Anda di halaman 1dari 10

BAB 10

PENGARUH TAK BERPATUTAN

OBJEKTIF BAB

Setelah mempelajari bab ini, anda seharusnya boleh:


1. Menyatakan definisi pengaruh tak berpatutan.
2. Menghuraikan ciri-ciri dalam pengaruh tak berpatutan.
3. Membincangkan kesan pengaruh tak berpatutan dalam
kontrak.

10.1 PENGENALAN

Dalam Bab 9, kita telah belajar tentang konsep paksaan dalam undang-
undang kontrak. Bab 10 pula kita akan membincangkan konsep pengaruh
tak berpatutan di bawah undang-undang kontrak.

Seseorang boleh mengetepikan sesuatu transaksi dengan alasan bahawa


beliau telah melakukan urusan transaksi tersebut kerana dipengaruhi oleh
seorang yang lain. Pengaruh ini dinamakan pengaruh tak berpatutan.

Menurut Lord Lindley dalam kes Allcard lwn Skinner (1887) 36 Ch D 145,
konsep pengaruh tak berpatutan ini diiktiraf oleh mahkamah dengan
tujuan memberi perlindungan kepada pihak-pihak yang lemah daripada
ditipu atau ditindas oleh pihak lain.

Lord Denning dalam kes Lloyd Bank Ltd lwn Bundy [1975] QB 326,
menyatakan bahawa mahkamah akan mengetepikan satu kontrak di mana
pihak-pihak berkontrak itu tidak sama kuat. Satu pihak mungkin
mempunyai kuasa tawar menawar yang terlalu kuat dan seorang lagi
terlalu lemah. Dari segi keadilan, adalah tidak patut pihak yang kuat
dibenarkan menolak pihak yang lemah.

10.2 TAKRIF PENGARUH TAK BERPATUTAN

Istilah pengaruh tak berpatutan diterangkan dalam seksyen 16 Akta


Kontrak 1950 seperti berikut:

16(1) Suatu kontrak adalah dikatakan didorong oleh


pengaruh tak berpatutan, di mana pertalian kedua

79
belah pihak adalah sedemikian rupa hingga satu
pihak adalah dalam kedudukan boleh menguasai
kemahuan pihak yang lain dan menggunakan
kedudukan itu untuk memperoleh faedah tak
saksama ke atas pihak yang lain.

Menurut seksyen 16(1) di atas, sesuatu kontrak yang telah dibuat,


dikatakan telah didorong oleh pengaruh tak berpatutan jika wujud
pertalian atau perhubungan di antara kedua-dua pihak yang membuat
kontrak tersebut. Pertalian atau perhubungan ini pula menyebabkan:

(a) satu pihak berkeupayaan untuk menguasai kemahuan


pihak yang lain, dan
(b) pihak yang menguasai itu menggunakan kedudukannya
(keupayaan) untuk memperoleh kelebihan yang tidak adil
ke atas pihak yang lain.

Daripada penjelasan di atas, kita dapat faham bahawa konsep pengaruh


tak berpatutan ini wujud apabila ada satu pihak yang kuat dan boleh
menguasai fikiran dan tindakan orang lain mengambil kesempatan untuk
mempengaruhi orang lain itu.

Seksyen 16(2) menyatakan bahawa seseorang itu boleh dianggap berada


di dalam kedudukan menguasai kemahuan seorang yang lain jika ia
memenuhi salah satu ciri yang disenaraikan berikut:

16(2)(a) memegang kuasa benar atau kuasa zahir ke atas


seorang yang lain; atau
(b) terdapat perkaitan amanah di antara dua pihak
yang berkontrak; atau
(c) membuat kontrak dengan orang cacat atau
terjejas akal, sama ada disebabkan oleh faktor
usia, penyakit, atau penderitaan akal atau
penderitaan jasmani sementara atau kekal.

Seseorang yang memegang kuasa benar ke atas orang lain berada di


dalam kedudukan menguasai kemahuan seorang yang lain itu dan ia juga
hendaklah sepatutnya memberi nasihat yang tidak mengandungi apa-apa
kepentingan untuk dirinya sendiri jika diminta oleh orang lain itu.

Contoh seseorang yang mempunyai kuasa benar ke atas seorang yang lain
ialah hubungan bapa dengan anak. Marilah kita lihat misalan (a) dalam
seksyen 16:

80
“A (Ali) telah meminjamkan wang kepada anaknya, B
(Basri), semasa anaknya masih remaja. Apabila Basri
dewasa, Ali telah menyalahgunakan pengaruhnya sebagai
bapa untuk memperoleh satu bon dari Basri untuk jumlah
yang lebih besar daripada wang yang harus dibayar atas
pinjaman itu. Ali melakukan pengaruh tak berpatutan.”

Perkaitan amanah pula berlaku apabila seseorang pemegang jawatan,


mempunyai kewajipan berhati-hati terhadap seorang lain. Sebagai
misalan, perhubungan amanah antara perhubungan suami dengan isteri,
doktor dengan pesakit, dan antara peguam dengan anak guamnya. Cuba
kaji misalan (b) dalam seksyen 16:

“A (Annie) seorang yang lemah akibat sakit atau lanjut


umur, telah didorong oleh pengaruh B (Bala) sebagai
atendan perubatannya, supaya bersetuju membayar
kepada Bala sejumlah wang yang tidak munasabah untuk
perkhidmatan ikhtisas nya. Bala melakukan pengaruh tak
berpatutan.”

Dalam undang-undang, sekiranya wujud pengaruh sahaja, ini tidak cukup


untuk membatalkan sesuatu perjanjian. Adalah tidak tepat jika dikatakan
bahawa pengaruh tak berpatutan telah dilakukan semata-mata kerana
terdapat hubungan zahir antara kedua-dua pihak. Apa yang sepatutnya
dibuktikan ialah pengaruh tak berpatutan telahpun dilakukan oleh orang
yang mempunyai kuasa itu. Orang itu telah menggunakan kedudukan dan
kekuasaannya secara tidak adil dengan mengambil keuntungan ke atas
orang lain.

Oleh yang demikian, jikalau A hanya mempunyai keupayaan untuk


menguasai kemahuan B tetapi A tidak menggunakan keupayaan itu untuk
kepentingannya, maka tidak boleh dikatakan wujudnya pengaruh tak
berpatutan.

Mengikut seksyen 16(3)(a)

16(3)(a) apabila seseorang itu mempunyai kedudukan di


mana ia menguasai kemahuan orang lain, dan
kontrak yang dibuat antaranya dengan orang
itu tidak patut atau tidak wajar, sama ada pada
zahirnya atau selepas keterangan diberikan di
mahkamah, maka beban untuk membuktikan
bahawa kontrak itu telah tidak didorong oleh

81
pengaruh tak berpatutan adalah terletak atas
orang yang menguasai itu.

Dengan perkataan lain, beban untuk membuktikan bahawa sesuatu


kontrak itu tidak didorong oleh pengaruh tak berpatutan terletak atas
orang yang mempunyai kedudukan yang menguasai kemahuan orang
lain. Ini bermakna, apabila seseorang memasuki sesuatu kontrak setelah
didorong oleh pengaruh tak berpatutan pihak yang berkontrak
dengannya, orang yang pertama itu boleh memohon kepada mahkamah
untuk membatalkan kontrak yang telah dimasuki olehnya atas alasan
persetujuan yang diberikannya untuk kontrak itu tidak secara bebas dan
telah didalangi oleh pengaruh tak berpatutan pihak yang berkontrak
dengannya. Dalam keadaan ini, pihak yang didakwa melakukan pengaruh
tak berpatutan di dalam kontrak tersebut, hendaklah menyangkal
dakwaan bahawa kontrak yang dimasuki ada unsur pengaruh tak
berpatutan, dan ia hendaklah membuktikan bahawa kontrak itu telah
dilaksanakan tanpa apa-apa unsur negatif seperti pengaruh tak
berpatutan.

Contoh: A, yang terhutang kepada B, pemberi pinjam wang di


kampungnya, mengkontrak suatu pinjaman baru dengan syarat-syarat
yang pada zahirnya tak berpatutan. Beban untuk membuktikan bahawa
kontrak itu tidak didorong oleh pengaruh tak berpatutan adalah terletak
atas B.

10.3 CIRI-CIRI PENGARUH TAK BERPATUTAN

Ciri-ciri atau prinsip pengaruh tak berpatutan yang dipakai di bawah


seksyen 16 Akta Kontrak 1950 adalah didasarkan atas keputusan
mahkamah oleh Lord Shaw di dalam kes Ragunath Prasad lwn Sarju Prasad
AIR [924] PC60. Tiga prinsip utama yang telah diputuskan dalam kes
tersebut adalah seperti berikut:

1. Wujudnya hubungan zahir di antara dua belah


pihak yang berkontrak dan salah seorang
daripadanya berada di dalam kedudukan yang
boleh menguasai kemahuan orang yang lain.

Apabila dapat dibuktikan prinsip di atas, prinsip seterusnya yang perlu


dibuktikan ialah:

2. Adakah kontrak yang dilaksanakan itu telah dibuat


berdasarkan kepada pengaruh tak berpatutan.

82
Perlu diingatkan bahawa wujudnya pengaruh sahaja atau wujudnya
hubungan zahir antara pihak-pihak yang berkontrak sahaja tidak
mencukupi untuk mengatakan bahawa unsur pengaruh tak berpatutan
telah dilakukan.

Apa yang lebih penting ialah orang yang berkuasa atau berpengaruh itu
telah menggunakan kuasanya untuk mempengaruhi kemahuan pihak
yang satu lagi dan memperoleh faedah yang tidak adil ke atas pihak yang
ditindas itu. Dalam keadaan ini, barulah dikatakan beliau telah melakukan
pengaruh tak berpatutan.

Prinsip ketiga yang diputuskan di dalam kes tersebut ialah:

3. Beban pembuktian terletak di atas orang yang


mempunyai kedudukan untuk menguasai
kemahuan pihak yang satu lagi di mana orang yang
berkuasa itu perlu membuktikan bahawa kontrak
yang telah dilaksanakan bukan didorong oleh
pengaruh tak berpatutan yang dilakukannya.

Apabila sesuatu kontrak hendak dibatalkan kerana pengaruh tak


berpatutan, tanggung-jawab untuk membuktikan tiada pengaruh tak
berpatutan yang mendorong pelaksanaan kontrak itu, terletak di atas
orang yang berkedudukan menguasai kemahuan pihak yang satu lagi
dalam kontrak itu.

Berdasarkan prinsip-prinsip yang kita bincangkan di atas, adalah penting


untuk kita mengenal pasti bahawa ketiga-tiga ciri pengaruh tak
berpatutan ini wujud dalam sesuatu kes, sebelum kita dapat
menyimpulkan bahawa wujudnya unsur pengaruh tak berpatutan yang
boleh menyebabkan kontrak dibatalkan. Kontrak itu boleh dibatalkan
kerana persetujuan yang diberikan di dalam kontrak itu tidak bebas, dan
didorong oleh satu pengaruh tak berpatutan.

Secara ringkasnya boleh kita katakan bahawa untuk mendakwa pengaruh


tak berpatutan telah wujud, tiga ciri yang disebutkan di atas hendaklah
hadir dalam transaksi kontrak yang dipertikaikan itu.

Kes Salwath Haneem lwn Hadjee Abdullah [1894] SSLR 57 membincangkan


tiga ciri tersebut. Dalam kes ini plaintif memohon untuk mengetepikan
dua dokumen yang diuruskan dengan pihak defendan, iaitu dua orang
saudara lelaki bekas suaminya. Dokumen-dokumen tersebut adalah bukti
penyerahan secara rela semua harta plaintif kepada defendan. Plaintif
mendakwa wujud pengaruh tak berpatutan. Suami plaintif Arshad,
berada di luar negeri selama 10 tahun. Semasa ketiadaan beliau,

83
defendan telah bertindak sebagai wakil beliau dan menguruskan segala
perniagaannya, termasuk menjaga keluarga Arshad. Semasa kedua-dua
dokumen itu dilaksanakan, Arshad sudah kembali tetapi terbaring sakit
teruk. Selepas kematian suaminya, plaintif membuat tindakan menuntut
supaya diketepikan kedua-dua dokumen tersebut. Mahkamah
memutuskan bahawa telah wujud pengaruh tak berpatutan di antara
plaintif dan defendan. Oleh itu, beban pembuktian terletak di atas
defendan bahawa pemindahan tersebut telah dilakukan secara sukarela
dan tidak wujud pengaruh tak berpatutan. Walau bagaimanapun, mereka
gagal membuktikan yang transaksi tersebut sesuatu yang adil dan jujur,
maka kedua-dua dokumen tersebut telah dibatalkan oleh mahkamah.

Dalam kes Chait Singh lwn Budin bin Abdullah (1918) 1 FMSLR 348,
seorang pemberi pinjam wang (ceti) telah mengeluarkan satu pinjaman
dengan kadar bunga 36 peratus setahun kepada seorang peminjam yang
buta huruf. Si peminjam telah menyerahkan dokumen hak milik tanah
beliau kepada ceti untuk simpanan, dan sebagai jaminan ke atas hutang
itu. Mahkamah telah memutuskan bahawa satu anggapan yang
munasabah bahawa pengaruh tak berpatutan wujud dalam kes ini atas
dasar ‘unconscionable bargain’ atau kuasa tawar menawar yang tidak wajar, di
mana si peminjam buta huruf telah dipengaruhi oleh ceti yang
mengenakan kadar bunga yang luar biasa tingginya.

Dalam kes Datuk Joginder Singh & YL lwn Tara Rajaratnam [1983] 2 MLJ
196, responden merupakan pemilik berdaftar sekeping tanah. Beliau
mendakwa bahawa beliau telah dipengaruhi secara tak berpatutan oleh
perayu pertama dan kedua untuk memindahmilikkan tanahnya itu kepada
perayu kedua. Mahkamah memutuskan bahawa perayu dan responden
mempunyai hubungan amanah peguam dan anak guam, dan transaksi
yang berlaku adalah tidak wajar. Oleh itu beban pembuktian terletak di
atas pihak perayu untuk membuktikan bahawa transaksi tersebut dibuat
oleh kedua-dua pihak tanpa ada pengaruh tak berpatutan. Pihak perayu
telah gagal untuk membuktikannya, dan transaksi tersebut dibatalkan
oleh mahkamah.

Dalam kes Che Som bt Yip & YL lwn Maha Pte Ltd & YL [1989] 3 MLJ
468, Mahkamah Tinggi Singapura telah memutuskan bahawa pertalian
persaudaraan tidak dengan sendirinya menimbulkan anggapan telah
wujud pengaruh tak berpatutan. Pihak plaintif dalam kes ini terdiri
daripada beberapa orang saudara yang bersetuju untuk menandatangani
satu suratcara gadaian untuk satu pinjaman wang. Akan tetapi plaintif
ketiga tidak siuman, dan mahkamah mendapati plaintif kedua telah
menggunakan pengaruh tak berpatutan apabila ia meminta plaintif ketiga
menurunkan tandatangannya. Mahkamah telah memerintahkan bahawa
dokumen gadaian itu boleh dibatalkan atas pilihan plaintif ketiga.

84
10.4 KESAN PENGARUH TAK BERPATUTAN

Mengikut seksyen 20 Akta Kontrak 1950:

20. Di mana kerelaan untuk membuat sesuatu


perjanjian adalah disebabkan oleh pengaruh tak
berpatutan, maka perjanjian itu adalah suatu
kontrak boleh batal atas opsyen pihak yang
kerelaannya disebabkan sedemikian. Mana-mana
kontrak sedemikian itu boleh dibatalkan sama ada
secara mutlak, atau pun, jika pihak yang berhak
mengelakkan kontrak itu telah mendapat faedah
darinya, atas syarat-syarat yang difikirkan patut
oleh mahkamah.

Menurut seksyen 20 di atas, apabila suatu kontrak itu telah dibuat


disebabkan ada pengaruh tak berpatutan, orang yang telah dipengaruhi
itu mempunyai pilihan sama ada untuk membatalkan kontrak secara
mutlak atau muktamad (andainya ia belum menerima sebarang manfaat
langsung dari kontrak tersebut), atau secara bersyarat (jika ia telahpun
menerima manfaat dari kontrak itu).

Mari kita lihat misalan (a) dalam seksyen 20 yang memberikan contoh
suatu kontrak yang boleh dibatalkan secara mutlak:

(a) Anak lelaki A telah memalsukan nama B dalam


sepucuk surat janji hutang. B mengancam bahawa
dia akan mendakwa anak lelaki A. Kemudian B
telah berjaya memperoleh daripada A satu bon
yang nilainya adalah sama dengan jumlah wang
yang disebut dalam janji hutang yang dipalsukan
itu. Jika B mendakwa atas dasar bon yang
didapatinya daripada A itu, maka mahkamah boleh
membatalkan bon itu atas dasar pengaruh tak
berpatutan oleh B terhadap A.

Misalan (b) dalam seksyen 20 pula memberikan contoh suatu kontrak


yang dibatalkan secara bersyarat:

(b) A seorang pemberi pinjam wang, telah


meminjamkan RM100 kepada B, seorang petani.
Dengan pengaruh tak berpatutan, A telah
mendorong B supaya melaksanakan satu bon
untuk RM200 dengan faedah pada kadar enam
peratus sebulan. Mahkamah boleh membatalkan

85
bon itu dan memerintahkan B supaya membayar
balik kepada A RM100 dengan faedah pada kadar
yang difikirkan patut dan munasabah oleh
mahkamah.

Dalam kes Letchemy Arumugan lwn Annamalay [1982] 2 MLJ 198, seorang
perempuan yang buta huruf telah dipengaruhi oleh seorang pemaju
perumahan untuk menandatangani beberapa dokumen setelah diberi
kenyataan yang salah oleh si pemaju. Mahkamah memutuskan bahawa
bukan sahaja telah berlaku penipuan tetapi juga pengaruh tak berpatutan
oleh si pemaju terhadap perempuan yang buta huruf itu. Oleh yang
demikian, kontrak berkenaan boleh dibatalkan atas pilihan perempuan
tersebut.

Manakala seksyen 66 Akta Kontrak 1950 memperuntukkan:

66. Bila suatu perjanjian itu didapati batal, atau bila


suatu kontrak menjadi batal, sesiapa jua yang telah
menerima sebarang faedah daripada perjanjian atau
kontrak sedemikian, adalah terikat untuk
memulangkannya, atau memberi pampasan
untuknya, kepada orang dari siapa ia menerima
faedah itu.

Sebagai lanjutan daripada peruntukan dalam seksyen 20 di atas, seksyen


66 memperuntukkan bahawa apabila sesuatu kontrak dibatalkan atas
alasan pengaruh tak berpatutan, pihak yang terpengaruh atau teraniaya
dalam kontrak itu berhak mendapatkan kembali sebarang faedah yang
hilang kerana memasuki kontrak itu tanpa persetujuan bebas. Contohnya,
jika A telah melaksanakan satu pindah milik tanah kepada B atas dasar
pengaruh tak berpatutan yang dilakukan oleh B terhadap A, maka A
berhak untuk membatalkan pindah milik tersebut, dan mendapatkan
kembali tanah miliknya itu daripada B.

10.5 RUMUSAN

Status sesuatu perjanjian yang dimasuki atas pengaruh tak berpatutan


boleh dibatalkan atas pilihan orang yang dipengaruhi secara tidak adil.
Bagi membuktikan wujud pengaruh tak berpatutan dalam sesuatu
transaksi perjanjian, maka tiga ciri utama pengaruh tak berpatutan perlu
dikenal pasti terlebih dahulu, iaitu

(i) terdapat hubungan antara pihak-pihak yang terlibat, dan


satu pihak berada di dalam kedudukan boleh menguasai
kehendak pihak yang lain,

86
(ii) pihak yang menguasai kehendak pihak yang lain itu telah
menyalahgunakan kedudukannya dengan tujuan
memperoleh faedah yang tidak adil daripada pihak lain
itu, dan
(iii) beban untuk membuktikan bahawa kontrak itu tidak
diperoleh melalui pengaruh tak berpatutan terletak pada
pihak yang mempunyai kedudukan boleh menguasai
kehendak pihak yang lain.

Apabila dapat dibuktikan ketiga-tiga ciri di atas, maka kontrak yang


dimasuki bolehlah dibatalkan atau permohonan pihak yang dipengaruhi.
Pihak yang teraniaya dalam transaksi perjanjian ini akan mendapat
peluang sama ada untuk membatalkan satu kontrak yang merugikannya
atau mendapat kembali faedah yang telah hilang disebabkan oleh
pengaruh tak berpatutan itu.

Sementara itu, untuk menyangkal anggapan pengaruh tak berpatutan,


pihak yang menanggung beban pembuktian hendaklah mengemukakan
keterangan yang memuaskan mahkamah bahawa pihak yang lain itu
bertindak dengan bebas tanpa sebarang pengaruh darinya serta
memahami sepenuhnya perkara yang dilakukan olehnya.

Menurut kes Inche Noriah lwn Shaik Allie bin Omar [1929] AC 127, satu
cara membuktikan perkara ini ialah dengan memberi keterangan bahawa
pihak yang lain itu telah mendapatkan nasihat guamannya sendiri
sebelum memasuki kontrak.

SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. Saleh merupakan seorang petani yang buta huruf. Dia telah


berhutang dengan ceti Nathan sebanyak RM500. Ceti Nathan
mengenakan kadar faedah 30 peratus setahun ke atas hutang
tersebut. Saleh juga menyerahkan geran motosikalnya kepada
Ceti Nathan.

Berdasarkan situasi di atas, cuba anda nasihatkan Saleh.

2. Fiona berjaya menamatkan pengajiannya selama tiga tahun di


kolej swasta dengan bantuan kewangan bapanya sebanyak
RM20,000. Fiona kemudian bekerja sebagai pegawai kewangan
bank. Bapa Fiona telah menyuruh Fiona membayar pinjaman
pelajarannya sebanyak RM50,000 dalam masa tiga tahun.

87
Berdasarkan situasi di atas, cuba anda nasihatkan Fiona akan hak-
haknya di sisi undang-undang.

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

88

Anda mungkin juga menyukai