Anda di halaman 1dari 10

BAB 3

METODOLOGI

3.1 Pendahuluan

Kajian ini dijalankan untuk mengkaji keberkesanan penggunaan kaedah Pembelajaran Koperatif

model STAD dalam mengatasi masalah dalam topik operasi bercampur penambahan dan

penolakan bagi murid tahun empat. Pengkaji juga akan melihat sejauh manakah pendekatan ini

akan membawa peningkatan dari segi minat, pengusaan pembelajaran dan interaksi antara pelajar

dalam kelas dibandingkan dengan pembelajaran yang diajar dengan kaedah tradisional.

Berdasarkan tujuan kajian ini, bab ini membincangkan reka bentuk kajian, persampelan,

instrumen kajian, tatacara pengumpulan data dan penganalisaan data. Metodologi penyelidikan

merupakan elemen yang sangat penting dalam sesuatu kajian kerana ia meliputi bagaimana

seorang pengkaji akan menjalankan penyelidikan dengan sempurna. Selain ini, ia dapat

membantu pengkaji dalam memastikan kajiannya dapat dijalankan dengan tersusun dan

sistematik sehingga menghasilkan keputusan yang baik dan tepat.

3.2 Reka bentuk Kajian

Kajian ini bercorak eksperimental di mana pengkaji menggunakan dua kumpulan yang berbeza

untuk mendapatkan keberkesanan Pembelajaran Koperatif model STAD. Kajian ini melibatkan

dua kelas tahun empat yang lebih kurang sama pencapaian dalam matematik pada Peperiksaan

Pertengahan Tahun. Pengkaji menggunakan kelas-kelas yang sedia ada yang telah ditetapkan
oleh pihak sekolah. Satu kelas dinamakan kumpulan rawatan iaitu kumpulan yang diajar dengan

menggunakan kaedah Pembelajaran Koperatif. Satu lagi kelas dinamakan kumpulan kawalan

yang diajar dengan kaedah pembelajaran tradisional. Kedua-dua kumpulan mempunyai

pencapaian akademik yang hampir sama sebelum kajian ini dijalankan. Reka bentuk kajian ini

adalah ujian pra diberikan kepada pelajar kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan. Ini adalah

untuk mengkaji pemahaman terhadap topik operasi bercampur penambahan dan penolakan.

Kajian ini mengambil masa selama satu minggu untuk menguji keberkesanan kaedah

Pembelajaran Koperatif model STAD. Pengkaji akan menggunakan kaedah Pendekatan

Koperatif model STAD kepada pelajar kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan akan

diteruskan dengan kaedah pembelajaran tradisional.

Selepas penggunaan kaedah Pembelajaran Koperatif model STAD dan kaedah

pembelajaran tradisional selama enam jam dijalankan, ujian pasca diberikan kepada kedua-dua

kumpulan untuk melihat sama ada kaedah yang digunakan dapat mengubah pencapaian pelajar

dan mengenalpasti perbezaan antara kumpulan dalam topik tersebut. Soalan soal selidik diberi

kepada kumpulan rawatan untuk mengetahui persepsi pelajar dari segi minat, penguasaan

pembelajaran dan interaksi pelajar dalam kelas. Terdapat dua persoalan dalam kajian ini. Ujian

pra dan ujian pasca digunakan untuk menganalisis data dan membuktikan persoalan pertama.

Manakala, persoalan kajian kedua dianalisis dengan menggunakan soal selidik dalam kajian ini.

3.3 Sampel kajian

Populasi kajian terdiri daripada pelajar Tahun 4 di SJK(T) Ladang Batu Kawan, Simpang

Ampat, Pulau Pinang. Pelajar yang dikaji adalah terdiri daripada kaum India dan berlainan
jantina. Pelajar yang dipilih adalah terdiri daripada pelajar yang mempunyai pencapaian

akademik yang sama iaitu tahap sederhana. Kelas 4 Valluvar adalah kelas yang kedua manakala

Kelas 4 Ganthi adalah kelas yang ketiga daripada 4 buah kelas tahun empat sekolah itu.

Kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan ditentukan secara rawak. Kelas 4 Valluvar dijadikan

sebagai kumpulan rawatan manakala kelas 4 Ganthi dijadikan sebagai kumpulan kawalan. Minat

dan komposisi jantina adalah lebih kurang sama bagi kedua-dua kumpulan. Pengkaji terlebih

dahulu mendapatkan kebenaran daripada guru besar sekolah berkenaan sebelum menjalankan

kajian ini. Pelajar tahun 4 dipilih kerana mereka tidak terlibat dengan peperiksaan umum.

Jadual 3.3.1: Jumlah Sampel Mengikut Kumpulan

Nama Kumpulan Jumlah Calon Jantina

L P

4 Valluvar (Kumpulan rawatan) 30 13 17

4 Ganthi (Kumpulan kawalan) 30 12 18

3.4 Instumen kajian

Instrumen kajian terdiri daripada ujian pra (Lampiran A), ujian pasca (Lampiran B) dan soal

selidik (Lampiran C). Instrumen ujian pra dan ujian pasca digunakan untuk mengukur skor

pencapaian ujian, manakala soal selidik digunakan untuk mengukur persepsi pelajar dari segi

minat, penguasaan pembelajaran dan interaksi antara pelajar terhadap kaedah Pembelajaran

Koperatif model STAD.

i) Ujian Pra
Dalam kajian ini ujian pra digunakan untuk mengetahui sejauh mana pengetahuan sedia ada

pelajar dalam topik ini. Ujian pra akan diberikan kepada kedua-dua kumpulan pelajar sebelum

sesi pengajaran. Skor ujian pra ini dikira dan dianalisis untuk kedua-dua kumpulan. Sebanyak 20

soalan subjektif telah dibina bagi menguji pencapaian pelajar dalam topik operasi bercampur

penambahan dan penolakan tahun empat. Skema jawapan disediakan oleh pengkaji.

ii) Ujian Pasca

Ujian pasca pula digunakan untuk menguji pelajar setelah dirawat ke atas kedua-dua kumpulan

pelajar yang terlibat iaitu Pembelajaran Koperatif model STAD bagi kumpulan rawatan dan

pembelajaran tradisional bagi kumpulan kawalan. Ini bertujuan mengukur secara khusus

sejauhmana pelajar telah menguasai topik operasi bercampur penambahan dan penolakan. Soalan

adalah sama seperti yang diberikan dalam ujian pra yang lepas tetapi angkanya adalah berbeza.

Kedua-dua ujian pra dan pasca dibina oleh pengkaji sendiri. Soalan ujian yang telah dibina

berpandukan kepada buku teks dan buku rujukan yang digunakan oleh pelajar di sekolah. Kedua-

dua ujian pra dan ujian pasca akan dianalisis berdasarkan skor pencapaian dan dikategorikan

kepada gred seperti berikut.

Jadual 3.4.1(i): Gred Pemarkahan


MARKAH GRED

85-100 A (Cemerlang)

70-84 B (Baik)

60-69 C (Kepujian)

50-59 D (Sederhana)

40-49 E (Lulus- mencapai tahap penguasaan yang minimum)

00-39 F (Gagal)

iii) Soal Selidik

Borang soal selidik telah digunakan untuk mendapatkan maklumat atau data mengenai

pembolehubah yang dikaji. Borang soal selidik ini terdiri daripada satu bahagian sahaja dan ia

mengandungi tiga kategori persepsi seperti ditunjukkan dalam jadual 3.4.1(ii). Item-item borang

soal selidik diambil daripada kajian lepas (Roslina, 2001).

Jadual 3.4.1(ii) : Pernyataan Taburan Persepsi Pelajar Terhadap Pembelajaran Koperatif Model STAD

Bil Kategori No.item Jumlah item


1 Minat terhadap pembelajaran koperatif 1,2,3,4,5,6 6

2 Penguasaan pembelajaran 7,8,9,10 4

3 Interaksi dalam kelas 11,12 2

Jumlah Item 12

Jawapan bagi item-item dalam soal selidik ini mempunyai suatu julat nilai dengan

menggunakan skala Likert. Skala Likert mengandungi satu siri pernyataan-pernyataan mengenai

persepsi pelajar terhadap kaedah Pembelajaran Koperatif dengan menggunakan skala lima skor

seperti dalam jadual 3.4.1(iii) berikut:-

Jadual 3.4.1(iii): Pemarkahan Item-item Skala Likert

Skala Respon Skor

Skala 1 Sangat Tidak Setuju (STS) 1

Skala 2 Tidak Setuju (TS) 2

Skala 3 Tidak Pasti (TP) 3

Skala 4 Setuju (S) 4

Skala 5 Sangat Setuju (SS) 5

3.5 Kajian Rintis

Sebelum kajian sebenar dijalankan, kajian rintis telah dilakukan terlebih dahulu untuk

mengetahui kesahan dan kebolehpercayaan soal selidik yang dibina. Tujuan kajian rintis ini

adalah untuk mengetahui sejauhmana kesesuaian keseluruhan penggunaan istilah dan struktur

ayat. Kajian rintis juga berfungsi untuk mengetahui sejauhmana responden memahami setiap
pernyataan soalan soal selidik yang digunakan dan kehendak soalan. Kajian rintis juga

dijalankan bertujuan mengesan masalah yang mungkin berlaku semasa menjalankan kajian

sebenar. Seramai 20 orang pelajar dari tahun 4 SJK(T) Sungai Bakap dipilih untuk menjalankan

kajian rintis. Sebelum kajian rintis dijalankan, soal selidik tersebut telah dilihat dan disahkan

oleh ketua panitia matematik dan SJK(T) Sungai Bakap Puan.Cithra, guru pakar yang

mempunyai pengalaman bekerja 14 tahun. Data bagi kajian ini dianalisis menggunakan kaedah

Alpha Cronbach dalam perisian SPSS versi 21 untuk mendapatkan nilai kebolehpercayaan soal

selidik tersebut. Menurut Mohamed Najib (1999) ujian yang mempunyai nilai alpha 0.7 dan ke

atas merupakan ujian yang berkebolehpercayaan tinggi. Nilai kebolehpercayaan yang diperolehi

adalah α = 0.798. Nilai kebolehpercayaan ini menunjukkan soal selidik tersebut adalah bagus dan

boleh digunakan untuk kajian.

Untuk ujian pra dan pasca pula pengkaji telah mendapat pengesahan daripada ketua

panitia matematik SJK(T) Sungai Bakap Puan Cithra, guru pakar yang mempunyai pengalaman

14 tahun bagi mengelakkan kesilapan dan memastikan mengikut sukatan pelajaran matematik

tahun 4.

3.6 Prosedur Pengumpulan Data

Sebelum pengajaran dan pembelajaran dimulakan, kedua-dua kumpulan iaitu kumpulan rawatan

dan kumpulan kawalan telah mengambil ujian pra bagi mendapatkan skor awal pelajar dalam

topik operasi bercampur penambahan dan penolakan. Kemudian, kumpulan rawatan dan

kumpulan kawalan akan diajar topik Operasi bercampur. Bagi kumpulan rawatan diajar dengan
kaedah Pembelajaran Koperatif model STAD, manakala kumpulan kawalan diajar dengan

menggunakan kaedah tradisional.

Walaupun kaedah berbeza bagi kedua-dua kumpulan, namun latihan yang diberikan adalah

sama. Aktiviti yang diberikan kepada kumpulan rawatan adalah berorientasikan kepada strategi

pengajaran model STAD di mana pelajar-pelajar melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti

kumpulan. Dalam pengajaran kumpulan tradisional, guru memainkan peranan utama.

Selepas tamat tempoh olahan dengan kaedah Pembelajaran Koperatif Model STAD selama

enam jam untuk kumpulan rawatan dan pengajaran tradisional bagi kumpulan kawalan, kesemua

pelajar mengambil ujian pasca mengenai topik yang telah diajar. Kemudian disusuli dengan soal

selidik untuk mendapatkan data mengenai persepsi pelajar kumpulan rawatan terhadap kaedah

Pembelajaran Koperatif model STAD.

3.7 Prosedur Analisis Data

Data yang dikumpulkan dari instrumen kajian dianalisis dalam bentuk statistik bagi mencari

frekuensi, peratusan dan perbandingan skor min bagi ujian pra dan ujian pasca. Pengkaji

mendapatkan statistik inferensi menggunakan Ujian-t berpasangan untuk menguji hipotesis iaitu

mengkaji sama ada terdapat perbezaan yang signifikan di antara min markah ujian pra dan ujian

pasca dalam kumpulan rawatan dan kawalan. Paras signifikan untuk membuat keputusan

ditetapkan pada aras 0.05. Hipotesis nol akan ditolak sekiranya nilai p yang diperolehi kurang

daripada 0.05 dan sebaliknya. Ujian-t sampel-sampel bebas digunakan untuk menganalisis

perbezaan min ujian pra dan pasca antara kumpulan rawatan dan kawalan. Ujian-t satu sampel
juga digunakan untuk menganalisis soal selidik. Semua data yang diperolehi dianalisis dengan

menggunakan perisian Statistical Package for the Social Science (SPSS) versi 21.

Maklumat mengenai gred dan markah matematik pelajar bagi ujian pra dan pasca

ditentukan berdasarkan jadual 3.4.1(ii). Maklumat ini akan digunakan untuk mencari hubungan

antara keberkesanan Pembelajaran Koperatif model STAD dengan pencapaian pelajar Skor

maksimum adalah 100%. Skor pelajar dikategorikan kepada beberapa tahap pencapaian iaitu

cemerlang, baik, kepujian, sederhana, tahap minimum (lulus) dan gagal seperti yang ditunjukkan

dalam jadual 3.4.1 (ii). Gred pemarkahan ini adalah ditentukan seperti yang ditentukan oleh

Kementerian Pelajaran Malaysia dan ia digunapakai di semua sekolah.

3.8 Prosedur Kajian

Pengkaji telah menjalankan kajian ini dengan keizinan dan kebenaran daripada guru

besar dan pelajar itu sendiri. Penyelidik menggunakan pelajar kelas 4 Valluvar dan 4 Ganthi

sebagai sampel kajian. Kedua-dua kaedah pengajaran tradisional dan Pembelajaran koperatif

akan dijalankan bagi tajuk yang sama bagi kedua-dua kelas tahun 4. Pengkaji akan menjalankan

pengajaran dengan menggunakan pendekatan Pembelajaran koperatif bagi tajuk yang sama untuk

kumpulan rawatan sahaja. Manakala, kumpulan kawalan akan diteruskan dengan pengajaran

tradisional. Pengajaran bagi kedua-dua kumpulan ini akan dijalankan pada hari dan lokasi yang

telah ditetapkan di sekolah tetapi masa yang berlainan. Ia akan diikuti dengan jadual yang telah

disediakan oleh pihak sekolah.

3.9 Rumusan

Dalam bab ini telah dihuraikan tentang reka bentuk kajian secara terperinci yang melibatkan

penggunaan Pembelajaran Koperatif model STAD dan pembelajaran tradisional terhadap dua
kumpulan kajian iaitu kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan. Kumpulan rawatan telah

mengikuti kaedah Pembelajaran Koperatif model STAD bagi topik operasi bercampur

penambahan dan penolakan. Selain itu, telah dijelaskan mengenai alat-alat yang digunakan

dalam kajian iaitu ujian pra, ujian pasca dan item-item soal selidik. Selain daripada itu, prosedur

kajian dan analisis data juga telah dibincangkan dalam bab ini. Perlaksanaan Pembelajaran

Koperatif dalam bilik darjah telah memberi peluang kepada guru dan pelajar menilai

keberkesanannya. Data yang dikumpulan berharap akan membantu dalam menentukan

sejauhmana keberkesanaan Pembelajaran Koperatif model STAD dalam pengajaran dan

pembelajaran dapat meningkatkan pencapaian pelajar.

Anda mungkin juga menyukai