Anda di halaman 1dari 2

Soalan Esei Soo Shey Mei

Semasa sesi kaunseling, Rafidah Engan bercerita. Dia lebih banyak mendiamkan diri, tidak banyak
maklumat yang dappat dicungkil oleh Cikgu Syan. Keadaan ini menyukarkan Cikgu Syan untuk membantu
muridnya, Rafidah menyelesaikan masalahnya. Berdasarkan rupa fizikal Rafidah yang terdapat kesan
lebam dan parut luka lama, Cikgu Syan mengesyaki Rafidah telah didera oleh ahli keluarganya. Kemukakan
bentuk terapi yang dipilih.

Terapi yang saya pilih untuk menyelesaikan masalah Rafidah ialah terapi bermain. Bermain merupakan satu
saluran bagi kanak-kanak untuk melepaskan perasaan mereka. Terapi bermain merupakan proses terapeutik yang
menggunakan permainan sebagai media terapi untuk melihat alam tidak sedar kanak-kanak dan membantunya
untuk mengatasi masalah psikososial dan mencapai taraf pertumbuhan dan perkembangan secara optimal.

Terapi bermain dapat membantu kanak-kanak meluahkan perasaan yang terpendam dalam hati. Melalui
bermain, kanak-kanak dapat melepas ketegangan-ketegangan yang menghimpit hatinya. Emosi kanak-kanak
dapat diluahkan semasa bermain tanpa disedari. Guru bimbingan dan kaunseling boleh memerhatikan emosi dan
tingkah laku kanak-kanak semasa aktiviti bermain dijalankan. Melalui jenis permainan yang dipilih dan cara kanak-
kanak itu memainkan permainan tersebut, guru bimbingan dan kaunseling dapat mengetahui apa yang difikir oleh
seseorang kanak-kanak tersebut. Sebagai contohnya, Cikgu Syan memberi kebebasan kepada Rafidah untuk
memilih permainan dan memerhati tingkah laku Rafidah semasa bermain. Anak patung, perabot, dan bangunan
adalah bercirikan kehidupan sebenar; pistol dan topeng pula bercirikan luahan perasaan agresif; manakala kertas
warna dan krayon pula bercirikan luahan perasaan dan kreativiti. Cikgu Syan dapat memerhati tingkah laku dan
emosi yang diluah dan ditunjukkan oleh Rafidah semasa terapi bermain dijalankan kerana Rafidah menggunakan
alat permainan tersebut sebagai alat berkomunikasi tanpa disedarinya. Mesej-mesej yang ingin disampaikan oleh
Rafidah boleh dilihat dengan jelas melalui tingkah lakunya semasa bermain.

Selain itu, terapi bermain dapat membekalkan tempat yang selamat bagi kanak-kanak untuk meluahkan
perasaan, memperoleh pemahaman mengenai situasi mereka. Tempat bermain yang terapeutik dan kondusif
membolehkan kanak-kanak berasa selesa untuk meluahkan perasaan mereka. Sebagai contohnya, Rafidah tidak
ingin bercerita apabila disoalkan oleh Cikgu Syan mungkin disebabkan Rafidah tidak percaya kepada Cikgu Syan.
Melalui terapi bermain, tempat bermain yang kondusif dan alat-alat permainan menarik membolehkan Rafidah
lebih bertenang dan berasa selamat. Dengan ini, tingkah laku Rafidah semasa bermain adalah kongruen dan Cikgu
Syan dapat memperlihatkan emosi Rafidah melalui tingkah lakunya semasa bermain. Tambahan pula, apabila
berasa selamat, Rafidah akan bersedia untuk berkongsikan masalahnya. Pada masa ini, Cikgu Syan boleh
mengaplikasikan kemahiran-kemahiran asas untuk menggalakkan Rafidah untuk bercerita supaya masalah yang
dihadapinya dapat dikenalpasti dan ditangani secara profesional.

Seterusnya, terapi bermain juga dapat meningkatkan kefahaman diri murid tentang matlamat hidup.
Matlamat hidup seseorang individu akan sentiasa berubah mengikut umur dan perkembangan tahap pemikiran.
Sekiranya guru bimbingan dan kaunseling mengetahui matlamat hidup murid pada ketika tersebut, maka masalah
murid pada masa itu dapat dikenalpastikan. Melalui terapi bermain, guru bimbingan dan kaunseling dapat
memperlihatkan tingkah laku murid yang melambangkan matlamat hidupnya untuk mengenal pasti masalah murid
tersebut. Sebagai contohnya, Rafidah yang dikesyaki didera oleh ahli keluarganya sudah tentulah kurang
mendapat kasih sayang daripada ibu bapanya. Justeru, melalui tingkah laku Rafidah yang mendukung sambil
mengusap anak patung, Cikgu Syan dapat mengenal pasti bahawa Rafidah amat mengidam-idamkan kasih
sayang daripada ahli keluargannya.

Secara kesimpulannya, terapi bermain dapat membantu Cikgu Syan untuk mengenalpastikan masalah
yang dihadapi oleh Rafidah. Hal ini demikian kerana melalui terapi bermain, seseorang kanak-kanak dapat
meluahkan perasaannya dengan lebih selesa di tempat bermain yang terapeutik dan selamat. Emosi seseorang
kanak-kanak dapat dilihatkan melalui tingkah lakunya walaupun kanak-kanak tersebut tidak menyebut. Justeru
terapi bermain amat sesuai digunakan untuk membantu murid yang kekurangan keyakinan diri untuk menceritakan
masalah yang dihadapi.
Soalan Esei Soo Shey Mei

Rujukan

Choong, L. K. (2010). Bimbingan Dan Kaunseling Kanak-kanak. Selangor : Kumpulan Budiman, 2010.

Restiyani Rizki. (2016). Terapi Bermain, Play Therapy. Diperoleh pada 19 Januari daripada
http://rrestiani.blogspot.my/2016/01/terapi-bermain-play-therapy.html

Teong, E. (2015). Edu Terapi Bermain. Diperoleh pada 19 Januari 2017 daripada
http://www.slideshare.net/tiongee1/edu-terapi-bermain

Terapi Bermain. (2014). Diperoleh pada 19 Januari 2017 daripada http://nota-budak-


ipg.blogspot.my/2014/05/terapi-bermain.html

Anda mungkin juga menyukai