihat dan dianggap sebagai satu sumber organisasi yang strategik kerana
mereka merupakan tenaga penggerak bagi memastikan keberkesanan
pengurusan dan pelaksanaan strategi-strategi serta membantu mencapai
matlamat-matlamat strategik dan meningkatkan daya saing organisasi.

Mathis dan Jackson (2000) menjelaskan bahawa pengurusan sumber


manusia yang cekap dan berkesan akan dapat membantu organisasi
mencapai matlamat-matlamatnya. Contohnya, aktiviti-aktiviti seperti
perekrutan, pemilihan dan latihan akan dapat memastikan organisasi
mempunyai tenaga kerja yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan

30
keupayaan yang diperlukan untuk menjalankan pelbagai tugas dengan
berkesan. Sistem ganjaran yang ditawarkan akan dapat menggalakkan
gelagat-gelagat kerja yang diingini di kalangan pekerja-pekerja untuk
menyokong perancangan strategik organisasi dan seterusnya memastikan
matlamat-matlamat strategik organisasi tercapai.

Organisasi hari ini semakin menyedari dan menerima hakikat bahawa


sumber manusia ialah sumber yang kritikal serta perlu diberi perhatian
yang serius dan teliti semasa membuat keputusan-keputusan strategik
tentang perniagaan. Oleh itu, pihak pengurusan perlulah menerapkan
budaya organisasi dan mengamalkan sistem-sistem pengurusan sumber
manusia yang dapat disesuaikan serta sejajar dengan matlamat-matlamat
strategik organisasi tersebut.

Secara amnya pengurusan sumber manusia strategik melibatkan langkah-


langkah bagi memastikan strategi-strategi organisasi dilaksanakan dengan
cekap dan berkesan. Setiap orang di dalam organisasi perlulah
memainkan peranan masing-masing untuk menjayakan perancangan
strategik organisasi. Di sini kita dapat lihat bagaimana pengurusan
sumber manusia strategik menghubung dan menyatukan pelbagai
peringkat di dalam organisasi dengan tujuan untuk mencapai matlamat-
matlamat organisasi melalui penggunaan sumber manusianya yang
optimum.

SOALAN DALAM TEKS 2.2

1. Terangkan maksud pengurusan sumber manusia


strategik mengikut pemahaman anda.

2. Mengapakah sumber manusia dianggap sebagai


sumber yang kritikal dalam pengurusan sumber
manusia strategik?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

2.4 PERHUBUNGAN ANTARA PENGURUSAN STRATEGIK


DAN PENGURUSAN SUMBER MANUSIA STRATEGIK

Kita telah pun membincangkan konsep-konsep pengurusan sumber


manusia, pengurusan strategik dan pengurusan sumber manusia strategik.
31
Dapatkah anda lihat perkaitan antara konsep-konsep ini? Sekarang mari
kita teruskan perbincangan untuk melihat dengan lebih jelas lagi
perhubungan konsep-konsep tersebut.

Bagi memudahkan pemahaman kita, hubung kait di antara pengurusan


sumber manusia, pengurusan strategik dan pengurusan sumber manusia
strategik bolehlah dilihat dengan lebih jelas di dalam Rajah 2.1. Daripada
rajah tersebut, kita dapat melihat beberapa fasa atau peringkat yang
wujud di dalam perhubungan ini. Fasa pertama ialah fasa
membangunkan strategi yang secara ringkasnya melibatkan proses
pengurusan strategik. Fasa kedua pula melibatkan pelaksanaan strategi-
strategi organisasi yang telah dibentuk. Sekarang mari kita bincangkan
tentang rajah tersebut dengan lebih lanjut.

Fasa pertama melibatkan langkah-langkah untuk membangunkan


strategi-strategi organisasi iaitu proses pengurusan strategik yang bermula
dengan penentuan visi, misi dan matlamat-matlamat organisasi. Proses
pengurusan strategik ini seterusnya melibatkan analisis yang perlu dibuat
untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan organisasi serta peluang
dan ancaman yang wujud untuk merangka dan membangunkan pelbagai
langkah serta alternatif yang strategik bagi mencapai matlamat-matlamat
tersebut. Proses ini akan mempengaruhi setiap aspek perniagaan serta
aktiviti-aktiviti kerja yang perlu dijalankan termasuklah aspek pengurusan
sumber manusia.

Dalam fasa kedua pula kita dapat melihat pelaksanaan salah satu strategi
yang telah dibangunkan yang melibatkan pengurusan sumber manusia di
dalam organisasi tersebut. Daripada pengurusan strategik organisasi, kita
dapat mengenal pasti keperluan-keperluan sumber manusia daripada
pelbagai aspek, seperti kemahiran, gelagat, budaya, sikap dan
pengetahuan yang diperlukan untuk mejayakan strategi-strategi yang telah
disusun bagi mencapai matlamat-matlamat organisasi tersebut. Polisi dan
sistem pengurusan sumber manusia yang diamalkan di dalam organisasi
akan memastikan sumber manusia yang ada digunakan sepenuhnya serta
dibahagikan mengikut kelayakan dan keupayaan mereka yang bersesuaian
dengan pelbagai jenis tugas dan kerja yang perlu dilakukan.

Amalan-amalan pengurusan sumber manusia seperti proses latihan dan


sistem ganjaran, dan juga tahap keupayaan yang dimiliki oleh pekerja
seperti tahap pengetahuan, kemahiran dan kecekapan, dapat
mempengaruhi tingkah laku atau gelagat yang ditunjukkan oleh pekerja di
tempat kerja. Gelagat kerja yang ditunjukkan ini seperti produktiviti
kerja, kadar lantik-ganti atau kadar ketidakhadiran, akan dapat
mempengaruhi prestasi organisasi dan seterusnya menentukan
pencapaian matlamat-matlamat strategik organisasi tersebut.

32
Rajah 2.1
Hubung Kait antara Pengurusan Strategik dengan Pengurusan Sumber
Manusia Strategik

Membangunkan Strategi Melaksanakan Strategi

PENGURUSAN STRATEGIK PENGURUSAN SUMBER MANUSIA


STRATEGIK

Visi & Misi Organisasi Keperluan Sumber Manusia

Matlamat-Matlamat Pelaksanaan Strategi


Organisasi
PENGURUSAN SUMBER MANUSIA
Analisis Persekitaran Amalan/Sistem

Strategi-Strategi
Keupayaan Tingkah Laku/
Sumber Gelagat
Manusia Sumber Manusia

Penilaian Strategi Prestasi Organisasi

Sumber: Noe et al. (1997). Human resource management and competitive advantage (2nd
ed.). Chicago: Irwin.

2.5 PERANAN SUMBER MANUSIA DALAM


PENGURUSAN SUMBER MANUSIA STRATEGIK

Organisasi hari ini terpaksa menghadapi perubahan-perubahan yang


begitu pesat serta persaingan yang semakin sengit dalam usaha mereka
untuk mencapai matlamat-matlamat serta mengekalkan bahagian mereka
dalam pasaran. Perubahan-perubahan seperti kemajuan teknologi,
globalisasi, liberalisasi, pergolakan nilai mata wang, situasi politik dan
keadaan ekonomi yang tidak stabil telah memaksa dan mencabar
pengurus-pengurus untuk menyusun strategi-strategi perniagaan dan
pengurusan yang jitu dan mampan serta dapat membantu mereka
merealisasikan matlamat-matlamat strategik organisasi.

Saya rasa setakat ini anda semua sudah pun dapat melihat kepentingan
sumber manusia kepada organisasi. Kita pernah mengatakan bahawa
sumber manusia adalah seperti jentera yang diperlukan untuk
menggerakkan perjalanan sesebuah organisasi. Kita juga sering
menekankan bahawa sumber manusia ialah sumber utama yang dapat
menjadikan organisasi lebih berdaya saing. Bagi memastikan sumber
manusia dapat memainkan peranan mereka dengan cekap dan berkesan,
pihak pengurusan sesebuah organisasi perlulah berganding bahu serta
33
bekerjasama dengan pekerja-pekerja seolah-olah mereka ialah rakan
kongsi perniagaan dan bukannya sebagai kos yang cuba dikurangkan atau
dielakkan.

Pengurusan sumber manusia strategik memerlukan organisasi untuk


melihat dan menganggap para pekerja sebagai rakan kongsi perniagaan
dan bukannya kos kepada organisasi kerana ini akan mendorong para
pekerja untuk berusaha dengan lebih gigih bagi meningkatkan prestasi
organisasi. Organisasi perlu melihat para pekerjanya sebagai satu sumber
yang dapat membantu organisasi bergerak ke arah pencapaian matlamat-
matlamatnya bagi meningkatkan prestasi dan daya saingnya.

Pengurusan sumber manusia perlulah membangunkan sumber manusia


bagi meningkatkan nilainya kepada organisasi. Ini boleh dilakukan
dengan meningkatkan keupayaan dan kecekapan mereka yang berpotensi
dan cuba mengekalkan mereka dengan memberi ganjaran yang sesuai
dengan prestasi yang ditunjukkan. Melalui cara ini, para pekerja akan
berasa diri mereka telah diberikan perhatian dan penghargaan yang
sewajarnya oleh organisasi.

Dalam pengurusan sumber manusia strategik, pelbagai isu dan aspek


yang berkaitan dengan sumber manusia akan dinilai. Bagi memastikan
pihak pengurusan atasan membuat keputusan yang tepat tentang strategi-
strategi yang perlu diambil, pihak jabatan sumber manusia perlulah turut
terlibat dalam pengurusan strategik bagi menyalurkan maklumat-
maklumat yang penting tentang bekalan sumber manusia yang sedia ada
dan yang dijangka diperlukan, termasuklah aspek bilangan dan jenis
keupayaan dan kecekapan yang perlu, untuk membantu organisasi
mencapai matlamat-matlamatnya dan meningkatkan daya saingnya.
Kita boleh melihat beberapa cara untuk melibatkan jabatan sumber
manusia dalam pengurusan strategik ini. Ada pihak pengurusan atasan
yang lebih suka membangunkan perancangan strategik organisasi terlebih
dahulu. Pihak jabatan sumber manusia akan hanya diberitahu tentang
keputusan yang berkaitan dengan pengurusan sumber manusia
kemudiannya untuk membentuk sistem dan polisi sumber manusia yang
sejajar dengan perancangan strategik yang telah dibuat.
Ada juga organisasi yang meminta pandangan jabatan sumber manusia
tentang pelbagai strategi yang boleh dijalankan sebelum membuat
keputusan mereka. Langkah ini diambil bagi memastikan matlamat dan
strategi organisasi dapat disesuaikan dengan bilangan dan jenis tenaga
kerja yang ada. Selain daripada itu, ia akan memudahkan pihak
pengurusan untuk mengenal pasti sama ada tenaga kerja sedia ada
mencukupi, sama ada dari aspek bilangan atau jenis yang diperlukan, bagi
mencapai matlamat-matlamat strategik organisasi.

34
Sesetengah organisasi pula menetapkan jawatan pengurus jabatan sumber
manusia di peringkat pengurusan atasan. Ini bermaksud pengurus jabatan
sumber manusia akan turut terlibat dalam semua pembuatan keputusan
penting di dalam organisasi khususnya yang berkaitan dengan sumber
manusia semasa pengurusan strategik dibincangkan.

Kita perlu sedar bahawa pelbagai bentuk perubahan yang berlaku pada
hari ini dan juga pada masa akan datang boleh mempengaruhi pasaran
tenaga buruh dalam negara. Oleh itu, pengurusan sumber manusia
perlulah lebih peka dengan perubahan-perubahan ini dengan memantau
keadaan persekitaran seperti peluang dan ancaman yang wujud,
kekurangan bekalan tenaga kerja yang mahir, persaingan yang sengit,
sistem perundangan, dan faktor-faktor lain secara berterusan.
Pemantauan terhadap keadaan persekitaran perlu agar persediaan lebih
awal boleh dibuat untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Contohnya, kita dapat melihat aliran masa kini yang menunjukkan


peningkatan dalam penggunaan teknologi maklumat telah menyebabkan
permintaan terhadap tenaga kerja yang mahir di dalam bidang tersebut
meningkat secara mendadak. Kekurangan tenaga kerja tempatan yang
mahir di dalam bidang teknologi maklumat memaksa organisasi untuk
membangunkan strategi-strategi yang sesuai untuk menampung
keperluan tersebut, seperti membangunkan tenaga kerja sedia ada atau
merekrut dan memilih tenaga kerja yang mahir serta berpengetahuan di
dalam bidang tersebut.

Mari kita lihat satu lagi contoh tentang aktiviti penggabungan institusi-
institusi perbankan dan kewangan di negara ini. Apabila dua buah
institusi mengambil keputusan untuk bergabung, pelbagai isu tentang
sumber manusia yang boleh kita bincangkan. Pihak pengurusan perlu
menganalisis keperluan institusi berdasarkan perancangan strategik
institusi yang baru ini. Pelbagai keputusan perlu dibuat bagi memastikan
institusi yang baru ini mengguna dan membahagikan tenaga kerja yang
ada secara optimum agar matlamat-matlamatnya tercapai. Institusi
tersebut mungkin perlu mengambil beberapa langkah untuk
mengurangkan tenaga kerjanya jika didapati terdapat lebihan berbanding
dengan keperluan sumber manusia yang sedia ada.

Kita dapat melihat kepentingan jabatan sumber manusia dalam mengenal


pasti prinsip dan budaya sumber manusia yang konsisten dengan
kehendak organisasi, membangun dan melaksanakan polisi, program dan
amalan sumber manusia yang sejajar dengan budaya organisasi serta
memastikan proses sumber manusia yang selari dengan aktiviti-aktiviti
sumber manusia yang lain bagi memenuhi matlamat-matlamat strategik
dan keperluan-keperluan organisasi. Prinsip sumber manusia menjelaskan
kepentingan dan peranan sumber manusia dalam menentukan kejayaan
35
organisasi. Polisi sumber manusia pula merupakan garis panduan yang
dibuat berdasarkan keperluan-keperluan strategik tentang isu-isu yang
berkaitan dengan sumber manusia. Jadi, wajarlah jika jabatan sumber
manusia diajak berbincang dan dilibatkan dalam semua pembentukan
perancangan strategik organisasi untuk memudahkan proses pembuatan
keputusan.

SOALAN DALAM TEKS 2.3

1. Apakah peranan-peranan yang dimainkan oleh


sumber manusia di dalam pengurusan sumber
manusia strategik?
2. Kenapakah pengurusan sumber manusia perlu peka
terhadap perubahan-perubahan yang berlaku di
dalam pasaran?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

2.6 KECEKAPAN YANG DIPERLUKAN DI DALAM


PENGURUSAN SUMBER MANUSIA STRATEGIK
Organisasi melaksanakan pengurusan sumber manusia strategik dengan
tujuan untuk mengguna dan membahagikan sumber-sumbernya dengan
cekap dan berkesan agar dapat mencapai matlamat-matlamat strategik
selain meningkatkan daya saingnya. Peranan pengurusan sumber manusia
dalam pengurusan strategik ini adalah untuk memastikan sumber
manusia di dalam organisasi mencukupi dan berkelayakan agar dapat
menjalankan aktiviti-aktiviti mereka dengan baik bagi menyokong usaha-
usaha dan strategi-strategi ke arah pencapaian matlamat-matlamat
organisasi. Oleh itu, jabatan sumber manusia perlulah bersedia untuk
menyumbangkan pendapat yang berkaitan dengan isu-isu sumber
manusia dalam melaksanakan perancangan strategik.
Bagi tujuan tersebut, jabatan sumber manusia perlulah mempunyai
pelbagai pengetahuan, kemahiran dan keupayaan tentang pengurusan
strategik. Mereka yang profesional dalam pengurusan sumber manusia
perlulah faham tentang matlamat-matlamat strategik organisasi, jenis
serta tahap keupayaan dan kecekapan yang diperlukan oleh tenaga kerja
untuk mencapai matlamat-matlamat tersebut. Maklumat-maklumat
tentang sumber manusia yang ada dan yang diperlukan akan dapat
membantu organisasi membuat keputusan-keputusan yang penting
tentang strategi-strategi yang perlu diambil bagi memastikan matlamat-
matlamat strategik organisasi tercapai.
36
Pengurusan strategik melibatkan proses mengenal pasti matlamat-
matlamat organisasi dan tindakan yang perlu diambil untuk berjaya.
Strategi-strategi perniagaan yang dirancang akan mempengaruhi aktiviti-
aktiviti sumber manusia di dalam organisasi tersebut. Keupayaan dan
pengurusan sumber manusia yang bertepatan dengan matlamat-matlamat
organisasi tersebut akan dapat mempengaruhi kejayaan pelaksanaan
strategi-strategi yang telah disusun.

Kecekapan pengurus sumber manusia adalah salah satu faktor utama


yang dapat mempengaruhi pengurusan sumber manusia strategik.
Pengurus sumber manusia perlu faham tentang keperluan organisasi dan
juga pekerja secara individu agar dapat merangka aktiviti-aktiviti atau
program-program sumber manusia yang sejajar dengan matlamat-
matlamat organisasi.

Kecekapan pengurus sumber manusia adalah salah satu faktor utama


yang dapat mempengaruhi pengurusan sumber manusia strategik
(Schuler, 1992). Pengurus sumber manusia perlu faham tentang
keperluan organisasi dan juga pekerja secara individu agar dapat
merangka aktiviti-aktiviti atau program-program sumber manusia yang
dapat menghubungkannya dengan matlamat-matlamat organisasi.

SOALAN DALAM TEKS 2.4

1. Terangkan maksud pengurusan sumber manusia


strategik mengikut pemahaman anda.
2. Nyatakan tiga cara yang boleh digunakan oleh
organisasi untuk meningkatkan daya saingnya.
3. Apakah langkah-langkah yang terlibat di dalam
fasa membangunkan strategi?
4. Apa pula yang berlaku di dalam fasa pelaksanaan
strategi yang telah dibentuk?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

2.7 RUMUSAN

Kita telah pun membincangkan mengenai kepentingan sumber manusia


dalam pengurusan sumber manusia strategik dan melihat perkaitannya
dengan pengurusan strategik. Dalam perbincangan tersebut juga, kita
telah melihat pelbagai peranan yang boleh dimainkan oleh sumber

37
manusia untuk memastikan strategi-strategi yang telah terbentuk
dilaksanakan dengan berkesan bagi mencapai matlamat-matlamat
organisasi melalui amalan-amalan dan sistem-sistem pengurusan sumber
manusia yang cekap dan berkesan.

Kita juga telah menyentuh tentang kecekapan-kecekapan yang diperlukan


dalam pengurusan sumber manusia strategik iaitu pengetahuan dalam
perniagaan yang diceburi, mempunyai kemahiran dan keupayaan
menguruskan sumber manusia, menangani perubahan yang berlaku
dengan berkesan, serta bidang-bidang lain yang berkaitan.

Diharapkan perbincangan di dalam pelajaran ini telah dapat memberikan


pemahaman yang lebih jelas tentang kepentingan pengurusan sumber
manusia strategik di dalam organisasi. Saya juga berharap agar anda dapat
melihat kepentingan peranan sumber manusia dalam menjayakan
pengurusan sumber manusia strategik ini.

SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. Secara ringkas, bincangkan perkaitan antara pengurusan strategik


dengan pengurusan sumber manusia strategik.

2. Pada pemahaman anda, apakah kepentingan-kepentingan


pengurusan sumber manusia strategik kepada organisasi?

3. Terangkan maksud pengurusan strategik.

4. Nyatakan langkah-langkah yang terlibat dalam proses pengurusan


strategik.

5. Apakah yang dimaksudkan dengan kelebihan berdaya saing?

6. Jelaskan maksud pengurusan sumber manusia strategik.

7. Bagaimanakah jabatan sumber manusia dapat memastikan


sumber manusia memainkan peranan mereka dengan berkesan di
dalam proses pengurusan strategik?

8. Apakah kemahiran-kemahiran khusus yang diperlukan oleh para


profesional dalam sumber manusia untuk meningkatkan
kecekapan mereka pada masa akan datang?

38
9. Bincangkan secara ringkas perhubungan antara pengurusan
strategik dengan pengurusan sumber manusia strategik.

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

39

Anda mungkin juga menyukai