Anda di halaman 1dari 3

Keadilan atasi kasih sayang ibu

Mohd. Radzi Mohd. Zin

BERLAKU adil iaitu meletakkan sesuatu kena pada tempatnya tidak


semudah menyebutnya di bibir. Apatah lagi jika ia ‘kena pada batang
hidung sendiri’. Sesungguhnya, ia memerlukan kepada tahap iman
yang tinggi untuk melakukannya.

Demikianlah tindakan terpuji yang dilakukan oleh ibu kepada salah


seorang lelaki yang menyamun seorang wanita di kedai dobi layan
diri di Sungai Petani, Kedah menyerahkan anaknya yang berusia 21
tahun kepada polis di Ibu Pejabat Polis Kuala Muda pada pukul 1.30
petang, 13 September lalu.

Sehari sebelum itu, Utusan Online melaporkan tindakan dua remaja


bersenjatakan parang melarikan wang tunai, barang kemas dan telefon
bimbit yang dianggarkan bernilai kira-kira RM14,500 di dua lokasi di
Sungai Petani.

Wajah kedua-dua suspek yang jelas kelihatan menerusi rakaman


kamera litar tertutup (CCTV) di kedai dobi layan diri dan kedai runcit
tempat kejadian jenayah itu berlaku, tersebar di media sosial sekali
gus menimbulkan kemarahan netizen.

Realitinya tiada ibu bapa yang waras mahu anak-anak melakukan


jenayah atau perlakuan jahat. Namun, sejarah menceritakan
bagaimana salah seorang anak Nabi Nuh iaitu Kan’an mengingkari
bapanya dengan tidak mahu beriman kepada Allah. Jadi, bukanlah
luar biasa jika anak orang biasa juga ada yang nakal dan terlanjur
walaupun sudah diberikan didikan yang terbaik.

Syabas kepada ibu berkenaan yang masih boleh membuat tindakan


tepat dalam situasi sedemikian. Rasa kasih sayang sedemikian jauh
lebih tinggi nilainya berbanding ‘kasih sayang’ yang membiarkan
sahaja anak melakukan jenayah. Hukuman yang diterima mudah-
mudahan mendatangkan kesedaran dalam diri anaknya untuk tidak
lagi mengulangi kesilapan yang sama.

Ini mengingatkan kita kepada peristiwa di zaman Rasulullah SAW


pada masa ‘Fathul Makkah’ (pembebasan kota Mekah), ada seorang
wanita Quraisy yang mencuri. Wanita tersebut seorang bangsawan
dari Bani Makhzum. Mereka bingung dalam memutuskan perkara
tersebut.

Dalam perundingan, salah seorang daripada mereka mengusulkan


untuk membicarakannya kepada Usamah. Melalui Usamah, mereka
berniat meminta syafaat atau keampunan dari Rasulullah SAW atas
wanita tersebut. Mereka tahu Usamah adalah salah seorang yang
dicintai oleh Nabi SAW dan berharap baginda mengabulkan
permintaan Usamah.

Ketika Usamah menyampaikan kepada Nabi SAW perihal keinginan


mereka, Rasulullah SAW menjawab: “Apakah engkau hendak
membela seseorang agar terbebas daripada hukum yang sudah
ditetapkan oleh Allah SWT?”

Setelah itu Rasulullah SAW berdiri dan berkhutbah: “Wahai manusia


sesungguhnya yang membinasakan orang sebelum kamu adalah
apabila seorang bangsawan mencuri, mereka biarkan. Akan tetapi
apabila seorang yang lemah mencuri, mereka jalankan hukuman
kepadanya. Demi zat yang Muhammad berada dalam genggaman-
Nya. Kalau seandainya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya
aku akan memotong tangannya”.

Kemudian Rasulullah SAW memerintahkan agar memotong tangan


wanita tersebut. Setelah itu wanita tersebut bertaubat dan menikah.
(Riwayat Bukhari Muslim)
Demikian tingginya prinsip keadilan yang ditunjukkan oleh Islam -
yang membezakan seseorang bukanlah paras rupa, pangkat atau harta
tetapi takwa.

Anda mungkin juga menyukai