Anda di halaman 1dari 6

BAHAGIAN B

3. NILAI PEMIKIRAN DALAM PANTUN MELAYU

Menurut Mohd Rashid Md Idris et. al (2014: 69) pemikiran bermula dengan idea, yang kemudiannya
dimatangkan pengarang menjadi subjek, akhirnya ia menjadi buah-buah fikiran yang bernas dan
signifikan. Setiap pengarang mempunyai cara yang tersendiri memilih bahan, mengejapkannya dan
kemudian menjelmakannya menjadi mesej, mutiara dan permata karya. Melalui kajian yang dibuat
terhadap sejumlah pantun yang terdapat dalam Pantun Melayu: Bingkisan Permata, didapati bahawa
terdapat unsur pemikiran dalam setiap pantun yang diungkapkan oleh masyarakat Melayu.
Perkataan-perkataan yang terdapat dalam pantun melambangkan cara pemikiran penutur yang luas.
Antara pemikiran yang terdapat dalam Pantun Melayu: Bingkisan Permata ialah:

Pemikiran Tentang Kewujudan


Pemikiran tentang kewujudan dalam pantun Melayu melambangkan:

i. Pemikiran tentang hubungan manusia dengan agama dan pencipta-Nya

Pemikiran tentang hubungan manusia dengan agama dan pencipta-Nya dapat dilihat dengan jelas
dalam pantun yang menunjukkan isu-isu kehidupan yang berlandaskan ajaran agama Islam.
Pemikiran tentang kewujudan ini meliputi aspek akidah dan prinsip yang berlawanan dengan akidah
Islam yang harus dihindari oleh masyarakat Melayu. Antara pantun yang mengungkapkan pemikiran
tentang kewujudan ini dapat dihubungkan dengan tema keagamaan, contohnya:

Menanam kelapa di Pulau Bekam


Tinggi sedepa sudah berbuah
Adat bermula dengan hukum
Hukum bersandar di Kitab Allah.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 89)

Pantun ini memberi maksud segala adat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu berasaskan kepada
kitab Allah. Kitab Allah yang dimaksudkan ialah Al-Quran dan segala hukum yang dilaksanakan oleh
masyarakat Melayu adalah berlandaskan kepada hukum-hukum Allah.

Anak gajah mandi di sumur


Ambil galah dalam perahu
Orang muda jangan takbur
Cubaan Allah siapa yang tahu.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 90)

Pantun di atas pula dijadikan peringatan kepada anak-anak muda Melayu supaya tidak mudah lupa
dan bangga dengan diri. Hal ini demikian kerana tiada sesiapa pun yang akan tahu apakah ujian yang
akan diberikan Allah kepada mereka yang lupa diri dan sombong. Masyarakat Melayu menjadikan
pantun ini sebagai nasihat kepada anak-anak mereka supaya tidak bersikap sombong.
Angin bertiup kembangkan layar
Haluan menuju ke Pekan
Hendaklah hidup berikhtiar
Kemudian serahkan kepada tuhan.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 93)

Pantun ini pula membawa maksud masyarakat Melayu mendidik diri mereka supaya rajin berusaha
dalam melakukan sesuatu kerja. Selepas berusaha, barulah mereka berserah dan bertawakal kepada
Allah. Hal ini menunjukkan bahawa masyarakat Melayu percaya setiap kerja yang dilaksanakan
dengan bersungguh-sungguh akan membuahkan hasil. Selain itu, mereka percaya kepada qada dan
qadar seiring dengan rukun iman yang keenam iaitu percaya kepada qada dan qadar.

Asam kandis asam gelugur


Ketiga asam si riang-riang
Menangis mayat di pintu kubur
Teringat badan tidak sembahyang.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 93)

Pantun di atas menerangkan tentang kepercayaan masyarakat Melayu terhadap balasan bagi mereka
yang tidak mengerjakan ibadah solat ketika masih hidup di dunia. Pantun ini dijadikan pengajaran
kepada masyarakat Melayu yang beragama Islam supaya tidak meninggalkan solat. Hal ini demikian
kerana solat merupakan rukun Islam yang kedua dan wajib dilakukan oleh mereka yang beragama
Islam.

ii. Kewujudan sesuatu benda dan fenomena alam

Konsep kewujudan sesuatu benda dan fenomena alam juga terdapat dalam pantun Melayu kerana
pemikiran orang Melayu yang berasaskan alam sekeliling menjadi konteks dalam kehidupan
masyarakat Melayu itu sendiri. Hasil daripada pengamatan masyarakat Melayu terhadap kejadian
alam yang berlaku di sekeliling seperti hujan, ribut, kilat telah menghasilkan sesuatu konsep dalam
pantun. Selain itu, dalam penciptaan pantun Melayu juga wujud faktor-faktor alam semester seperti
flora dan fauna. Contohnya dalam dilihat dalam pantun di bawah:

Anak kuda dalam kandang


Pandai menyepak tendang-menendang
Kalau nasib sudah malang
Rezeki secupak tidak mahu segantang.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 244)
Dalam pantun di atas, masyarakat Melayu menggunakan alam fauna sebagai pembayang iaitu kuda.
Anak kuda yang sudah pandai tendang-menendang dan hidup di dalam kandang merupakan situasi
yang biasa dilihat oleh masyarakat Melayu.

Daun empelas dalam puan


Puyuh mengeram dalam padi
Sangatlah belas hatiku tuan
Guruh menderam hujan tak jadi.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 245)

Bagi contoh pantun di atas pula, penggunaan faktor fenomena alam seperti guruh dan hujan merujuk
kepada cuaca. Kebiasaannya bunyi dentuman guruh membawa maksud hujan akan turun. Fenomena
ini merupakan kejadian yang berlaku di sekeliling masyarakat Melayu.

Tanam pisang tanam ubi


Ubi ditanam buatkan batas
Banyak orang bertanam budi
Dalam ingatan hendak dibalas.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 97)

Melalui pantun di atas, dapat dilihat penggunaan alam flora iaitu pisang dan ubi. Kedua-dua tanaman
ini merupakan tanaman masyarakat Melayu pada zaman dahulu. Mereka menanam ubi untuk
dijadikan makanan harian terutamanya semasa zaman pemerintahan Jepun.

Berdasarkan pantun-pantun di atas, dapatlah disimpulkan bahawa bahasa tidak boleh dipisahkan
dengan corak pemikiran dan budaya penutur. Hal ini demikian kerana pemikiran dan budaya
masyarakat Melayu merupakan satu panduan terhadap tindakan dan kepercayaan dalam hidup
mereka, di samping menjadi warisan sosial masyarakat Melayu.

Pemikiran Tentang Ilmu Pengetahuan


Ilmu pengetahuan amat dititikberatkan oleh masyarakat Melayu kerana ia dapat membentuk dan
menyuburkan fikiran masyarakat ke arah kesejahteraan. Selain itu, menuntut ilmu adalah selaras
dengan objektif Islam berdasarkan peristiwa turunnya ayat Al-Quran pertama di Gua Hira kepada
Nabi Muhammad S.A.W. Menuntut ilmu dalam Islam merupakan fardu ain, iaitu menjadi kewajipan
kepada semua individu yang bergelar Muslim. Sehubungan dengan itu, lahirlah pantun-pantun yang
menyeru masyarakat Melayu supaya menuntut ilmu. Antara pantun tersebut ialah,
Burung kenek-kenek
Terbang dalam semak
Pesan datuk nenek
Rajin-rajin pergi belajar.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 25)

Pantun di atas menunjukkan bahawa masyarakat Melayu sangat mementingkan pendidikan


terutamanya kepada generasi muda iaitu kanak-kanak. Hal ini dapat dilihat melalui burung kenek-
kenek yang sinonim dengan kanak-kanak dan pesan datuk nenek boleh merujuk kepada pesanan
orang tua kepada cucunya supaya rajin belajar.

Cempedak di luar pagar


Ambil galah tolong jolokkan
Saya budak baru belajar
Kalau salah tolong tunjukkan.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 98)

Pantun ini pula menunjukkan bahawa budaya masyarakat Melayu yang sentiasa ingin ditegur dan
diberi tunjuk ajar ketika mereka menuntut ilmu dan melakukan kesalahan. Sikap ini juga
mencerminkan masyarakat Melayu yang mementingkan ilmu pengetahuan dan mengharapkan
tunjuk ajar daripada orang lain.

Pokok kelapa di tanam berjajar


Nampak dari tepi pantai
Barang siapa rajin belajar
Tentu dia menjadi pandai.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 24)

Pantun di atas pula menunjukkan bahawa masyarakat Melayu percaya bahawa masyarakatnya akan
menjadi pandai dan bijaksana sekiranya mereka rajin belajar. Kepandaian dan kebijaksanaan
masyarakat bergantung kepada kerajinan mereka menimba ilmu.

Anak ayam turun sepuluh


Mati seekor tinggal sembilan
Kutuntut ilmu bersungguh-sungguh
Akan bekalan hari kemudian.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 134)

Pantun ini turut membuktikan bahawa masyarakat Melayu mementingkan pendidikan dan ilmu
pengetahuan. Hal ini dapat dilihat dalam dua baris akhir di atas yang menggambarkan mereka
menuntut ilmu bersungguh-sungguh untuk dijadikan bekalan pada masa hadapan.
Melalui contoh-contoh di atas, dapat dirumuskan bahawa pemikiran masyarakat Melayu yang
melibatkan menuntut ilmu pengetahuan adalah selaras dengan ajaran Islam. Menuntut ilmu
pengetahuan dalam Islam termasuk dalam kategori ibadah. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa
masyarakat Melayu memandang tinggi kepada usaha menuntut ilmu itu sendiri.

Pemikiran Tentang Tingkah Laku Dan Moral Manusia


Masyarakat Melayu juga mengaitkan persoalan mengenai tingkah laku dan moral manusia dalam
hubungan antara manusia dengan manusia. Moral di sini bermaksud satu sistem yang menilai
tindakan zahir manusia itu sendiri meliputi pemikiran, perasaan dan niat. Nilai-nilai moral ini bersifat
sementara, subjektif dan relatif. Di samping itu, segala tindak tanduk dan tingkah laku masyarakat
yang wajar dan tidak wajar dilakukan juga diungkap dalam pentun Melayu. Hal ini bertujuan sebagai
pengajaran dan teladan kepada masyarakat supaya dapat dipraktiskan dalam kehidupan seharian.
Antara pantun yang menyatakan perihal tingkah laku dan moral manusia adalah seperti berikut:

Ayun anak ayun


Ayun sampai hujung serambi
Bangun anak bangun
Jangan tidur meninggi hari.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 19)

Pantun di atas membuktikan bahawa masyarakat Melayu tidak membudayakan tidur sehingga lewat
hari atau dengan kata lainnya sehingga matahari naik. Hal ini demikian kerana selepas subuh
merupakan masa mereka mencari rezeki. Mereka percaya amalan tidur sehingga tinggi hari akan
menutup pintu rezeki mereka.

Burung kenek-kenek
Terbang ke pucuk tebu
Pesan datuk nenek
Jangan derhaka pada ibu.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 25)

Dalam contoh pantun ini, masyarakat Melayu amat menitik beratkan hubungan anak-anak terhadap
orang tuanya terutama ibu. Hal ini juga turut menjadi budaya yang ditanam dalam diri masyarakat
Melayu melalui rangkap pantun. Menghormati ibu bapa adalah tanggungjawab anak-anak. Hal ini
demikian kerana ibu bapalah yang banyak menabur bakti kepada anak-anak terutmanya ibu.
Tinggi rimbun pohon sena
Tempat bersarang si burung enggang
Bantalku gebu tidak tidur lena
Ingatkan hutang keliling pinggang.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 246)

Pantun di atas pula merupakan pantun yang menyatakan kehidupan bagi mereka yang berhutang.
Hal ini merupakan pengajaran yang ingin diterapkan dalam diri masyarakat Melayu supaya tidak
berhutang kerana dengan berhutang akan memakan menghantui diri mereka sendiri.

Anyam ketupat bawa belayar


Diletak di atas peti
Hutang piutang dapat dibayar
Terhutang jasa dibawa mati.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 95)

Pantun di atas juga menunjukan bahawa masyarakat Melayu menanamkan prinsip hutang budi tidak
mampu dibayar dan dibawa mati. Segala jenis hutang-piutang berbentuk harta benda boleh dibayar,
tetapi bukan hutang budi.

Berdasarkan pantun-pantun di atas, jelaslah menunjukkan bahawa hubungan bahasa dan pemikiran
masyarakat Melayu berkait rapat dengan tingkah laku dan moral. Pemikiran dan kebahasaan
masyarakat Melayu yang terkandung dalam rangkap pantun bersifat humanistik dan relatif. Marilah
kita sama-sama menghayati sedutan pantun di bawah sebagai halwa telinga dan mengkaji falsafah
melayu itu sendiri.

Anda mungkin juga menyukai