Anda di halaman 1dari 13

BAB SATU

PENGENALAN PEMBENTUKAN DASAR DI


MALAYSIA

OBJEKTIF BAB

Selepas mempelajari bab ini, anda akan dapat:


1. Mengetahui mengenai pembentukan dasar awam di Malaysia.
2. Memahami dengan lebih jelas mengenai kepentingan dasar dan
undang-undang yang berkaitan dengan komunikasi.

1.1 PEMBENTUKAN DASAR

Menurut Kamus Dewan (2005), dasar bermakna asas, prinsip atau teras
kepada sesuatu perkara. Dasar juga bermaksud sesuatu pendirian yang
mejadi asas segala tindakan, keputusan, sikap, polisi bagi sesebuah
kerajaan mahupun sesebuah parti politik. Oleh itu, pembentukan sesuatu
dasar membolehkan seseorang individu dalam sesebuah negara itu
mengamalkan prinsip atau pegangan seperti mana yang diperintahkan
oleh sesebuah negara. Sesuatu dasar itu juga haruslah ditujukan kepada
rakyat sebagai penerima atau penguntung utama dasar tadi; jika hanya
sedikit sahaja orang yang menerima dasar tersebut maka itu bukan lagi
diertikan sebagai dasar. Oleh itu, dapat disimpulkan di sini, bahawa dasar
itu merupakan asas kepada sesuatu peraturan atau arahan yang perlu
dipatuhi serta dipersetujui malah ianya dapat menguntungkan semua
pihak dalam sesebuah negara.

1.2 PEMBENTUKAN DASAR AWAM DI MALAYSIA

Pembentukan dasar awam di Malaysia adalah lahir dari proses politik.


Ahli-ahli politiklah yang menggubal dasar awam dan ahli-ahli pentadbir
awam (pegawai kerajaan) melaksanakan dasar- dasar tersebut. Kerajaan
Malaysia melaksanakan beberapa dasar bagi mewujudkan sebuah
masyarakat yang bersepadu dan kukuh. Antara lain termasuklah perkara
seperti mengatasi konflik dalam masyarakat, menyusun masyarakat,
mengadakan perkhidmatan, mengutip cukai daripada rakyat dan
1
sebagainya. Dengan itu, dasar awam menjadi lebih teratur, tersebar dan
lebih berorganisasi sifatnya. Dasar-dasar awam boleh berurusan dengan
pelbagai bidang yang luas seperti hal ehwal luar negeri, kebajikan tentera,
polis, pencukaian, perumahan, keselamatan sosial, kesihatan, peluang-
peluang ekonomi, pembangunan bandar, inflasi dan kemerosotan
ekonomi.

Apa yang dimaksudkan dengan dasar awam? Dasar awam adalah yang
mengenai tindakan-tindakan kerajaan. Ia dikaitkan dengan disiplin sains
politik serta kebolehan disiplin akademik tersebut menghuraikan,
menganalisis dan menerangkan dasar awam itu. Dasar awam dikatakan
juga sebagai apa juga langkah kerajaan untuk memilih membuat atau
memilih tidak membuat. David Easton seorang ahli sains politik yang
terkemuka mentafsirkan dasar awam sebagai nilai peruntukan pihak
berkuasa bagi keseluruhan masyarakat. Lasswell dan Kaplan mentafsirkan
dasar awam sebagai program bagi nilai amalan dan matlamat yang
diprojekkan. Walaubagaimanapun, kita harus melihat dasar itu dari segi
kerajaan itu sendiri, yang mana apabila ia memilih sesuatu dasar itu, maka
ia mesti mempunyai sesuatu tujuan atau matlamat. Jika dasar itu tanpa
matlamat bererti ia bukanlah dasar yang sebenarnya Ahmad Atory
Hussain (1985). Selain itu, Golembiewski turut menyatakan bahawa
dasar awam adalah sesuatu yang selalu dirujuk sebagai maklumbalas
terhadap sesuatu permintaan yang dikemukakan oleh kumpulan yang
berkepentingan supaya sesuatu perkara yang ditimbulkan diselesaikan
dengan segera. Secara jelasnya, dasar awam adalah apa sahaja pemilihan
kerajaan sama ada untuk membuat sesuatu ataupun tidak membuat
sesuatu. Secara umumnya, setiap keputusan yang diambil oleh kerajaan
pastinya mempunyai objektif, matlamat dan tujuan. Namun apa yang
nyata ialah tindakan kerajaan ini membolehkan dasar awam dijadikan
sebagai panduan umum dalam mengatasi masalah sesebuah negara
(Rohani dan Zulhilmi, 2002).

2
1.3 PROSES PEMBENTUKAN DASAR

Secara umumnya sesuatu proses dasar awam adalah seperti berikut:

Mengenal pasti masalah

Mengemukakan alternatif yang sesuai

Merancang tindakan dasar yang sesuai

Hasil dasar

Menilai sejauh mana hasil dasar dapat menyelesaikan masalah

Proses mengenal pasti masalah adalah sesuatu nilai, kehendak ataupun


peluang yang boleh diperolehi melalui tindakan orang awam. Usul
sesuatu dasar biasanya dicetuskan oleh rakyat dan dimaklumkan kepda
kerajaan melalui prosedur yang betul. Manakala alternatif dasar adalah
tindakan dan usaha yang membantu mengurangkan masalah masyarakat.
Kerapkali usaha ini memerlukan daya kreativiti ataupun pertimbangan
yang cekap agar masalah tidak berterusan.

Tindakan dasar ini sudah menampakkan hasilnya kerana pada peringkat


inilah banyak tindakan yang diambil dalam usaha mencapai maklumat
dasar. Daripada maklumat ini, proses ramalan dan penilaian dasar dibuat
bagi mengetahui sejauhmana ia memberi kesan kepada masyarakat.
Seterusnya hasil dasar pula meninjau sejauhmana dasar itu dapat
menyelesaikan masalah dan menjaga kepentingan masyarakat. Sekiranya
dasar awam itu tidak berjaya, maka proses ini akan berulang lagi daripada
masa ke semasa supaya tingkat kepuasan dan keberkesanan dapat dilihat.

Mengikut Sharansku I. (1978), dalam pembentukan dasar awam perlu


mengambil kira beberapa perkara utama iaitu:

1. Siapakah yang mendapatkannya, bila dan bagaimana mereka


peroleh daripada unit pentadbiran.
2. Apakah peranan pentadbir dalam proses membuat dasar sebagai
perbandingan antara eksekutif, majlis perundingan, anggota
badan yang membuat perundangan dan sepertinya.
3
3. Bagaimananakah pentadbir memberi kesan ke atas gelagat orang
awam disebabkan oleh batasan yang dibentuk oleh agensi
kerajaan sendiri?

SOALAN DALAM TEKS

1. Apakah yang anda fahami dengan maksud dasar dan


dasar awam?
2. Bagaimanakah proses pembentukan dasar
dilaksanakan?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

Cuba anda fikirkan kepentingan pembentukan sesuatu


dasar di dalam sesebuah negara.

1.4 EVOLUSI DASAR AWAM DI MALAYSIA

Dasar-dasar yang dilaksanakan di Malaysia bermula sejak negara belum


mencapai kemerdekaan lagi hingga kini. Corak dan matlamat dasar adalah
berbeza daripada masa ke semasa. Ia juga berubah mengikut keadaan
masyarakat yang berubah-ubah. Di bawah pemerintahan empat Perdana
Menteri Malaysia juga, dasar yang diamalkan sentiasa berubah. Namun,
ada juga dasar yang menjadi perintis kepada tindakan kerajaan seterusnya.

1.5 TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA AL-HAJ

Pada zaman pemerintahan negara di bawah pentadbiran Tunku Abdul


Rahman, banyak dasar British yang masih dikekalkan. Ini termasuklah
dasar pecah dan perintah British. Ketiga-tiga kaum terbesar di Malaysia
iaitu Melayu, Cina dan India masih lagi tinggal berasingan dan mempunyai
jenis pekerjaan yang berbeza. Tidak terdapat satu dasar yang tegas ketika
itu untuk menyatupadukan ketiga-tiga golongan penduduk itu. Pada
zaman penjajah dasar pecah dan perintah diperkenalkan untuk
mewujudkan jurang antara kaum di negara ini. Ini kerana tujuan utama
British adalah untuk mengeksploitasi kekayaan semulajadi Tanah Melayu
tanpa menghiraukan soal perpaduan kaum. Bagi mencapai tujuan ini,
kerajaan British dengan sengaja menetapkan status dan peranan yang
berlainan bagi kaum-kaum ini.
4
Orang-orang Melayu masih banyak lagi yang hidup miskin dalam sektor
pertanian. Orang-orang Cina bekerja di lombong bijih timah dan dalam
sektor perniagaan. Manakala orang-orang India pula bekerja di estet-estet.
Interaksi antara kaum hanya terhad pergaulan di pejabat dan pasar semasa
jual beli. Inilah juga yang dikatakan identifikasi ras mengikut pekerjaan
iaitu satu-satu kaum menjalankan sesuatu fungsi ekonomi tertentu.
Keadaan ini dikekalkan semasa Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana
Menteri, tanpa sebarang tindakan yang drastik.

Selain itu juga, sistem politik yang dibentuk sebelum negara mencapai
kemerdekaan lagi, dikekalkan. Wilayah-wilayah seperti Borneo Utara,
Sarawak dan sebagainya terus wujud secara berasingan dan pada ketika ini
penyatuan ekonomi dan politik di antaranya masih lagi tidak kukuh.
Negara diterajui oleh parti yang mendapat mandat melalui pilihanraya
iaitu Parti Perikatan. Ia merupakan gabungan tiga parti politik terbesar
iaitu UMNO, MCA dan MIC. Ia mewakili konsep bahawa setiap kaum
mempunyai perwakilan, sama ada di peringkat kerajaan negeri ataupun
kerajaan pusat. Perpaduan politik melalui konsep tolak ansur dan
bekerjasama ini dapat mengurangkan ‘politiking’, sebaliknya isu-isu
penting dapat diatasi melalui perundingan.

Dari segi fahaman politik pula, kebanyakan kaum-kaum terbesar di negara


ini berusaha untuk mengekalkan identiti kaum, bahasa dan budaya
mereka, terutamanya kaum Cina dan India. Hal-hal yang berlaku di tanah
air mereka adalah penting, malah mereka yang dilahirkan di Tanah Melayu
sendiri ada yang beranggapan bahawa tanah air mereka ialah Tanah Besar
Negeri China dan India. Perbezaan dan pengasingan kaum serta ketiadaan
dasar-dasar perpaduan yang jelas pada masa itu merupakan
perkembangan yang kurang sihat dalam pembentukan perpaduan kaum di
Malaysia. Walaubagaimanapun dengan penubuhan Malaysia, negara ini
mula menunjukkan arah untuk membentuk identiti Malaysia itu sendiri
dan kaum-kaum ini mula berasa mereka adalah sebahagian daripada
Malaysia dan tidak memikirkan lagi kepentingan kaum masing-masing.

1.6 TUN ABDUL RAZAK

Pada zaman Tun Abdul Razak, struktur politik dan ekonomi negara
digubal. Tambahan pula berlakunya peristiwa 13 Mei 1969, ia memberi
pengajaran kepada negara agar meneliti semula dasar politik dan ekonomi
yang diamalkan oleh negara. Penelitian ini mengambil kira sebab-sebab
meletusnya kejadian ini. Kritikan-kritikan utama tentang dasar ekonomi
kerajaan, ialah terlalu banyak menekankan pembentukan kekayaan
ataupun perkembangan Keluaran Negara Kasar (KNK) tetapi kurang
ataupun tiada langsung tumpuan terhadap agihan kekayaan yang adil.
Selain tidak mempertimbangkan soal ketidak-seimbangan ekonomi dan
sosial di antara kaum ia juga tidak menggalakkan penyertaan dan
5
pemilikan orang Melayu yang lebih banyak di bidang perdagangan dan
perusahaan serta yang lebih penting ia tidak memupuk semangat
kebangsaan.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) merupakan formula yang dilaksanakan


mulai tahun 1970 bagi menghapuskan jurang perbezaan ekonomi antara
kaum dan mewujudkan perpaduan negara. DEB dilaksanakan melalui
serampang dua mata iaitu pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum
dan penyusunan semula masyarakat untuk mengurangkan dan seterusnya
menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi. DEB
diimplementasikan mengikut konteks perkembangan. Semua projek dan
rancangan pembangunan serta agihan wang disusun semula untuk
mencapai matlamat DEB. Infrastruktur banyak diperluaskan untuk
memudahkan dan mengadakan kemudahan air dan tenaga elektrik di
negeri-negeri dan kawasan-kawasan yang kurang maju. Badan-badan
tempatan dibentuk untuk merancang, menyusun dan mengendalikan
pembangunan ekonomi di kawasan-kawasan yang dipulihkan di negara
ini. Pembayaran dan pemulihan tanah oleh FELDA dan FELCRA
diperhebatkan untuk menempatkan lebih banyak keluarga yang tidak
bertanah. Untuk mengurangkan kemiskinan projek ’in-situ’ dan
rancangan pertanian yang bertujuan menambahkan pendapatan petani,
nelayan dan pekebun kecil diperkenalkan. Untuk mempertingkatkan
bilangan rakyat yang kenal huruf, kerajaan memperbaiki lagi
perkhidmatan pendidikan dan kesihatan di kalangan penduduk luar
bandar, lebih banyak sekolah dan klinik kesihatan diadakan di kawasan
luar bandar.

Selain itu kerajaan juga ingin mewujudkan sebuah masyarakat


perdagangan dan perindustrian Bumiputera menerusi penyertaan yang
giat dalam bidang-bidang tersebut. Kerajaan berusaha hak milik sektor
syarikat secara berperingkat-peringkat supaya secara keseluruhannya
rakyat Malaysia akan memiliki dan menguasai sekurang-kurangnya 70
peratus daripada jumlah modal saham dengan sekurang-kurangnya
dimiliki oleh kaum Bumiputera menjelang tahun 1990. Satu lagi dasar
yang diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak, ialah Rancangan Buku Hijau.
Rancangan ini dilancarkan pada 20 Disember 1974. Dasar ini
bermatlamat untuk meningkatkan keluaran barangan pertanian terutama
sekali terhadap barangan makanan dengan melipatgandakan pengeluaran
bagi menampung keperluan negara.

Di bawah pemerintahan Tun Abdul Razak banyak dasar-dasar


pemerintahan yang diamalkan semasa Tunku Abdul Rahman memegang
teraju pemerintahan negara digubal. Ini semua bertujuan untuk
menjadikan Malaysia sebuah negara yang dapat membangun dengan lebih
pesat selepas merdeka.
6
1.7 TUN HUSSEIN ONN

Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri ketiga menggantikan Tun


Abdul Razak pada tahun 1976. Corak pemerintahannya lebih banyak
mengekalkan dan meneruskan dasar-dasar Tun Abdul Razak. Salah satu
yang paling penting, ialah meneruskan rancangan pembangunan ekonomi
Malaysia berpandukan DEB. Rancangan untuk mencapai matlamat DEB
ini sendiri terkandung dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang (RRJP),
1971 – 1990.

Era Tun Hussein Onn adalah sekitar 1976 – 1980. Pada ketika ini
Rancangan Malaysia Ke-3 sedang dijalankan. Rancangan Malaysia Ke-3
merupakan peringkat ke-2 dalam perlaksanaan DEB. Rangka Rancangan
Jangka Panjang (1971 – 1990) diperkemaskan dalam RMT. Rancangan
Pembangunan Wilayah turut diperkenalkan. Analisis yang lebih sempurna
dibuat terhadap pembahagian peruntukan kepada negeri-negeri di
samping isu-isu keselamatan dan alam sekitar juga diberi perhatian yang
sewajarnya. Usaha-usaha membangunkan sektor pertanian dan
perindustrian diteruskan demi untuk meninggikan lagi pendapatan,
produktiviti dan peluang pekerjaan.

Tun Hussein Onn juga mewujudkan inovasi dalam bidang pentadbiran.


Pada peringkat awal dahulu, struktur organisasi Jabatan Perdana Menteri
turut berubah dengan perlaksanaan DEB. Unit Penyelarasan Perlaksanaan
disatukan dengan Unit Kemajuan Pentadbiran menjadi Unit Penyelarasan
Perlaksanaan dan Kemajuan Pentadbiran (ICDAU) bagi membolehkan
perubahan-perubahan pentadbiran dan pembangunan diletakkan pula di
bawah satu pengawasan. Walaubagaimanapun, tugas-tugas penyelarasan
perlaksanaan projek-projek pembangunan lebih diutamakan sementara
usaha-usaha pembaharuan pentadbiran tidak begitu diberi perhatian.
Keadaan ini berubah pada tahun 1977 dengan penubuhan ’MAMPU’
yang mengambil alih tugas ICDAU. Peralihan ini menunjukkan bahawa
tugas pembaharuan di dalam pentadbiran awam adalah sangat
dikehendaki bagi menghadapi cabaran dekad 80-an.
Pada ketika itu juga, iaitu pada awal tahun 1980an negara mengalami
kemelesetan ekonomi di samping menghadapi persaingan hebat di
pasaran antarabangsa sehingga menyebabkan sumber-sumber kewangan
kerajaan menjadi semakin terhad. Kerajaan terpaksa mengambil langkah-
langkah tertentu terhadap jentera pentadbirannya supaya mampu
memberikan perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat.

Salah satu usaha pembaharuan pentadbiran bagi meningkatkan


produktiviti ialah dengan memberi penekanan kepada aspek dasar
ataupun program yang diharapkan dapat mengubah sikap ataupun nilai
7
kemanusiaan di kalangan pekerja awam iaitu Etika Perkhidmatan Awam
(EPA). Ia dilancarkan pada tahun 1979 dan salah satu tujuannya untuk
mengekalkan kepercayaan yang diberi dalam menjalankan tugas.
Sehubungan dengan itu, dasar ini insentif diberi kepada individu seperti ’
‘Anugerah Perkhidmatan Cemerlang’, dan bagi ‘Anugerah Pejabat
Terbaik’ peringkat organisasi.

1.8 TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD

Pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad memasuki era kedua (era 90an).
Dalam era 80an, pelbagai dasar dan program diperkenalkan dan pada era
ini pula Tun Dr. Mahathir mewujudkan wawasan dan gagasannya untuk
kepentingan bangsa dan negara. Pada awal pemerintahannya, beliau
berusaha mengubah sikap dan meniup semangat, mencairkan kebekuan
fikiran, dan memulihkan semangat yang lemah iaitu dua kesan
peninggalan penjajah yang belum sepenuhnya diatasi. Pemikiran Tun Dr
Mahathir sejak awal lagi menjurus ke arah memajukan bangsa dan negara.
Beliau amat bertuah kerana mempunyai kesempatan untuk melaksanakan
impian yang digariskan bagi menukar wajah Malaysia kepada sebuah
negara maju. Sebagai titik awal atas misi ini, Tun Dr. Mahathir sedaya-
upaya ingin menukarkan identiti negara kira daripada negara pertanian
kepada negara industri.

Perdana Menteri juga meletakkan suatu asas yang kukuh. Ini jelas
daripada Wawasan 2020. Wawasan 2020 dikemukakan secara menyeluruh
dan jelas oleh Perdana Menteri ketika membentangkan suatu kertas kerja
khas bertajuk ‘Malaysia melangkah ke hadapan’ dalam persidangan
pertama Majlis Perdagangan Malaysia di Kuala Lumpur pada 28 Februari
1991. Wawasan 2020 merangkumi tempoh masa 30 tahun dan matlamat
akhirnya ialah untuk menjadikan Malaysia negara yang benar-benar maju
dalm tempoh tiga dekad. Rakyat Malaysia perlu berusaha menghadapi
sembilan cabaran dalam usaha mencapai hasrat murni. Terlalu banyak
perkara yang dilaksanakan dan sedang dirancang untuk mencapai
matlamat Wawasan 2020. pembinaan bangsa Malaysia yang diharapkan
adalah mengikut acuan Malaysia dan bukan meniru sepenuhnya dari Barat
yang sebahagiannya tidak begitu releven dengan budaya dan keperluan
tempatan.
Di antara dasar dan rancangan penting yang telah dan sedang
dilaksanakan termasuklah ‘Kepimpinan Melalui Teladan’, Bersih, Cekap
dan Amanah’, ‘Dasar Penswastaan’ dan ‘Dasar Pandang Ke Timur’.
Dalam usaha memupuk ke arah negara perindustrian, LIMA (Pameran
Antarabangsa Maritim dan Udara Langkawi) diberi perhatian penting oleh
Perdana Menteri. Pameran ini bermula sejak daripada tahun 1991 dengan
penyertaan 14 buah negara dan 150 buah syarikat. Selain melibatkan
8
perniagaan bernilai berjuta ringgit ia juga sebagai langkah-langkah ke arah
mengukuhkan Malaysia sebagai negara industri berteknologi tinggi. Ini
adalah salah satu daripada imej baru dalam Dasar Ekonomi Negara yang
cuba dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir iaitu untuk menukarkan identiti
negara daripada negara pertanian kepada negara industri.

Sebelum itu, Pelan Induk Perindustrian (PIP) diwujudkan lebih awal lagi
pada tahun 1980an. Ia bertujuan untuk menyediakan matlamat
pembangunan serta strategi-strategi bagi sektor perindustrian. Pelan ini
menekankan sektor perindustrian sebagai “enjin pertumbuhan” ekonomi
negara serta teras pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula
masyarakat. Sejak pelaksanaannya, PIP mencapai kejayaan yang
memuaskan. Pada tahun 1990 sumbangan sektor perkilangan meningkat
kepada 27 peratus berbanding dengan sektor pertaniah sebanyak 18.7
peratus.

Selain itu pihak kerajaan di bawah kepimpinanan Tun Dr. Mahathir


melipatgandakan usaha-usaha perkhidmatan kualiti dan produktiviti
dalam perkhidmatan awam. Langkah ini adalah untuk memastikan
perkhidmatan awam sentiasa cekap serta mampu berperanan sebagai
penggerak utama pembangunan negara. Selain itu, perkhidmatan awam
juga perlu meningkatkan keupayaan untuk memberikan perkhidmatan
yang terbaik kepada orang ramai. Perkhidmatan awam yang cekap boleh
diwujudkan melalui pembangunan budaya kerja cemerlang. Usaha-usaha
peningkatan kualiti dan produktiviti digerakkan ke arah pembentukan
budaya tersebut di dalam jabatan-jabatan kerajaan. Pelbagai projek
dilaksanakan untuk tujuan ini seperti ‘Hari Kualiti Perkhidmatan Awam’,
“Anugerah Kualiti Perdana Menteri” dan sebagainya. Selain itu inovasi-
inovasi yang dijalankan oleh jabatan kerajaan secara langsung
mempertingkatkan prestasi serta imej perkhidmatan awam pada
keseluruhannya.

Pihak kerajaan sentiasa memberi penekanan supaya jabatan-jabatan terus


mempertingkatkan daya inovasi masing-masing. Satu langkah penting
yang dijalankan ialah dengan mewujudkan sistem pengiktirafan ke atas
kejayaan-kejayaan inovasi jabatan-jabatan kerajaan. Ini dilakukan melalui
perlaksanaan ‘Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam’. Anugerah yang
dikuatkuasakan melalui 1 April 1991 ini merupakan saranan Perdana
Menteri sendiri. Dia membuat pemerhatian bahawa jabatan-jabatan
kerajaan melakukan banyak inovasi yang mendatangkan manfaat kepada
orang ramai oleh itu sewajarnyalah inovasi-inovasi tersebut diberikan
pengiktirafan yang sesuai. Di bawah pemerintahan Dr. Mahathir ini jelas
terpancar pemikirannya untuk melihat Malaysia maju ke hadapan dan
sehubungan dengan itu banyak dasar-dasar diperkenalkan sama ada
sedang ataupun bakal dilaksanakan.
9
Selepas kita memahami mengenai bagaimana pembentukan sesuatu dasar
itu dilaksanakan dan mengetahui mengenai revolusi dasar di Malaysia
berdasarkan kepada pemerintahannya. Seterusnya, kita akan melihat pula
kepentingan dasar itu dilaksanakan dalam sesebuah negara sebelum kita
memahami dengan lebih lanjut mengenai dasar-dasar komunikasi di
Malaysia.

SOALAN DALAM TEKS

3. Nyatakan empat pemerintah yang terlibat dalam


pembentukan dasar di Malaysia.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

Cuba anda fikirkan bagaimanakah evolusi pembentukan


dasar di Malaysia dilaksanakan.

1.9 KEPENTINGAN DASAR DI MALAYSIA

Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan sememangnya terdapat banyak


dasar yang diwujudkan. Setiap dasar yang dibentuk mempunyai matlamat
dan tujuan yang tertentu. Sesuatu dasar yang lazimnya dibentuk akibat
munculnya sesuatu isu ataupun permasalahan dalam masyarakat.
Masyarakat menuntut supaya tindakan diambil terhadap permasalahan
tersebut. Justeru itu, dasar lazimnya dibentuk dengan merangkumi segala
program dan kempen jangkamasa panjang dan sederhana bagi mencapai
tujuan tertentu.

Kerajaan Malaysia melaksanakan beberapa dasar bagi mewujudkan


sebuah masyarakat yang bersepadu dan kukuh. Antara lain termasuklah
perkara seperti mengatasi konflik dalam masyarakat, menyusun
masyarakat, mengadakan perkhidmatan, mengutip cukai daripada rakyat
dan sebagainya. Dengan itu, dasar awam menjadi lebih teratur, tersebar
dan lebih berorganisasi sifatnya. Dasar-dasar awam boleh berurusan
dengan pelbagai bidang yang lebih luas, seperti hal ehwal luar negeri,
kebajikan tentera, polis, pencukaian, perumahan, keselamatan sosial,
kesihatan, peluang-peluang ekonomi, pembangunan bandar dan
kemerosotan ekonomi.

10
Setiap permasalahan yang wujud adalah unik kerana ia adalah tanda
kepada permasalahan yang lain pula, oleh itu dasar awam penting sebagai
salah satu cara yang dapat menjelaskan kewujudan sesuatu masalah, ia
juga boleh mengutarakan cara penyelesaian terbaik ataupun mudah yang
dapat dijadikan sebagai garis panduan kepada masyarakat (Paiman
Koromo, 1999). Dasar awam merupakan apa juga program, projek
ataupun tindakan kerajaan di sebuah negara itu untuk faedah orang awam.
Dasar awam memainkan peranan yang penting di dalam pembangunan
sesebuah negara dan menjadi panduan umum dalam mengatasi masalah
sesebuah negara. Contohnya seperti dasar yang telah kita bincangkan
sebelum ini iaitu seperti Dasar Wawasan Negara, Dasar Teknologi
Maklumat dan Komunikasi, Dasar Bahasa dan Dasar Budaya
Kebangsaan. Setiap pembentukan atau perlaksanaan sesuatu dasar ini
mestilah mempunyai objektif dan objektif tersebut adalah untuk
mengatasi sesuatu permasalahan yang timbul di dalam sesebuah negara.
Dengan adanya pembentukan dasar awam ini, masalah negara dapat
diselesaikan secara berperingkat, teratur dan lebih berkesan. Ia akan dapat
membaiki keadaan hidup dan meninggikan taraf masyarakat. Dengan cara
inilah ia benar-benar dapat memenuhi maksud sebenar dasar awam.
Dasar awam juga berfungsi sebagai resolusi kerajaan untuk orang ramai.
Sememangnya kadangkala ia sukar dilaksanakan kerana tentangan-
tentangan daripada kelompok tertentu mungkin wujud. Adalah mustahil
untuk melaksanakan sesuatu perkara dengan memberi kepuasan pada
semua pihak, oleh itu dasar mempunyai impak dan kesan yang berbeza
daripada segi darjahnya ke atas setiap individu dalam konteks masyarakat.
Apa yang pasti dasar yang dibentuk itu adalah bertujuan untuk membawa
keseimbangan dan kesan yang baik bagi pelbagai golongan masyarakat.
Oleh itu, dasar awam adalah arah tujuan sesebuah kerajaan untuk
rakyatnya. Penghasilannya adalah amat penting berdasarkan matlamatnya
bagi membangunkan negara dan memajukannya (Mohd Foad Sakdan,
2002).

SOALAN DALAM TEKS

4. Berikan kepentingan pembentukan sesuatu dasar di


Malaysia.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

11
Cuba anda fikirkan kaitan antara kepentingan
pembentukan dasar dengan pemerintah di Malaysia.

1.10 RUMUSAN

Dasar awam merupakan satu agenda penting bagi kerajaan. Ia menjadi


satu arah tuju kerajaan dalam memastikan negara khususnya rakyat
ditadbir dengan sewajarnya. Daripada penjelasan-penjelasan di atas, jelas
menunjukkan bahawa dasar awam yang dilaksanakan memerlukan
perancangan dan analisis yang sebaiknya agar kewujudannya memberi
kesan yang sebaiknya.

SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. Apakah yang dimaksudkan dengan evolusi dasar?. Huraikan dan


berikan contoh yang sesuai.

2. Apakah perkara utama yang perlu dipertimbangkan dalam


pembentukan dasar seperti mana yang dikemukakan oleh Sharansku
I. (1978)?.

3. Adakah pembentukan dasar dapat menyelesaikan permasalahan


yang berlaku di dalam sesebuah negara?

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

1. Maksud dasar menurut Kamus Dewan (2005), dasar bermakna


asas, prinsip atau teras kepada sesuatu perkara. Dasar juga
bermaksud sesuatu pendirian yang mejadi asas segala tindakan,
keputusan, sikap, polisi bagi sesebuah kerajaan mahupun
sesebuah parti politik. Manakala maksud dasar awam pula ialah
Dasar awam adalah yang mengenai tindakan-tindakan kerajaan. Ia
dikaitkan dengan disiplin sains politik serta kebolehan disiplin
akademik tersebut menghuraikan, menganalisis dan menerangkan
dasar awam itu. Dasar awam dikatakan juga sebagai apa juga
langkah kerajaan untuk memilih membuat atau memilih tidak
membuat. David Easton seorang ahli sains politik yang terkemuka
12
mentafsirkan dasar awam sebagai nilai peruntukan pihak berkuasa
bagi keseluruhan masyarakat.

2. Proses pembentukan dasar adalah melalui beberapa langkah


berikut iaitu mengenalpasti masalah, mengemukakan alternatif
yang sesuai, merancang tindakan dasar yang sesuai, melaksanakan
hasil dasar dan menilai sejauhmana hasil dasar dapat
menyelesaikan masalah.

3. Empat pemerintah yang terlibat dalam pembentukan dasar di


Malaysia ialah Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul
Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamed.
4. Kepentingan pembentukan sesuatu dasar di Malaysia ialah:
(a) mewujudkan sebuah masyarakat yang bersepadu dan
kukuh, salah satu cara yang dapat menjelaskan kewujudan
sesuatu masalah.
(b) ia juga boleh mengutarakan cara penyelesaian terbaik
ataupun mudah yang dapat dijadikan sebagai garis panduan
kepada masyarakat.
(c) bertujuan untuk membawa keseimbangan dan kesan yang
baik bagi pelbagai golongan masyarakat. Oleh itu dasar
awam adalah arah tujuan sesebuah kerajaan untuk
rakyatnya. Penghasilannya adalah amat penting berdasarkan
matlamatnya bagi membangunkan negara dan
memajukannya.

13

Anda mungkin juga menyukai