Anda di halaman 1dari 4

Bismillah-ir-Rahman-ir-Rahim, Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh dan salam

sejahtera.

Pertama-tamanya, marilah kita melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T


kerana dengan limpah kurnia-Nya, dalam keheningan pagi yang berbahagia ini kita dapat bersama-
sama meraikan Sambutan Hari Guru Peringkat SMKTK bagi Tahun 2010, dalam suasana yang ceria,
harmoni dan tenang.

Pada tanggal 16 Mei setiap tahun, warga pendidik akan meraikan sambutan hari guru. Pada tahun
ini perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan disambut di Kuantan Pahang. Justeru, tidak terlewat
untuk saya mengucapkan ”Selamat Hari Guru” kepada semua guru di sekolah ini. Sambutan Hari
Guru yang diadakan setiap tahun sesungguhnya banyak mengimbau kenangan manis tentang
peranan guru yang telah diberi kepercayaan untuk mendidik anak bangsa. Masyarakat sentiasa
memberikan penghormatan dan penghargaan yang tidak terhingga terhadap tugas dan peranan
guru. Pengiktirafan ini menandakan harapan dan keparcayaan yang sangat tinggi terhadap
komitmen dan kemampuan guru dalam menyumbang ke arah pembangunan potensi masa depan
pelajar. Justeru, amat wajar jika Sambutan Hari Guru yang diraikan setahun sekali ini memberi
kedudukan istimewa kepada insan yang bernama guru. Inilah satu-satunya cara terbaik kita
memberi ruang untuk menyatakan rasa terima kasih, penghargaan dan penghormatan terhadap
jasa guru yang tidak ternilai.

Dalam memantapkan bidang pendidikan selaras dengan matlamat pendidikan yang mahukan
keseimbangan dari segi JERI (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek) dan menjadikan Malaysia pusat
kecemerlangan pendidikan, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) telah dirangka meliputi
enam teras dengan matlamat meyelesaikan tugas yang belum selesai dengan kesamarataan
peluang pendidikan dan memastikan akses kepada pendidikan dan kecemerlangan institusi
pendidikan dengan mewujudkan kluster pendidikan. Enam teras yang menjadi pemangkin kepada
pembangunan pendidikan tersebut ialah pertama; Membina Negara Bangsa, kedua; Membangunkan
Modal Insan, ketiga; Memperkasakan Sekolah Kebangsaan, keempat; Merapatkan Jurang
Pendidikan Bandar dan Luar Bandar, kelima; Memartabatkan Pofesion Keguruan dan keenam;
Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan.

Berasaskan Teras pertama iaitu membina negara bangsa, maka tema Hari Guru pada tahun ini
ialah Guru Pembina Negara Bangsa. Pemilihan tema ini sesungguhnya sangat sesuai dan bertepatan
dengan peranan guru sebagai pendidik yang telah banyak melahirkan tokoh-tokoh pemimpin serta
para ilmuan yang banyak berjasa kepada pembangunan negara. Dalam usaha untuk melahirkan
pendidik cemerlang, nilai-nilai seperti jujur, amanah, bertanggungjawab, akauntabiliti, sahsiah
diri serta mengawal emosi tidak harus diabaikan. Semua ini penting kerana guru adalah role-model
kepada keberkesanan pendidikan bukan sahaja kepada pelajar di sekolah, malah masyarakat. Guru
bertanggungjawab dalam membentuk tamadun manusia. Justeru, setiap guru mesti menyedari
tanggungjawab ini serta sentiasa menjaga nama baik sebagai pendidik serta pemimpin masyarakat
agar dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah, jujur dan ikhlas.

“Quality teaching produces quality learning. Quality learning produces quality education. Finally
quality education produces quality citizens.” Tema ini masih relevan dan kekal relevan untuk
masa-masa akan datang. Tambahan pula kualiti adalah ibarat perjalanan, bukan distinasi;
perjalanan yang tiada noktahnya. Quality has no ends: it is a journey, not a distination.

Cabaran pendidikan alaf baru kini semakin bertambah. Walaupun kita telah berjaya membina
suatu sistem pendidikan yang amat dibanggakan, perkembangan politik dan ekonomi global
menuntut satu sistem pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia. Persaingan pasaran kerja
sangat sengit. Persaingan ekonomi peringkat global pula semakin kompetatif. Oleh itu, kualitilah
yang bakal menentukan sama ada kita berjaya dalam persaingan tersebut atau sebaliknya.
Pendidikan yang berkualiti banyak ditentukan oleh pihak guru. Jika kualiti guru dapat ditingkatkan
ke tahap yang cukup tinggi, pastilah pendidikan kita dapat mencapai tahap gemilang, InsyaAllah.

Kita seharusnya rasa bersyukur kerana setelah 53 tahun negara kita mencapai kemerdekaan,
sistem pendidikan kita telah berkembang dengan begitu pesat. Kemajuan pendidikan kita berada
pada tahap yang sangat membanggakan berbanding dengan negara-negara lain yang seangkatan
dengan negara kita. Kita juga harus sedar dan insaf bahawa cabaran mendidik adalah jauh lebih
getir dan mencabar. Justeru kesedaran itu harus diterjemahkan kepada bentuk tindakan di mana
kesungguhan untuk terus bersatu dan berkerja tanpa rasa jemu bagi mencapai matlamat membina
sebuah negara bangsa yang maju dan bermartabat.

Cikgu-cikgu yang dikasihi sekalian,....

R. Smith pernah berkata, berilah peluang kepadaku untuk mengelola pelajaran nescaya aku akan
berjanji mengubah alam. Guru mempunyai potensi besar mempengaruhi dan merubah pemikiran
pelajar. Menurut Imam Al Ghazali, guru mesti ada tanggungjawab, ada rasa belas kasihan dan
mampu memperlakukan mereka sebagai anak sendiri. Seterusnya Imam Al Ghazali pernah berkata,
hak seorang guru adalah lebih besar daripada hak seorang bapa. Ibu bapa menjadi sebab ianya
lahir ke dunia sedangkan guru menjadi sebab anak itu memperolehi hidup kekal abadi. Tanpa
guru, apa yang diperolehi oleh anak akan hancur. Dalam pembentukan sahsiah pelajar pula, guru
mempunyai peranan yang sangat penting. Prof. Mohd Kamal Hassan berkata, contoh teladan
pendidik inilah yang banyak membantu pembentukan akhlak pelajar. Justeru, mereka seharusnya
dilengkapi dengan ciri-ciri akhlak mulia, berilmu, kasihkan ilmu dan luas pembacaan, mempunyai
azam yang kuat dan tegas, berkebolehan menimbulkan motivasi kepada pelajar, bersedia
menerima dan menguasai kaedah baru dalam pendidikan dan sebagainya.

Profesion perguruan memainkan peranan utama ke arah merealisasikan pendidikan bertaraf dunia
bagi melahirkan insan yang berketrampilan serta dapat memenuhi kehendak Falsafah Pendidikan
Negara. Dalam usaha untuk membangunkan modal insan, Kementerian Pelajaran Malaysia akan
memberi tumpuan kepada sistem nilai, aspek disiplin, sahsiah, akhlak dan jati diri pelajar. Warga
pendidik sekolah ini seharusnya menjadikan sistem pendidikan ini sebagai suatu wadah untuk
membina intergrasi nasional, menjadi agen Pembangunan Negara serta memberikan khidmat
kepada masyarakat dengan ikhlas supaya martabat keguruan sentiasa dihargai dan dihormati oleh
masyarakat.

Cikgu-cikgu yang dikasihi sekalian,...

Dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9), kerajaan telah memberi peruntukan yang sangat besar
dalam membangunkan prasarana bidang pendidikan dan menyediakan kemudahan-kemudahan ICT
di sekolah-sekolah. Dalam dunia serba mencabar ini terutamanya dengan kecanggihan teknologi
dan kepesatan telekomunikasi, warga pendidik tidak seharusnya hanya menyediakan masa depan
untuk pelajar sahaja. Sebaliknya mereka harus juga menyediakan diri agar tidak terpinggir dengan
arus perubahan kerjaya keguruan yang sentiasa relevan dengan keperluan dan tuntutan semasa.

Impak daripada sistem pendidikan yang dirancang pada masa ini hanya akan dapat diukur selepas
tahun 2020. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab para pendidik berusaha untuk
meletakbetulkan (reposition) dan merekaraya (reengineer) sistem pendidikan supaya berkualiti
dan berjaya melahirkan modal insan mengikut acuan kita sendiri. Pendekatan pendidikan yang kita
warnai kepada anak-anak didik kita seharusnya lebih berupaya mencungkil bakat, kebolehan dan
kreativiti agar mereka menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Cikgu-cikgu yang dikasihi sekalian,...


Dalam usaha menilai kembali peranan guru dan mengembalikan semula peranan tersebut pada
landasan yang betul, para pendidik harus bekerjasama dengan ahli masyarakat setempat dalam
usaha mempertingkatkan kecemerlangan anak-anak didiknya. Walaubagaimana pun, masyarakat
harus disedarkan agar mereka tidak hanya meletakkan pengharapan kepada guru sahaja,
sebaliknya ia menjadi tugas bersama. Usaha sama harus dijalin agar masyarakat umum tidak
mudah melenting dan mula menuding jari kepada golongan guru apabila berlaku gejala sosial
dalam kalangan pelajar.

Saya juga ingin mengingatkan guru-guru sekolah ini agar menunjangi tugas utama iaitu
membangunkan modal insan. Dalam konteks untuk merealisasikan perubahan ke arah membina
dan membangunkan modal insan yang gemilang, seseorang pendidik itu seharusnya kaya ilmu,
segar dan subur ciri kependidikannya malah harus memiliki ciri-ciri kepimpinan yang berupaya
membawa perubahan atau dalam konteks teoritisnya dinamakan kepimpinan transformasional.

Cikgu-cikgu yang dikasihi sekalian,...

Dalam meningkatkan kualiti pendidikan negara, kerajaan telah melaksanakan beberapa


pendekatan bagi meningkatkan pembangunan modal insan.

1. Dasar Teras Kementerian Pelajaran Malaysia perlu dilaksanakan secara berkesan. Contoh:
Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Komputer
dalam Pendidikan (ICT), Pendidikan Pemulihan (Intervensi), Pendidikan Khas dan sebagainya.

2. Sistem penyampaian perlu dilaksanakan dengan berkesan. Misalnya penyampaian dalam


pengajaran guru. Hanya penyampaian yang efisyen dan efektif sahaja akan memberikan kesan
kepada pencapaian matlamat dan objektif pendidikan. Jika matlamat kita hendak meningkatkan
kecemerlangan pelajar, maka proses pengajaran sebagai suatu sistem penyampaian perlu
ditingkatkan seperti pendekatan pedagogi, teknik pengajaran, kawalan kelas dan sebagainya .

3. Mengamalkan budaya kerja cemerlang. Guru perlu mengamalkan budaya kerja cemerlang yang
perlu diterjemahkan dalam bentuk perlakuan, bersistem, penuh komited dan bertanggungjawab.
Ini penting kerana sistem pembelajaran kita kini bersifat terbuka, fleksibel dan harus berpusat
pelajar.

4. Mengutamakan Kaedah Pengurusan Berkualiti (TQM) dan pengurusan berkesan. Meningkatkan


kualiti dalam bidang pendidikan menjadi tanggungjawab semua pihak kerana ia menjadi sumber
utama dan daya penggerak bagi mencapai wawasan 2020.

5. Meningkatkan budaya membaca terutama dikalangan guru. Budaya ini seharusnya menjadi
amalan semua guru kerana ia akan menjadi contoh kepada pelajar. Ini penting kerana guru adalah
sumber ilmu atau maklumat terdekat dan terkini.

6. Permaufakatan pendidikan. Peranan PIBG perlu digembling supaya semua pihak dapat
mengambil bahagian dalam melaksanakan hala tuju meningkatkan sistem penyampaian dan
peningkatan tahap profesionalisme. Masyarakat juga perlu diberi pengiktirafan di mana kemajuan
sekolah harus dikongsi bersama oleh ibu bapa.

Sebagai pelaksana berkesan dan untuk menghasilkan modal insan gemilang, guru seharusnya
menjadikan mereka sentiasa dikehendaki masyarakat dan disukai oleh pelajar. Untuk disukai oleh
dan disayangi pelajar, guru seharusnya peramah dan mesra, saling mempercayai, tidak menaruh
syak wasangka, bertanggungjawab terhadap pelajar, bersifat lemah lembut, bertolak asur, tegas
dan adil, berkomunikasi dengan baik, suka menolong dan mengasihi, menghargai dan bersimpati
terhadap kelemahan akademik pelajar.
Cikgu-cikgu yang dikasihi sekalian,...

Sempena Sambutan Hari Guru pada tahun ini, saya ingin mengajak warga pendidik sekolah ini
mengimbau sejenak tentang tugas dan peranan kita dalam mendidik anak bangsa?. Sejauh mana
dan setakat manakah usaha yang telah kita lakukan ini benar-benar menjadikan mereka insan yang
benar-benar berbudi luhur, berakhlak mulia, berjaya dan cemerlang dalam kehidupan?.
Sesungguhnya ia merupakan suatu tugas yang sangat berat serta amanah yang sangat besar. Di
tangan kitalah letaknya kejayaan mereka. Justeru kita seharusnya meletakkan harapan mereka
lebih utama daripada kepentingan diri kita. Sesungguhnya inilah ciri-ciri guru sebenar. Kita
sanggup berkorban bukan sahaja dengan masa dan tenaga, malah dengan wang ringgit.

Akhir kata, kepada semua warga pendidik sekolah ini, budi dan pengorbanan cikgu-cikgu yang
dicurahkan kepada anak didik di sekolah ini amat dihargai dan sangat disanjung tinggi.

SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU. TERIMA KASIH CIKGU.

Anda mungkin juga menyukai