Anda di halaman 1dari 11

Islam Sebagai Cara Hidup

Apa yang termuat dalam risalah ini, sebahagian besarnya, adalah petikan daripada pendapat ulamak-ulamak muktabar yang
jelas fikrah serta iltizam dan intizam dengan kehidupan Islam. Saya hanya menyambung lidah, menyampaikan buah fikiran
dan pengalaman mereka di sepanjang hidup dan berbagai-bagai waqi’.

Sepatutnya tajuk “ Islam Sebagai Cara Hidup” menghuraikan skop dan ruang lingkup yang luas meliputi berbagai-bagai aspek
kehidupan manusia. Tetapi apa yang saya ketengahkan di sini menyentuh perkara asas yang menjadi akar kepada
penyelesaian hidup manusia dari semasa ke semasa hingga alam ini diwarisi kembali oleh Allah S.W.T.

Konsep Penyelesaian Tersendiri


Persoalan penting, apakah yang hendak diselesaikan oleh Islam? Apakah masalah sebenar manusia yang tidak mampu
diselesaikan oleh mana-mana sistem atau peraturan selain dari Islam?
Sebelum persoalan ini dijawab, perlulah difahami bahawa Islam tidak boleh dipisahkan daripada realiti hidup manusia.
Kerana manusialah Islam ditanzilkan (diturunkan). Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
“Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul
pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang
ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)”(Saba’ :28)

Risalah Baginda Rasulullah S.A.W adalah untuk kepentingan manusia. Manusia mempunyai sifat dan tabiat yang unik.
Manusia terdiri daripada empat fakulti iaitu jiwa, emosi, akal dan jasad. Keempat-empat fakulti ini perlu dipandu dan
dikawal oleh satu sistem yang lengkap dan bersepadu untuk melahirkan manusia atau insan yang dapat berperanan sebagai

Fakta : Satu Penilai dan Harapan - 1


khalifah Allah S.WT di muka bumi mengikut nilai Rabbani, sekali gus memperlihatkan kematangan serta kedewasaan dalam
kehidupan di dunia dan layak mengecapi kebahagiaan di akhirat kelak.

Kita mengetahui bahawa setiap undang-undang atau peraturan mempunyai falsafah dan konsep yang tersendiri. Undang-
undang dan peraturan-peraturan itu, dalam pelaksanaannya, tetap akan menghadapi masalah dan mempunyai cara-cara
penyelesaian tersendiri pula.

Adalah tidak logik dan tidak adil seseorang menuntut undang-undang tertentu untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang
timbul, akibat daripada pelaksanaan undang-undang yang lain. Islam adalah undang-undang dan peraturan yang lengkap.
Setiap juzuk berkaitan dan berhubungan secara bersepadu membentuk kesatuan hakiki mencakupi seluruh aspek
kehidupan. Sekiranya Islam diberikan peluang agar tau’iyah dan tarbiyyahnya ditegakkan berdasarkan prinsip-prinsip
da’wah Islamiyyah yang sebenar, berqudwahkan Rasulullah S.A.W dan berpandukan sumber wahyu Allah S.W.T, sehingga
lahir masyarakat yang rela melaksanakan undang-undang dan peraturan Islam, maka di kala itu logik dan adillah Islam
dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang timbul. Lihatlah apakah Islam mampu atau tidak ?

Cara Islam Menyelesaikan Permasalahan Hidup


Untuk mengetahui cara Islam menyelesaikan permasalahan hidup manusia, seseorang perlu kembali meneliti dan
memahami Fiqhu Da’wah Rasulullah S.A.W. Yakni da’wah yang dibimbing oleh wahyu Allah S.W.T, Al-Quranul Karim. Di
waktu yang sama seseorang perlulah melihat realiti masyarakat sewaktu Baginda Rasulullah S.A.W diutuskan dari segi

Fakta : Satu Penilai dan Harapan - 2


politik, ekonomi dan sosial kerana dalam bidang-bidang inilah sering timbul masalah-masalah yang dihadapi oleh sesuatu
masyarakat, bangsa atau negara.

Ketika mana Baginda Rasulullah S.A.W diutuskan, negeri Arab seperti Syam dan Yaman yang subur dan kaya dengan hasil
mahsul dikuasai oleh Rom dan Parsi. Tinggallah Hijaz, Tihamah dan Najd yang kering kontang, dilitupi padang pasir dan
dimiliki secara bebas oleh orang-orang Arab yang berpuak-puak dan berqabilah.

Kalau difikirkan secara biasa, tanpa menyakini bahawa setiap tindakan baginda bersabit dengan konsep Da’wah Islamiyyah
sebenar dan metod penyampaian baginda adalah bimbingan wahyu Allah S.W.T, maka sudah tentu seseorang akan
membuat andaian –andaian seperti berikut :-

1. Dalam kesempatan Baginda Rasulullah S.A.W yang memiliki sifat-sifat kepimpinan, kewibawaan dan pernah diberi
kepercayaan oleh pembesar-pembesar Quraisy untuk menyelesaikan masalah-masalah tertentu, maka sebelum
baginda menjalankan Da’wah Islamiyyah kepada masyarakat jahiliyyah, sudah tentu dengan senang baginda dapat
menyatupadukan umat Arab yang berpuak dan berqabilah di bawah slogan Qaumiyyah Arabiyyah demi
membebaskan bumi Arab dari di jajah oleh Romawi serta Parsi dan mengembalikan kuasa politik ke tangan umat
Arab. Setelah umat Arab bersatu, buminya dirampas kembali dari tangan Romawi dan Parsi dengan semangat
Qaumiyyah Arabiyyah dan setelah kedudukan Baginda Rasulullah S.A.W sebagai pemimpin kukuh maka dapatlah
baginda, dengan kuasa dan kedudukan yang dimiliki, memantapkan Aqidah Tauhid untuk dianuti oleh masyarakat

Fakta : Satu Penilai dan Harapan - 3


dan seterusnya mewartakan Islam sebagai cara hidup mereka. Dengan cara ini, tentulah pada andaian seseorang
yang hanya menggunakan aqal, Baginda Rasulullah S.A.W tidak akan menghadapi berbagai-bagai halangan,
rintangan, seksaan dan tentangan yang keras daripada kafir Qura’isy selama 13 tahun dalam usaha untuk
menanamkan Aqidah Tauhid ke dalam hati masyarakat dan menegakkan Islam sebagai ad-Din (sistem hidup ).
Tetapi andaian ini bukanlah jalan yang sebenar.
2. Kesempatan yang lain, realiti ekonomi dan sumber kekayaan pada zaman Rasulullah S.A.W dikuasai oleh segolongan
kecil dari masyarakat jahiliyyah. Mereka menguasai aktiviti perniagaan berasaskan riba. Majoriti rakyat hidup miskin
dan melarat. Berdasarkan kesempatan ini, mungkin seseorang mengandaikan jika Bainda Rasulullah S.A.W berusaha
mengajak majoriti masyarakat yang miskin dan melarat, lalu menyatupadukan mereka dalam satu saf bagi
melepaskan diri daripada cengkaman golongan feudal dan meningkatkan taraf hidup mereka, nescaya Rasulullah
S.A.W dengan senang dapat mempengaruhi dan menyatukan mereka. Selepas itu bolehlah Rasulullah S.A.W
menegakkan Aqidah Tauhid dan seterusnya mentatbiqkan undang-undang Islam dalam kehidupan masyarakat, tanpa
bersusah payah menghadapi tentangan masyarakat Quraisy yang agresif hingga ke tahap ingin membunuh Baginda
S.A.W. Tetapi andaian ini bukanlah jalan yang sebenar.
3. Kesempatan yang lain pula, realiti sosial dari sudut moral dan akhlak orang-orang Arab ketika itu amatlah
menyedihkan. Sesiapa yang kuat dia lah yang berkuasa. Permusuhan, kezaliman dan pergeseran sesama sendiri
sering berlaku. Anak gadis ditanam hidup-hidup. Kemabukan arak, perjudian, amalan pelacuran dan seumpamanya
berleluasa. Mungkin seseorang mengandaikan sekiranya Baginda Rasulullah S.A.W mengisytiharkan dari awal-awal
lagi suatu bentuk Da’wah Islamiyyah yang bertujuan membaiki moral, membentuk disiplin dan membangunkan

Fakta : Satu Penilai dan Harapan - 4


akhlak tanpa menekankan permasalahan iman, nescaya Rasulullah S.A.W akan mendapat sambutan dan sokongan
majoriti penduduk tanah Arab. Lebih-lebih lagi pada ketika itu masih terdapat di kalangan orang-orang Arab yang
mempunyai sifat-sifat dan ‘basic moraliti’ yang baik. Tidak perlu Rasulullah S.A.W bersusah payah selama 13 tahun
berda’wah mengajak manusia supaya beriman kepada Allah S.W.T dan mentauhidkan-Nya. Tetapi andaian ini
bukanlah jalan yang sebenar.

Allah S.W.T Maha Mengetahui


Sesungguhnya Allah S.W.T Maha Mengetahui bahawa semua andaian di atas bukan jalan yang betul untuk menyelesaikan
masalah hidup manusia. Allah S.W.T Maha mengetahui bahawa masalah hidup manusia tidak dapat diselesaikan tanpa
melalui proses pembentukan iman yang yakin berasaskan aqidah yang sahih. Aqidah yang akan menentukan sikap dan nilai
sebenar. Apabila aqidah tauhid mengambil tempat dalam hati dan jiwa para sahabat Rasulullah S.A.W, dalam suasana
mereka menghadapi berbagai-bagai halangan dan tentangan yang keras, maka terbentuk lah Aqidah Tauhid Rububiyyah
dan Uluhiyyah terhadap Allah S.W.T. Aqidah tauhid menjadi keyakinan dalam kehidupan mereka. Syari’at dan peraturan
Islam menjadi praktik hidup mereka.

Pencetus dan Pengawas yang Kuat


Apabila manusia mengenal Illah, beribadat kepada-Nya semata-mata, membebaskan diri daripada kesultanan manusia serta
hawa nafsu dan apabila kalimah “Lailaha Illahah” menguasai keimanan manusia, pada ketika itu Allah S.W.T akan
menyempurnakan untuk mereka segala sesuatu termasuklah andaian-andaian seperti di atas tadi. Dalam masa lebih kurang
suku abad sahaja, bumi Arab yang terdahulu dijajah oleh Romawi dan Parsi telah dapat dikuasai oleh generasi yang dibentuk

Fakta : Satu Penilai dan Harapan - 5


oleh Rasulullah S.A.W melalui proses keimanan kepada Allah S.W.T dan prinsip-prinsip keimanan yang lain. Bersihlah
masyarakat Arab daripada sebarang bentuk kezaliman. Tertegaklah peraturan Islam pilihan Allah S.W.T yang adil dan
saksama untuk manusia. Bersihlah jiwa dan moral masyarakat daripada saki baki Jahiliyyah sehingga jarang sekali hukum
hudud, qisas dan ta’zir dijalankan pada generasi yang unik ini.

Realiti Umat Islam Kini


Sering terdengar percakapan-percakapan dan perbincangan-perbincangan di kalangan pemuda-pemuda dan ahli-ahli fikir
Islam dewasa kini mengenai keperluan umat Islam terhadap kekuatan harta benda, ilmu pengetahuan dan pelbagai ilmu
ikhtisas untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi umat Islam dan membangunkan hidup mereka agar lebih
maju dan makmur. Namun, amat sedikit didapati perbicaraan dan tindakan yang serius tentang keperluan umat Islam
terhadap keimanan yang sebenar, perhubungan dengan Allah S.W.T, kepatuhan kepada titah perintah-Nya dan mencari
keredaan-Nya dalam semua amalan.

Tegasnya, seseorang perlu faham dan sedar bahawa setiap amalan yang dilakukan dan wasilah yang dimiliki, tanpa
bersandarkan kepada dasar keimanan terhadap Allah S.W.T, akan sia-sia segala amalan dan wasilah itu di sisi Allah S.W.T.
Begitu banyak harta yang menjadi milik orang-orang Islam tetapi tidak menguntungkan Islam. Begitu juga halnya dalam
bidang-bidang lain.

Fakta : Satu Penilai dan Harapan - 6


Rahsia Kejayaan Generasi Awal
Kejayaan generasi Para Sahabat Rhum yang dibentuk Rasulullah S.A.W dalam mengejar matlamat hidup bukanlah kerana
mereka memiliki pelbagai wasilah dan alat kelengkapan yang cukup. Rahsia kejayaan mereka ialah keimanan sejati,
kepatuhan maksimum terhadap titah Allah S.W.T dan cita-cita mendalam untuk mendapatkan keredaan serta pahala
daripada-Nya. Inilah rahsia yang menyebabkan mereka bersedia penuh menyahut setiap hajat dan keperluan Islam dari
masa ke semasa. Juga rahsia yang mendorong mereka berkorban dan bangun melaksanakan setiap tuntutan Islam tanpa
rasa berat walaupun menghadapi pelbagai kesukaran.

Apabila Islam berhajatkan kerja-kerja da’wah, maka tampillah para du’at yang jujur, berani dan sabar menyampaikan risalah
Allah S.W.T melalui lisan dan contoh teladan meskipun menghadapi berbagai-bagai halangan dan tentangan daripada
musuh. Mereka tetap meneruskan kerja-kerja da’wah tanpa takut atau mundur ke belakang.

Apabila Islam memerlukan pengorbanan harta benda, maka tampillah mereka yang memiliki harta benda dan kekayaan,
lalu menginfaq kepada Rasulullah S.A.W dengan penuh rela tanpa rasa bakhil atau sayang kepada harta itu. Hinggalah
terdapat di kalangan mereka yang berkata kepada Rasulullah S.A.W, “Apa yang tuan ambil daripada kami adalah lebih baik
daripada apa yang tuan tinggalkan”.

Apbila Islam berkehendakkan pengorbanan jiwa untuk mempertahankan kesuciannya daripada dicemari musuh, maka
berlumba-lumbalah mujahid-mujahid dan pejuang-pejuang Islam memberi khidmat suci demi menyahut panggilan Allah
S.W.T. Sungguh banyak pengorbanan, sumbangan dan khidmat bakti mereka untuk kepentingan Islam semata-mata.

Fakta : Satu Penilai dan Harapan - 7


Islam Bermula Dengan Usul, Tidak Dengan Furu’
Islam tidak memulakan da’wah dengan mengetengahkan permasalahan furu’ tetapi memulakannya dengan perkara usul
(perkara asas atau dasar). Islam peringkat awal, pada zaman Rasulullah S.A.W, tidak meminta manusia agar bangun berjihad
di medan peperangan, berpuasa, berzakat, meninggalkan arak, menjauhkan judi dan sebagainya. Tetapi Islam di peringkat
awal meminta dan menuntut supaya beriman kepada Allah S.W.T semata-mata. Tegasnya Islam bermula dengan aqidah,
tidak bermula dengan taklif atau kewajipan. Aqidah lah yang menjadi asas dalam pelaksanaan taklif (kewajipan). Islam
bermula dengan batin, hati dan fikiran manusia sebelum sesuatu yang lain. Dari titik tolak aqidah yang bertempat di hati
akan berlakulah perubahan dan pembangunan yang hakiki, yakni pembangunan insan di tengah-tengah alam kebendaan.

Apabila perkara dasar ini menguasai hati dan fikiran mereka yang dibentuk oleh Rasulullah S.A.W, lahirlah keperibadian
ummah yang berorientasikan iman. Keperibadian itu menjadi kenyataan. Mereka iltizam dan intizam kepada perintah Allah
S.W.T dan Rasulullah S.A.W dalam berbagai aktiviti hidup pada setiap masa tanpa berhajatkan pengawasan luar. Segala
sesuatu yang terdahulu menjadi masalah dalam kehidupan mereka dapat diatasi dan diselesaikan dengan senang.

Lihatlah bagaimana Rasulullah S.A.W menyelesaikan permasalahan arak hanya melalui tiga potong ayat al-Quran al-Karim.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa
besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan
mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: "Dermakanlah
- apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya
(keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir.” (Al-Baqarah:219)

Fakta : Satu Penilai dan Harapan - 8


“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam
keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri
masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu
mandi bersuci. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari
tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi
atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka
kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.” (An-Nisa:43)

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi
nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu
hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya” (Al-Maidah:90)

Dengan tiga potong ayat tersebut permasalahan arak dapat diselesaikan oleh Rasulullah S.A.W. Sebaliknya, kerajaan
Amerika suatu ketika dahulu pernah melarang rakyatnya meminum arak. Dijalankan dia’yah (kempen) kepada masyarakat
umum menentang arak. Media massa kerajaan digunakan untuk tujuan tersebut. Hinggalah undang-undang pengharaman
arak dikuatkuasakan di Amerika. Kerajaan Amerika menanggung beban perbelanjaan bagi melaksanakan undang-undang
tersebut sebanyak 250 juta dollar. Akibat daripada pengharaman undang-undang arak itu, seramai 300 orang dikenakan
hukuman mati bersabit kesalahan arak dan 500,000 orang dipenjarakan. Denda yang dikumpul sebanyak 400 juta dollar.
Namun akhirnya, pada tahun 1933, kerajaan Amerika terpaksa memansuhkan undang-undang pengharaman arak.

Fakta : Satu Penilai dan Harapan - 9


*********************************
BICARA HATI
*********************************
Semua orang berusaha untuk membangunkan diri masing-masing, satu situasi yang fitrah pada setiap manusia yang
waras, sama ada ianya di dorong atau terdorong dengan apa sahaja, ianya tetap fitrah. Di sinilah terbentuk kehendak
untuk mencari jalan yang terbaik bagaimana untuk membangunkan diri masing-masing. Bermula lah sebuah pencarian
dalam mengenalpasti bentuk, cara, bahan dan aplikasi untuk membangunkan diri masing-masing. Maka di sini lah
terbentuknya pelbagai cara dan kaedah yang tidak di nafikan akan kesannya, sehingga dapat membangunkan diri daripada
satu darjat ke satu darjat yang lebih baik, dari tidak kenali telah menjadi semakin di kenali, dari miskin telah berjaya
memiliki harta kekayaan, malah dari rasa rendah diri kepada terserlahnya karisma kepimpinannya, dari di benci kepada di
sanjung dan di sayangi...

Namun hakikatnya harus di perhalusi, kerana kejayaan membangunkan diri untuk keluar daripada belenggu kehidupan
yang sempurna hanyalah berada dalam amal-amal agama yang sempurna, sebagaimana yang ditunjuk kan oleh Baginda
Nabi SAW, di tuntuni rapi dan rawinya oleh Para Sahabat R.hum. Inilah cara yang tersimpannya keseluruhan kejayaan
kehidupan yang melangkaui masa, merentasi sempadan kehendak dan kemahuan keseluruhan ummat manusia. Mereka
ini bukannya semata-mata bangkit tetapi sebaliknya dibangkitkan dengan penuh kemuliaan dengan hakikat kehidupan
yang sempurna.

Fakta : Satu Penilai dan Harapan - 10


Maka saya dan keseluruhan kita perlu merenung dan menyelusuri kembali denai yang telah di rentas ini, mujahadah dan
tarbiah inilah yang sebenar-benarnya akan membangunkan diri kita secara hakiki, yang bakal mengeluarkan kita daripada
kesempitan dunia kepada keluasan akhirat, daripada mengejar pangkat/darjat kepada hanya sanya mencari redha Allah
S.W.T, daripada meminta-minta kepada yang tiada memiliki apa-apa kepada pemilik segala Khazanah bumi dan langit,
Allah S.W.T….

Ayuh wahai diri ini dan sahabat semua, bangkitlah untuk memperbetulkan amal-amal kita, keseluruhan amal-amal kita,
keluarga kita, jiran tetangga kita, rakan taulan kita dan seluruh ummat manusia, kerana dengan betulnya amal-amal kita
semua, pastinya akan datang pada kita segala-galanya, bukan setakat apa sahaja yang kita mahu, malah segala hajat-hajat
yang belum tiba masanya pun akan Allah S.W.T sempurnakan.

Siapa yang perlu mulakan semua usaha ini, saya dan kita semua, Ayuh bertindak segera, usah lagi bertangguh apatah lagi
leka dan lena walaupun seketika, kerana kita kesuntukan telah masa...
*********************************
Norhissam Mustafa
*********************************

Fakta : Satu Penilai dan Harapan - 11

Anda mungkin juga menyukai