Anda di halaman 1dari 2

UCAPAN PERASMIAN

OLEH
YANG MULIA IR DATU JAMIGUL BIN HJ.DATU SALIN,
KETUA SEKTOR ,SEKTOR PEMBANGUNAN KEMANUSIAAN JPN SABAH

Bismillahirrahmannirrahim,
Alhamdulillahirabbil alamin,wassola tuwassala muala ashrafil anibiya iwarmursolin waalaalihi wasahbihi ajmain.

Terima Kasih Saudara/ Saudari Pengacara Majlis.

Yang Mulia Tuan Sh Azad bin Sh Attar Pegawai Pendidikan Daerah Kudat.
Yang Berbahagia Dif-dif Jemputan Khas
Yang Berusaha Para Ketua Unit Pejabat Pendidikan Daerah, Pegawai SI Partner, SISC+, Pengetua, Guru Besar, Guru Penolong Kanan, Penerima
Anugerah dan warga pendidik yang dihormati dan dikasihi sekalian.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam sejahtera.


Kita bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah dan kurnia-Nya kita dapat bersama-sama dalam Majlis Penyampaian Anugerah
Perkhidmatan Cemerlang (APC) warga Pendidikan Daerah Kudat bagi tahun 2014.

Terlebih dahulu saya merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih di atas undangan kepada saya di majlis yang berbahagia ini. Saya
ucapkan tahniah kepada para penerima anugerah kerana telah menunjukkan komitmen kerja yang amat tinggi sehingga layak diberikan
anugerah bagi tahun 2014 yang akan disampaikan pada pagi ini. Majlis Anugerah ini merupakan salah satu program tahunan yang amat
penting dan ianya amat bermakna kepada warga pendidik sebagai pengiktirafan kepada kecemerlangan pencapaian tugas dan tanggunjawab
pendidik samaada di sekolah atau di Pejabat Pendidikan Daerah.

Para hadirin yang dihormati sekalian,


Harapan kita cukup tinggi kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada kali ini agar para pendidik lebih bermotivasi,
dedikasi dan terus komited dengan kerjaya sebagai pendidik. Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa
memberikan perhatian serius terhadap kecemerlangan perkhidmatan dan budaya kerja cemerlang selaras dengan Program Transformasi
Kerajaan Malaysia (GTP) dengan pelaksanaan kerja lebih radikal untuk mencapai matlamatnya dan harapan kita kepada para pendidik dapat
berkhidmat dengan prestasi tinggi untuk kemajuan pendidikan, disamping menjaga dan berfokus kepada pelanggan, tanpa mengira bangsa,
agama mahupun status sosial. Saranan ini adalah selaras dengan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang
mengharapkan para guru lebih proaktif, kreatif dan inovatif dalam usaha melahirkan pelajar cemerlang. Kaedah pengajaran dan pembelajaran
berkualiti pelbagai dan kolabaratif yang peka dengan peralatan media canggih perlu sentiasa dibudayakan agar ianya menarik minat dan
perhatian pelajar untuk belajar. Dunia pendidikan hari ini semangkin mencabar, sejajar dengan kemajuan teknologi maklumat kepakaran
manusia tidak lagi memilih bangsa, kaum atau keturunan ianya terletak kepada usaha kuat untuk mendapatkan ilmu pengetahuan kerana
ketinggian ilmu pengetahuan sahajalah sesuatu bangsa itu dihormati dan disegani. Ilmu yang dimiliki mampu memandu kita melakukan
tranformasi seperti membuat inovasi dalam aplikasi ICT dan sebagainya. Rakyat Malaysia adalah rakyat yang bijak buktinya baru-baru ini kita
dikejutkan dengan seorang pendidik dari Malaysia yang dinilai oleh Juri AntaraBangsa layak diberikan Anugerah Pendidikan kerana
menampilkan pengajaran dan pembelajaran yang bermutu tinggi dan ini telah mengharumkan Negara Malaysia dipersada dunia khasnya dalam
bidang pendidikan.
Dalam memajukan sistem pendidikan di negeri Sabah adalah menuntut penglibatan yang konsisten dikalangan ibubapa (PIBG) dan para
pemimpin masyarakat. PIBG merupakan gandingan yang cukup mantap dan merupakan mata dan telinga kepada kepimpinan sekolah dan para
pemimpin masyarakat. Peranan PIBG cukup luas disamping memberikan penekankan kepada ibubapa betapa pentingnya pendidikan yang
boleh mengubah nasib dan masa depan keluarga ,ianya juga membantu sekolah menyediakan kemudahan pembelajaran, peralatan dan
sebagainya. Selain itu, PIBG juga merupakan penghubung antara sekolah dengan para pemimpin masyarakat, supaya para Pengetua, Guru
Besar dan para guru sentiasa mendapat sokongan motivasi yang tinggi kerana jasa dan pengorbanan mereka mendidik anak bangsa tiada
tandingannya. Pengetua atau Guru Besar sebagai pemimpin utama sekolah mempunyai visi dan misi yang jelas, pencetus idea dan penjana
pemikiran berimpak tinggi sentiasa berganding bahu dengan para guru untuk merealisasikan visi sekolah yang pastinya membantu kepada
kemajuan pendidikan negera kita.

Para hadirin yang dihormati,


Untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tugas, kita hendaklah mengamalkan budaya pembelajaran berterusan, iaitu
proses mendapatkan ilmu pengetahuan sepanjang hayat yang melibatkan tiga elemen utama yang terdiri daripada latihan, pembelajaran dan
pembangunan diri. Pembelajaran berterusan sangat kritikal pada masa ini kerana pengetahuan dan kaedah melaksanakan sesuatu tugas cepat
menjadi lapuk hasil daripada perubahan teknologi. Prinsip kita dalam tugas, tegas tapi tidak zalim, lembut tapi tidak sampai lemah. Hidup ini
tiada istilah kecewa sebab kekecewaan itu akan membawa kepada kehancuran. Kita perlu bersyukur dengan usaha dan pencapaian kita tetapi
janganlah pula berpuas hati, sebaliknya kita teruskan usaha untuk mencipta kejayaan. Pertingkatkan diri dengan meneruskan dan menyambung
pelajaran hingga keperingkat kedoktoran kerana belajar itu tugas sepanjang hayat. Oleh itu, saya menyeru kepada warga pendidik di daerah ini
khasnya sentiasa seiring dengan kemajuan dan kecanggihan teknologi yang banyak membawa kepada perubahan gaya pemikiran generasi
muda kini.

Saya sekali lagi,mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2014 dan berharap
agar semua sentiasa menjadi contoh dan berusaha mengekalkan prestasi kerja cemerlang. Saya mengharapkan agar semua yang hadir
menjadikan kejayaan para penerima anugerah kecemerlangan ini sebagai satu suntikan semangat dan cabaran untuk melipat gandakan usaha
dan meningkatkan kreativiti, produktiviti serta kualiti pendidikan kita ketika ini.
Akhir kata, Sekalung penghargaan dan tahniah kepada Pejabat Pendidikan Daerah Kudat kerana berjaya menganjurkan majlis yang bermakna
ini. Maka saya dengan nama ALLAH YANG MAHA PENGASIH DAN MAHA PENYAYANG merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan
Cemerlang 2014 dengan rasminya.
Sekian, terima kasih Wabillahittaufik Walhidayah Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai