Anda di halaman 1dari 7

Pada peringkat asas, pendidikan seharusnya dapat memberikan seseorang kanak-kanak itu dengan

pendedahan kepada pengetahuan yang luas dan pelbagai sebelum dispesifikkan secara mendalam
dalam bidang-bidang tertentu. Belajar untuk tahu membantu seseorang membina spektrum ilmu
yang membolehkan dia memilih bidang yang sesuai dengan lebih jitu. Ilmu di sini juga merangkumi
cara belajar iaitu sesuatu kemahiran yang amat diperlukan untuk memudahkan seseorang
menikmati peluang-peluang belajar yang begitu banyak dari pelbagai sumber. Ilmu yang diperolehi
haruslah seiring dengan kemahiran untuk melakukan tugasan berasaskan ilmu itu.
Belajar untuk buat bukan sahaja dihadkan kepada kemahiran operasi atu mekanikal tetapi
merangkumi kompetensi-kompetensi seperti kebolehan untuk menangani situasi-situasi yang tidak
dijangka, kerja berpasukan, menyesuaikan diri dalam konteks pelbagai sosial dan kerja. Kita semua
perlu kerap mengingatkan diri kita bahawa tidak kira apa pun perbezaan kita dari segi agama, kaum,
status sosial, politik, ekonomi atau aspek-aspek yang lain, kita berkongsi hidup di planet yang
sama. Suka atau tidak,masalah orang lain akan menjadi masalah kita juga. Berjaya atau tidak sistem
pendidikan melatih Belajar untuk hidup bersama jelas dilihat dari hal ehwal semasa yang berlaku
di sekitar kita.

Satu sistem pendidikan, dari penggubalan dasar, pembentukan struktur pentadbiran, penjawatan
sehingga ke pelaksanaan di peringkat sekolah, dengan sendirinya akan menjadi satu model (baik
atau tidak) kepada pendidikan yang berunsurkan belajar untuk hidup bersama. Usaha untuk
membawa pendidikan ke satu tahap yang lebih tinggi dapat diperhatikan dari aspek pemupukan
saling kesefahaman antara satu sama lain, apresiasi kepada keperluan saling bergantung
(Interdependence), pengurusan konflik dengan semangat saling menghormati nilai-nilai pluralistic
dan saling kesefahaman yang mementingkan keharmonian.
Di peringkat sekolah, pemupukan nilai dan kemahiran tersebut perlu digiatkan melalui pendekatan
yang lebih holistik. Dalam konteks ini, para guru dan para ibu bapa dan masyarakat secara
umumnya, ada peranan untuk membimbing mereka yang terperangkap di dalam konflik kefahaman
antara apa yang dipelajari dengan realiti. Mereka perlu diberi keyakinan bahawa konflik itu lebih
merupakan persepsi yang diakibatkan leh prejudis dan akan menjadi berkurangan apabila mereka
membesar dan memperoleh lebih banyak ilmu. Keyakinan positif ini harus diberi tidak kira tahap
keyakinan diri kita demi untuk mencipta satu masa depan yang lebih cerah apabila kita semua
benar-benar dapat hidup bersama.

Selanjutnya, Belajar untuk menjadi menuntut satu usaha pendidikan yang gigih ke arah
membangunkan modal insane yang mempunyai keperibadian yang halus, boleh bertindak dengan
lebih autonomi, berkebolehan membuat penilaian atau pertimbangan yang lebih adil, rasional dan
jitu, mempunyai tanggungjawab kendiri yang lebih tinggi dan membolehkan potensi individu
seseorang itu berkembang dengan optimum. Perkara ini merupakan satu usaha padu yang
mencabar, memrlukan koordinasi semua pihak dan peringkat yang koheren serta realistik. Kualiti
pemimpin dan guru menjadi penentu kejayaan yang penting. Tahap autonomi yang berpatutan
diberi kepada sekolah mempengaruhi usaha untuk menyemaikan budaya pemikiran kreatif, kritis
dan inovatif dalam kalangan murid melalui program mengikut acuan tersendiri. Saling kesefahaman
tentang hakikat ini dan pengupayaan yang dibenarkan di sekolah akan memudahkan proses
Belajar untuk menjadi. Perkara ini perlu ditegaskan kerana kejayaan Belajar untuk menjadi amat
dipengaruhi oleh suasana yang kondusif yang memberi peluang untuk perkembangan
individualistik.

Akhir sekali, apa yang mencabar adalah bagaimana merealisasikan segala apa yang telah
dinyatakan terdahulu supaya ilmu pengetahuan diterjemahkan kepada amalan, amalan menjadi
budaya, budaya membawa kejayaan dan seruan menjadi realiti. Apa yang kurang daripada itu
adalah retorik sahaja.

1.2 Guru Abad ke-21

Menurut kamus dewan, guru merupakan tenaga pengajar, pendidik, dan pengasuh. Guru dianggap
sebagai pengurus kepada kelas yang diajarnya. Guru memainkan peranan sebagai fasilitator,
mentor dan kaunselor sepanjang proses pembelajaran dan pelajaran (P&P). Dalam abad ke-21, guru
memainkan peranan yang lebih berat dengan bebanan tugas yang semakin bertambah. Guru abad
ke-21 merupakan guru yang mempunyai ciri-ciri seperti kaya dengan maklumat terutama dalam
sains dan teknologi, mempunyai kemahiran berfikir yang tinggi, berfikiran konstuktif, mampu
menerapkan nilai-nilai murni dalam diri pelajar serta mempunyai pengetahuan dan kemahiran
industri.

Guru abad ke-21 perlu mengorak langkah bagi menggembleng tenaga dan peluang untuk
melengkapkan diri supaya lebih berketrampilan sebagai pemimpin yang menyampaikan ilmu
berasaskan teknologi semasa serta bersedia untuk menguasai dan menggunakan teknologi
maklumat untuk pelbagai bidang dan menjalani urusan harian. Selain itu, kemahiran berfikir secara
konstruktif juga perlu dimiliki oleh guru abad ke-21. Para pelajar perlu dididik menggunakan daya
pemikiran yang beraras tinggi untuk menghadapi perubahan zaman.

Peranan guru dalam abad ke-21 ialah menerapkan nilai-nilai murni dalam diri setiap insan yang
bergelar pelajar. Pelajar merupakan pelanggan utama kepada guru dan guru bertindak sebagai agen
dalam menyampaikan semua perkara berkaitan kehidupan. Nilai-nilai murni menitikberatkan
perlakuan yang baik dan tidak melanggar norma-norma masyarakat, bertatasusila dalam
perhubungan sesama manusia, makhluk lain dan Tuhan. Elemen ini sangat penting dalam usaha
membudayakan masyarakat bagi mewujudkan keharmonian sesebuah negara. Dalam perkara ini,
guru perlu bertindak sebagai role model kepada pelajarnya dan masyarakat. Di samping itu, guru
abad ke-21 perlu menguasai pengetahuan dan kemahiran industri. Ini sangat penting bagi
melahirkan generasi atau modal insan untuk pasaran kerja industri yang semakin pesat
berkembang. Usaha ini merupakan sumbangan untuk melahirkan sumber manusia yang
menyumbang kepada tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, berkualiti, serba boleh, dan responsif
terhadap perubahan serta perkembangan industri semasa.

Dalam abad ke-21 ini juga, guru berdepan dengan pelbagai cabaran dan rintangan khasnya di
dalam bilik darjah. Para pelajar telah mendapat pelbagai kemudahan seperti kemudahan ICT untuk
membantu mereka dalam proses pembelajaran bestari. Hal ini akan menimbulkan kerumitan bagi
guru-guru yang kurang berkemahiran dalam penggunaan ICT. Rentetan daripada perkara ini, pihak
Kementerian Pelajaran Malaysia telah meminta para guru yang belum memiliki ijazah supaya
menhadiri kursus atau program yang telah ditawarkan bagi meningkatkan kemahiran diri para guru
yang terlibat. Antara program yang telah ditawarkan oleh kerajaan ialah Program Pensiswazahan
Guru (PPG), Program Khas Pensiswazahan Guru Besar (PKPGB) dan lain-lain. Dari segi penilaian
pelajar pula, dasar kerajaan yang perlu dilaksanakan seperti penilaian kemajuan berasaskan
sekolah (PKBS), penilaian hasil pembelajaran, perlaksanaan penanda aras dan ujian secara atas
talian akan menjadi perkara biasa dan merupakan satu cabaran kepada guru abad ke-21 (Gruber
et.al,1999). Cabaran lain yang perlu dihadapi oleh guru abad ke-21 adalah masalah sosial pelajar
yang perlu ditangani ke arah membentuk masyarakat madani. Masalah sosial yang semakin
berleluasa hari ini menyebabkan tugas guru semakin mencabar. Guru perlu memainkan peranan
semaksimum mungkin dalam memastikan masalah sosial pelajar hari ini berkurangan.

Cabaran seterusnya yang perlu dihadapi oleh guru dalam abad ke-21 ialah misi Kementerian
Pelajaran Malaysia (KPM) untuk membangunkan sistem pendidikan bertaraf dunia. Kurikulum hari
ini terus mengalami perkembangan pesat dari semasa ke semasa dan perubahan seperti ini sudah
semestinya mengubah harapan dan keperluan pelbagai pihak ke atas kecekapan dan keterampilan
para guru agar impian yang diwarwarkan menjadi kenyataan. Salah satu isu berkaitan misi KPM
ialah memperkenalkan mata pelajaran vokasional (MPV) dalam system pendidikan di sekolah hari
ini. Langkah ini adalah kesan daripada persaingan pendidikan global yang terarah kepada bidang
industri dan juga hasrat KPM bagi melahirkan sistem pendidikan bertaraf dunia.

1.3 Pelajar Abad ke-21

Dalam mana-mana sistem pendidikan, objektif asal adalah bagi mamastikan setiap pelajar
dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran untuk berjaya dalam sesebuah kehidupan. Sejarah sistem
pendidikan Malaysia seperti negara lain di dunia ialah memberi penekanan terhadap pembangunan
kandungan pengetahuan yang kukuh menerusi mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa.
Walaupun begitu, dari segi pengiktirafan di peringkat global, kemahiran pelajar adalah tidak
mencukupi sekadar menguasai kemahiran 3M (menulis, membaca, dan mengira) sahaja apabila
mereka meninggalkan bangku persekolahan kelak. Tumpuan bukan hanya kepada kepentingan
pemerolehan ilmu pengetahuan tetapi juga pembangunan kemahiran berfikir pada aras yang tinggi
bagi menghadapi era globalisasi menuju abad ke-21.

Pelajar abad ke-21 adalah terdiri daripada pelajar yang mempunyai ciri-ciri seperti berkeyakinan
tinggi, bersifat ingin tahu, berkemahiran dalam berfikir, berkemahiran kritis, berani mencuba, dan
bijak menyoal sejajar dengan kepesatan teknologi yang semakin pesat membangun. Pelajar abad
ke-21 seharusnya lebih profesional dan amat memahami tugas mereka sebagai pelajar. Kaedah
pembelajaran tidak lagi tertumpu hanya kepada guru semata- mata sebagai agen pemberian
maklumat utama. Sebaliknya mereka perlu melakukan pemerolehan maklumat daripada pelbagai
sumber yang ada dan kemudahan yang telah disediakan. Sesetengah sekolah mampu
melaksanakannya tetapi terdapat sesetengah sekolah yang masih berada di tapuk lama yang
sedang bergelut dengan persoalan asas pembelajaran iaitu kemampuan asas pelajar untuk
membaca, menulis, dan mengira. Perkara ini masih menjadi isu dan berada pada peringkat yang
mendukacitakan terutama di kawasan pedalaman yang kekurangan akses kepada maklumat dan
tahap ketersampaian yang rendah. Namun, masalah ini telah dikenal pasti dan telah sedaya upaya
cuba diatasi oleh pihak kementerian dengan mengambil pelbagai langkah supaya ekuiti atau
kesamarataan boleh dikecapi oleh semua pihak khasnya pelajar.

Prestasi pelajar di negara kita telah meningkat sejak beberapa dekad yang lalu, namun pencapaian
yang membanggakan itu memerlukan risiko iaitu dari segi relatif dan mutlak. Hal ini disebabkan
sistem pendidikan di negara lain dapat meningkatkan pretasi pelajarnya dengan lebih cepat dan
mampu mengekalkan momentum tersebut secara berterusan. Jurang pencapaian antara sistem
pendidikan Malaysia hari ini dengan negara maju yang lain semakin melebar. Pentaksiran
antarabangsa juga menunjukkan prestasi pelajar Malaysia semakin merosot dari segi mutlak.

Sepanjang dua dekad yang lalu, pentaksiran antarabangsa pelajar seperti Programme for
International Students Assessment (PISA) dan Trends in International Mathematics and Science
Study (TIMSS) telah muncul sebagai kaedah perbandingan langsung tentang kualiti keberhasilan
pendidikan daripada pelbagai system pendidikan. Pentaksiran ini mengambil kira pelbagai
kemahiran kognitif seperti aplikasi dan penaakulan.

Ketika Malaysia mengambil bahagian dalam TIMSS buat pertama kalinya pada tahun 1999, skor
purata pelajar mengatasi purata antarabangsa dalam Matematik dan Sains. Penyertaan dalam
pusingan yang terkini pada tahun 2007 menunjukkan prestasi pelajar Malaysia telah menurun
kepada bawah purata antarabangsa disusuli penurunan dari segi kedudukan negara. Lebih kritikal,
18% dan 20% pelajar Malaysia gagal mencapai tahap kemahiran minimum dalam Matematik dan
Sains pada tahun 2007, iaitu peningkatan dua hingga empat kali ganda daripada 7% dan 5% masing-
masing pada tahun 2003. Keputusan PISA pada tahun 2009 dan tahun seterusnya (penyertaan kali
pertama Malaysia) juga tidak memberangsangkan kerana kedudukan Malaysia terletak dalam
kelompok sepertiga terbawah dalam kalangan 74 buah negara peserta. Pencapaian ini telah
meletakkan Malaysia di bawah pencapaian purata antarabangsa dan OECD (Ekshibit 3). Hampir 60%
pelajar berumur 15 tahun yang menyertai PISA gagal mencapai tahap kemahiran minimum dalam
Matematik, manakala 44% dalam Bacaan dan 43% dalam Sains tidak mencapai tahap kemahiran
minimum. Perbezaan skor sebanyak 38 mata dalam PISA adalah bersamaan dengan satu tahun
persekolahan. Secara perbandingan, pencapaian pelajar berumur 15 tahun di Singapura, Korea
Selatan, Hong Kong dan Shanghai seolah-olah mempunyai tiga atau lebih tahun persekolahan
berbanding pelajar berumur 15 tahun di Malaysia.

Walaupun keputusan terkini TIMSS dan PISA telah mencetus kebimbangan, namun terdapat
banyak bukti kecemerlangan pelajar dan sekolah di seluruh negara yang telah mencapai standard
antarabangsa berdasarkan ukuran dalam bidang akademik dan bukan akademik. Kementerian telah
mengiktiraf 66 buah sekolah di bawah Program Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). Sekolah tersebut
merupakan yang terbaik kerana memiliki ciri-ciri yang unik, menghasilkan kecemerlangan akademik
dan bukan akademik pelajar secara tekal dan berkeupayaan untuk bersaing di peringkat
antarabangsa.
Sistem pendidikan negara juga berjaya mewujudkan sekolah, daerah dan negeri yang
menunjukkan peningkatan di luar jangkaan yang membanggakan. Sebagai contoh, sejak lima tahun
yang lalu, Johor merupakan salah sebuah negeri yang berada pada kedudukan lima terbawah
berdasarkan prestasi pelajar dalam UPSR. Johor telah melaksanakan program peningkatan
kemajuan sekolah yang menyeluruh dan berjaya meningkatkan pencapaiannya hanya dalam
tempoh lima tahun. Johor kini berada dalam kelompok tiga teratas.

1.4 Kemahiran Abad ke-21

Golongan pelajar merupakan satu produk yang terhasil melalui sistem pendidikan. Bagi menjamin
kualiti pendidikan, golongan pelajar sama ada di peringkat rendah mahupun tinggi haruslah
mempunyai keupayaan dari segi ilmu pengetahuan dan kemahiran selari dengan perkembangan
teknologi dan maklumat pada hari ini. Hasrat kerajaan Malaysia dalam menuju sebuah negara maju,
pengetahuan menjadi teras kepada semua perkara dan berhadapan dengan era Knowledge Based
Economy yang menuntut keperluan tenaga kerja yang mahir. Bagi menyokong dan memajukan K-
ekonomi yang menjadi teras kepada ekonomi inovasi, Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) akan
diarusperdanakan kepada masyarakat untuk mendapat pendidikan formal atau tidak formal. Hal ini
kerana penekanan kepada PSH akan membantu rakyat mencapai potensi diri sebenar sekali gus
akan menyumbang kepada proses pembangunan di peringkat komuniti setempat. Kemahiran dalam
menggunakan pelbagai bahasa khasnya Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin merupakan satu
aset penting dan menjadi batu loncatan dalam persaingan dunia K-ekonomi untuk membolehkan
rakyat Malaysia berdiri sama tinggi dengan bangsa lain di negara-negara maju.

Kepesatan dalam pembangunan dan teknologi hari ini menuntut rakyat Malaysia bersedia
menghadapi perubahan-perubahan tersebut. Peluang-peluang untuk meningkatkan ilmu dan
kemahiran perlu dirancang secara berterusan. Oleh itu, setiap insan khasnya para pelajar yang
dicorak oleh pendidikan haruslah bersedia dengan konsep PSH. Produk pendidikan yang perlu
dihasilkan iaitu sumber manusia dan modal insan mestilah yang berkeupayaan mencipta, berusaha
menghasilkan pembaharuan, menjana dan memanfaatkan idea baru serta menggunakan teknologi
dan kemahiran keusahawanan yang terbaik.

Pembangunan negara yang kukuh terletak kepada kejayaan kita melahirkan modal insan berkualiti
yang memenuhi ciri-ciri keperluan dalam abad ke-21. Modal insan merupakan pelaburan terpenting
untuk pembangunan sesebuah negara dan menjadi teras kepada inovasi dan ekonomi
berpendapatan tinggi yang produktif. Tiada negara yang mampu mencapai kemajuan tanpa
memiliki modal insan cemerlang yang berkemahiran tinggi, mampu bertindak balas dengan pantas
dan kreatif terhadap perubahan ekonomi dan berpaksikan kepada penjanaan serta penggunaan
pengetahuan. Justeru itu, membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia merupakan
prasyarat penting bagi mencapai hasrat negara.

Kelayakan pendidikan yang tinggi bagi menyokong pembangunan pengetahuan dan inovasi, tahap
kemahiran yang tinggi dalam bidang teknikal dan profesional serta paras produktiviti yang tinggi
adalah antara ciri utama modal insan dan tenaga kerja negara berpendapatan tinggi. Berdasarkan
ciri ini, usaha perlu ditumpukan bagi mencapai tahap modal insan yang bertaraf dunia menjelang
tahun 2020. Sudah tiba masanya kita menganjak paradigma kepada usaha meningkatkan modal
intelektual (intellectuals capital) berbanding melahirkan modal insan (human capital) semata-mata.
Dalam erti kata lain, pembangunan modal insan di negara tidak lagi bergantung kepada soal
menyediakan akses semata-mata sebaliknya membangunkan pengalaman dan pengetahuan yang
berkualiti dan diterima oleh seseorang individu atau pelajar selama berada di insituti pengajian. Hal
ini kerana modal intelektual akan berupaya menjamin pembangunan negara yang berkualiti dan
mampan.
Pengukuhan proses pembelajaran dan pelajaran di peringkat sekolah dan IPT mestilah
memanfaatkan kemajuan teknologi supaya lebih inovatif, kreatif dan menarik perhatian pelajar.
Selain itu, ciri-ciri pembelajaran mestilah berpusatkan pelajar (student centered) supaya proses
pembelajaran ini dapat memberi perhatian kepada aspek-aspek perkembangan dan potensi pelajar
secara menyeluruh. Beberapa langkah boleh diaplikasikan ke dalam proses ini iaitu
memperkayakan kreativiti dan inovasi, memaksimumkan ekosistem pengajian tinggi,
memanfaatkan globalisasi, kepimpinan institusi pendidikan bertranformasi dan kelestarian institusi
serta pengurusan bakat.
Era globalisasi kini yang memperlihatkan persaingan yang hebat tidak seharusnya mengekalkan
kita sebagai pengikut semata-mata tetapi sebagai pemimpin yang menerajui perubahan. Dalam
hubungan ini, pengajaran dan penyelidikan bagi tujuan pembinaan pengetahuan tempatan amat
penting dan signifikan untuk diterapkan di sekolah mahupun di IPT. Pengetahuan ini akan memacu
ekonomi berasaskan inovasi yang seterusnya menjadi asas kepada pemetaan Malaysia di peringkat
global. Faktor ini juga dapat membantu Malaysia mencapai hasrat dalam wawasan 2020. Keupayaan
dan kemampuan Malaysia sebagai pembekal produk pendidikan yang berkualiti menuntut usaha
penambahbaikan dan penanda aras yang berterusan. Kedudukan Malaysia yang semakin dikenali
sebagai pembekal pengajian tinggi yang berkualiti perlu dipertingkatkan kerana hasil yang
diperoleh bukan sahaja terhad kepada pengaliran wang keluar masuk negara malah hasil berbentuk
perkongsian ilmu dan peningkatan kepakaran.
Program-program pengantarabangsaan perlu difokuskan kepada usaha-usaha meletakkan
Malaysia sebagai pemain global di mana keterlibatannya dalam hal ini tidak seharusnya terhad
kepada program pertukaran pelajar dan staf sahaja tetapi memaksimumkan kelebihan Malaysia
dalam usaha-usaha kolaborasi dan memberi khidmat konsuitasi pada peringkat global. Melalui
program seumpama ini, sektor pengajian tinggi akan menekankan kepada inisiatif diplomatik dalam
usaha untuk berkongsi nilai-nilai Malaysia dengan seluruh dunia. Dengan program
pengantarabangsaan ini juga, guru dan pelajar dapat berkongsi ilmu dan kemahiran yang berbeza
daripada negara-negara maju yang lain. Ini sekaligus dapat meningkatkan kreativiti dan
penguasaan kemahiran peringkat global ke dalam diri para pelajar kita.
Persaingan pada abad ke-21 amat memerlukan para pelajar yang berani dari segi menampilkan diri
dengan pendapat, kreativiti, dan inovasi. Kemahiran soft skilled amat perlu dikuasai oleh setiap
pelajar supaya lebih berkeyakinan tinggi untuk bercakap, mempertahankan pendirian dan
memasarkan diri ke pasaran kerja semasa tempatan ataupun antarabangsa. Bagi menerapkan
kemahiran ini agar menjadi kebiasaan dalam diri pelajar, KPM dan pihak sekolah serta IPT perlu
menggembleng tenaga dan usaha bersama-sama serta mula menyusun program bercorak
pengaplikasian kemahiran yang membolehkan pelajar mempamerkan kelebihan masing-masing
agar dapat diaplikasikan ke dalam bidang-bidang tertentu yang boleh melonjakkan nama institusi
pendidikan kita dan menyumbang ke arah keberhasilan negara.
Oleh itu, pencapaian tahap kemahiran bergantung kepada peranan yang dimainkan oleh setiap
warga. Setiapa pelaksana yang kompeten dan mempunyai kemahuan untuk menyumbang atas
dasar kepentingan dan manfaat bersama kepada negara perlulah hadir secara berterusan.
Semangat dan iltizam serta keterbukaan setiap pelaksana untuk menilai secara berterusan daripada
tindakan-tindakan yang dilaksanakan perlulah seiring dengan perkembangan pada abad ke-21.
Langkah ini seterusnya akan dapat menambahbaik sistem pendidikan di Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai