Anda di halaman 1dari 7

PENGETAHUAN AGAMA ISLAM

Ustaz Abd Aziz bin Harjin, Pesyarah UiTM Perlis, Malaysia.

Jihad Dalam Konteks Islam


Oleh: Mohamad Asyraf Bin Mohamad Said

1 Pengertian Umum Jihad


Para ulama Islam sepanjang zaman telah memahami jihad dalam erti kata yang luas
sebagai mengerahkan usaha daya di jalan Allah yang meliputi usaha pembaikan diri,
usaha pembangunan masyarakat, dakwah melalui lisan dan media. Dalam erti kata
yang khusus pula, mereka memahami jihad sebagai berperang bagi membela agama
Allah.

Kedua-dua pengertian jihad, umum dan khusus ini, digambarkan di dalam sabda
Rasulullah yang bermaksud :

“Berjihadlah kamu melawan orang-orang musyrik dengan hartamu, jiwamu dan lisanmu.”
(Riwayat Abu Daud)

Dalam buku Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah oleh Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Islam
Kuwait, ada dinyatakan bahawa Ar-Raghib telah mengertikan jihad sebagai usaha yang
bersungguh-sungguh dan mengerahkan usaha sepenuhnya dalam menghalang musuh,
samada dengan tangan, lisan atau apapun sahaja yang ia mampu. Ini dilakukan dalam
tiga bentuk : bermujahadah dengan musuh yang nyata, syaitan dan nafsu. Ketiga-tiga
ini termasuk di dalam firman Allah, “dan berjihadlah kepada Allah dengan sebenar-
benar jihad.” Ibn Taimiyah pula berkata bahawa jihad samada dilakukan dengan hati
seperti berazam untuk melakukannya, atau dengan dakwah kepada Islam dan
syariatnya, atau dengan menegakkan hujah ke atas yang batil, atau dengan
menerangkan yang benar dan menghilangkan syubhat, atau dengan pandangan dan
tidakan yang memberi manfaat kepada orang-orang Islam, atau dengan berperang.
1. Dalam Islam jihad ialah perjuangan yang sungguh-sungguh untuk menegakkan
perkara-perkara yang diperintahkan oleh Allah dan membasmi perkara-perkara
larangan-Nya sekalipun dengan mengorbankan hak-hak kepentingan diri sendiri.
2. Dalam konsep Islam, jihad merangkumi korban kerana apabila seseorang berjihad
dengan sendirinya bermaksud mengorbankan kepentingannya dan membawanya
hampir kepada tuhan.
3. Firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud:
" Dan orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak
agama kami.Sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan kami, dan
sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang
berusaha memperbaiki amalannya."
2 Pembelaan Keadilan Merentas Sempadan Ummah
Berdasarkan konsep umum Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam, maka jihad bukan
hanya untuk membela Islam dan umatnya, atau untuk menjaga kepentingan mereka
sahaja. Akan tetapi ia juga adalah untuk membela keadilan bagi manusia sejagat. Ini
adalah berdasarkan firman Allah yang bermaksud :

“ … dan sekiranya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan


sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja,
rumah-rumah ibadat Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama
Allah. Sesungguhnya Allah pasti akan menolong orang yang menolong (agama)Nya.
Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”
(Al-Haj : 40)

Antara pengajaran ayat ini ialah :

a. Sebahagian dari sunnah alam ini ialah Allah akan membangkitkan sekelompok
manusia bagi menolak keganasan manusia yang lain.

b. Umat Islam diajar bukan hanya untuk membela sesama umat Islam, tetapi juga
membela umat agama lain jika mereka dizalimi. Ini boleh difahami dari pernyataan biara,
gereja, rumah ibadat Yahudi bersama dengan masjid dari dirobohkan oleh keganasan
sebahagian manusia.

c. Jika ada sekelompok penganut agama lain yang dizalimi dan ditindas, umat Islam
adalah lebih utama untuk bangkit membela mereka, menyuarakan suara mereka dan
membebaskan mereka dari kezaliman itu.

d. Walaupun Islam tidak sependapat dengan aqidah agama lain, namun Islam tetap
menghormati kehidupan beragama.

Berdasarkan prinsip jihad ini sebagai perjuangan membela keadilan secara inklusif dan
komprehensif, dapat dinyatakan dengan jelas dan yakin bahawa slogan perjuangan
ofensif sekelompok kecil Muslim mengenai jihad secara antagonistik dari pihak Muslim
terhadap bukan Muslim, adalah pendekatan yang sangat keliru. Kedua-dua masyarakat
Muslim dan bukan Muslim perlu difahamkan secara konsisten bahawa asas hubungan
antara kedua-dua kelompok ini adalah keamanan, bukan peperangan atau ketegangan.
Malang sekali, trajedi yang mencengkam dunia hari ini ialah ketiadaan kefahaman yang
jernih mengenai jihad; golongan minoriti Muslim yang keliru melihatnya dengan lensa
yang amat sempit dan kolot, lantas menterorasikan imej jihad dan kebenaran,
sementara di satu pihak pula golongan bukan Muslim yang memilih untuk mewarnai
persepsi mereka terhadap Islam dan Muslim dengan corak-corak kecurigaan dan
tohmahan.

Episod Jamaah Islamiah (JI), yang mutakhir ini menjejas dan menyulitkan lagi proses
mengembalikan kemurnian Islam, membawa kita memasuki satu tahap baru dalam
jihad, iaitu jihad untuk mempertahankan jihad. Usaha bersepadu perlu diorak untuk
mengatasi dua kecenderungan ekstrim; pertama, kekeliruan dan kesangsian terhadap
jihad seperti yang dinyatakan di atas, dan kedua, kecenderungan apologetik untuk
menafikan gagasan jihad sebagai sebahagian daripada keperibadian ummah.

3 Jihad Pendorong Kemakmuran Dunia

Semangat jihad yang sebenarnya mendorong masyarakat Islam untuk mengusahakan


kemajuan dan pembangunan bagi manusia, ekonomi dan negara. Ini adalah kerana
Islam menggalakkan kemajuan. Firman Allah bermaksud :

“Hendaklah ada dari kalangan kamu satu umat yang mengajak kepada kebaikan dan
menyeru kepada yang maaruf dan mencegah yang mungkar, dan mereka itulah
golongan yang berjaya.”
(Al-Qasas : 87)

Ini dikukuhkan lagi dengan firmanNya bermaksud :

“Dia telah menciptakan kamu dari bumi dan menjadikan kamu pemakmurnya.”
(Hud : 61)

Apabila diperhatikan gagasan umum kehidupan menurut kayu ukur Islam, kita dapat
memahami bahawa misi hidup manusia ialah untuk memakmurkan kehidupan dunia
bagi mencapai kemakmuran hidup akhirat. Ini bersandarkan beberapa nas Al-Quran
dan hadith, di antaranya firman Allah bermaksud :

“Dan Dialah yang menjadikan kamu sebagai khalifah di bumi, dan mengangkat
sebahagian kamu ke atas sebahagian yang lain dengan apa yang dikurniakanNya
kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat siksaanNya sesungguhnya Dia
Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Al-An’am : 165)

Dan firman Allah lagi bermaksud :

“Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk mereka mengabdikan diri
kepadaKu.”
(Adz-Dzariat : 56)

Jihad merupakan satu tuntutan ke atas Muslim, secara individual dan secara kolektif,
untuk berusaha sehabis upaya ke arah melaksanakan misi tersebut bagi
merealisasikan matlamat khilafah (kemakmuran dunia) dan ubudiyyah (kemakmuran
akhirat). Sejarah Rasulullah dan para sahabat telah menyediakan gambaran jelas
tentang jihad yang sebenarnya, yang boleh disimpulkan sebagai memperjuangkan dua
lapangan tersebut. Dengan demikian, setiap usaha membangunkan upaya dan unsur-
unsur sokongan ke arah dua kemakmuran itu adalah jihad, sepertimana usaha untuk
mencegah atau menghilangkan faktor-faktor yang menghalang keduanya juga adalah
jihad.
Islam juga menganjurkan umatnya untuk sentiasa membaiki diri dan berusaha sebaik
mungkin. Maka keadaan seseorang yang statik, tidak maju ataupun berkembang, tidak
sejajar dengan semangat syara’ yang ditetapkan. Atas dasar ini juga, Islam
menganjurkan sifat berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan. Firman Allah
bermaksud :

“Dan berlumba-lumbalah kamu dalam (melakukan) kebaikan.” (Al-Baqarah : 148)

Secara umum, kondisi ummah pada hari ini menuntut jihad untuk menawarkan Islam
sebagai alternatif praktikal ke arah kemakmuran hidup dunia dan kesejahteraan
masyarakat global. Namun sebelum itu, realiti yang perlu diakui ialah bahawa pihak
yang tidak memiliki tidak akan mampu memberi. Jihad ke luar ini, tidak dapat tidak,
perlu diiringi, kalaupun tidak didahului, dengan jihad ke dalam secara serius untuk
membangunkan khaira ummah, dengan membina quwwah (keupayaan dan
kemampuan) dan amanah (berprinsip dan berkerohanian murni).

JIHAD DALAM KONTEKS ASIA TENGGARA: PENDEKATAN MALAYSIA


1 Jihad di Malaysia – Membina Masyarakat Cemerlang

Keberadaan masyarakat Islam di Malaysia akan terus kekal simbolik semata-mata,


selama mana masyarakat ini tidak dilihat berpatisipasi dan membuat sumbangan di
dalam spektrum kehidupan politik, budaya dan ekonomi negara. Sebagai konstituen
politik yang turut sama memiliki upaya pengundian dan kepenggunaan, masyarakat
Islam perlu terus membangun dengan yakin untuk mengatur langkah progresif bagi
menyusun semula struktur organisasinya sebagai sebuah masyarakat penyumbang
yang dirasakan kewujudannya. Masyarakat Islam perlu terus berusaha untuk
mengubah ketrampilannya sebagai hanya sebuah kelompok “Muslim almari”. Ini
menuntut masyarakat untuk memanifestasikan Islam dengan penuh sedar dan terbuka,
berpaksikan inti serta kefahaman syara’ yang bercirikan prinsip-prinsip universal.

Masyarakat Islam di Malaysia sedang giat mengatur langkah bergerak ke arah


membangun diri sebagai masyarakat cemerlang. Dalam konteks kehidupan masyarakat
berbilang bangsa dan agama di Malaysia, ini merupakan jihad yang menuntut jumlah
usaha yang tidak sedikit. Diterajui oleh Dr Yaacob Ibrahim, Menteri Pembangunan
Masyarakat dan Sukan, merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat
Islam, setiap Muslim diseru untuk bersama melihat dan mengusahakan kecemerlangan
secara menyeluruh. “Idea yang lebih menyeluruh mengenai kecemerlangan adalah
penting dan ia bukan hanya setakat kecemerlangan akademik, yang sering dikelirukan
oleh orang ramai. Sebaliknya, kecemerlangan adalah nilai yang anda pegang teguh
dalam kehidupan,” katanya. Menjelaskan, Dr Yaacob berkata para Anggota Parlimen
(AP) Melayu/Islam telah pun mengenal pasti tiga aspek utama yang harus diberi
perhatian - keluarga, pendidikan dan pekerjaan.
Wawasan membina masyarakat Islam cemerlang ini malah mendapat perhatian
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Dalam ucapan di Rapat Hari
Kebangsaan, beliau menyokong sepenuhnya wawasan Dr Yaacob Ibrahim untuk
membentuk masyarakat Melayu/Islam cemerlang. Pemodenan dan pembangunan
boleh dicapai oleh masyarakat sambil menimba kekuatan dari warisan budaya Melayu
dan nilai-nilai Islam untuk meningkatkan kemajuan masyarakat. Rancangan akan
tertumpu kepada usaha meningkatkan taraf pencapaian pelajar Melayu/Islam dalam
semua mata pelajaran, terutama, sains dan matematik serta menjadi orang Islam yang
baik dan rakyat Malaysia yang setia. Beliau menyeru Melayu Malaysia agar bersikap
komited terhadap pembentukan masyarakat Melayu/Islam cemerlang yang dapat
berintegrasi dengan baik di dalam negara Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.
Beliau yakin yang orang Melayu boleh menjadi sebuah masyarakat Islam contoh yang
progresif dan mantap dari segi ekonomi. Masyarakat contoh sebegini akan
menyumbang ke arah pembentukan semula Malaysia.

Majlis Agama Islam Malaysia, di dalam melakarkan Pelan Tindakan 3 Tahun 2004-2006,
telah menetapkan visi untuk membentuk masyarakat Islam Malaysia yang memiliki ciri-
ciri berikut :

a. Berpegang teguh dengan prinsip-prinsip Islam, tetapi dalam masa yang sama
bersedia mengusahakan perubahan dalam menjawab keperluan dan cabaran masakini.

b. Kukuh moral dan rohani untuk menghadapi cabaran-cabaran masyarakat moden,


terutama di dalam bidang ekonomi yang melalui perubahan.

c. Memiliki pengetahuan dan kefahaman mengenai sejarah dan tamadun Islam, di


samping memiliki persediaan intelektual untuk memahami Islam dan isu-isu terkini
dunia Islam.

d. Meyakini bahawa Muslim yang baik adalah juga rakyat yang baik.

e. Menyesuaikan diri dengan baik dalam melalui kehidupan sebagai anggota penuh
sebuah negara sekular dan masyarakat berbilang agama, dengan menyumbang
kepada negara dan kemanusiaan global, termasuk di dalam peranan-peranan
kepimpinan.

f. Progresif, mengikuti perkembangan tuntutan-tuntutan masyarakat moden dan


mengamalkan Islam melampaui batasan ritualistik atau kelahirian bentuk.

g. Mengetahui dan menghargai kekayaan yang turut ada di dalam tamadun-tamadun


lain, di samping memiliki keyakinan diri untuk berinteraksi dengan orang-orang/kaum-
kaum lain serta bersedia untuk belajar dari mereka.

h. Bersikap inklusif dan mengamalkan pluralisma selagi mana tidak bercanggah dengan
prinsip-prinsip Islam.
i. Menjadi rahmat kepada masyarakat-masyarakat lain dengan berpegang teguh
kepada nilai-nilai dan prinsip-prinsip universal, lantas melepasi status minoriti dan
menjadi sebahagian daripada kumpulan majoriti.

j. Menjadi model dan inspirasi kepada yang lain.

HIKMAH JIHAD
a) Jihad itu tidak sia-sia tetapi diberi pahala yang besar dari Allah.
b) Mendapat bantuan Allah dan hidayat-Nya menjadikan jihad itu berkat
dan mendapat rahmat.
c) Golongan yang tidak beriman tidak diterima pengorbanan mereka oleh
Allah.
JENIS-JENIS JIHAD
1) JIHAD AKBAR -jihad yang besar iaitu jihad melawan hawa nafsu.Contohnya,nafsu
malas solat, nafsu suka membuang masa, nafsu ingin membuat maksiat.Melawannya
dengan jihad.
2) JIHAD ASGHAR -jihad yang kecil iaitu menentang musuh yang nyata seperti
peperangan menentang orang-orang kafir yang menceroboh agama Islam dan
memerangi orang-orang murtad.
JIHAD DI JALAN ALLAH
Berjihad beerti kita berjuang dengan cara mengorbankan apa yang ada pada diri kita
tanpa mengharapkan apa-apa balasan daripada makhluk, hanya mengharapkan
balasan dari Allah. Pengorbanan yang perlu dilakukan :
a) mengorbankan fikiran iaitu memberi sumbangan fikiran ke arah pembangunan Islam
di semua peringkat kehidupan dan di semua sudut.
b) mengorbankan harta iaitu menyumbang-kan harta ke arah pembangunan Islam
seperti pembinaan sekolah-sekolah yang berteraskan Islam, ekonomi bercorak Islam,
tempat-tempat ibadat, pertahanan dan sebagainya.

c) mengorbankan jiwa iaitu bersedia berkorban sekalipun dengan kematian apabila


berjuang seperti pergi berdakwah mengajak orang kepada Islam atau dengan
berperang di medan perang untuk membela agama, bangsa dan negara.
d) mengorbankan sesuatu yang kita sayang.Firman Allah dalam surah Al-Imran ayat 92
yang bermaksud :
" Kamu tidak akan mencapai kebaikan kecuali kamu belanjakan apa yang kamu
sayang."
e) melawan nafsu dengan membuang sifat-sifat tercela dan menghias diri dengan sifat-
sifat terpuji.

HUBUNGAN JIHAD DALAM PENGORBANAN.


1) Jihad ialah berjuang untuk menegakkan segala perintah Allah dan membasmi
perkara-perkara larangannya dengan bersungguh-sungguh.
2) Pengorbanan adalah penderitaan atau susah payah yang mesti ditempuh untuk
berjuang dalam jihad.
3) Setiap jihad memerlukan pengorbanan kerana terpaksa bersusah payah untuk
mencapai cita-cita yang diperintah oleh Allah.Seperti kata pepatah Melayu:
" Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian, Bersakit-sakit dahulu, bersenang-
senang kemudian."
4) Kejayaan yang dicapai dengan pengorbanan lebih besar erti dan nilainya daripada
tanpa pengorbanan.
5) Sifat-sifat yang perlu ada pada orang yang berjihad ialah:
a) ikhlas kepada Allah
b) tawakkal kepada Allah
c) sabar menempuh ujian pengorbanan
d) tekun.

Untuk mencapai darjat jihad yang sebenar adalah dengan pengorbanan yang
membawa kepada hilangnya kepentingan dan hak untuk diri sendiri.Semangat jihad
sepatutnya dipupuk dalam diri setiap individu muslim kerana:
a) mencapai kejayaan bukanlah mudah tetapi memerlukan pengorbanan. Besar
kejayaan yang hendak dicapai, besar jugalah pengorbanan yang perlu dibuat.
b) sabar dan tabah untuk berkorban itu sendiri memerlukan semangat jihad.
c) orang yang paling disukai Allah ialah orang yang paling tinggi jihadnya.Ibni Mas'ud
pernah bertanya kepada Rasulullah:" Apakah amal yang paling dikasihi Allah? Jawab
baginda: Solat dalam waktunya. Kemudian? Kemudian jihad dijalan Allah." d) orang
yang mempunyai semangat jihad itulah orang yang layak diajak sebagai teman atau
pengikut dalam berjuang.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin


Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

P: 04-9882701
H: 013-4006206
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: abdazizharjin.blogspot.com

Anda mungkin juga menyukai