Anda di halaman 1dari 1

Konsep profesionalisme perguruan

Perguruan adalah satu profesion yang bermatlamatkan pembentukan insan dan


ihsan manusia yang sempurna agar manusia yang sempurna itu mengerti tentang
peranan dan tanggungjawab mereka terhadap diri sendiri, masyarakat, alam yang
mereka diami serta terhadap keesaan yang Maha Pencipta. Menurut perspektif
agama, kedudukan seorang guru adalah setaraf dan semulia dengan pemimpin
negara dan tugas mendidik ahli masyarakat merupakan satu ibadah yang dituntut.
Dari segi konsep profesionalisme adalah satu nilai yang berkait rapat dengan
fungsi pekerjaan seseorang. Ia perlu wujud dalam diri seseorang jika matlamat
pekerjaan menuju ke arah keberkesanan, produktiviti, kecekapan dan
tanggungjawab.

Profesionalisme pada asasnya dianggap suatu nilai yang murni jika individu
mengamalkan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi, tidak mementingkan
diri atau suka memilih pekerjaaan. Profesionalisme seseorang guru berkait rapat
dengan mutu pendidikan di beberapa segi, seperti sikap dan nilai guru dalam
pengajaran umpamanya, akan mempengaruhi minat, sikap dan nilai pelajar. Begitu
juga dengan pendekatan yang digunakan turut memberi pengaruh terhadap tingkah
laku, tahap penerimaan dan kefahaman pelajar dengan pembelajaran. Mutu
pendidikan juga berkait rapat dengan keberkesanan dalam menggunakan sumber
pengajaran secukupnya yang turut mempengaruhi minat, kefahaman, penyertaan
dan pencapaian pelajar dalam pembelajaran. Mutu pendidikan berhubung dengan
personaliti guru yang akan menentukan iklim pembelajaran pelajar.

Keberkesanan dalam profesion perguruan berkait rapat dengan keupayaan dan


usaha guru yang gigih untuk menyempurnakan tanggungjawab terhadap pelajar,
sekolah dan masyarakat. Antara tumpuan keberkesanan dalam profesion ini ialah
sejauh mana berkesannya penggunaan sumber dan teknologi pengajaran,
penggunaan kaedah pengajaran, mewujudkan suasana pembelajaran yang sihat dan
berkesan dalam bilik darjah, pengawalan bilik darjah serta keberkesanan
menanamkan sikap serta nilai-nilai murni pembelajaran di kalangan pelajar.