Anda di halaman 1dari 13

Brunei: Empayar Islam di Borneo

MOHD FADLI GHANI / 22 JULY 2018


SEMENJAK berdirinya Kerajaan Melaka (1262-1511M) dan Kerajaan
Samudera-Pasai (1267-1521M), beberapa Kerajaan Islam mulai tumbuh
sepanjang abad ke-14M di Nusantara. Kerajaan yang muncul lebih awal
termasuklah Kedah (1136M), Kelantan (1181M), Jawaka (1267M),
Terengganu (1303M) dan Champa (1360M). Ternyata negeri-negeri yang
menjadi pesisir Laut China Selatan terlebih dahulu menerima Islam dan
mendirikan kerajaan. Salah satu faktornya ialah peranan perdagangan,
selain gerakan dakwah yang turut berkembang dari China pada zaman
Dinasti Ming (1368-1863M). Di sinilah munculnya Brunei sebagai sebuah
Kerajaan Islam yang ditubuhkan pada 1363M, yang kemudiannya
berkembang menjadi sebuah Empayar Melayu Islam dengan menguasai
kawasan Utara dan Barat Borneo (Sambas di Kalimantan Barat, Sarawak
dan Sabah) dan juga Kepulauan Visaya dan Luzon (di Filipina hari ini).
Pada zaman kemuncaknya, Brunei menjadi penyebar Islam ke kawasan
Kepulauan Timur Nusantara.

Kemunculan Brunei sebagai sebuah Kerajaan Islam adalah kesan


daripada gerakan dakwah yang dibuat oleh Melaka. Dua tokoh yang
dikatakan berperanan besar dalam peng-Islaman Brunei ialah Syarif Ali,
ulamak dan pendakwah dari Taif dan Wan Nik al-Fathani, adik Syed
Hussein Jamadil Kubra. Kerajaan Brunei dikatakan telah diasaskan oleh
Awang Alak Betatar, seorang pemimpin berbangsa Visaya yang tinggal di
Semenanjung Klias, iaitu kawasan yang menjadi pelabuhan dan pusat
perdagangan. Setelah memeluk Islam, baginda dikenali sebagai Sultan
Muhammad Shah Wa Daulah, iaitu Sultan Brunei yang pertama pada
1363M. Brunei mencapai kemuncak kemajuan apabila Syarif Ali diangkat
menjadi Sultan Brunei ketiga pada 1425M bergelar Sultan Barakat. Sejak
itu, Brunei mulai muncul sebagai Empayar Islam yang menguasai Timur
Nusantara. Kebangkitan Brunei yang berlaku serentak dengan zaman
kemuncak Melaka dan kebangkitan Demak (1475-1554M) di Pulau Jawa
dan Sulu di Mindanao (1405-1915M) telah membentuk gabungan gerakan
dakwah yang besar di Nusantara.

Kebangkitan Brunei: Kuasa Politik Islam di Timur


Menurut Syair Awang Semaun, perkataan Brunei berasal dari kata "baru
nah" yang bermaksud tempat yang sangat baik untuk didirikan
penempatan dan kerajaan. Pada awalnya, dikatakan seorang pemimpin
Sakai, Awang Patih Berbai telah pergi ke Sungai Brunei untuk membina
negeri dan mendapati tempat ini sangat sesuai dijadikan negeri dan
dinamakan "Baru Nah" atau kemudiannya disebut "Brunei." Berdasarkan
catatan Cina pula, Brunei dikatakan wujud sejak abad ke-7 Masehi dan
disebut sebagai Poli, Polo, Po-ni dan Puni, sebelum disebutkan sebagai
Bunlai. Sesetengah pengkaji mengatakan Zabaj dan Randj dalam catatan
Arab adalah Brunei. Pada peringkat awal, Brunei dikatakan beragama
Hindu-Buddha berdasarkan penemuan stupa-stupa Hindu di negara
tersebut. Hal ini mungkin berlaku ketika Brunei ditakluki oleh Kerajaan
Hindu Majapahit pada era Mangkubumi Patih Gajah Mada (m. 1364M).

Selepas peng-Islaman Awang Alak Betatar, Brunei telah menjadi sebuah


kerajaan yang masih belum meluas pengaruh Islamnya. Namun begitu,
kegiatan dakwah telah berlaku terutama selepas kedatangan Syarif Ali
Bafaqih dan Wan Nik al-Fathani. Pada zaman Sultan ketiganya, Sultan
Syarif Ali (1425-1432M), baharulah Islam berkembang pesat di mana
masjid-masjid mula dibina dan Islam mula dilaksanakan. Pada zaman
Sultan Bolkiah (1485-1524M) dikatakan pengaruh Brunei telah sampai ke
kemuncak di mana Brunei telah menguasai Pulau Luzon dan Visaya,
selain mempunyai hubungan rapat dengan Kerajaan Sulu dan turut
menguasai Sarawak hingga ke Sambas. Kedatangan penjajah Sepanyol di
Luzon yang meruntuhkan Kesultanan Amanillah (Manila) pada 1570M
telah menggugat pengaruh Brunei, sebelum kedatangan James Brooke
pada 1839M telah menyebabkan pengaruh Brunei mulai merosot di
Sarawak. Pada zaman kemuncak Kerajaan Brunei, seluruh kawasan Utara
Borneo dari Sambas di Barat Kalimantan memanjang hingga Sarawak
dan Sabah hingga ke Timur Kalimantan, termasuk Kepulauan Visaya dan
Kota Seludang (Luzon). Ini meletakkan Brunei sebagai kerajaan terbesar
di Timur Nusantara pada abad ke-16M.

Peng-Islaman Brunei
Menurut catatan Cina, Islam telah tiba di Brunei sekitar abad ke-10M, di
mana pada 977M Islam dikatakan telah sampai di Brunei dari China.
Menurut Shong Shi, Raja Po-ni (Brunei) pada 977M telah mengirimkan
Diplomat ke China diketuai Shi Nu (Sheikh Nuh), Pu'a Li (Abu Ali) dan Pun
Guan Ge Xin (Kadhi Kassim). Pengiriman Diplomat Islam ke China ini
membuktikan bahawa Islam bukan sahaja telah tiba di Brunei, tetapi juga
telah berpengaruh sehingga wujud jawatan Kadhi, dan adanya ulamak
seperti Sheikh Nuh. Namun begitu, belum ada catatan yang jelas
mengenai Brunei, adakah sebuah kerajaan atau tidak, berbanding dengan
kedudukan Brunei sebagai jajahan Kerajaan Hindu Majapahit sejak
berlakunya perluasan kuasa pada 1336M seperti yang dicatat dalam
Negarakertagama bertarikh 1365M. Sejak abad ke-11, telah terdapat bukti
ketibaan orang Islam di Brunei dengan penemuan beberapa batu nisan
yang terawal bertarikh 1048M, iaitu selepas pembunuhan orang-orang
Arab di Canton pada 878M.

Dari aspek kekerajaanan, kebangkitan disepakati oleh para pengkaji


bahawa ia bermula dengan peng-Islaman Awang Alak Betatar yang
dikatakan berlaku pada 1368M. Selepas memeluk Islam, Awang Alak
Betatar yang menggunakan gelaran Sultan Muhammad Shah Wa Daulah
atau disebut dalam catatan China sebagai Ma-ha-mo-sha. Ada beberapa
pendapat yang menyebut mengenai peng-Islaman Awang Alak Betatar:

●       Awang Alak Betatar adalah seorang pemimpin orang Visaya.


Baginda berkenalan dengan seorang saudagar Arab, yang juga
merupakan pendakwah dan wali Allah. Wali Allah itu mendoakan supaya
Awang Alak Betatar memeluk Islam dan menjadi pemerintah yang
berdakwah menyebarkan Islam. Sejak itu, baginda bergelar Sultan
Mohammad Shah;

●     Awang Alak Betatar memeluk Islam melalui perkahwinan baginda


dengan Puteri Raja Bakhie, dari Johor pada 1368M; dan
●     Islam dibawa masuk ke Brunei oleh pedagang China sejak 977M, dan
akhirnya sekitar 1406M, Awang Alak Betatar memeluk Islam dan
menukar nama kepada Sultan Muhammad Shah.

Selepas peng-Islaman Awang Alak Betatar ini, Brunei didatangi oleh


Syarif Ali dari Taif yang telah berdakwah mengembangkan Islam di
Brunei dan menjadi menantu Sultan Muhammad Shah. Sejak Syarif Ali
menjadi Sultan Brunei, Islam mulai berkembang pesat dan Brunei
menjadi pusat penyebaran dakwah Islam di sebelah Timur.

Sultan-sultan Brunei

Sejak berdirinya Kesultanan Brunei Darussalam pada 1363M sebagai


sebuah Kerajaan Islam, seramai 29 orang Sultan telah memerintah negara
minyak ini. Kesultanan Brunei pada awalnya dimulakan oleh Awang Alak
Betatar, tetapi selepas baginda memeluk Islam pada 1368M, baginda
menggunakan gelaran Sultan Muhammad Shah Wa Daulah. Sultan
Brunei ketiga, Syarif Ali adalah pendakwah berketurunan Ahli Bait dari
Taif, baginda menjadi menantu Sultan Ahmad dan diangkat menjadi
Sultan pada 1425M dan dikenali juga sebagai Sultan Barakat. Sejak itu,
Sultan-sultan Brunei adalah keturunan baginda. Berikut adalah senarai
Sultan-sultan Brunei:

●    Sultan Muhammad Shah (1363-1402M)

●     Sultan Ahmad (1402-1425M)

●     Sultan Syarif Ali atau Sultan Barakat (1425-1432M)

●     Sultan Sulaiman (1432-1485M)

●     Sultan Bolkiah (1485-1524M)

●     Sultan Abdul Kahar (1524-1530M)

●     Sultan Saiful Rijal (1530-1581M)

●     Sultan Shah Brunei (1581-1582M)

●     Sultan Muhammad Hassan (1582-1598M)


●     Sultan Abdul Jalil al-Akbar (1598-1659M)

●     Sultan Abdul Jalil al-Jabbar (1659-1660M)

●     Sultan Muhammad Ali I (1660-1661M)

●     Sultan Abdul Haq al-Mubin (1661-1673M)

●     Sultan Muhyidin (1673-1690M)

●     Sultan Nasaruddin (1690-1710M)

●      Sultan Hussin Kamaluddin (1710-1730 M dan 1737-1740M)

●      Sultan Muhammad Alauddin (1730-1737M)

●      Sultan Omar Ali Saifuddin I (1740-1795M)

●      Sultan Muhammad Tajuddin (1795-1804 dan 1804-1807M)

●     Sultan Muhammad Jamal al-Alam I (1804M) 

●      Sultan Muhammad Kanz al-Alam (1807-1826M)

●     Sultan Muhammad Alam (1826-1828M)

●     Sultan Omar Ali Saifuddin II (1828-1852M)

●      Sultan Abdul Mu'min (1852-1885M)

●      Sultan Hashim Jalil al-Alam Aqamaddin (1885-1906M)

●     Sultan Muhammad Jamal al-Alam II (1906-1924M)

●      Sultan Muhammad Tajuddin II (1924-1950M)

●      Sultan Omar Ali Saifuddin III (1950-1967M)

●      Sultan Hasanal Bolkiah (1967-sekarang)

Walaupun Sultan-sultan Brunei berasal dari keturunan Awang Alak


Betatar, tetapi dengan kedatangan Syarif Ali, keturunan Sultan Brunei
telah beralih kepada Ahli Bait. Syarif Ali adalah Syarif Ali bin Syarif Ajlan
bin Rumaithah bin Mohammad Abu Numaie bin Abu Saad al-Hassan bin
Ali al-Akbar dari keturunan Saidina Hassan bin Ali bin Abi Talib. Sebelum
Syarif Ali menjadi Sultan Brunei, Sultan Ahmad, adik kepada Sultan
Mohammad Shah menjadi Sultan ketiga. Anakanda Sultan Mohammad
Shah, Sultan Abdul Majid Hassan menjadi Sultan Brunei dalam jangka
masa yang pendek dan meninggal dunia di China sebelum Sultan
Ahmad. Oleh kerana tiada pewaris, menantu baginda Syarif Ali menjadi
Sultan.

MOHD FADLI GHANI


Pusat Penyelidikan PAS
6 Zulqaedah 1439 / 19 Julai 2018 - HARAKAHDAILY 22/7/2018

Like 0

Anda mungkin juga menyukai