Anda di halaman 1dari 5

Solat Sunat Istikharah

Solat ini dilakukan untuk mendapatkan petunjuk, terutama bila seseorang dalam keraguan
memutuskan mana yang terbaik diantara dua perkara yang diragukan.

Jika timbul keraguan dalam hati untuk memilih atau mengambil keputusan dalam sesuatu
perkara, contohnya: apakah aku harus menolak atau menerima? Keraguan makin terasa,
keputusan tidak dapat dipastikan setelah melihat masing-masing ada kelebihan dan
keburukannya.

Oleh yang demikian, hendaklah menyerahkan pada Yang Maha Kuasa untuk memilihnya.
Sebelum seseorang mengambil keputusan ia dianjurkan solat istikharah dua rakaat.

Dengan mengharapkan agar ditunjukkan Allah untuk mendapatkan pilihan yang terbaik. Jika
keraguan masih mempengaruhi fikiran untuk menentukan pilihan, ulangilah solat istikharah dan
membaca doanya, walaupun pengulangan sampai 7 kali berturut-turut.

Selepas itu, bertawakkal kepada Allah, pilihlah salah satu daripadanya, ambillah yang mana arah
‘hati’ lebih cenderung setelah berdoa. Jangan menimbulkan lagi keraguan, yakinlah bahawa itu
adalah pilihan terbaik dari yang Maha Kuasa.

Jangan merasa kecewa andai ternyata dalam keputusan yang dipilih menimbulkan keinginan
yang tidak disukai. Ingatlah bahawa ini adalah yang telah digariskan pada azali yang tidak dapat
dielakkan, besar kemungkinan mengandungi hikmah, membawa kebaikan dimasa akan datang,
hendaklah tetap mempunyai husnuz-zan kepada Allah.

Khaifiat Solat Istikharah

Tata cara solat istikharah lebih kurang sama dengan solat subuh, Hanya niatnya saja yang
berlainan, iaitu berniat solat istikharah. dilaksanakan sebelum tidur ataupun setelah bangun
tidur.

Sangat baik dilakukan sesudah lewat tengah malam disaat sunyi, supaya hati lebih khusyuk
dalam mengemukakan permohonan kepada Allah.

Solat ini sangat peribadi sifatnya. Sebab itu harus dikerjakan sendirian. Solat ini tidak memakai
azan atau iqomah.

Lafaz niat:-

“Ushalli Sunnatal Istikharaati Rak’ataini Lillahi Ta’aala”


“Sahaja Aku sembahyang sunnat istikharah 2 rakat tunai kerana Allah Ta’ala”

Rakaat pertama-

Baca surah Al-fatihah dan surah Al-kafirun

Rakaat kedua-

Baca surah Al-fatihah dan surah Al-ikhlas

Selepas salam, bacalah doa yang disarankan dalam istikharah.

Dalam berdoa sebaiknya menyebutkan permintaan yang ingin diberikan petunjuk oleh Allah
s.w.t. misalnya:

“Ya Allah, jika hal ini….( sebutkan namanya )”

Doa istikharah

Setelah selesai solat, berdoa seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW:

“Ya Allah, saya memohonkan pilihan menurut pengetahuanMu dan memohonkan


penetapan dengan kesuasaanMu juga saya memohonkan kurniaMu yang besar, sebab
sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mengetahui dan saya tidak mengetahui apa-apa.
Engkau Maha Mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah, jikalau di dalam ilmuMu bahawa
urusan saya ini……..baik untukku dalam agamaku, kehidupanku serta akibat urusanku,
maka takdirkanlah untukku dan mudahkanlah serta berikanlah berkah kepadaku di
dalamnya. Sebaliknya jikala di dalam ilmumu bahawa urusan ini buruk untukku, dalam
agamaku, kehidupan serta akibat urusanku, maka jauhkanlah hal itu daripadaku dan
jauhkanlah aku daripadanya serta takdirkanlah untukku yang baik-baik saja dimana saja
adanya, kemudian puaskanlah hatiku dengan takdirMu itu.”
Antara fadhilat Solat Istikharah

Apabila kita sebut sahaja Solat Istikharah kebanyakan di kalangan kita hanya terkenangkan
ketika hendak memilih jodoh. Ia begitu sinonim sekali dalam membuat keputusan untuk memilih
bakal teman hidup tidak kira bagi lelaki atau perempuan.

Perkara ini mungkin berlaku kerana penekanan di kalangan sesetengah Ustaz dalam soal
istikharah ini dikaitkan dengan memilih jodoh sahaja.

Sebenarnya amalan Solat Sunat Istikharah ini skopnya lebih luas. Kita kadang-kadang tidak
diberikan peringatan dalam soal ini.

Sedangkan amalan Solat Istikharah ini sangat-sangat di galakkan oleh Rasulullah sebagaimana
disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari;

Mahfum Hadis: Dari Jabir ra., ia berkata: “Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah
dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran. Kalau seseorang dari
kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa:

“Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu
menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat
besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat
mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala
yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam
urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan
datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku
padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini membawa kejahatan kepadaku
dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan
datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya,
kemudian jadikanlah daku meredhainya.”

Betapa pentingnya Solat Istikharah ini sebagaimana pentingnya kita mempelajari al-
Quran.

Sebagai satu iktibar dan renungan penulis ingin berkongsi beberapa contoh kisah benar yang
berlaku di kalangan sahabat-sahabat yang terlupa mengamalkan solat istikharah. Nama dalam
kisah ini bukan nama sebenar.

Kisah – 1

Setelah berpindah randah dari satu rumah sewa ke rumah sewa, akhirnya tergerak hati Salim
untuk memiliki rumah sendiri. Lalu dia melihat iklan di surat khabar dan berkenan dengan
tawaran rumah yang agak munasabah harganya. Rumah tersebut masih belum dibina lagi tetapi
pihak pemaju telah menawarkan pakej jualan yang istimewa. Pihak pemaju perumahan memberi
jaminan rumah tersebut akan siap dalam masa dua tahun. Salim berminat dengan rumah tersebut
lalu terus membelinya. Kini lima tahun telah berlalu, projek perumahan itu telah terbengkalai
kerana pemaju telah bankrupt. Salim terpaksa membayar ansuran bulanan hutang kepada bank
walaupun rumah yang diidamkan masih tidak wujud.

Kisah – 2

Abu dan Salmah telah berkahwin selama 4 tahun. Mereka dikurniakan dengan dua orang cahaya
mata. Anak yang sulung telah berumur 3 tahun dan yang kedua masih 8 bulan. Mereka berasa
agak susah hendak ke sana kemari kerana hanya memiliki motosikal. Satu hari Salmah
mencadangkan kepada Abu untuk membeli kereta. Abu lalu terus pergi ke Perodua Show room
untuk melihat-lihat kereta. Dia berkenan dengan model Kelisa lalu terus membelinya. Selang
sebulan keretanya kena curi. Dah enam bulan berlalu keretanya masih tidak ditemui, tetapi dia
masih membayar ansuran bulanan dengan pihak bank kerana pampasan yang pihak insurans bagi
tidak mencukupi untuk melangsaikan bayaran baki hutang dengan pihak bank.

Kisah – 3

Munirah akhirnya terpikat dengan pujukan rakan satu ofisnya Hafsah untuk melabur dalam satu
skim pelaburan di internet. Dia akhirnya mengeluarkan sehingga RM10,000 untuk pelaburan
tersebut. Dua tahun telah berlalu duit pelaburannya lesap tak nampak bayang.

Kisah – 4

Rashid dan Zakiah telah mempunyai tiga orang anak. Mereka bercadang untuk mengambil
pembantu rumah Indonesia. Mereka pergi ke agensi pembantu rumah dan terus memilih seorang
pembantu rumah yang terdapat dalam senarai biodata. Selang dua bulan pembantu rumah pun
sampai dan berkhidmat kepada mereka seperti yang dijangkakan. Tiga bulan berlalu tiba-tiba
pada satu hari didapati pembantunya telah lari dari rumah.

Kisah yang dipaparkan di atas adalah kisah benar di mana penulis sendiri bertanya kepada
mereka adakah mereka telah melakukan Solat Istikharah sebelum memilih atau membuat
keputusan. Mereka kata langsung tak terfikir hendak melakukannya.

Kisah – 5

Iskandar berumur 40 tahun telah berkahwin dan mempunyai enam orang anak. Suatu hari dia
mendapat telefon dari kawan baiknya Jaafar. Jaafar hendak memberikan satu hadiah istimewa
kerana jasa Iskandar yang telah menyelesaikan masalah keluarganya. Jaafar hendak menawarkan
kepadanya perbelanjaan pakej menunaikan haji untuk suami isteri ditanggung sepenuhnya iaitu
RM15,000 setiap orang. Hati Iskandar gembira bukan kepalang kerana sudah lama dia
mengidam untuk menunaikan haji. Lagipun duit simpanan dalam tabung hajinya baru RM3000.
Iskandar tidak terus menerima hadiah tersebut sebaliknya dia memberi tempoh tiga hari untuk
membuat keputusan. Iskandar melakukan Solat Istikharah tiga malam berturut-turut. Pada hari
keempat dia berjumpa Jaafar mengatakan dia sangat berat untuk menerima hadiah tersebut. Dia
mengatakan ingin pergi menunaikan haji dengan duit pendapatan sendiri. Jaafar agak kecewa,
dipujuknya namun Iskandar tidak terima juga. Selang dua bulan selepas itu baru Iskandar
mendapat tahu duit yang hendak diberikan kepadanya itu adalah dari duit riba iaitu interest bank
konvensional akaun simpanan tetap Jaafar. Jaafar telah tersalah sangka. Disangkanya bahawa
duit riba boleh dihadiahkan kepada orang lain tetapi tidak boleh digunakan sendiri.

Kisah – 6

Cikgu Imran telah mendapat arahan pertukaran sekolah dari Sabak Bernam ke Sandakan. Bila
menerima surat tersebut hatinya agak gembira kerana ingin memberi khidmat di kawasan
pedalaman. Baginya tidak ada masalah sebab masih bujang, dan teringin sangat hendak ke
Sabah. Dia solat Istikharah walaupun keputusan telah ditetapkan oleh kementerian kepadanya.
Dia berdoa “Ya Allah kalau pemergian aku ke Sandakan ini baik untukku dan agamaku maka
permudahkanlah jika tidak kau gantikanlah dengan yang lebih baik dan sempurna”. Selang dua
minggu Pengetua disekolahnya memberitahu kepadanya pertukaran dia ke Sabah di tarik balik
disebabkan masalah teknikal. Dia rasa agak pelik namun tidak kecewa malah tetap gembira
kerana telah melakukan solat istikharah. Dia yakin ini yang terbaik di pilih oleh Allah untuknya.
Selang sebulan dia bertemu Jodoh dengan Ustazah (al-Hafizah) yang baru berpindah di taman
tempat dia tinggal.

Semua kisah yang dipaparkan di atas adalah kisah benar yang boleh kita ambil iktibar dan
pengajaran. Yang pastinya kita tidak akan rugi di dunia dan akhirat bila beramal dengan Solat
Istikharah ini.

Dewasa ini ramai di kalangan kita hendak membeli rumah yang berharga lebih RM200,000.
Bayaran balik mungkin mengambil masa selama 20 hingga 25 tahun. Dalam tempoh tersebut
macam-macam perkara boleh terjadi. Jika sekiranya kita melakukan Solat Istikharah sebelum
membeli rumah tersebut, pasti Allah akan mendorongkan kita membuat pilihan yang tepat dan
memudahkan segala urusan. Penulis ada bertemu dengan beberapa sahabat yang melakukan
Solat Istikharah sebelum membeli rumah, Alhamdulillah segala urusan menjadi mudah dan dapat
membayar balik hutang rumah lebih awal daripada yang dijangkakan.

Seperkara lagi, supaya Allah SWT memakbulkan doa kita, jauhilah segala bentuk pinjaman yang
ada unsur-unsur riba’ seperti dari sistem konvensional. Pilihlah sistem perbankan Islam semoga
Allah memberikan keberkatan dan menurunkan rahmatnya sepanjang tempoh pinjaman di buat.
Yakin dan percayalah jika kita mengikut suruhan Allah, pasti Allah akan membantu kita di
ketika senang dan susah. Jika Allah bantu kita tiada sesiapa yang boleh menghalangnya.

Anda mungkin juga menyukai