Anda di halaman 1dari 15

Asas-asas tamadun Islam

Tamadun Islam merupakan satu peringkat perkembangan kehidupan manusia yang


tinggi dan dibentuk serta dibangunkan di atas asas-asasnya yang utuh dan padu bagi
menjamin kesejahteraan masyarakatnya. Asas-asas tersebut ialah Akidah, Syariah
dan Akhlak. Ketiga-tiga asas tamadun Islam ini saling bergantung dengan al-Quran
kerana al-Quran menjadi sumber rujukan utama untuk Akidah, Syariah dan Akhlak di
dalam Islam.

Akidah

Akidah ialah iman atau kepercayaan kepada Allah S.W.T, yang diikat oleh ucapan dua
kalimah syahadah. Ia merupakan inti dasar kepada kewujudan tamadun Islam. Apabila
seseorang individu itu beriman kepada Allah S.W.T. dia wajib mematuhi segala yang
terkandung dalam tuntutan syahadah yang diucapkannya.

Seseorang yang berakidah Islam harus faham bahawa dengan menyebut ucapan dua
kalimah syahadah tadi telah menyebabkan dirinya terikat dengan tanggungjawab serta
komitmen yang tinggi terhadap Allah S.W.T. Bukan sekadar ketaatan yang mutlak
kepada Allah S.W.T. sahaja bahkan seseorang yang mengaku berakidah Islam mesti
menjadikan seluruh jiwa raganya serta hidup dan matinya untuk Allah S.W.T. semata-
mata, serta menjauhi sebarang bentuk unsur-unsur syirik dan menyekutukan Allah
dengan sesuatu yang lain dalam pelbagai bentuk dan corak.

Konsep tauhid inilah yang telah melahirkan satu motivasi yang tiada taranya terhadap
umat Islam di zaman awal untuk mempertahankan Islam. Penanaman akidah yang
teguh telah menyebabkan seseorang itu sanggup mempertahankan kebenaran dan
menumpaskan kebatilan walaupun terpaksa mengorbankan nyawa dan harta benda
demi mempertahankan akidah serta membuktikan ketakwaan kepada Allah S.W.T.
Keimanan mengikis unsur-unsur yang membekukan seperti khurafat dan tahyul.
Dengan cara ini Islam dapat berkembang dengan pantas

1
Akhlak umpama buah pada pohon iman. Akar tunjang pada pohon itu adalah persoalan
iman, batangnya adalah rukun Islam, dahannya persoalan fardu Kifayah, rantingnya
umpama amalan-amalan sunat manakala akhlak adalah buahnya.

Semasa berada di Mekah, selama 13 tahun dipergunakan sepenuhnya oleh Rasulullah


S.A.W. untuk menyampaikan ajaran yang berlegar di sekitar akidah seperti
mempercayai keesaan Allah, segala sifat kesempurnaannya, hari akhirat, soal syurga,
neraka dan sebagainya.

Selepas berhijrah ke Madinah dan dalam masa 10 tahun barulah ajaran-ajaran yang
berkaitan dengan kemasyarakatan disampaikan seperti mu’amalah,
munakahat,kenegaraan, kehakiman, hubungan antarabangsa dan sebagainya.

Hal ini menunjukkan kepentingan memantapkan akidah terlebih dahulu dalam diri
manusia.

Syariah

Syariah merupakan peraturan-peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan


oleh Allah S.W.T. untuk dipatuhi dan dilaksanakan oleh manusia. Ia bersifat muktamad.
Manusia tidak berhak meminda apa-apa peraturan yang ditetapkan oleh al-Quran dan
Al-Sunnah kecuali melalui jalan-jalan yang dibenarkan oleh Islam seperti melalui

2
kaedah ijtihad yang boleh dilakukan dari semasa ke semasa terhadap perkara-perkara
cabang dalam menyelesaikan persoalan-persoalan semasa yang berlaku dalam
masyarakat manusia. Syariat Allah ini berjalan ke atas manusia tanpa pengecualian.

Dalam hal ini Rasulullah S.A.W. pernah bersabda :


‘Seandainya Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya aku akan potong tangannya.
Sesungguhnya telah binasalah umat-umat sebelum kamu di mana apabila orang-orang
bangsawan mereka mencuri, mereka tidak bertindak tetapi apabila orang-orang yang
lemah mencuri mereka pun menjalankan hukuman ke atasnya’.

Ini berbeza dengan undang-undang ciptaan manusia yang sering terpengaruh oleh
perasaan atau sentimen menyebabkan nilainya menjadi goyang dan sentiasa berubah-
ubah. Undang-undang Allah mencakupi segenap bidang kegiatan manusia dari gerak
harian seseorang individu hinggalah kepada soal-soal kenegaraan. Dari sini proses
pembangunan manusia adalah terkawal supaya dapat melahirkan tamadun yang
sempurna dan seimbang sesuai sekali dengan fitrah manusia. Dalam hal ini Islam
menolak sebarang pembinaan tamadun dan perancangan yang di luar batasan syariat.
Dalam Al-Quran menjelaskan persoalan ini supaya kita sebagai manusia berfikir.

Perbezaan di antara Syariah dan undang-undang manusia

Syariah Undang-undang manusia


Bersumberkan al-Quran & al-Sunnah. Dibentuk oleh badan yg mempunyai kuasa
Bersifat tetap, tidak boleh diubah oleh politik tertinggi. Peraturan boleh diubah
manusia. Kepatuhan hukum kepada Allah mengikut kehendak majoriti atau
terbahagi kepada wajib, sunat & harus ; pemerintah.
manakala larangan terbahagi kepada
haram & makruh.

3
Mengandungi konsep dosa dan pahala yg Tiada konsep dosa dan pahala
akan diadili di akhirat.

Tidak mempunyai batas dan sempadan, Tiada batasan


umpamanya minum arak adalah haram di
mana-mana sahaja
Tidak memberi pengecualian kepada Terdapat hukum ciptaan manusia yang
individu khas termasuklah Rasulullah memberi pengecualian kepada raja,
S.A.W. sendiri. pemerintah atau individu tertentu.

Akhlak

Akhlak menurut perspektif Islam meletakkan keimanan seseorang kepada Allah dalam
bentuk praktis. Ini bererti setiap perlakuan dan tindakan manusia mestilah berteraskan
keimanan serta akidah tauhid yang mutlak.

Aspek keimanan tadi mesti dijelmakan dalam bentuk amalan soleh. Islam tidak
mengukur kegemilangan sesuatu bangsa berdasarkan ketinggian percapaian dalam
aspek kebendaaan semata-mata kerana ia bukan merupakan matlamat kepada
tamadunnya.

Apabila pembinaan sesebuah tamadun mengkesampingkan soal-soal akhlak, ia akan


mengakibatkan berlakunya kepincangan kepada tamadun tersebut. Oleh itu Islam amat
mementingkan akhlak dalam pembinaan tamadun supaya dapat mengimbangi potensi
dan kecenderungan individu dan masyarakat ke arah kebaikkan dan sesuai dengan
matlamat pencipta manusia serta matlamat risalah Nabi Muhammad S.A.W.

Manusia dijadikan oleh Allah bukan sekadar untuk memenuhi keperluan material
semata-mata tetapi untuk menjadi hamba Allah yang benar-benar mengabdikan diri
kepada-Nya. Dalam hal ini jelas sekali akhlak merupakan kayu pengukur kepada nilai
dan kualiti sesuatu tamadun yang dibina oleh manusia. Ia tidak akan dapat

4
direalisasikan sekiranya tidak berpegang teguh kepada akidah serta mempraktikkan
segala syariat Islam dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Imam al-Ghazali menyatakan akhlak ialah suatu sifat yang tertanam dalam jiwa
manusia. Daripadanya tercetus perkataan-perkataan yang mudah dan senang tanpa
memerlukan pertimbangan terlebih dahulu.Maksudnya, apabila seseorang itu dengan
mudah melakukan kebaikan yakni secara automatik, spontan dan konsisten, maka
barulah dikira berakhlak. Sekiranya kebaikan itu hanya dilahirkan selepas difikir-fikirkan
terlebih dahulu, itu belum dikatakan akhlak.

Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumuddin membahagikan sifat akhlak manusia
kepada sifat mahmudah & mazmumah. Antara contoh sifat mahmudah ialah ikhlas,
syukur & reda. Manakala contoh sifat mazmumah ialah riak,takbur dan hasad dengki.

Akhlak menjamin manusia menjalin ikatan sosial sesama manusia, terhadap alam,
terhadap makhluk-makhluk lain, negara, ummah dan Rasul, untuk membina tamadun
yang harmoni dan dihormati. Hukama sejak dahulu menegaskan, “Satu-satu umat
akan jatuh apabila runtuh akhlaknya.” Tamadun masyarakat Pompeii abad ke 8 SM,
musnah tiga kurun kemudiannya kerana masyarakat tersebut mengetepikan nilai-nilai
moral. Kisa-kisah sejarah dan tamadun manusia yang disampaikan melalui al-Quran
seperti kisah kaum Lut, Thamud, dan lain-lain membuktikan hakikat ini.

Sejarah ini turut berlaku kepada tamadun Islam. Keruntuhan Bani Umayyah dan
Abbasiyyah serta kerajaan Islam di Sepanyol turut membabitkan keruntuhan akhlak. Ini
juga berlaku kepada Empayar Uthmaniyyah yang berpusat di Turki. Itu juga gara-gara
kerosakan akhlak dan pemerintah.Di Tanah Melayu, akibat akhlak pembesar dan rakyat
yang merudum, empayar Melayu Melaka tersembam di kaki Portugis pada tahun 1511.
Akhlak jatuh, tamadun runtuh, begitulah sunnatullah yang berlaku sejak dahulu

“Sunnatullah” (peraturan Allah) yang telah berlaku semenjak dahulu lagi; dan engkau
tidak akan mendapati sebarang perubahan bagi cara dan peraturan Allah itu. (surah al-
Fath:23)

5
Sabda Rasulullah S.A.W. :

"Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak (manusia).“


(Riwayat Baihaqi).

“Orang yang sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya.:

(Riwayat al-Kharaiti)

Kesimpulan

Ketiga-tiga asas tamadun yang dibina pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. itu
menggambarkan tiga aspek kehidupan manusia, iaitu kepercayaan, ilmu dan amal.
Ketiga-tiga unsur ini pula mencerminkan peranan roh, akal dan jasad. Cantuman ketiga-
tiga aspek ini secara bersepadu telah melahirkan tamadun Islam pada zaman
kegemilangannya.

Matlamat Tamadun Islam

Matlamat tamadun Islam dapat dibahagikan kepada 3, iaitu:

1. Hubungan manusia dengan Tuhan

2. Hubungan manusia dengan manusia

3. Hubungan manusia dengan alam sekitar

6
Hubungan manusia dengan Tuhan

Tamadun Islam mengatur dan menyempurnakan hubungan manusia dengan


Penciptanya iaitu Allah S.A.W. melalui rukun iman yang enam, rukun Islam yang lima,
doa, zikir, taubat, tasbih, jihad, amar makruf, nahi mungkar dan sebagainya.

Ia juga dikenali sebagai ibadat khusus. Ibadat merupakan fungsi utama manusia
menjadi khalifah Allah S.W.T di atas muka bumi. Hal ini dijelaskan Allah S.W.T dalam
Al-Quran. Kehidupan manusia di dunia ialah sementara dan merupakan jambatan
untuk menuju ke akhirat yang lebih kekal dan abadi.

Hubungan makhluk dengan Pencipta (Allah) adalah hubungan makhluk dengan atau
hubungan di antara yang disembah dengan yang menyembah atau hubungan di antara
Pencipta dengan yang dicipta. Hubungan yang wujud meliputi hubungan fizikal dan
metafizika, kebendaan dan kerohanian.

Berdasarkan hubungan yang begitu erat di antara Pencipta (Allah) dengan yang kena
cipta (manusia), manusia tiada mempunyai pilihan yang lain dan seharusnya
menjadikan matlamat terakhir dan tertinggi dalam kehidupan mereka di dunia ini hanya
kepada Allah sahaja.

Keseluruhan hubungan manusia selain Allah adalah berbentuk tidak mutlak dan
hubungan sementara. Perhubungan itu wujud sementara mereka hidup di dunia ini dan
berakhir dengan kemusnahan. Hubungan manusia dengan manusia berakhir apabila
salah seorang meninggal dunia. Hubungan manusia dengan hartanya menjadi
kehabisan atau lenyap apabila harta tersebut bertukar milik atau terkena bencana
seperti banjir, kebakaran, dan sebagainya. Hubungan di antara suami isteri, terputus
apabila berlaku penceraian (sama ada penceraian semasa hidup atau salah seorang
meninggal dunia). Hubungan manusia dengan pangkatnya, gugur apabila umur sudah
melebihi had yang ditetapkan, berhenti kerja atau disingkirkan. Begitulah seterusnya
semua hubungan tersebut, terputus, terhenti atau musnah apabila tiba dan waktu yang
ditetapkan.

7
Namun begitu, hubungan manusia dengan Allah bermula di alam baka, di dunia dan
tidak akan putus walaupun manusia meninggalkan alam fana ini. Hubungan manusia
dengan Allah itu meliputi keseluruhan aspek kehidupan manusia.

Tamadun Islam dapat membentuk keimanan sesorang Islam ke arah yang mantap, jitu
dan bermakna.Contohnya, masyarakat jahiliah yang dahulunya buta huruf, yang hidup
dalam keadaan mundur, muncul sebagai satu bangsa penakhluk, pemerintah dan
perancang tamadun yang unggul. Keimanan bertanggungjawab membebaskan jiwa
manusia daripada pengaruh kebendaan dan nafsu. Segala daya usahanya diniatkan
untuk memperolehi keredaan Allah.

Hubungan manusia dengan manusia

Tamadun Islam bermatlamat untuk mengatur dan menyempurnakan hubungan manusia


dengan manusia yang meliputi pembentukan sahsiah, keluarga, hidup berjiran,
pembentukan masyarakat, pembentukan institusi pemerintahan, hal pentadbiran,
kegiatan ekonomi, pendidikan, kebudayaan & segala bidang kehidupan mereka. Ia juga
dikenali sebagai ibadat umum.

Manusia tidak boleh hidup secara perseorangan, mereka memerlukan orang lain untuk
terus hidup. Perhubungan umat Islam bukan terbatas dalam bentuk sahabat tetapi
mereka dianggap sebagai saudara dan satu bangunan, saling perlu memerlukan atau
bergandingan seperti satu tubuh yang saling mengikat di antara satu sama lain.

Begitu juga perhubungan umat Islam dengan bukan muslim dalam kehidupan seharian
yang berlandaskan ketakwaan, dengan erti kata tiada wujudnya penindasan, kezaliman,
penipuan dan dikriminasi yang berteraskan pada kaum, warna kulit, politik, akidah dan
adat resam. Matlamat hubungan yang wujud hanya menjuruskan kepada satu arah iaitu
keamanan sejagat.

Setiap manusia diberi penghormatan oleh Allah S.W.T. dalam kadar yang sama.
Menyedari hakikat persamaan taraf ini, adalah menjadi tanggungjawab manusia untuk
bermuamalah secara yang ditentukan oleh Allah.

8
Wahai manusia! Sungguh Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan,
dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku suku supaya kamu
berkenal-kenalan . Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang
lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan
keadaan dan amalan kamu). (Al-Hujuraat:13)

Merujuk pada ayat di atas, taqwa diletakkan sebagai penanda aras kemuliaan manusia
oleh Allah. Perbezaan manusia dan kemuliaan manusia ditentukan oleh nilai dan kadar
taqwa yang ada dalam dadanya. Imam al-Ghazali ketika menjelaskan manfaat taqwa
telah berkata:

“Taqwa itu harta terpendam yang berharga sekali. Jika engkau mendapatnya, maka
seolah-olah berkumpul kebaikan dunia dan akhirat dalam taqwa itu. Dan perhatikan
apa yang difirmankan dalam al-Quran mengenai taqwa. Banyak sekali Allah berikan
keuntungan, pahala yang besar dan keselamatan yang disandarkan kepada sifat
taqwa.”

Taqwa itu sangat penting. Justeru, ia dijadikan satu pesanan wajib diperdengarkan oleh
khatib apabila berkhutbah. Seorang lelaki yang berumur 45 tahun akan mendengar
sekurang-kurangnya 1560 kali pesan taqwa dalam hidupnya (jika dia tidak pernah
meninggalkan solat Jumaat bermula dari umurnya 15 tahun). Dan perkataan yang
berkaitan taqwa kepada Allah disebut sebanyak 272 kali di dalam al-Quran.

Hablumminannas penting bagi menyempurnakan kemuliaan manusia itu sendiri.


Kesempurnaan hidup masyarakat manusia sebagai khalifah Allah S.W.T. di atas muka
bumi hanya akan dapat dilaksanakan melalui muamalah secara Islam kerana Islam
sentiasa memperjuangkan kesatuan umat Islam.

9
Hubungan manusia dengan alam sekitar

Di atas muka bumi terdapat pelbagai haiwan yang liar & jinak. Tumbuhan diciptakan
oleh Allah untuk membolehkan manusia mendapat kenyamanan berteduh di bawahnya
& dijadikan makanan yang lazat. Di dalam perut bumi pula terdapat pelbagai galian
yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan.

Tamadun Islam mewajibkan agar manusia mengusahakan sesuatu yang boleh


membawa kepada kesejahteraan kehidupan mereka di atas muka bumi ini melalui
sumber yang sedia ada. Dalam masa yang sama mereka wajib memastikan kegiatan itu
tidak merosak dan memusnahkan alam sekitarnya serta membunuh kehidupan lain
seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Pembangunan yang digalakkan ialah yang
mesra alam. Contohnya, Islam melarang menggunakan bahan letupan dan tuba untuk
menangkap ikan.

Mengikut Hj Abdullah Sidik (1967), sesungguhnya al-Quran tidak putus-putus menyeru


kaum muslimin untuk memikirkan keadaan alam, penciptaan langit dan bumi,
perubahan-perubahan cuaca & iklim, tentang angin, matahari, bulan, cerekawala
dengan bintang-bintangnya, planet-planet yang bergerak di alam semesta serta hukum-
hukum alam yang berlaku baginya semua itu.

Al-Quran telah menyuruh berfikir tentang rahsia hidup & mati, pertumbuhan &
keruntuhan tentang manusia dan jenis bangsa, tentang matahari terbenam dan waktu
fajar, bukit bukau dan gunung, sungai, lembah, kebun anggur dan sebagainya, tentang
peternakan, tentang kapal yang mengharungi samudera dan sebagainya.

Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan
keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta
pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya
disiram dengan air yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya
yang lain (pada bentuk, rasa, dan baunya) Sesungguhnya yang demikian itu
mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta
memahaminya. ( Al- Ra’ad: ayat 4)

10
Dan Dialah yang menjadikan bintang-bintang bagimu, agar kamu menjadikannya
petunjuk dalam kegelapan di darat dan di laun. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan
tanda-tanda kebesaran (Kami) kepada orang-orang yang mengetahui.

(Al-An’am: ayat 97)

Mustafa Haji Daud (1991), telah menjelaskan bahawa perundangan yang digubal oleh
Allah Taala di dalam hal hubungan manusia dengan alam sekitarnya mempengaruhi
atau memberi kesan kepada manusia dalam dua hal:

1. Supaya manusia sentiasa ingat dan bersyukur kepada Allah Taala apabila
dikurniakan pangkat, kebesaran dan harta kekayaan.

2. Supaya semuanya dipergunakan sebaik mungkin bagi memperoleh keredaan Allah


Taala.

Kesimpulan

Mengikut Haji Abdullah Siddik (1976), Islam adalah agama fitrah, agama yang selaras
dengan fikiran yang sihat dan dapat mengikuti peredaran zaman, bersendikan tamadun
yang tinggi, diringkas dalam kitab suci al-Quran, yang cukup luas dan menjadi pedoman
bagi kehidupan masyarakat apa jua , kerana Islam adalah agama berilmu, beramal,
beradab, dinamis, progresif dan sanggup hidup dalam abad apa sahaja.

Dengan ini jelas bahawa Islam sebagai ad-din yang telah membentuk satu tamadun
yang agung, teristimewa dan mempunyai perbezaan dengan undang-undang
sebelumnya dan selepasnya (tamadun Barat). Salah satu perbezaannya ialah tamadun
Islam mempunyai beberapa matlamat ad-din al-Islam yang mencakupi hidup serba
lengkap bagi manusia di alam ini, iaitu hubungan manusia dengan Penciptanya(Allah),
hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan alam.

Mohamad Haji Kasim (1984), telah membuat satu gambar rajah yang menggambarkan
hubungan di dalam ad-din al-Islam seperti yang diterangkan sebelum ini.

11
Ciri-ciri Tamadun Islam

1. Kesejagatan

2. Keterbukaan

3. Bersifat sepanjang zaman

4. Toleransi terhadap agama & budaya

5. Kesatuan dalam kepelbagaian

Kesejagatan

Islam tidak terikat kepada bangsa tertentu atau disandarkan kepada tempat tertentu,
bahkan milik seluruh manusia yang berpegang kepada al-Din. Ini bermakna tamadun
Islam dapat dilihat di mana-mana sahaja tanpa ada sempadan geografi.

12
Keterbukaan

Keterbukaan bermaksud bahawa tamadun Islam yang dicipta itu tidak terbatas kepada
had tertentu. Ia diletakkan di atas garis panduan syariah yang tetap dan ia berkembang
dengan perubahan masa. Tamadun Islam terbuka kepada semua tamadun yang tidak
bercanggah dengan syariah.

Sebarang bentuk tamadun selain Islam boleh diteruskan dan dimajukan selagi ia tidak
lari dari garis panduan syarak. Bahkan Islam menggalakkan penerusan tamadun yang
membawa kebaikan kepada manusia dengan tidak menjejaskan hak orang lain.

Bersifat sepanjang zaman

Perkembangan tamadun Islam bermula dengan penurunan wahyu pertama dan tidak
pernah berhenti. Ia tidak dibatasi oleh sempadan atau batas waktu untuk terus
berkembang hingga ke hari ini.

Pembudayaan serta gabungan akal dan keimanan melahirkan perkara-perkara baru


yang sesuai dengan kehendak zaman. Contohnya, sistem perbankan & kewangan yang
diubahsuai supaya menepati syariat Islam.

Toleransi terhadap agama & budaya lain

Walaupun Islam pernah berkembang dalam dunia yang tidak pernah dikenali, ia tetap
mempertahankan toleransinya terhadap agama dan budaya bukan Islam. Masyarakat
bukan Islam yang berada di bawah perkembangan tamadun Islam tidak dilarang
mengamalkan agama dan budaya mereka dengan mengekalkan hubungan baik
terhadap masyarakat.

13
Kesatuan dalam kepelbagaian

Sebarang bentuk kemajuan yang dicapai oleh tamadun Islam dalam pelbagai bidang
disatukan oleh aqidah Islam yang menjurus ke arah mengesakan Tuhan. Penemuan
dan hasil ciptaan baru yang dicapai oleh manusia dikembalikan kepada kebesaran
Tuhan pencipta alam seluruhnya.

14
Rujukan

1. Wan Abdul Rahman Latif. (1996). Sejarah perkembangan tamadun dunia. Kuala Lumpur
: Dewan Bahasa dan Pustaka.

2. Sidang Pengarang. (1997). Tamadun Islam : Penerbit Universiti Putra Malaysia.

3. Mustafa Hj Daud. (1999). Tamadun Islam, Edisi Maktab Perguruan : Utusan


Publications.

4. Mustafa Hj Daud. (1990). Pengantar Masyarakat Islam

5. Ab Alim Abdul Rahim, Syed Idrus Syed Mohamad. (1995) Tamadun Islam. Kuala
Lumpur : Penerbit Fajar Bakti.

6. Ghazali Darusalam. (1997) Dinamika Ilmu Akhlak Islamiah. Kuala Lumpur: Utusan
Publications & Distributors sdn bhd

7. Mustafa Hj Dauh. (1989). Pemikiran politik dan ekonomi Al-Maududi. Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka.

8. http://ctu551.blogspot.com/2008/04/al-quran-sebagai-teras-tamadun.html, 10/2/2011

9. Solusi isu 27, Telaga Biru Sdn Bhd

10. Solusi isu 28, Telaga Biru Sdn Bhd

15

Anda mungkin juga menyukai