Anda di halaman 1dari 16

1.

0 Pendahuluan

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ( 2007 : 232) cabaran didefinisikan sebagai hasil
mencabar (mempersoalkan, mempertikaikan, ajakan (untuk berlawan dan sebagainya), sesuatu
(unsur, faktor dan sebagainya) yang mencabar (menguji kemampuan dan ketabahan seseorang
atau sesuatu organisasi dan lain-lain), pekerjaan yang penuh dengan cabaran. Oleh itu, secara
lateralnya cabaran membawa maksud sesuatu hal atau perkara yang menguji kemampuan
serta ketabahan seseorang yang ada kaitannya dengan sesebuah organisasi. Dalam konteks
perguruan, profesion menjadi seorang guru perlu menyahut cabaran untuk melihat keupayaan
seorang guru dalam melaksanakan tugasannya bukan sahaja dalam biik darjah namun di
sekolah secara amnya.

2.0 Cabaran Dari Segi Perspektif Personal

Antara cabaran profesion guru di sekolah rendah ialah tugas seorang guru dalam
menyampaikan pengajarannya dalam bilik darjah. Antara cabaran yang telah saya hadapi
semasa saya melaksanakan sesi praktikum ketiga di SK Gopeng, saya telah mendapati
bahawa seorang guru perlu memastikan setiap muridnya diberi perhatian penuh, meskipun
terdapat perbezaan ketara di antara mereka. Walaupun bilangan murid di dalam kelas
kendalian saya hanyalah 8 orang, saya dapat melihat perbezaan yang begitu ketara dalam diri
setiap murid tersebut. Pada mulanya saya tidak dapat melaksanakan penyampaian ilmu
dengan sebaik mungkin, kerana kaedah yang saya gunakan hanya dapat difahami oleh
segelintir murid. Isu ini menjadi satu cabaran kepada saya dari perspektif personal. Seorang
guru hanyalah berjaya melaksanakan tugasnya dengan sempurna sekiranya semua murid
dalam kelas beliau memahami pembelajaran pada hari tersebut. Sepertimana yang
dibincangkan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, antara aspirasi murid yang
ditetapkan oleh kerajaan ialah pengetahuan kepada semua murid. Sebagai seorang guru, saya
mempunyai tanggungjawab untuk memastikan semua murid kendalian saya mendapat
pengetahuan yang saya sampaikan. Untuk mengharungi cabaran ini, saya telah merujuk
kepada beberapa kaedah pengajaran yang disarankan oleh tokoh pendidikan. Antara kaedah
yang telah saya gunakan untuk memberangsangkan pengajaran saya ialah pembelajaran
koperatif.

1
Saya telah menjalankan aktiviti kumpulan untuk memastikan setiap murid dalam bilik
darjah dapat melibatkan diri secara aktif dalam sesi tersebut. Saya juga mempraktikkan model
pembelajaran VAK, akronim kepada visual, audio, dan kinestatik. Saya telah mengguna pakai
ketiga – tiga gaya ini dalam sesi pengajaran untuk meningkatkan input pengetahuan murid –
murid saya. Dengan kaedah ini, saya dapat mengharungi cabaran personal saya dengan
jayanya.

Berdasarkan aspirasi sistem pendidikan negara kita, setiap murid perlulah mempunyai
identiti nasional yang kukuh. Identiti nasional dalam konteks ini bermaksud murid perlu berasa
bangga untuk mengiktiraf diri mereka sebagai rakyat Malaysia. Guru memainkan peranan
utama dalam menyemai nilai patriotisme, serta meningkatkan identiti nasional dalam diri murid
– murid. Sebagai seorang guru, saya juga mempunyai tugas untuk menyemai identiti nasional
dalam diri murid – murid kendalian saya. Tetapi, saya menghadapi cabaran apabila murid –
murid kendalian saya tidak begitu arif dengan isu – isu nasional yang mampu memupuk nilai
patriotisme mereka. Tanpa nilai patriotisme, guru akan menghadapi cabaran untuk menyemai
identiti nasional dalam diri murid. Semasa saya mengendalikan kelas tersebut, hanya seorang
atau dua mampu menyatakan nama Perdana Menteri negara kita.. Ini menunjukkan betapa
lemahnya murid – murid tersebut dalam isu – isu negara. Situasi ini telah mencabar saya untuk
menguji kebolehan saya. Saya bertekad untuk menerapkan identiti negara dalam diri murid –
murid kendalian saya dalam tempoh tiga bulan tersebut. Untuk mencapai misi tersebut, saya
menggunakan surat khabar sebagai bahan bantu mengajar dalam sesi pengajaran dan
pembelajaran saya. Surat khabar membantu kita untuk mengetahui isu – isu semasa yang
berlaku di sekeliling kita, sekaligus meningkatkan pengetahuan kita mengenai perkara –
perkara baru. (Sanderson, 2006) Dengan menggunakan surat khabar sebagai bahan bantu
mengajar dalam subjek Bahasa Malaysia, saya dapat menerapkan kemahiran bahasa dan juga
identiti nasional sekaligus dalam diri murid. Usaha ini memberikan hasil yang amat baik dalam
kalangan murid – murid kelas tersebut. Mereka juga dapat mengetahui pelbagai fakta baru
mengenai negara kita, melalui bacaan surat khabar. Cabaran ini dapat memberi saya peluang
untuk melaksanakan kolaborasi antara kemahiran dan nilai patriotisme yang perlu diterapkan.

2
Saya juga telah merasakan tekanan dari perspektif personal untuk meningkatkan nilai
professional diri saya sendiri. Semasa melaksanakan sesi praktikum di sekolah, saya dapat
melihat bahawa guru – guru di sekolah berada di tahap yang begitu berbeza. Apabila
dibandingkan dengan saya, guru – guru di sekolah tersebut boleh dikatakan amat berbakat dan
mempunyai nilai professional yang tinggi. Walaupun sebilangan daripada mereka masih tidak
mempunyai sarjana dalam bidang perguruan, pengalaman mereka dalam bidang ini meletakkan
mereka di taraf yang berbeza. Ini mengakibatkan guru – guru Program Ijazah Sarjana Muda
Perguruan (PISMP) seperti saya sendiri, perlu meningkatkan nilai professional mereka dengan
secepat mungkin. Pihak sekolah mengharapkan banyak perkara yang baru daripada guru –
guru program sarjana muda, tetapi pada hal sebenarnya, guru – guru PISMP hanya mempunyai
pengetahuan sepenuh mengenai bidang perguruan. Guru – guru PISMP tidak mempunyai
pengalaman untuk melaksanakan tugas sebaik dengan guru – guru lain di sekolah tersebut.
Untuk memastikan jurang perbezaan itu tidak begitu ketara, saya perlulah melakar satu pelan
untuk meningkatkan kredibiliti saya sebagai seorang pendidik. Dengan melibatkan diri dalam
program sekolah dan anjuran pejabat pendidikan daerah, saya akan dapat belajar benda –
benda baru dengan cepat. Dengan menyertai kursus – kursus yang berkenaan dengan bidang
perguruan, saya akan memperoleh pengetahuan yang lebih mendalam mengenai bidang ini.
Secara tidak langsung, saya akan membantu sistem pendidikan negara untuk mencapai
aspirasinya. Dengan melakar satu pelan tindakan untuk masa depan, saya dapat mengawal
tekanan yang saya hadapi di sekolah tersebut.

Di samping itu, cabaran berkaitan dengan penyediaan pelbagai dokumen yang terlalu
rencam serta tidak melibatkan tugas utama seorang guru dalam pengurusan pembelajaran dan
pengajaran (PdP) dalam bilik darjah. Seorang guru seolah-olah terpaksa menjadi kerani yang
perlu mengisi pelbagai dokumen pengurusan pendidikan. Seorang guru terpaksa mengagihkan
pinjaman buku teks, sistem maklumat murid, sistem kokurikulum sekolah dan borang-borang
tertentu yang melibatkan murid yang langsung tiada kaitan dengan pembelajaran dan
pengajaran di bilik darjah. Kadang-kadang terdapat borang-borang yang terpaksa diisi secara
‘adhock’ dan perlu disegerakan. Tugas guru yang sepatutnya lebih kepada pengajaran dan
mendidik telah lari daripada tugasan yang sebenar namun seorang guru perlu melakukannya
bagi keperluan dalam pengurusan pentadbiran murid. Pendapat ini bersesuaian dengan kajian
yang telah dikemukakan oleh Prof Dr Aminah Ayob Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan
Idris Tanjong Malim ( 2010 : Slide 21) dalam pembentangan kertas kerja Pendidikan Guru
Profesional : Cabaran Masa Hadapan di Akademi Sains Malaysia menyatakan bahawa cabaran

3
guru kini ialah terpaksa melakukan pelbagai kerja perkeranian di samping menyampaikan isi
pengajaran ketika mengulas satu artikel dalam suratkhabar.

2.1 Cabaran Dari Segi Perspektif Sekolah

Sebelum saya mengemukakan cabaran yang telah saya hadapi di sekolah tersebut,
saya harus menyatakan fakta bahawa sekolah tersebut dikategorikan sebagai sekolah kurang
murid. Infrastruktur yang sedia ada di sekolah tersebut boleh dikatakan sekadar cukup makan.
Terdapat beberapa aspek infrastruktur yang masih boleh diperbaiki untuk memastikan
kecekapan sesi pengajaran dan pembelajaran. Pada mulanya saya tidak dapat melihat
kekurangan infrastruktur ini kerana saya hanya ditugaskan untuk mengendalikan satu kelas
untuk satu subjek major sahaja. Saya mula mengenali cabaran ini apabila ditugaskan untuk
menggantikan guru subjek Sains untuk seminggu. Sekolah tersebut tidak mempunyai satu
makmal sains untuk murid – murid melaksanakan eksperimen sains. Ini menyebabkan murid
tidak berpeluang untuk merasakan perubahan – perubahan yang berlaku dalam eksperimen
sains dengan sendiri. Mereka hanya melihat perubahan – perubahan tersebut dalam bentuk
perkataan ataupun gambar. Cara ini membantutkan perkembangan sains dalam diri murid –
murid tersebut. Apabila saya mengendalikan kelas sains tersebut, saya tidak dapat
menyampaikan isi pelajaran secara penuh pada sesi tersebut. Sebagai seorang guru, saya
terasa tercabar kerana situasi ini menghalang saya daripada melaksanakan tugas saya dengan
sempurna. Pada kelas seterusnya, saya membuat keputusan untuk menggunakan infrastruktur
lain untuk memberikan pengalaman pembelajaran kepada murid – murid tersebut. Saya telah
menggunakan kantin sekolah tersebut sebagai pengganti makmal sains sekolah tersebut. Murid
– murid pendidikan khas telah dapat mencuba eksperimen sains di tempat yang disediakan.
Saya dapat melihat kepuasan dalam raut muka murid apabila mereka dapat melihat hasil kajian
yang berlaku akibat eksperimen sains tersebut. Situasi ini mengajar saya bahawa seorang guru
perlulah fleksibel dalam menggunakan infrastruktur yang terdapat di kawasan sekolah. Guru
tidak patut memperbesarkan masalah kekurangan infrastruktur sekolah, tetapi guru perlu
berusaha mengatasi kekurangan tersebut dengan sumber yang sedia ada.

4
Selain itu, saya juga telah menghadapi tekanan dalam isu penggunaan teknologi
maklumat dan komunikasi di dalam bilik darjah. Dari perpektif sekolah, pihak sekolah amat
mengharapkan guru – guru program PISMP untuk mahir dalam kemahiran teknologi maklumat
dan komunikasi. Tidak dapat dinafikan bahawa kerajaan kita juga menginginkan perkara yang
sama. Kerajaan hendak semua murid untuk mempunyai kemahiran – kemahiran yang utama,
untuk itu guru – guru perlulah mengetahui dan memahami kepentingan kemahiran teknologi
maklumat dan komunikasi. (Leask & Meadows, 2000)Sebagai guru yang memangkin
perubahan dalam masyarakat, kita haruslah meningkatkan diri kita dalam bidang teknologi
maklumat dan komunikasi. Semasa permulaan tempoh praktikum, saya telah melaksanakan
sesi pengajaran dan pembelajaran saya berpandukan kad manila dan kertas mahjong. Saya
dapat melihat keadaan bilik darjah yang agak normal. Tetapi, murid – murid tidak menunjukkan
sebarang rasa teruja semasa sesi pembelajaran tersebut. Guru pembimbing saya telah
memberi idea kepada saya untuk menerapkan elemen teknologi maklumat dan komunikasi
dalam sesi pengajaran dan pembelajaran saya. Untuk melihat peningkatan dalam sesi
pengajaran dan pembelajaran, saya telah mengaplikasikan idea guru pembimbing saya. Saya
dapat melihat murid – murid memberi perhatian sepenuh kepada sesi pengajaran dan
pembelajaran tersebut. Suasana bilik darjah menjadi lebih aktif dan meriah, seolah – olah murid
– murid meraikan sesi tersebut. Untuk mengelakkan murid – murid berasa jemu dengan
persembahan “powerpoint”, saya juga telah mencari beberapa permainan “online” untuk
dimainkan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Permainan – permainan tersebut
mendorong semua murid, khususnya murid yang lemah, untuk melibatkan diri dalam aktiviti
pembelajaran. Ada juga masa saya telah menayangkan klip video berkenaan dengan topik
pembelajaran dengan bantuan projektor. Peranan klip video dalam sesi pengajaran adalah
untuk memberikan murid – murid pendedahan kepada perkara – perkara yang mereka tidak
pernah lihat ataupun dengar. Usaha ini telah dihargai oleh murid – murid dan juga guru
pembimbing saya. Saya telah sedar bahawa tekanan dalam isu penggunaan teknologi
maklumat dan komunikasi telah menjadikan saya seorang guru yang lebih arif dalam kendalian
bilik darjah. Sebagai seorang guru, kita haruslah meneroka alam maya untuk memberikan
murid – murid pengalaman pembelajaran yang lebih efektif.

5
2.2 Cabaran Dari Segi Perspektif Kebangsaan

Antara cabaran yang paling getir telah saya hadapi semasa tempoh praktikum ini ialah
isu disiplin yang saya terpaksa kendalikan di dalam bilik darjah. Semasa saya diberi tugas untuk
mengambil alih kelas seorang guru yang tidak hadir, saya telah menjalankan beberapa aktiviti
bersama murid – murid untuk meluangkan masa yang terbiar. Semasa saya menjalankan
aktiviti tersebut, saya terlihat dua orang murid yang bergaduh di dalam bilik darjah. Saya telah
meleraikan pergaduhan tersebut dan meminta kedua – dua murid untuk saling meminta maaf.
Salah seorang daripada murid tersebut bertindak kurang ajar dan mengeluarkan kata – kata
kesat. Sebagai seorang guru, saya terpaksa mengawal emosi saya dan memberi amaran
kepada murid tersebut. Saya tidak dapat membawa murid tersebut menghadap guru disiplin
ataupun guru besar, kerana mereka tiada di sekolah atas urusan rasmi. Saya terpaksa meminta
bantuan guru pembimbing saya untuk menyelesaikan isu ini. Saya beranggapan bahawa isu
disiplin ini perlu dipandang dari perspektif kebangsaan. Pada masa kini, guru kehilangan kuasa
untuk memberi dendaan keras kepada tingkahlaku negatif murid. Sekiranya guru bertindak
mengikut emosi dan memberi denda kepada murid, gurulah harus menerima padah. Untuk
mengatasi masalah ini, guru harus memahami punca utama berlakunya kes disiplin di sekolah.
Masalah yang dialami oleh murid di luar sekolah menjadi punca murid melakukan kes disiplin di
sekolah. (Edwards, 2008) Murid – murid pendidikan khas sebegini menunjukkan tingkahlaku
yang negatif untuk mencuri tumpuan ataupun menunjukkan emosi yang mereka cuba kawal.
Apabila tingkahlaku mereka menjadi lebih serius, situasi ini akan menjejaskan sesi pengajaran
dan pembelajaran. Akan tetapi, kini guru biasa tidak mempunyai kuasa untuk memberi denda
kepada murid – murid pendidikan khas atas tingkahlaku negatif. Situasi ini menekankan guru
untuk mencari jalan penyelesaian yang baru. Guru harus faham bahawa proses pembelajaran
seseorang murid bukan hanya tertumpu kepada akademik, malah guru berperanan untuk
membantu murid berkembang dari segi kawalan diri dan tanggungjawab. (Charles, 1999)
Sekiranya guru dapat memahami perkara ini, kita dapat mencari jalan penyelesaian bagi isu ini.
Untuk menyelesaikan masalah ini, kita haruslah bertindak dari peringkat akar umbi. Guru harus
mengamalkan sikap profesional dalam mengendalikan kes disiplin, dan tidak memberikan
keutamaan kepada emosi diri sendiri. Apabila guru mengamalkan sikap profesional semasa
mengendalikan kes disiplin, ini memberi peluang kepada kedua – dua pihak untuk
menyelesaikan masalah dengan solusi yang baik. Cabaran ini telah memberikan saya
kesedaran mengenai kepentingan sikap profesional kepada seseorang guru.

6
Antara Januari dan Jun tahun ini, kira-kira 11,880 pelajar direkod terbabit dengan
kegiatan jenayah. Kira-kira 40,000 pelajar terbabit dengan vandalisme, menonton dan
menyimpan bahan lucah dan bertindak kasar manakala 24,000 lagi didapati ponteng dan lewat
ke sekolah. Isu disiplin pelajar memang satu perkara yang serius. Namun, ia bukan tugas
pendidik semata-mata. Ibu bapa perlu bertindak pantas mengenal pasti masalah atau keadaan
tertentu yang dihadapi anak mereka serta lebih prihatin dan mengambil tahu hal anak mereka
secara lebih mendalam dan terkawal. Sesungguhnya, guru berada di saf hadapan untuk
membangun bangsa cemerlang yang akan menentukan sebuah negara maju, aman dan
dihormati.

Dr Novandri Hasan Basri juga menyatakan bahawa bahawa waktu sekarang, hampir
semua ibubapa dan masyarakat mempunyai taraf pelajaran yang lebih tinggi. Orang dewasa ini
telah pun berjaya melalui sistem persekolahan tersebut. Hal ini menghasilkan satu masyarakat
yang juga mempunyai ilmu-ilmu yang dahulunya hak ekskusif dan hanya diketahui oleh guru-
guru. Lantaran itu, mereka mengganggap guru-guru di sekolah hanya sebagai objek penyalur
ilmu secara formal sahaja (Jun 2003).

Yusri Abdul Malek dalam artikelnya “Displin Pelajar Bermula di Rumah” pula
menegaskan pula bahawa pada zaman dulu guru dihormati dan rotan ialah senjata utama
mendisiplin pelajar tetapi kini semua itu tidak dianggap relevan lagi. Tegas beliau, kebanyakan
ibu bapa yang berkerjaya dan bergaji besar serta berasal dari kampung bagaikan lupa peranan
guru yang membantu kejayaan mereka hanya kerana anak mereka dirotan kerana kesalahan
disiplin. Sebaliknya, mereka bertindak datang ke sekolah dan menyalahkan guru yang terbabit
merotan anaknya. Hal ini sedang berlaku dalam sistem pendidikan kita.Terlalu banyak campur
tangan dan akhirnya guru tiada kebebasan untuk bertindak menyebabkan masalah disiplin tiada
noktah. (Harian Metro, 25 Mei 2006)

Di negara kita, terdapat 430,000 guru untuk mendidik 5.4 juta pelajar. Betapa besarnya
tanggungjawab guru untuk membimbing dan mendidik bilangan anak dan pelajar yang begitu
ramai. Dalam satu artikel yang disiarkan dalam Harian Metro bertajuk, “Minda: Guru Pencetus
Transformasi” bertarikh 30 Ogos 2012, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berpendapat pelajar sering
melakukan kejutan kepada masyarakat dengan masalah sosial mereka. Ada segelintir daripada
pelajar yang malas belajar, suka tidur dalam kelas, ponteng atau terbabit kegiatan samseng,
membuli, merempit, berzina, membuang bayi, merokok, salah guna dadah, mencuri dan gejala
lain.

7
Jumlah pelajar yang terlibat dengan kes disiplin semakin hari semakin meningkat
(Shahril @ Charil & Habib, 1999). Pada tahun 1993 sebanyak 36.7% daripada keseluruhan
pelajar dikenakan tindakan amaran; 15.66% diberi nasihat; 16.8% dirotan sekali; 8.18% dirotan
dua kali; 2.27% dirotan tiga kali; 0.90% dirotan lebih tiga kali; gantung sekolah 2.90%; buang
sekolah 0.51% (Wan Mohd. Zahid, 1997). Mungkin dari segi angka peratus adalah kecil tetapi
dari segi bilangan pelajar yang terlibat keseluruhannya adalah pada angka yang besar.
Kaeadaan ini adalah sangat mencabar dan membimbangkan.

3.0 Punca – Punca Tekanan Yang Dihadapi Oleh Guru

Tekanan guru ditakrifkan sebagai pengalaman kurang disenangi oleh seorang guru dari
segi emosi, seperti tension, tertekan, kebimbangan, kemarahan, dan segala sesuatu yang
berkaitan dengan aspek pekerjaan sebagai seorang guru.Menurut Kyricaou dan Sutcliffle
(1978a), tekanan kerja guru ialah emosi negatif yang dialami oleh seorang guru semasa
menjalankan tugas. Emosi negatif berkenaan umpamanya kemarahan, keresahan, ketegangan,
kekecewaan dan kemurungan yang dialami oleh seseorang guru itu. Keadaan ini dipersepsikan
sebagai ancaman terhadap kebahagian/kesejahteraan psikologi dan fizikal.

Banyak kajian yang membuktikan bahawa bidang perguruan merupakan satu profesion
yang sangat mencabar. Kajian-kajian Peklaj & Puklek, 2000; Friedman, 2000; Philip, 1999,
mendapati satu pertiga daripada responden mendapati mengajar sebagai satu pekerjaan yang
tinggi tahap tekanannya (Sapora, 2005). Selain mengajar dalam aktiviti pengajaran seharian,
guru pula menghabiskan 38 hari bekerja setahun untuk menghadiri pelbagai kursus atau
latihan. Lebih membebankan lagi ialah 320,000 guru di lebih 9,000 buah sekolah seluruh
negara perlu mengisi 108 jenis borang bagi menyempurnakan tugas pengajaran, kokurikulum
dan kerja pentadbiran.Sebelum ini, ada yang mempertikaikan bahawa cuti guru agak panjang
dan menyifatkan guru golongan kakitangan bertuah. Namun ini disangkal oleh ramai guru yang
mendedahkan walaupun kelihatan guru bekerja separuh hari, tetapi sebenarnya mereka bekerja
hampir sepanjang hari. Bezanya, semua kerja itu dibuat di rumah pada waktu siang dan malam
atau mereka akan ke sekolah lebih awal untuk meneliti lebih 100 buku atau tugasan bergantung
jumlah murid dalam sesebuah kelas iaitu minimum 37 murid untuk satu kelas dan lima kelas
diajar setiap hari.Corak pentadbiran sekolah juga merupakan salah satu penyebab yang
mempengaruhi masalah tekanan yang dihadapi oleh guru. Hal ini berlaku apabila terdapat
pentadbir yang menjalankan pentadbiran secara autoratik dan mengamalkan sikap pilih kasih.

8
Sebagai contoh, pentadbir tidak berlaku adil dalam pengagihan tugas dan jawatan kepada guru-
guru menyebabkan terdapat sebilangan guru yang mendapat beban tugas yang berat dan
sebilangannya mendapat beban tugas yang ringan. Di samping itu juga, guru yang
berkemahiran dalam sesuatu bidang turut menjadi mangsa di mana pentadbir hanya
menggunakan tenaga guru tersebut apabila diperlukan dan guru-guru lain boleh bersikap lepas
tangan.Selain daripada masalah yang disebutkan, isu tekanan guru ini juga berpunca daripada
suasana persekitaran tempat kerja yang masih tidak selesa walaupun sistem pendidikan di
Malaysia menuju ke arah permodenan. Suasana yang digambarkan adalah, isu kepadatan
dalam bilik guru, masalah kongsi meja dan penyediaan perabot yang tidak sesuai serta
mencukupi. Masalah ini kerap berlaku di sekolah yang telah lama digunakan dan terletak jauh di
pedalaman. Bagi guru yang bertugas di sekolah baru dan terletak di bandar,isu ini tidak
mendatangkan masalah kepada mereka.

4.0 Cara – Cara Menangani Cabaran Yang Dihadapi Oleh Seorang Guru

Untuk menangani cabaran-cabaran profesion keguruan tersebut, para guru mestilah


menyediakan diri mereka dalam pelbagai aspek. Berdasarkan artikel Cabaran Profesion
Keguruan oleh Rizuan Khamis dalam Dewan Masyarakat Mei 2012 ada memetik kata-kata
David Ryans dalam bukunya Characteristics Of Teachers—Their Description, Comparison, And
Appraisal berpendapat bahawa guru yang berkesan dalam menangani cabaran ialah guru yang
mempunyai sifat adil, demokratik, responsif, bertimbang rasa, baik hati, jujur, cergas, menarik,
bertanggungjawab, stabil, tenang dan berkeyakinan. Di samping itu, elemen-elemen penting
yang mesti ada pada setiap guru dalam mendepani cabaran profesion keguruan pada masa kini
ialah ciri dan kualiti professional, pengajaran yang efektif, peningkatan profesionalisme,
peningkatan dalam penggunaan ICT, berilmu pengetahuan, berakhlak mulia serta
bertanggungjawab.Malahan,seorang guru juga perlu bersiap siaga dari segi mental dan fizikal
kerana dasar yang sering berubah-ubah. Namun hal yang demikian ini, tidak menghalang
seorang guru untuk mengikuti dan melaksanakan dasar tersebut mesti dilakukan hanya
bermatlamat untuk kejayaan murid. Oleh sebab kerangka masa telah pun ditetapkan maka
seorang guru perlu akur dengan proses dan prosedur tersebut.

9
.4.1 Mempunyai Ciri Dan Kualiti Profesional

Seseorang guru itu perlulah mempunyai ciri dan kualiti yang profesional sesuai dengan
proses perkembangan pendidikan ini. Cabaran guru untuk merealisasikan Misi Kementerian
Pendidikan, khasnya meningkatkan kualiti sekolah ialah guru haruslah sentiasa berusaha
meningkatkan taraf profesional melalui latihan dalam perkhidmatan, perlaksanaan penyelidikan
tindakan secara kolaborasi, membuat refleksi kendiri, memupuk budaya ilmu, menambah ilmu
dan kemahiran melalui e-pembelajaran dan mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang
terkini untuk merancang serta melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan
berkesan. Guru juga mestilah berupaya membuat keputusan, menyelesai masalah serta
berfikiran kritis dan kreatif. Para pendidik juga mesti sedar bahawa profesion mereka bukan
sahaja mengajar tetapi terlibat sebagai pentadbir, pengurus, perancang, pelaksana, penilai,
penyelia, pengawal dan sebagainya.

4.2 Mewujudkan Pengajaran yang Efektif

Dari segi pengajaran yang efektif dalam sekolah berkualiti pula, bergantung kepada perlakuan
mengajar guru dalam proses perancangan, pelaksanaan dan penilaian. Keberkesanan
pengajaran boleh berlaku apabila guru telah merancang sesuatu program mengajar mengikut
prinsip mengajar.pengajaran efektif mempunyai objektif pelajaran eksplisit yang ditentukan
berdasarkan sukatan pelajaran serta kebolehan murid-murid. Selain itu melaksanakannya
dengan cekap dan berjaya menggunakan teknik mengajar yang sesuai. Strategi dan kaedah
mengajar yang digunakan adalah sesuai dan cerdas diberikan aktiviti pengayaan, manakala
murid-murid yang lambat dibimbing dengan aktiviti pemulihan. Keberkesanan pengajaran ini
dapat dilihat apabila guru menggunakan teknik penilaian terhadap aktiviti pengajaran dan
pembelajaran di dalam bilik darjah.

10
4.3 Mempertingkatkan Profesionalisme

Seorang guru berkualiti juga perlu mempertingkatkan Profesionalisme. Guru harus sedar
tentang tugas dan amanah yang dipikul untuk mendidik generasi yang akan mencapai wawasan
negara.Kemahiran dan pengetahuan dalam aspek pendidikan perlu dikemaskini. Berusaha
mengaplikasi kaedah- kaedah pengajaran dan pendidikan terkini. Guru perlu menyambut baik
dengan mengikuti kursus-kursus pendidikan yang dianjurkan oleh pihak-pihak berwajib agar
dapat mempertingkatkan keupayaan, ketahanan dan prestasi bagi mendepani cabaran yang
semakin kompleks ini. Dengan ini suatu anjakan paradigma dapat dilakukan oleh para pendidik.
Untuk menghadapi cabaran ini seorang guru perlu menggunakan peluang kursus
penambahbaikan pedagogi yang dianjurkan oleh Unit Kurikulum Jabatan pelajaran dan Pusat
Perkembangan Kurikulum. Penggunaan bahan autentik sebagai bahan bantu mengajar dapat
menyelesaikan keperluan bahan bantuan mengajar dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik
darjah. Semua ilmu pedagogi yang diperoleh akan dapat dilaksankan dengan baik.

4.4 Meningkatkan Kemahiran dalam Penggunaan ICT

Perkara yang paling penting bagi mendepani cabaran profesion keguruan pada masa
kini ialah meningkatkan kemahiran dalam penggunaan ICT. Bidang perguruan sentiasa
berkembang dan berubah sejajar dengan perubahan zaman. Perkembangan global dengan
teknologi telekomunikasi dan internet menuntut banyak cabaran kepada pendidik untuk
mencapai Misi Nasional. Para guru mesti bersikap proaktif dan terangsang dengan
perkembangan teknologi yang semakin canggih ini. Ilmu ICT mesti terlebih dahulu dapat
dikuasai oleh para pendidik sebagai melengkapkan diri dengan kemahiran terkini bagi
menyempurnakan penubuhan sekolah bestari yang berteraskan penggunaan komputer sebagai
satu bentuk kurikulum wawasan negara Malaysia untuk menjadikan negara maju menjelang
2020. Guru juga harus memperlengkapkan diri secara global kerana dalam era teknologi
maklumat masa kini masyarakat terpaksa berdepan dengan pelbagai peralatan elektronik
dalam kehidupan harian sebagai cara hidup moden. Pembestarian sekolah seperti projek
Sekolah Bestari dan SchoolNet, hendaklah dihargai oleh guru dengan menggunakan segala
kemudahan semaksima mungkin.

11
4.5 Berilmu pengetahuan Dan Berakhlak Mulia

Selain itu juga, dalam mendepani cabaran profesion keguruan pada masa kini, seorang
guru perlulah berpengetahuan, berdaya fikir dan berakhlak mulia. Guru yang berpengetahuan
perlu serba tahu dengan menambah pembacaan untuk peningkatan ilmu serta dapat membawa
isu-isu semasa untuk dibincang dan mencari penyelesaian. Isu-isu semasa berkaitan dengan
kekeluargaan dan komuniti masyarakat, ekonomi dan sebagainya. Guru yang berpengetahuan
dapat melahirkan generasi anak didik yang cemerlang di kemudian hari. Dalam perubahan
sistem pendidikan yang semakin mencabar ini, profesion perguruan perlu menyediakan diri
dengan amalan nilai murni dan akhlak yang terpuji. Dalam kurikulum pendidikan ditegaskan
nilai-nilai murni yang perlu diserapkan kepada pelajar dalam pengajaran. Penerapan nilai murni
ini penting untuk menyediakan para pelajar menjadi warga yang berguna kepada bangsa dan
negara.

4.6 Bertanggungjawab

Tanggungjawab merupakan suatu perkara yang amat penting untuk membimbing


pelajar bagi mencapai kemajuan dan wawasan, para guru perlu melaksanakan tanggungjawab
terhadap terhadap pelajar seperti mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar, bersikap
adil, memupuk nilai murni. Tanggungjawab terhadap ibu bapa juga penting seperti seperti
mewujudkan hubungan mesra, menghormati mereka, tidak dipengaruhi oleh kedudukan sosial
dan ekonomi mereka dan memberi maklumat kepada mereka untuk kepentingan anak-anak
mereka. Seterusnya tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara seperti mengelak dari
menyebar perkara negatif, menghormati masyarakat setempat serta menggalakkan kerjasama
dan persefahaman. Dan akhirnya tanggungjawab terhadap rakan sejawat dan profesion seperti
mengelak dari membuat kenyataan negatif, tidak melibat diri dalam kegiatan yang menjejaskan
kepercayaan masyarakat serta membantu rakan sejawat.

12
5.0 Langkah – Langkah Mengatasi Tekanan Yang Dihadapi Oleh Guru

Young (1978) mencadangkan sokongan pihak pengurusan untuk melegakan


kekecewaan guru-guru yang meningkatkan tahap kegelisahan/kerisauan. Dunham (1977)
menerangkan bahawa guru-guru yang terpaksa berhadapan dengan murid yang mengganggu
memerlukan sokongan pihak pengurusan dan rakan sekerja. Lortie (1975) melaporkan bahawa
kemudahan yang lebih baik dianggap sebagai perubahan yang dapat meningkatkan
keberkesanan guru, dan imbuhan yag lebih tinggi dan kenaikan pangkat dilihat sebagai
perubahan yang boleh meningkatkan kepuasan kerja.

Sebaliknya, kajian Abdel Halim (1978), mencadangkan bahawa untuk mengurangkan


kesan yang tidak baik yang berkaitan dengan tekanan peranan, sesebuah organisasi boleh
menyesuaikan dengan strategi pembentukan semula pekerjaan untuk memperkayakan peranan
guru. Bagi mengurangkan masalah tekanan, pihak pengurusan boleh menggunakan kaunseling
campur tangan-krisis dan sistem sokongan sosial. Dalam pengurusan reaksi pekerja terhadap
tekanan, pihak pengurusan boleh mengaplikasikan latihan ketenangan, program kesihatan dan
pengurusan masa (West & West, 1989:61).

Persekitaran tempat kerja guru seperti suasana persekolahan dan bilik-bilik guru juga
perlu diberi perhatian supaya persekitaran kerja guru dapat diwujudkan dalam keadaan yang
lebih selesa. Suasana kerja perlu selesa dan sesuai dengan status mereka sebagai pegawai
dalam kumpulan pengurusan dan profesional. Permasalahan ini perlu diberi perhatian kerana
kita sering bercakap dan merancang tentang pendidikan bertaraf lima bintang, sekolah bestari
dan sebagainya, tetapi golongan yang bakal menjayakan hasrat murni tersebut adalah tidak
wajar untuk diabaikan Bagi mengurangkan tekanan, Johnston (1996) mencadangkan
kepimpinan yang merangsangkan, sokongan, semangat dan kecekapan yang lebih di tempat
kerja. Beliau berpendapat bahawa penyediaan tempat kerja yang berkeadaan baik, pernyataan
intensif yang jelas, sokongan terhadap mereka pada waktu kesukaran dan akhir sekali adalah
meraikan hari-hari bahagia para guru bagi mengekalkan kualiti kerja dan mengurangkan
tekanan. Schonfeld (2001) menjalankan kajian yang menyatakan bahawa kemerosotan
persekitaran kerja adalah menyumbang kepada keletihan dan kemurungan guru.

13
Sebagaimana para profesional dalam bidang lain, para guru juga perlu diberi
pendedahan untuk menangani tekanan sebagai usaha bekerjasama menyelesaikannya sendiri.
Pertamanya, para guru perlu diberi pengetahuan mengenai kemahiran mengenal pasti dan
peka terhadap punca-punca yang menyebabkan tekanan. Patterson (1986) dan Janis (1982,
1984) menyarankan kaedah inokulasi tekanan. Teori ini mengandaikan bahawa apabila
seseorang itu telah bersedia untuk menghadapi tekanan atau sebarang bentuk perubahan
emosi, maka kesan yang diakibatkan oleh perubahan itu adalah tidak begitu teruk jika
dibandingkan dibandingkan dengan mereka yang tidak bersedia untuk menghadapinya.

Dengan itu, para guru perlu diberi pendedahan mengenai risiko-risiko yang bakal
dihadapinya dalam profesion perguruan. Teknik tenang diri juga boleh didedahkan kepada para
guru di mana teknik ini adalah baik untuk mengurangkan tekanan harian. Salah satu teknik
yang dicadangkan adalah Teknik Pengenduran Otot-otot Secara Progresif (Progressive Muscle
Relation oleh Dr. Edmund Jacobson, 1902) dan juga beberapa amalan berkaitan pengisian
rohani guru seperti meditasi, zikir, solat dan ibadat umum. Amalan pemakanan guru juga perlu
diberi panduan dan perhatian supaya bukan hanya murid-murid sahaja yang dijaga aspek
jasmani, emosi, rohani dan inteleknya. Tetapi guru juga sepatutnya diberi pendedahan terhadap
penjagaan aspek tersebut.

6.0 Kesimpulan

Secara rumusannya, dalam dunia pendidikan yang semakin canggih seiring dengan
perkembangan teknologi, seseorang guru tidak boleh lari daripada cabaran yang makin hebat
sama ada dalam bilik darjah ataupun sekolah secara amnya. Tugas mendidik dan mengajar di
sekolah perlu dilaksanakan bagi memastikan wawasan yang ingin dicapai melalui Falsafah
Pendidikan Negara untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari aspek jasmani,
emosi, rohani dan intelek (JERI) supaya menjadi rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan,
berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkupayaan dalam mencapai
Wawasan 2020. Oleh hal yang demikian, cabaran profesion yang datang perlu disahut oleh
seorang guru sama ada cabaran dalam menyampaikan ilmu pengetahuan kepada muridnya
dan dasar-dasar yang telah ditetapkan dalam sistem pendidikan walaupun sosiologi sekolah
tidak memberangsangkan. Itu tugas dan tanggungjawab seorang guru di sekolah rendah.

14
Setiap dari kita juga mestilah memahami bahawa pada asasnya profesion keguruan
sejak dulu, kini dan selamanya adalah sama iaitu mengajar, mendidik serta merubah manusia
yang bernama pelajar daripada keadaan tidak mengenal huruf, mengira dan membaca kepada
celik huruf, bijak dan menjadi manusia berjaya. Tapi kenapa kini pandangan masyarakat
terhadap guru dan profesionnya mula berubah. Jika dulu mereka dipandang tinggi tapi kini
seakan-akan terpinggir. Perkembangan dan perubahan yang berlaku dalam bidang pendidikan
hari ini menuntut perubahan perspektif masyarakat terhadap kerjaya ini. Profesion keguruan
tidak boleh dianggap sebagai satu kerjaya yang boleh diceburi sesiapa saja kerana hanya
mereka mempunyai kualiti, berketerampilan, kewibawaan, kelayakan, minat. Iltizam, dan
berjiwa pendidik layak menjadi guru. Di samping menuntut kesungguhan dan tanggungjawab
guru dalam mengharungi cabaran di era globalisasi, pemantapan kebajikan dan kerjaya harus
diberikan penekanan sewajarnya.

15
Bibliografi

Kamarudin Hj. Husin & Kamarul Azhar (1994). Asas Pendidikan III( Perkembangan &
Perlaksanaan Kurikulum). Petaling Jaya: Longman Malaysia Sdn. Bhd.

Ee Ah Meng (1987). Pedagogi Untuk Bakal Guru, Petaling Jaya : Fajar Bakti

Mok Soon Sang (1981). Pendidikan di Malaysia, Subang Jaya : Kumpulan Budiman.

Pusat Perkembangan Kurikulum. (2001). Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Matlamat dan Misi.
Kementerian Pendidikan Malaysia

Tajul Ariffin. (1988). Konsep Asas Pendidikan Sepadu. Fakulti Pendidikan : Universiti
Kebangsaan Malaysia.

Rashidi Azizan & Abdullah Mohd. Noor. 1994. Pendidikan Guru: Cabaran, Falsafah dan Strategi
dalam Pembentukan Guru yang Unggul. Kajang: Masa Enterprise.

Abdul Rahman Md. Aroff dan Zakaria Kasa. (1986). Falsafah dan Konsep Pendidikan. Edisi
Kedua. Universiti Pertanian Malaysia: Serdang.

Choong Lean Keow (2008). Falsafah dan Penddidikan di Malaysia untuk Program Perguruan
Pendidikan Rendah Pengajian 4 Tahun. Selangor: Kumpulan Budi.

16

Anda mungkin juga menyukai