Anda di halaman 1dari 10

PENDAHULUAN

Proses pengajaran dan pembelajaran menjadi satu elemen penting dalam


perkembangan pendidikan. Perkembangan kemajuan dalam zaman ICT telah membawa
jauh alam pendidikan dengan perisian-perisian yang sangat tercanggih. Kaedah
kaedah lama semakin jauh ketinggalan di telan zaman. Walaubagaimanapun kita masih
terikat dengan model-model pengajaran dan teori-teori yang ada hubungkaitnya dalam
psikologi pendidikan. Menurut Griffith W. Williams psikologi adalah satu cabang
penyiasatan tingkah laku manusia dalam suasana pembelajaran . Kajian saintifik
terhadap tingkahlaku individu adalah berkait rapat terhadap prinsip dan kaedah
pengajaran dan pembelajaran yang digunapakai untuk menyelesaikan masalah (Smith
1978). Dapatan-dapatan ini akhirnya menghasilkan satu teori atau kaedah dalam
perolehan ilmu pengetahuan.
Pengajaran adalah satu proses penyebaran ilmu pengetahuan atau kemahiran
supaya dapat dipelajari dengan berkesan. Daripada tidak tahu kepada lebih tahu pelajar
akan berubah dan menukar tingkah laku kepada sesuatu yang baru. Drisoll(1994)
menghuraikan bahawa pembelajaran pula adalah satu proses pembaharuan prestasi
secara berterusan dalam diri manusia hasil interaksi pembelajaran dengan alam sekitar.
Pembelajaran adalah satu proses perolehan ilmu pengetahuan melalui pengalaman,
membuat penerokaan, mendapat latihan sehingga berlaku perubahan tingkah laku
dalam diri pelajar. Oleh itu pembelajaran itu adalah satu proses yang mengubah
keadaan, sikap, pengetahuan manusia melalui pengalaman
Pada asasnya konsep pengajaran dan pembelajaran adalah berlandaskan kepada
teori-teori pembelajaran masa kini. Teori-teori pembelajaran terdiri daripada kognitif,
konstruktivitisme, behaviorisme dan humanistic. Pengalaman ilmu pengetahuan yang
diperolhi dalam proses pembelajaran berlaku secara berperingkat-peringkat yang
menghasilkan satu perubahan tingkahlaku manusia.

TEORI PEMBELAJARAN KOGNITIF.


Teori adalah berkaitan dengan proses mental yang melibatkan pengamatan,
pengetahuan dan pemahaman. Ahli-ahli psikologis yang terkenal seperti Kohler,
Koffa,Piaget,Brunner, Ausuble,dan Gagne. Mereka semua berpendapat proses
pembelajaran adalah satu proses dalaman yang berlaku dalam akal fikiran yang tidak
dapat diperhatikan secara langsung daripada tingkah laku manusia. Proses celik akal,
pemprosesan maklumat menggunakan struktur dalaman kognitif dari pelbagai peringkat
umur dan kebolehan murid. Semua maklumat yang di terima di padankan dengan
makluamat yang sedia ada, diubahsuai dan disusun semula seterusnya menghasilkan
sesuatu maklumat yang baru.

PRINSIP-PRINSIP KOGNITIF:
1. Bahan bahan pembelajaran di susun daripada mudah ke susah.
2. Memahami pembelajaran lebih baik daripada hafazan.
3. Pengetahuan sedia ada murid digunapakai dan disesuaikan dengan pembelajaran yang
baru.
4. Isi pelajaran perlu disusun mengikut pola-pola yang tertentu supaya murid lebih
mengingati.
5. Setiap murid mempunyai perkembangan individu yang berbeza.

PENDEKATAN TEORI KOGNITIF.


1. Menekankan kepada proses mental dalam yang bermaksud maklumat yang di terima
diproses melalui perbandingan, peniruan dan penyatuan dengan maklumat lain yang
sedia ada, diubahsuai pula dan disusun semula.
2. Menekankan kepada proses pengamatan, ingatan, pemikiran, dan penyelesaian
masalah.

TEORI PEMBELAJARAN KONSTRUKTIVITISME.


Teori ini adalah berkaitan dengan pengajaran yang berdasarkan kepada penyelidikan
dan pengalaman. Pembelajaran terbina daripada hasil pencatuman maklumat dengan
pengetahuan sedia ada. Proses pembelajaran di bawah teori ini juga menggalakan
pelajar berkomunikasi dengan bahan untuk mendapatkan jawapan. Murid di beri
peluang meneroka sepuas-puasnya dan mendapatkan jawapan serta kesimpulan
sendiri. Tokoh-tokoh yang terkenal terdiri daripada Jean Piaget, Bruner, Lev Vygotsky
dan John Dewey. Kesemua tokoh-tokoh ini melihat proses pembelajaran sebagai aktivfiti
pembinaan mental yang dicantumkan dengan maklumat baru. Teori ini menekankan
kepada penglibatan pelajar dalam menyelesaikan masalah. Pelajar akan membina
pengetahuan sendiri untuk menjana idea dengan berdasarkan pengetahuan sedia ada.
Semua maklumat baru yang ada akan diolah dan disesuaikan dengan satu kerangka
maklumat baru yang dinamakan Konstruktivistime.

PRINSIP-PRINSIP PEMBELAJARAN KONSTRUKTIVISME


1. Proses pembelajaran yang berlaku adalah proses sesuatu aktiviti yang
aktif.
2. Semasa proses pembelajaran berlaku , ianya melibatkan aktiviti sosial dan
perkembangan bahasa sesama murid. Contohnya aktiviti yang dijalankan secara
kumpulan ketika bermain lego.
3. Murid akan belajar dan mendapat sesuatu input yang baru semasa proses
belajar dilangsungkan.
4. Aktiviti yang dijalankan melibatkan perkembangan minda, pergerakan
fizikal dan pengetahuan sedia ada murid.
5. Guru sebagai fasilitator dalam proses aktiviti pengajaran dan pembelajaran
dijalankan.
6. Pengetahuan dan idea setiap murid akan digunapakai dalam proses
pembelajaran.

IMPLIKASI TEORI PEMBELAJARAN KOGNITIF DAN KONSTRUKTIF DALAM


PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN.
1. Guru perlu menggunakan bahasa yang sesuai dengan tahap kebolehan
murid supaya mudah difahami dan murid memahami objektif yang hendak dicapai
oleh guru.
2. Guru perlu bersedia dengan bahan-bahan yang dapat meransang minda
murid dan senantiasa diubahsuai mengikut aktiviti yang akan dijalankan.
3. Guru semestinya peka kepada kesesuaian persekitaran pembelajaran
terutama dalam bilik darjah supaya dapat mendorong atau memotivasikan murid
untuk terlibat dalam aktiviti pembelajaran.
4. Proses pembelajaran yang berlaku perlu mengambilkira pengetahuan
sedia ada murid dan menggunakan pengetahuan tersebut dalam pembelajaran
yang baru. Contohnya aktiviti makan dan minum yang telah dipelajari dirumah,
disekolah guru boleh mengukuhkan lagi dengan menerapkan adap-adap semasa
makan.
5. Guru bertindak sebagai pemudah cara dan sentiasa menbantu murid dalam
aktiviti pembelajaran.
6. Keadah pembelajaran secara koperatif dan kolaboratif sangat efektif
digunakan dalam proses pembelajaran.
7. Penilaian secara tradisi sangat tidak sesuai digunakan lagi, dan teknik
pembelajaran seperti hafazan dan syarahan tidak menjadi begitu efektif
berbanding aktiviti berkumpulan.

TEORI PEMBELAJARAN JEAN PIAGET


Teori pembelajaran Piaget lebih menekankan kepada konsep perkembangan,
pertumbuhan kecerdasan yang dipengaruhi oleh lingkugan sosial dan kematangan. Ahli
psikologis yang berasal dari Switzerland menyatakan bahawa semua kanak-kanak
mempunyai kecenderungan yang berbeza mengikut keupayaan dan kebolehan masing-
masing. Menurut Piaget ada 4 tahap perkembangan yang akan dilalui oleh semua kanak-
kanak.
1) Tahap sensorimotor iaitu dari lahir sehingga berumur 2 tahun dimana kanak-kanak akan
memerhati dan melalui pengalaman akan mempelajari sesuatu yang dilihat, dirasa dan
disentuh.Pada peringkat ini kanak-kanak akan menggunakan deria motor untuk
memahami dan berinteraksi dengan persekitaran. Pada tahap ini juga tiada konsep
pengekalan kerana kebolehan mental sangat terhad kepada objek yang dapat dilihat
sahaja.
2) Tahap pra-operasi iaitu dari 2 tahun hingga 7 tahun dimana kanak-kanak mula
menggunakan kecekapan kemahiran motor kasar dan halus untuk meneroka sesuatu
yang baru. Pada peringkat ini kanak-kanak mula memahami symbol dan keupayaan
berbahasa yang sangat terhad untuk mengambarkan sesuatu konsep. Perkembangan
kognitif akan menjadi lebih pesat apabila kanak-kanak mula fasih bertutur.
3) Tahap operasi konkrit iaitu dari 7 tahun hingga 11 tahun dimana kanak-kanak mula
menggunakan pengetahuan dan akal fikiran untuk mempelajari sesuatu yang konkrit.
Kebanyakannya pada tahap ini kanak-kanak memerlukan objek dan peristiwa-peristiwa
sebelum dapat menyelesaikan beberapa masalah. Pada peringkat ini juga kanak-kanak
sudah boleh mempelajari lebih daripada satu perkara dalam satu masa. Namun demikian
keupayaan berfikir secara logik masih terbatas kepada konkrit sahaja.
4) Tahap operasi formal iaitu berumur 11 tahun ke atas yang akan lebih mempelajari
sesuatu yang lebih abstrak.( dari konkrit ke abstrak).Ini adalah peringkat perkembangan
kognitif yang paling penting di mana kanak-kanak akan berusaha menyelesaikan
masalah yang konkrit dan abstrak. Penglibatan kanak-kanak yang lebih aktif akan
menggalakan perkembangan pemikiran dan membuat penaakulan.
Merujuk kepada tahap-tahap perkembangan di atas, Piaget telah menunjukkan
semua kanak-kanak cuba mengadaptasikannya mengikut kepada pengalaman dan
kesesuaian keadaan. Adaptasi dan keseimbangan adalah saling berkait dan saling
mempengaruhi antara satu sama lain. Urutan setiap tahap tersebut tidak dapat diubah
dan saling berkaitan secara tidak langsung.Menurut Piaget proses perubahan
tingkahlaku individu untuk mengadaptasikan diri dalam alam sekitar adalah sebenarnya
proses pembelajaran. Proses asilimasi di mana semua pengalaman lalu akan akan
dikaitkan dengan pengalaman yang baru untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baru.
Pengalaman yang baru tersebut pula dinamakan akomodasi iaitu satu proses yang
merubah struktur kognitif.

IMPLIKASI TEORI PEMBELAJARAN PIAGET DALAM PROSES PENGAJARAN DAN


PEMBELAJARAN.
1. Pengetahuan sedia ada digunakan dalam proses pembelajaran untuk menghasilkan satu
sistem maklumat yang baru.
2. Isi pelajaran akan dikembangkan dan dikaitkan dengan mengikut peringkat kognitif
kanak-kanak dan tahap keupayaan masing-masing.Contohnya dalam mata pelajaran
Bahasa Melayu dengan tema buah-buahan. Murid akan diberi penerangan mengenai
jenis jenis buah-buahan tempatan, serta dikaitkan dengan rasanya. Pada tahap ini
murid-murid akan memberikan berbagai cerita atau pendapat berdasarkan pengalaman.
3. Isi pelajaran akan disusun daripada konkrit ke abstrak iaitu dari senang ke susah. Contoh
dalam matapelajaran matematik. Konsep pra nombor akan diajar dulu sebelum
mempelajari nombor.
4. Penglibatan kanak-kanak adalah secara aktif dalam aktiviti kumpulan digalakkan dan
mereka saling berinteraksi antara satu sama lain. Komunikasi dua hala dan bertukar
pendapat semasa menjalankan aktiviti menggalakkan perkembangan bahasa.
5. Motivasi secara instrinsik dipupuk supaya kanak-kanak dapat digerakkan secara aktif
dalam aktiviti. Contohnya dengan memberi pujian , kata-kata galakan, dan sokongan
dapat merangsang mereka.

TEORI PEMBELAJARAN LEV VYGOTSKY.


Lev Vygotsky adalah seorang ahli psikologis, dan karyanya sangat terkenal di dunia
barat pada tahun 1960an. Teori Vygotsky lebih menekankan kepada interaksi antara
aspek internal dan eksternal dalam pembelajaran . Menurut Vygotsky sistem sosial
sangat penting dalam perkembangan kognitif kanak-kanak. Mereka akan
berinteraksi dan berkolaborasi untuk mengembangkan sesuatu yang baru. Vygotsky
menekan bahawa perkembangan kognitif seseorang kanak-kanak sangat dipengaruhi
oleh sosial dan budaya . Teori beliau juga ada menyebut mengenai scaffolding iaitu
memberikan sejumlah besar bantuan pada tahap awal pembelajaran dan kemudian
mengurangi bantuan tersebut dan memberikan kesempatan kepada kanak-kanak
mengerjakan sendiri. Bantuan yang diberi adalah seperti peringatan, petunjuk dan
dorongan sehingga kanak-kanak tersebut boleh melakukannya. Dalam teori ini
menyatakan potensi murid dapat dikembangkan melalui usaha dan pengalaman sendiri
dalam proses pembelajaran, sehingga ke satu peringkat kanak-kanak akan boleh
melakukannya sendiri tanpa bantuan orang lain.
KONSEP KONSTRUKTIVISME VYGOTSKY
Merujuk kepada gambarajah di atas , Vygotsky telah menerangkan mengenai konsep
scaffolding . Kanak kanak mempunyai had perkembangan individu yang berbeza.
Setiap kanak-kanak akan melalui proses pembelajaran dengan bantuan rakan dan guru
sehingga berjaya menguasai dengan sendiri. Proses ini akan berulang-ulang berkali-kali
sehingga kanak-kanak mempunyai keyakinan untuk melakukannya sendiri walaupun
masih mengharapkan bimbingan daripada orang lain. Pada peringkat ini kanak-kanak
akan menunjukkan kebolehan menyelesaikan masalah melebihi daripada kebolehan diri
sendiri. Pada satu peringkat dimana kanak-kanak berjaya melakukan aktiviti-aktiviti yang
sukar tanpa bantuan orang lain berdasarkan pengalaman masing-masing.

IMPLIKASI TEORI PEMBELAJARAN VYGOTSKY TERHADAP PENGAJARAN DAN


PEMBELAJARAN.
1. Pembelajaran dijalankan secara koperatif supaya murid-murid dapat berinteraksi antara
satu sama lain. Contoh dalam mata pelajaran sains, murid akan diminta membuat satu
uji kaji mengenai tumbuhan dalam kumpulan. Mereka akan berbincang dan
mengeluarkan pendapat masing-masing dengan menggunakan pengetahuan sedia ada
untuk mencapai satu keputusan.
2. Konsep bantu sepenuhnya dan cuba sendiri dalam pembelajaran merupakan satu
interaksi pengalaman yang berkesan. Contohnya ada sekumpulan murid dalam ujikaji
sains seperti diatas memerlukan bantuan guru untuk memberi idea dan menggerakkan
mereka dalam aktiviti tersebut sehingga mencapai satu keputusan.
3. Perkembangan kognitif murid akan lebih teransang sekiranya pengetahuan sedia ada
digunakan dalam proses pembelajaran. Contohnya dalam aktiviti seperti di atas juga,
murid akan cuba menggunakan pengalaman masing-masing untuk di adaptasikan dalam
ujikaji sains tersebut. Semasa proses ini berlansung pelbagai percubaan yang
berulangkali dilakukan sehingga objektif dapat dicapai.

IMPLIKASI TEORI PEMBELAJARAN KOGNITIF DAN KONSTRUKTIVITSME DALAM


PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS.
1. Pengalaman pengalaman belajar perlu disesuaikan dan dikembangkan dengan
keperluan kognitif kanak-kanak Ini bermaksud sebelum memulakan proses pengajaran
dan pembelajaran guru perlu mengetahui pengetahuan sedia ada murid agar sesuai
dengan isi pelajaran yang akan disampaikan. Contohnya dalam aktiviti kemahiran hidup
iaitu komponen berkebun. Bersoal jawab hendaklah berkaitan dengan tanaman atau
sayuran yang biasa dilihat oleh kanak-kanak dirumah. Sekiranya kanak-kanak tersebut
suka memakan sayuran kacang panjang sudah tertentu ianya akan begitu teruja hendak
belajar cara-cara menanam pokok kacang panjang. Isi pelajaran akan lebih bermakna
dan kanak-kanak akan mendapat mengembangkan satu maklumat baru yang berkait
dengan pengetahuan dan pengalaman yang sedia ada.
2. Pemusatan perhatian seharusnya lebih ditumpukan kepada proses kognitif kanak-kanak
dan tahap keupayaan yang berbeza. Walaupun aktiviti dijalankan dalam kumpulan
namun tahap mereka sangat berbeza. Kepakaran guru sangat diperlukan supaya kanak-
kanak tidak berasa dipinggirkan. Contohnya dalam kumpulan murid tersebut diberi tajuk
yang sama tetapi aktiviti setiap satunya berbeza. Misalan dalam matapelajaran
matematik, dengan tajuk nombor 0-5. Jadi dalam satu kumpulan tersebut ada murid yang
akan membilang nilai nombor dengan menggunakan alat pembilang atau yang lain akan
menggunakan plastesin untuk membentuk nombor. Sementara yang lain pula akan
mewarna atau menyambung garisan putus-putus yang berkaitan dengan nombor
tersebut. Dalam proses ini guru dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada setiap
orang murid secara individu untuk mencapai objektif pembelajaran.
3. Keutamaan harus diberikan kepada penglibatan murid yang aktif dan berusaha sendiri
dalam aktiviti pembelajaran. Ini bertujuan memberi ruang kepada murid untuk berinteraksi
dengan rakan dan bahan-bahan pembelajaran secara meluas. Contoh dapat dilihat
dalam aktiviti kemahiran manipultif. Kanak-kanak akan diberi peluang bermain dengan
lego, berbincang dan bekerjasama dengan rakan untuk mencipta sesuatu binaan. Guru
perlu menghidupkan suasana pembelajaran tersebut dengan pelbagai kaedah supaya
kanak-kanak merasa ada keinginan untuk melakukannya.
4. Perbezaaan individu perlu diambil kira supaya setiap aktiviti dapat disusun mengikut
tahap keupayaan masing-masing. Pengalaman sebagai guru Pendidikan Khas, kita perlu
mengetahui sedikit sebanyak latar belakang kanak-kanak tersebut. Ianya banyak
membantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Contohnya seorang kanak-
kanak autisme yang terlalu sukar untuk difahami. Kadang kala beliau akan menjadi pasif
dan terlalu aktif dalam setiap masa. Berbanding dengan seorang kanak-kanak
perkembangan lambat (slow learner) yang boleh dikategorikan dalam kumpulan yang
boleh belajar. Oleh yang demikian bahan bahan dan aktiviti pembelajaran yang
berkaitan adalah sangat berbeza antara keduanya. Guru perlu tahu kehendak dan mood
kanak-kanak ini sebelum memulakan pengajaran. Mood dan kehendak itu pula perlu
diubahsuai dengan objektif dan aktiviti pembelajaran supaya kanak-kanak tersebut tidak
rasa rendah diri dan terasing.
5. Guru perlu mendorong dan memotivasikan kanak-kanak berkeperluan khas ini dalam
proses pembelajaran. Mendekati mereka dengan penuh kepercayaan dan kasih sayang
akan membuat mereka rasa dihargai dan rasa diterima. Lenggok dan bahasa badan guru
bukan sahaja dapat memberikan keyakinan kepada mereka bahkan melenyapkan sedikit
sebanyak rasa rendah diri yang ada dalam diri mereka. Secara tidak langsung mereka
akan mempercayai guru adalah rakan yang baik dan boleh menerima mereka.
Penggunaan bahasa yang sesuai dengan aras mereka serta mudah difahami banyak
membantu menyampaikan maksud atau hasrat yang hendak disampaikan oleh guru.
Selain daripada itu ganjaran dari segi materialistik seperti gula-gula, biskut, kata-kata
pujian dan senyuman guru akan turut memotivasikan kanak-kanak tersebut. Objektif
pembelajaran akan lebih cepat tercapai jika guru dapat menggunakan barang-barang
permainan sebagai bahan bantu mengajar. Kanak-kanak akan cepat teransang dan
dapat digerakkan untuk melakukan akitviti-aktiviti pembelajaran.
6. Bagi kanak-kanak berkeperluan khas, bantuan akan diberikan sepenuhnya pada
peringkat awal, yang akan dikurangkan secara beransur-ansur sehingga kanak-kanak
tersebut boleh berdikari dengan sendirinya. Contohnya dapat dilihat dengan jelas dalam
aktiviti pengurusan diri iaitu memakai pakaian. Pada peringkat pertama guru akan
membantu kanak-kanak tersebut memakai pakaian mengikut langkah-langkah betul.
Aktiviti ini akan dilakukan secara latihtubi sehingga kanak-kanak tersebut berkeyakinan
untuk melakukan sendiri. Akhirnya kanak-kanak tersebut akan diberi ruang dan masa
memakai pakaian dengan sendiri sehingga berjaya. Guru pada ketika itu hanya
memberikan arahan sahaja supaya kanak-kanak tersebut dapat mengingati semula
langkah-langkah yang telah dipelajari.
7. Bagi kebanyakan kanak-kanak berkeperluan khas penilaian di buat lebih kepada
pemerhatian. Berdasarkan pengalaman saya, penilaian secara pemerhatian banyak
membantu guru mengkaji dan memahami perlakuan kanak-kanak tersebut. Pemerhatian
boleh dibuat samada secara individu atau ketika kanak-kanak tersebut dalam kumpulan.
Perubahan tingkah laku yang ditunjukkan akan memberikan jawapan kepada guru
semasa membuat pemerhatian. Perubahan tingkah laku tersebut boleh berlaku juga
apabila kanak-kanak berinteraksi dengan bahan-bahan pengajaran atau bahan media.
8. Peranan guru pendidikan khas adalah sama dengan tugas guru di arus perdana.
Sebelum menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran, perancangan perlu
dilakukan dengan teliti supaya objektif dapat dicapai sepenuhnya. Guru mesti memainkan
peranannya sebagai pemudah cara atau penolong dalam setiap aktiviti pembelajaran.
Guru perlu mahir memilih bahan-bahan yang sesuai dengan aktiviti yang dirancang. Guru
juga berperanan sebagai pembimbing yang sentiasa membantu murid-murid dalam
proses pengajaran dan pembelajaran.

RUMUSAN.
Keseluruhannya teori teori yang telah dibincangkan di atas telah menyentuhkan banyak
perkara dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kedua-dua teori tersebut saling
berkait antara perkembangan kognitif dan proses penyelidikan, proses meneroka dan
cuba jaya. Perubahan tingkah laku yang positif akan dicapai setelah berlakunya proses
pengajaran dan pembelajaran yang memberi impak kepada pengukuhan pengetahuan
dalam memori. Struktur pengetahuan akan berkembang dengan bertambahnya
pengetahuan ke dalam ingatan jangka panjang. Teori teori ini sangat sesuai untuk
diaplikasikan dengan kanak-kanak berkeperluan khas. Perkembangan kognitif mereka
sangat berkait dengan pengetahuan sedia ada untuk membentuk satu pengalaman yang
baru. Proses pengajaran dan pembelajaran perlu memberikan ruang kepada kanak-
kanak meneroka sendiri bagi meningkatkan lagi keyakinan diri dan proses interaksi
dengan rakan dan bahan. Berdasarkan teori yang telah dibincangkan di atas, saya
berpendapat adalah sangat perlu bagi guru-guru mengaplikasikan kaedah dan teknik
dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Murid-murid diberi peluang bergerak bebas
menjalankan aktiviti dan berinteraksi dengan bahan dan guru. Akhir sekali keberkesanan
proses pengajaran dan pembelajaran saling bergantung bersama antara murid,
guru dan bahan.
55

Anda mungkin juga menyukai