Anda di halaman 1dari 22

Pembinaan Akhlak.

AKHLAK ialah tingkah laku yang dipengaruhi oleh nilai-nilai yang diyakini oleh seseorang yang menjadi sebahagian daripada
keperibadiannya. Nilai-nilai dan sikap itu pula terpancar daripada konsepsi dan gambarannya terhadap hidup. Dengan
perkataan lain, nilai-nilai dan sikap itu terpancar daripada aqidahnya iaitu gambaran tentang kehidupan yang dipegang dan
diyakininya.

Aqidah yang benar dan gambaran tentang kehidupan yang tepat dan tidak dipengaruhi oleh kepalsuan, khurafat dan
falsafah-falsafah serta ajaran yang palsu, akan memancarkan nilai-nilai benar yang murni di dalam hati. Nilai-nilai ini akan
mempengaruhi pembentukan sistem akhlak yang mulia. Sebaliknya aqidah yang dianuti dibina di atas kepalsuan dan
gambarannya mengenai hidup bercelaru dan dipengaruhi oleh berbagai-bagai fahaman palsu, ia akan memancarkan nilai-
nilai buruk di dalam diri dan mempengaruhi pembentukan akhlak yang buruk.

Akhlak yang baik dan akhlak yang buruk, merupakan dua jenis tingkah laku yang berlawanan dan terpancar daripada dua
sistem nilai yang berbeza. Kedua-duanya memberi kesan secara langsung kepada kualiti individu dan masyarakat. Individu
dan masyarakat yang dikuasai dan dianggotai oleh nilai-nilai dan akhlak yang baik, akan melahirkan individu dan masyarakat
yang harmoni. Begitulah sebaliknya jika individu dan masyarakat yang dikuasai oleh nilai-nilai dan tingkah laku yang buruk,
akan porak peranda dan kacau bilau. Masyarakat yang kacau bilau, tidak mungkin dapat membangunkan tamadun yang
murni dan luhur.

Kompas Kehidupan : Muslim Mukmin - 1


Sejarah membuktikan bahawa sesebuah masyarakat itu yang inginkan kejayaan, bermula daripada pembinaan sistem nilai
yang kukuh yang dipengaruhi oleh unsur-unsur kebaikan yang terpancar daripada aqidah yang benar. Masyarakat itu runtuh
dan tamadunnya hancur disebabkan keruntuhan nilai-nilai dan akhlak yang terbentuk daripadanya. Justeru itu, akhlak
mempunyai peranan yang penting di dalam kehidupan dan dalam memulihara kemuliaan insan serta keluhurannya.
Martabat manusia akan turun setaraf dengan haiwan, sekiranya akhlak runtuh dan nilai-nilai murni tidak dihormati dan
dihayati. Oleh kerana itu Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya aku diutus untuk melengkapkan akhlak yang mulia”. (Riwayat Al-Baihaqi)

Para sarjana dan ahli fikir turut mengakui pentingnya akhlak di dalam membina keluhuran peribadi dan tamadun manusia.
Akhlak yang mulia menjadi penggerak kepada kemajuan dan kesempurnaan hidup. Sebaliknya, akhlak yang buruk menjadi
pemusnah yang berkesan dan perosak yang meruntuhkan kemanusiaan serta ketinggian hidup manusia di bumi ini.
Kepentingan akhlak dalam kehidupan dinyatakan dengan jelas dalam Al-Quran menerusi berbagai-bagai pendekatan yang
menekankan Al-Quran sebagai sumber pengetahuan mengenai nilai dan akhlak yang paling terang dan jelas. Pendekatan
Al-Quran dalam menerangkan akhlak yang mulia, bukan pendekatan teoritikal tetapi dalam bentuk konseptual dan
penghayatan. Akhlak yang mulia dan akhlak yang buruk digambarkan dalam perwatakan manusia, sejarah dan realiti
kehidupan manusia semasa Al-Quran diturunkan.

Al-Quran menggambarkan bagaimana aqidah orang-orang beriman, kelakuan mereka yang mulia dan gambaran kehidupan
mereka yang penuh tenang, sabar, ikhlas dan redha. Berbanding dengan perwatakan orang-orang kafir dan munafik yang

Kompas Kehidupan : Muslim Mukmin - 2


jelek dan merosakkan. Gambaran mengenai akhlak mulia dan akhlak keji begitu jelas dalam perilaku manusia melalui
cacatan kandungan sejarahnya. Al-Quran juga menggambarkan bagaimana perjuangan para rasul untuk menegakkan nilai-
nilai mulia dan murni di dalam kehidupan dan bagaimana mereka ditentang oleh kefasikan, kekufuran dan kemunafikan
yang cuba menggagalkan tertegaknya dengan kukuh akhlak yang mulia sebagai teras kehidupan yang luhur dan murni itu.

Aqidah Mencorakkan Akhlak


Sebagaimana yang disebutkan sebelum ini, nilai-nilai akhlak yang dipegang oleh seseorang dan sesuatu kebudayaan itu
adalah hasil daripada aqidah dan gambaran tentang kehidupan itu sendiri. Pembentukan nilai-nilai akhlak itu bergantung
pada bagaimana manusia memberikan jawapan kepada pertanyaan-pertanyaan yang asasi dalam hidup. Siapakah yang
menciptakan alam ini dan apakah tujuannya? Apakah tujuan manusia di tempatkan di bumi dan apakah tujuan dan
matlamatnya yang sebenar? Jawapan-jawapan kepada persoalan asas mengenai kehidupan ini akan menentu dan mencorak
nilai-nilai akhlak yang dimiliki oleh seseorang atau sesuatu kebudayaan. Oleh sebab terdapat berbagai-bagai jawapan
kepada persoalan tersebut, maka terdapat berbagai-bagai sistem nilai di dalam masyarakat manusia yang mencorakkan
berbagai sikap dan tingkah laku yang membentuk berbagai-bagai kebudayaan.

Al-Quran telah memaparkan berbagai-bagai golongan yang memberi jawapan berbeza kepada persoalan-persoalan asasi
kehidupan yang membentuk konsepsi dan aqidah mengenai kehidupan ini. Terdapat aqidah orang-orang beriman, aqidah
orang-orang kafir, aqidah orang-orang fasik dan aqidah orang-orang munafiqin. Aqidah orang-orang yang beriman
dinyatakan dalam Al-Quran sebagai orang-orang yang beriman kepada Allah S.W.T, kepada RasulNya S.A.W, kepada
keagungan Allah S.W.T yang mencipta dan memiliki alam ini. Mereka yakin kepada hari akhirat, yakin bahawa kejadian Allah

Kompas Kehidupan : Muslim Mukmin - 3


S.W.T yang tidak terbatas kepada alam lahir sahaja dan kejadian Allah S.W.T itu tidak terbatas dalam lingkungan yang dapat
diketahui oleh manusia. Kerana itu mereka percaya kepada ciptaan-ciptaan Allah S.W.T yang ghaib, seperti malaikat, syurga,
neraka dan adanya makhluk-makhluk Allah S.W.T yang lain yang tidak diketahui oleh manusia dan pengetahuan manusia
tidak menjadi syarat bagi menentukan sesuatu kejadian Allah S.W.T harus ada atau tidak ada. Allah S.W.T bebas mengikut
kehendak-Nya, untuk mencipta atau tidak mencipta sesuatu yang ada di dalam ilmu-Nya.

Aqidah ini menyebabkan orang-orang beriman sentiasa bergantung harap kepada Allah S.W.T dan tidak bergantung harap
kepada yang lain daripada-Nya. Tujuan hidup manusia di dunia ini ialah untuk beribadah kepada Allah S.W.T dan setiap
tindak tanduk dan kelakuan serta tindakannya adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah S.W.T. Keredhaan Allah dan
beribadat kepada Allah S.W.T menjadi tumpuan dan pemusatan setiap aspek kegiatannya.

Pergantungan semata-mata kepada Allah S.W.T memberikan kepada seorang mu’min itu kebebasan dan tidak terikat
kepada mana-mana kuasa selain daripada Allah S.W.T. Daripada perasaan inilah tercetusnya pengakuan seorang Muslim
bahawa “Tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah S.W.T.”

Manusia beriman yang sebenarnya, tidak mungkin menyembah kepada yang lain selain Allah S.W.T, tidak memperjuangkan
sesuatu yang dicipta oleh mana-mana kuasa lain selain daripada yang ditentukan di dalam agama Allah S.W.T. Allah S.W.T
bagi mereka adalah Tuhan Yang Maha Sempurna, Maha Berkuasa dan kepada Dialah tumpuan segala ibadah dan segala

Kompas Kehidupan : Muslim Mukmin - 4


yang baik sama ada niat dan amalan. Lihatlah bagaimana pendirian yang bebas, tegas dan berani yang ditunjukkan oleh
seorang mu’min yang sejati Rab’i bin Amir ketika berhadapan dengan Raja Rum sebagaimana berikut :
“Allah S.W.T sesungguhnya mengutus kami untuk membebaskan sesiapa yang dikehendaki-Nya daripada
menyembah sesama hamba kepada menyembah hanya kepada Allah S.W.T, daripada kesempitan dunia kepada
kekuasaan-Nya dan keluasan Akhirat, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.”

Seorang mu’min berjiwa besar, tetapi bukan sebagai debu berterbangan di udara. Kebebasan seorang mu’min sentiasa
mendapat panduan dan bimbingan. Justeru itu, ia tidak berkelana dan hidup tanpa tujuan. Ia sentiasa bergerak bebas
dengan memiliki peta yang menunjukkan haluan pergerakan dan perjalanannya. Ia sentiasa bertindak mengikut petunjuk
Allah S.W.T dan berpandu kepadanya.

Seorang mu’min berperasaan halus dan berhati lembut kerana keyakinannya bahawa ia adalah hamba Allah S.W.T. Segala
perbuatannya akan dinilai dan dihitung serta diberikan balasan atau ganjaran dengan adil dan saksama. Wawasannya, tidak
semata-mata untuk mendapatkan habuan dan ganjaran di dunia, tetapi juga di akhirat. Tentunya, ganjaran di akhirat adalah
lebih baik daripada di dunia. Kerana itu, ia sanggup mengorbankan kurniaan Allah S.W.T di dunia, untuk mendapatkan
kurniaan Allah S.W.T di akhirat.

Aqidah dan pandangan hidup yang asas ini, memancarkan nilai-nilai murni dalam jiwa orang-orang beriman. Nilai-nilai ikhlas
untuk Allah S.W.T dan tidak tunduk beribadah melainkan kepada Allah S.W.T, adalah merupakan nilai yang agung yang
membentuk akhlak yang murni dan jiwa yang luhur dalam kehidupan orang-orang beriman. Ia membentuk akhlak terhadap

Kompas Kehidupan : Muslim Mukmin - 5


Allah S.W.T dan akhlak terhadap sesama manusia. Hubungan manusia dengan Allah S.W.T dan kelakuannya terhadap Allah
S.W.T ditentukan mengikut nilai-nilai aqidah yang ditetapkan. Begitu juga akhlak terhadap manusia dicorakkan oleh nilai-
nilai aqidah seorang muslim, seperti mana yang ditetapkan di dalam Al-Quran yang merupakan ajaran dan wahyu daripada
Allah S.W.T. Pergaulan manusia dengan manusia tidak boleh disamakan dengan perhubungan manusia dengan Allah S.W.T.

Aqidah dan pegangan seorang yang beriman berbeza dengan aqidah dan pegangan seorang yang kafir. Justeru itu nilai-nilai
dan akhlak juga berbeza. Al-Quran memaparkan aqidah dan pegangan orang-orang kafir dalam berbagai-bagai kategori,
justeru terdapat berbagai-bagai bentuk kekufuran yang berlaku di kalangan umat manusia. Antara kekufuran yang berlaku
disebabkan mereka menolak ajaran yang benar yang dibawa oleh utusan Allah S.W.T dan mereka menafikan kerasulan
utusan itu. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud :
“Maka ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata (sesama sendiri)): "Orang ini hanyalah seorang manusia
seperti kamu, ia bertujuan hendak melebihkan dirinya daripada kamu. Dan kalaulah Allah berkehendak
(mengutuskan seorang Rasul) tentulah Ia menurunkan malaikat menjadi RasulNya. Kami tidak pernah mendengar
seruan seperti ini dalam kalangan datuk nenek kami yang telah lalu”. (Al-Mu’minum:24)

Kekufuran juga berlaku keran tidak percayakan hari akhirat. Kerana percaya bahawa tidak ada kehidupan selepas mati,
mereka hidup berfoya-foya di dunia ini tanpa memikirkan seksaan di akhirat. Bagi mereka seperti yang dinyatakan oleh Al-
Quran “kehidupan ini Cuma di dunia”. Manusia dilahirkan dan kemudian mati, mereka tidak dibangkitkan kembali, seperti
kata mereka “Kehidupan kita tidak ada yang lain daripada kehidupan dunia. Daripada tiada kita ada dan hidup. Apabila mati
kita tidak dibangkitkan lagi.

Kompas Kehidupan : Muslim Mukmin - 6


Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
“Dan (bagi menolak seruan itu), ketua-ketua dari kaumnya yang kafir serta mendustakan pertemuan hari akhirat,
dan yang Kami mewahkan mereka dalam kehidupan dunia, berkata (sesama sendiri) "Orang ini hanyalah seorang
manusia seperti kamu, ia makan dari apa yang kamu makan, dan meminum dari apa yang kamu minum.” (Al-
Mu’minum : 33)

Kekufuran juga berlaku disebabkan sifat bongkak dan sombong serta ingkar kepada perintah Allah S.W.T dan angkuh
terhadap-Nya. Allah berfirman mengenai kekufuran Iblis yang bermaksud:
“Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". Lalu
mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari
golongan yang kafir.” (Al-Baqarah: 34)

Aqidah orang-orang kafir yang sombong terhadap Allah S.W.T, yang tidak percaya kepada Rasul yang diutus oleh Allah S.W.T
dan ajaran-ajaran yang mereka bawa, yang tidak percaya kepada hari akhirat dan tidak patuh kepada hukum-hukum itu,
membentuk nilai-nilai kelakuan dan cara hidup yang menjurus ke arah kehidupan yang tidak berakhlak mulia dan luhur.
Allah S.W.T berfirman yang bermaksud :
“Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal-amal yang soleh - ke
dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir menikmati
kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang
nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.” (Muhammad: 12)

Mereka tidak mempunyai matlamat yang murni dan abadi dalam kehidupan mereka. Kehidupan ini bagi mereka mencari
makan, mencari harta dan berfoya-foya semata-mata di atas dunia ini. Itulah sahaja kehidupan mereka. Selain daripada itu,

Kompas Kehidupan : Muslim Mukmin - 7


tiada matlamat yang jauh yang hendak dituju. Pandangan dan cara hidup mereka ini, sudah tentu mempengaruhi
pembentukan akhlak mereka yang pincang dan bercelaru.

Satu lagi akidah kekufuran yang berbahaya ialah munafiq yang “pepat di luar rancung di dalam; “telunjuk lurus kelingking
berkait”. Bahaya kekufuran ini sangat dahsyat kerana sikap permusuhan dan dendam mereka terhadap orang-orang yang
beriman. Gambaran mengenai aqidah mereka penuh dengan gambaran kepura-puraan. Mereka mengaku beriman, tetapi
mereka sebenarnya tidak beriman. Mereka berpura-pura percaya kepada Nabi S.A.W yang diutus oleh Allah S.W.T tetapi
dalam hati mereka benci dan memusuhi baginda. Mereka memandang rendah kepada ajaran Nabi Muhammad S.A.W dan
sering mempertikaikan ajaran itu. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:
“Dan di antara manusia ada yang berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat"; padahal
mereka sebenarnya tidak beriman. Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal
mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya. Dalam hati mereka (golongan
yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada
mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta
(dan mendustakan kebenaran).” (Al-Baqarah: 8-10)

Aqidah munafiqin, melahirkan sifat-sifat dan kelakuan-kelakuan keji yang mewakili akhlak yang buruk. Untuk
menyembunyikan kekufuran, mereka berdusta, memutar belitkan kebenaran, memungkari janji dan mengkhianati amanah.
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Tiga perkara yang sesiapa yang mempunyainya di dalam diri maka ia adalah munafiq. Apabila bercakap is dusta,
apabila berjanji tidak dikotakan apabila diberi amanah ia khianat. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kompas Kehidupan : Muslim Mukmin - 8


Nilai-Nilai Mutlak Dan Relatif
Selain daripada memaparkan konsep dan penghayatan akhlak secara konsepsi dan praktikal dan membezakan antara akhlak
orang-orang yang beriman dan orang-orang kafir berasaskan kepada perbezaan aqidah mereka, Al-Quran menghuraikan
pengertian akhlak Islam yang didokong dan dihayati oleh orang-orang beriman. Akhlak Islam dijelaskan berdasarkan kepada
model insan kamil yang terdapat dalam diri Rasulullah S.A.W. yang telah merealisasikan pengertian akhlak Al-Quran dalam
kehidupan yang realistik. Rasulullah S.A.W dikatakan sebagai Al-Quran yang berjalan. Aishah r.ha berkata ‘Adapun akhlak
baginda ialah Al-Quran’. Kerana itu nilai-nilai asas yang membentuk akhlak Islam ialah nilai-nilai akhlak mutlak. Nilai-nilai
asas ini, tidak bersifat relatif atau nisbi. Nilai-nilai asas yang membentuk akhlak Islam ialah nilai-nilai mutlak. Nilai-nilai asas
ini, tidak bersifat relatif atau nisbi. Nilai-nilai asas yang membentuk akhlak Islam, tidak berubah-ubah mengikut zaman dan
tempat. Ia tidak hanya baik pada masa yang lalu dan tidak baik untuk masa sekarang. Apa yang diperakukan oleh Al-Quran
dan As-Sunnah sebagai baik, maka ia adalah baik untuk sepanjang zaman, tempat dan situasi. Apa yang dianggap tidak baik,
maka ia adalah tidak baik untuk selam-lamanya. Apa yang baik adalah halal dan yang buruk dan tidak baik itu adalah haram.
Perkara halal dan yang haram diterangkan dengan jelas.

Nilai-nilai yang baik dan buruk diprogramkan ke dalam hukum-hukum yang menentukan sama ada sesuatu perkara itu boleh
dilakukan atau tidak boleh dilakukan, yang mesti dilakukan atau mesti ditinggalkan atau dijauhkan. Hukum –hukum itu ialah
wajib, sunat, makruh dan haram. Perkara-perkara yang telah diprogramkan ke dalam hukum-hukum ini adalah mutlak
sifatnya. Akan tetapi perkara-perkara yang termasuk dalam perkara harus adalah relatif sifatnya. Nilai-nilai akhlak Islam,
berbeza dengan nilai-nilai tamadun Barat yang semata-mata bergantung pada akal dalam menentukan nilai-nilai dan tidak
baik. Kerana itu, kebanyakan nilai-nilai dalam tamadun barat bersifat relatif. Pada hari ini ia difikirkan sebagai baik dan di

Kompas Kehidupan : Muslim Mukmin - 9


masa yang lain ia ditolak sebagai baik. Begitu juga yang dipandang buruk pada hari ini, tidak lagi dianggap demikian pada
masa yang lain. Homoseksual dan Lesbian, dahulu dianggap haram dan tidak baik, sebaliknya hari ini perbuatan itu
dihalalkan dan dibenarkan sebagai legal serta mendapat hak-hak dan perlindungan perundangan. Kenisbian nilai-nilai akhlak
ini, menimbulkan huru hara nilai yang mengakibatkan kepincangan akhlak.
Rasulullah S.A.W. adalah contoh seorang hamba Allah yang bersyukur iaitu contoh berakhlak mulia dan tinggi dalam
perhubungan dengan Allah S.W.T. Ini berasaskan kepada peribadahan yang dilakukannya dengan penuh ikhlas mengikut
sistem peribadahan yang ditentukan oleh Allah S.W.T. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:
“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat
kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan
yang demikian itulah Ugama yang benar” (Al-Bayyinah: 5)

Orang-orang kafir musyrik yang beribadah kepada yang lain daripada Allah S.W.T. adalah manusia yang tidak berakhlak dan
berlaku biadab terhadap Allah S.W.T. Abu Lahab, Firaun, Namrud dan lain-lain adalah contoh manusia yang tidak berakhlak
dan biadab terhadap Allah S.W.T. Mereka takbur, bongkak dan sombong. Mereka melakukan kemungkaran, kezaliman dan
kerosakan di bumi akibat daripada kesyirikan mereka terhadap Allah. Nilai-nilai syirik menjadikan mereka manusia yang
tidak bermoral dan makhluk perosak yang meluas seperti di kalangan generasi baru masyarakat barat.

Model Akhlak Al-Quran


Akhlak Rasulullah S.A.W adalah model akhlak-akhlak mulia yang di hurai dan dijelaskan dalam Al-Quran. Keterangan jelas
mengenai konsep akhlak mulia dalam Al-Quran, bukan sahaja untuk difahami, tetapi untuk dilaksanakan. Contoh kepada
penghayatan dan kaedah penghayatan itu ialah kehidupan Rasulullah S.A.W.

Kompas Kehidupan : Muslim Mukmin - 10


Rasulullah S.A.W seorang mukmin yang terulung. Seorang yang telah diasuh dan dipelihara akhlaknya oleh Allah S.W.T.
untuk dijadikan seorang rasul dan contoh insan kamil yang menjadi ikutan dan tauladan sepanjang zaman. Allah S.W.T
berfirman yang bermaksud:
“Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia”. (Al-Qalam: 4)
Juga firman-Nya yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang
sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati
Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Al-Ahzaab: 21)

Rasulullah S.A.W. dan para sahabat yang bersama dengannya, adalah para hamba Allah S.W.T yang tekun mengerjakan
ibadat dan tunduk khusyu’ merendah diri kepada Allah S.W.T, takut dan mengharap kepada-Nya. Pada waktu siang mereka
menjadi pahlawan gagah membela agama Allah S.A.W. Sedangkan pada waktu malam air mata mereka berlinang kerana
insaf dan memohon keampunan daripada Allah S.W.T.

Al-Quran menggambarkan pengabdian mereka kepada Allah S.W.T. dengan firman-Nya yang bermaksud:
“Nabi Muhammad S.A.W ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas
terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan
kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan
mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang
menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan ibadat
mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam
Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya,
lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal)

Kompas Kehidupan : Muslim Mukmin - 11


batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-
sahabat Nabi Muhammad S.A.W dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana
Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki - dengan kembang
biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari
mereka, keampunan dan pahala yang besar.” (Al-Fath: 29)

Rasulullah S.A.W paling banyak beribadah dan paling bertaqwa, tanpa melupakan tanggungjawab terhadap kewajipan
manusia yang lain. Isteri baginda Aishah r.ha hairan kerana baginda begitu tekun beribadah kepada Allah S.W.T. Pada suatu
ketika Aisyah bertanya, mengapa baginda begitu tekun dan kuat beribadah, pada Allah S.W.T. sedia mengampuni dosa
baginda yang terdahulu dan terkemudian. Rasulullah S.A.W. menjawab yang bermaksud:
“Tidakkah aku ingin diriku menjadi hamba yang bersyukur”.(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bersyukur adalah akhlak yang tinggi dan mulia dalam hubungan dengan Allah S.W.T. bersyukur di atas nikmat yang
dikurniakan Allah S.W.T, kemuncak daripada beribadah. Membentuk diri menjadi hamba Allah yang bersyukur, mercu
kejayaan dalam usaha membentuk insan kamil yang meredhai Allahdan diredhai Allah. Kesyukuran itu, menambahkan lagi
kesayangan Allah dan sentiasa mendapat tambahan ni’mat-ni’mat Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan
tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah
keras.” (Ibrahim: 7)

Kompas Kehidupan : Muslim Mukmin - 12


Rasulullah S.A.W adalah contoh manusia yang bersyukur kepada Allah S.W.T. dan kesyukurannya itu dilafazkan menerusi
amalan ibadahnya kepada Allah S.W.T. Ini ditambahi pula dengan ingatan yang tidak putus-putus terhadap Allah dan
menjadikan seluruh kehidupannya dalam suasana beribadah kepada Allah S.W.T. semata-mata.

Beribadah dalam pengertian bersolat, berzikir, berpuasa dan amalan-amalan kerohanian yang lain dilakukan tanpa
mengurangkan tanggungjawab dalam hubungan antara sesama manusia, seperti yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. Allah
S.W.T menekankan hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia seperti yang dinyatakan-Nya dalam Al-Quran
yang bermaksud:
“Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab
dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah, dan
mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar
akan ayat-ayat Allah (perintah-perintahNya), dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar.
Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa mencerobohi (hukum-hukum Allah).” (Al-Imran:
112)

Justeru itu Al-Quran menggariskan prinsip-prinsip bagi mewujudkan sistem yang mengatur hubungan dengan Allah S.W.T.
menerusi ibadah dan taqwa serta sistem yang mengatur hubungan antara manusia dengan manusia. Sistem ini menjamin
hubungan yang berasakan akhlak yang dapat membebaskan manusia dari kehinaan dan dapat meningkatkan martabat
mereka menuju kemuliaan dan kehormatan.

Kompas Kehidupan : Muslim Mukmin - 13


Pada suatu ketika Rasulullah S.A.W mendengar perbualan beberapa orang sahabat mengenai ibadah mereka. Seorang
berkata, ia bersembahyang sepanjang malam, sahabat yang lain pula berkata ia berpuasa sepanjang hari sementara seorang
lagi berkata ia tidak berkahwin untuk menumpukan kepada ibadah. Rasulullah S.A.W. mendengar perbualan mereka lantas
bersabda yang bermaksud:
“Kamukah yang berkata demikian, Akulah orang yang paling bertaqwa dari kalangan kamu. Akan tetapi aku
sembahyang dan aku tidur, aku berpuasa dan aku berbuka puasa malah aku mengahwini wanita-wanita”.

Tumpuan kepada ibadah khusus dalam menguatkan hubungan dengan Allah tidak seharusnya mengabaikan tanggungjawab
dalam hubungan dengan manusia juga merupakan ibadah apabila dilakukan untuk keredaan Allah serta melaksanakan
perintah dan arahan-Nya.

Akhlak Terhadap Sesama Manusia


Al-Quran dan As-Sunnah yang menterjemahkan ajaran Islam ke dalam realiti kehidupan, menggariskan akhlak-akhlak mulia
dalam hubungan antara sesama orang beriman, secara terperinci. Hubungan antara sesama orang beriman itu diasaskan
kepada persaudaraan. Persaudaraan yang sentiasa di gerak dan dihidupkan, diperbaiki dan diperkukuhkan. Allah S.W.T.
berfirman yang bermaksud:
“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu
(yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh Rahmat.” (Al-Hujuraat: 10)

Persaudaraan itu diikat dengan kasih sayang dan cinta mencintai antara satu sama lain. Rasulullah S.A.W. bersabda yang
bermaksud:

Kompas Kehidupan : Muslim Mukmin - 14


“Perumpamaan orang-orang yang beriman itu dari segi saling berkasih sayang dan berkasihan belas, adalah seperti
jasad apabila satu anggota mengadu sakit, membawa seluruh jasad turut berjaga malam dan deman”. (Riwayat
Ahmad)

Perasaan kasih sayang terhadap sesama umat Islam adalah komponen yang membentuk iman. Beriman kepada Allah dan
rasul-Nya mestilah mengandungi perasaan kasih kepada kedua-duanya. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:
“Tidak beriman seseorang kamu sehingga Allah dan Rasul-Nya lebih dikasihinya daripada yang lain dari kedua-
duanya”. (Riwayat Ahmad)

Dalam hubungan ini, kasih kepada orang beriman telah dikaitkan dengan kesempurnaan iman. Ini menunjukkan bagaimana
pentingnya nilai kasih sayang itu dalam kehidupan dan pergaulan sesama orang-orang beriman. Rasulullah S.A.W. bersabda
yang bermaksud:
“Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya.
(Riwayat Ahmad, At-Tarmizi dan Al-Hakim)

Nilai kasih sayang yang disemai dalam diri para mukmin sebagai menyambut arahan S.W.T dalam Al-Quran dan ajaran
Rasulullah S.A.W. dalam sunnahnya. Ia bertujuan untuk membina dan membentuk akhlak murni di kalangan orang-orang
beriman dalam pergaulan antara sesama mereka. Pertemuan dan perjumpaan antara sesama Islam hendaklah dalam
keadaan wajah yang berseri-seri dan manis, yang dijelmakan dalam senyuman. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:
“Melemparkan senyuman kepada wajah saudaramu adalah sedekah”. (Riwayat At-Tirmizi)

Kompas Kehidupan : Muslim Mukmin - 15


Ini diikuti dengan mengucap selamat serta memberi salam untuk memulakan hubungan dan pertemuan, Rasulullah S.A.W.
bersabda yang bermaksud:
“…Sebarkanlah salam di kalangan kanmu”. (Riwayat Muslim)

Seterusnya, rasulullah S.A.W. menggariskan peraturan-peraturan memberi salam secara terperinci yang boleh dirujukkan
kepada kitab-kitab hadis. Bagi memujuk perasaan kasih sayang serta memperkukuhkan keimanan, Allah S.W.T. dan Rasul-
Nya melarang tindakan-tindakan sama ada dengan perbuatan dan perkataan yang boleh membawa kepada terputusnya
hubungan persaudaraan dan silaturahim di kalangan orang-orang yang beriman. Begitu juga perlakuan yang buruk yang
menjatuhkan martabat dan ketinggian orang-orang yang beriman.

Allah S.W.T. melarang penyebaran maklumat yang berkaitan dengan keburukan yang dilakukan dalam masyarakat. Walau
bagaimanapun Islam memberi kebenaran melakukan pendedahan keburukan yang berkaitan dengan perlakuan zalim
apabila dibuat di mahkamah semata-mata untuk menegakkan keadilan. Begitu juga saksi dan orang yang teraniaya boleh
mendedahkan kezaliman yang dilakukan oleh seseorang untuk menegakkan keadilan. Allah S.W.T. berfirman yang
bermaksud:
“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk
mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar,
lagi Maha Mengetahui.” (Al-Nisaa : 148)

Kompas Kehidupan : Muslim Mukmin - 16


Keburukan yang dilakukan oleh seseorang mukmin hendaklah disembunyikan. Jika keburukan itu berkaitan dengan
pencabulan terhadap keadilan, ia hendaklah diadili di mahkamah dan dihukum jika sabit kesalahan. Walau bagaimanapun
berita mengenai kesalahan dan hukuman yang dikenakan tidak boleh didedah dan disebarkan untuk dijadikan bahan
perbualan orang ramai melainkan untuk pengajaran dan pembelajaran semata-mata. Rasulullah S.A.W. bersabda yang
bermaksud:
“Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Islam Allah menutup keaibannya didunia dan diakhirat”. (Riwayat
Muslim, Ahmad dan Abu Daud)

Seterusnya orang-orang yang beriman dilarang berperangai suka menyebarkan berita tanpa dipastikan kebenarannya, suka
mencela dan mengkritik, suka melaknat dan mengeluarkan kata-kata buruk dari mulutnya. Rasulullah S.A.W. bersabda yang
bermaksud:
“Memadai seseorang itu berdusta apabila ia berbicara tentang apa sahaja yang didengarnya”. (Riwayat Muslim)
Mengenai budaya sukan mengecam, mengerdik dan melaknat, Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:
“Bukanlah seorang yang beriman itu seorang yang suka mengecam, suka melaknat, suka mengeluarkan kata buruk
dan kesat”. (Riwayat Bukhari dan Ahmad)

Orang-orang Islam dilarang menghina sesama orang-orang Islam. Sebaliknya mereka hendaklah saling hormat-
menghormati. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud:
“Cukuplah seseorang itu menjadi jahat dengan ia menghina saudara muslimnya”. (Riwayat At-Tirmizi)

Kompas Kehidupan : Muslim Mukmin - 17


Kewajipan orang Islam terhadap saudara muslimnya yang melakukan kesilapan dan kesalahan ialah memberikan nasihat
dan menghukum dengan hukum Allah S.W.T. setelah dibicarakan dan disabitkan kesalahannya. Rasulullah S.A.W. bersabda
yang bermaksud:
“Agama itu ialah nasihat”. Ada yang berkata, “Untuk siapa ya rasulullah. Sabdanya “untuk Allah dan Rasul-Nya,
untuk pemimpin orang-orang Islam dan orang ramai di kalangan mereka’. (Riwayat Bukhari).

Al-Quran Sumber Akhlak Mulia


Al-Quran sumber bagi hukum-hukum dan peraturan-peraturan yang menyusun tingkah laku dan akhlak manusia. Al-Quran
menentukan sesuatu yang halal dan yang haram, apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan. Al-Quran
menentukan bagaimana sepatutnya kelakuan manusia. Al-Quran juga menentukan perkara yang baik dan tidak baik. Justeru
itu al-Quran menjadi sumber yang menentukan akhlak dan nilai-nilai kehidupan ini.

Al-Quran mengharamkan yang buruk dan keji serta melarang manusia melakukannya. Al-Quran melarang manusia minum
arak, memakan riba, bersikap angkuh dan sombong terhadap Allah, satu-satu kaum menghina kaum yang lain. Al-Quran
melarang pencerobohan, fitnah dan berbunuhan. Al-Quran melarang menyebarkan maklumat mengenai perkara-perkara
yang keji.

Al-Quran mengajak manusia supaya mentauhidkan Allah S.W.T., bertaqwa kepada-Nya, mempunyai sangkaan baik
terhadap-Nya. Al-Quran juga mengajak manusia berfikir, cinta kepada kebenaran, bersedia menerima kebenaran. Malah
mengajak manusia supaya berilmu dan berbudaya ilmu.

Kompas Kehidupan : Muslim Mukmin - 18


Al-Quran juga mengajak manusia supaya berhati mulia, sabar, tekun, berjihad, menegakkan kebenaran dan kebaikan. Al-
Quran mengajak manusia supaya bersatu padu, berkeluarga dan mengukuhkan hubungan silaturahim. Jelaslah bahawa Al-
Quran menjadi sumber nilai-nilai dan akhlak mulia. Penampilan akhlak mulia dalam Al-Quran, tidak bersifat teoritikal
semata-mata, tetapi secara praktikal berdasarkan realiti dalam sejarah manusia sepanjang zaman. Al-Quran adalah sumber
yang kaya dan berkesan untuk manusia memahami akhlak mulia dan menghayatinya.

Mendidik Manusia Sedari Awal Pembentukannya


Terlalu kerap kita mendengar ungkapan ‘anak umpama kain putih, ibu bapa adalah pencoraknya’. Begitu juga ungkapan
lama seperti ‘bapa borek anak rintik’, ‘bagaimana acuan begitulah kuihnya’, ‘bagaimana contoh begitulah gubahannya’,
’bagaimana ditanam, begitu dituai’, ‘bagaimana rupa begitulah bayangnya’, dan banyak ungkapan lagi. Ungkapan pepatah
dan peribahasa lama ini dengan jelas menyatakan bahawa bagaimana kita mendidik si cilik, begitulah nanti dewasanya si
cilik dengan didikan kita.

Ungkapan itu juga menjelaskan betapa didikan yang pelbagai untuk anak-anak bakal memanusiakan mereka atau
menjadikan mereka manusia. Istilah memanusiakan anak-anak memerlukan kefahaman yang tinggi bukan sahaja dari sudut
material dan akal semata-mata malahan paling penting kefahaman dari aspek Spiritual dan Emosionalnya (kerohanian dan
kejiwaan).
Rasulullah S.A.W. pernah bersabda; “Tahukan engkau siapakah yang mandul ?” Para sahabat menjawab; “Orang
yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak.” Lalu rasulullah S.A.W. berkata; Orang yang mandul ialah
orang yang mempunyai banyak anak tetapi anak-anaknya tidak memberi manfaat kepadanya sesudah ia
meninggal dunia.”

Kompas Kehidupan : Muslim Mukmin - 19


Firman Allah S.W.T yang bermaksud;
“Dan negeri yang baik (tanahnya), tanaman-tanamannya tumbuh (subur) dengan izin Allah; dan negeri yang tidak
baik (tanahnya) tidak tumbuh tanamannya melainkan dengan keadaan bantut. Demikianlah Kami menerangkan
tanda-tanda (kemurahan dan kekuasaan) Kami dengan berbagai cara bagi orang-orang yang (mahu) bersyukur.”
(Al-A’raaf : 58)

Meninjau kisah Iman Abu Hanifah (Hanafi An Nu’man), seseorang pernah bertanya kepada bapa Iman Abu Hanifah. “Tuan,
bagaimanakah tuan mendidik Hanafi sehingga istimewa sebegini istimewa jadinya?”. Jawab bapa Iman Abu Hanifah “Aku
didik Hanafi 40 tahun sebelum dia dilahirkan”.

Ini bermakna, bapa Iman Hanifah telah menyiapakan dirinya yang terbaik agar anak yang dilahirkan kelak mewarisi kebaikan
dan akhlaknya. Hal ini harus dipandang berat oleh ibu bapa masa kini yang beranggapan bahawa pertalian mereka dan anak-
anak hanya atas dasar pertalian darah semata-mata. Sebenarnya ia lebih dari itu.

Dalami juga nasihat-nasihat berguna Luqman Al-Hakim kepada anaknya ketika mereka sedang dalam perjalanan yang jauh.
Luqman Al-hakim adalah seorang hamba yang miskin, namun mengkayakan anaknya dengan nasihat-nasihat yang berguna
sehingga nasihat beliau diwahyukan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran dan menjadi sebahagian ilmu yang berguna kepada
umat Islam hari ini. Rasulullah S.A.W. pernah bersabda;
“Setiap anak yang dilahirkan secara fitrah, kedua-dua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau
Majusi.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kompas Kehidupan : Muslim Mukmin - 20


Hadis tersebut memberi maksud pepatah lama Melayu di atas iaitu ‘bagaimana acuan begitulah kuihnya’. Ini bermakna
tugas ibu bapa bukan sahaja mendidik diri sendiri menjadi manusia yang baik, malah mendidik anak sejak di dalam
kandungan sehingga ia lahir ke dunia.

*******************************
BICARA KENDIRI
*******************************
Sahabat yang di kasihi Allah S.W.T...
Apabila Allah S.W.T kasih akan seseorang hambaNya, maka Allah anugerahkan pada hambaNya itu perkara-perkara yang
mulia dan bernilai, dan tiada apa yang lebih bernilai daripada Agama Islam yang ada pada kita pada hari ini. Syukur pada
Allah kerana di kalangan berbilion-bilion manusia Allah SWT memilih kita untuk menerima anugerah ini. Tak terbayang dek
kita jika nikmat Iman dan Islam ini di cabut oleh Allah S.W.T.

Apabila Allah S.W.T lebih sayang lagi pada Hamba-hambaNya, maka Allah S.W.T akan campak kan pada hati Hamba-
hambaNya kasih dan sayang pada agamaNya, syukur juga pada Allah SWT, kerana kasih dan sayang pada agamalah kita
hari ini telah berusaha untuk memberi makna yang besar pada agama yang ada pada diri kita. Kita berbicara di sini pun
atas maksud kasih sayang pada Agama yang suci murni ini. Mudah-mudahan Allah S.W.T kekalkan nikmat cinta dan kasih
pada Agama ini pada kita, keluarga dan seluruh zuriat keturunan kita.

Kompas Kehidupan : Muslim Mukmin - 21


Sahabat yang di kasihi Allah .SW.T, jika Allah S.W.T lebih lagi sayang pada hambaNya, Allah S.W.T akan campak kan pada
keseluruhan kehidupan kita kefahaman agama, faham bermaksud dapat beramal dengan sepenuhnya perintah Allah
mengikut keutamaan dalam apa situasi dan keadaan pada semua urusan seharian kita, dari sekecil-kecil urusan seharian
kita hingga kepada urusan yang besar-besar mengikut cara yang di tunjuk ajar oleh Baginda Nabi S.A.W. Ini pun kita syukur
pada Allah SWT kerana sedikit demi sedikit amalan-amalan Sunnah Nabi S.A.W kita telah mulakan dan sebahagian nya kita
tengah usahakan, moga Allah mudahkan untuk kita hidupkan 100% Sunnah Nabi S.A.W dalam kehidupan seharian kita.

Sahabat-sahabat yang di muliakan oleh Allah SWT, namun jika Allah S.W.T lebih lagi sayang pada seseorang hambaNya,
Allah S.W.T akan gunakan keseluruhan kehidupan nya, masa nya, diri nya, hartanya, keretanya, rumahnya, kedainya dan
apa sahaja yang berkaitan dengannya untuk maksud kebaikan agama, Inilah kemuncak kasih sayang Allah S.W.T, Inilah
darjat yang telah di perolehi oleh Sahabat-sahabat Baginda Nabi SAW, sehingga Allah S.W.T redha pada mereka dan
mereka ini redha pada Allah S.W.T. SEMOGA ALLAH MEMILIH KITA, SELURUH KELUARGA , ZURIAT KETURUNAN KITA DAN
SELURUH UMMAT NABI SAW UNTUK MENDAPAT KASIH SAYANG ALLAH PADA PERINGKAT INI...
*******************************
Norhissam Mustafa
*******************************

Kompas Kehidupan : Muslim Mukmin - 22

Anda mungkin juga menyukai