Anda di halaman 1dari 10

KEMBOJA YANG BIJAKSANA

SINOPSIS :

Di sebuah perkampungan terpencil, tinggal sepasang suami isteri Rumi dan Suri yang
dikurniakan seorang cahaya mata bernama Kemboja. Dia merupakan kanak-kanak
perempuan bijaksana yang berusia enam tahun. Corak pemikiran Kemboja berbeza dengan
kanak-kanak seusianya. Kemboja, anak luar biasa. Di waktu kanak-kanak lain bermain riang
bersama rakan-rakan mereka, Kemboja tekun memerhati fenomena yang berlaku
disekitarnya. Dalam memerhati, dia berfikir. Lantas mencari langkah pemecahan masalah.

Satu hari, anak Jebat dan Megasari yang baru lahir diserang sakit misteri. Suhu badan
bayi itu naik mendadak. Penduduk kampung percaya bahawa bayi itu terkena sial kerana
itulah apa yang diperkatakan Tok Jerawi. Bagi menghilangkan sumpahan tersebut, mereka
perlu melakukan beberapa upacara penyembahan. Kemboja kurang bersetuju dengan apa
yang diperkatakan mereka. Menurutnya, bayi itu sebenarnya demam panas dan perlu
mendapat rawatan di rumah sakit yang terdapat di hujung kampung. Sedangkan dia tahu
bahawa penduduk kampungnya menganggap rumah sakit itu sebagai tempat penjajah. Tidak
lama kemudian, meninggal dunialah bayi malang itu.

Kelebihan yang Kemboja miliki dianggap satu keanehan oleh penduduk kampung
termasuklah ayah dan ibu kandungnya sendiri. Cara pemikiran mengikut tradisi turun-
temurun yang telah diamalkan masyarakat di perkampungan itu bercanggah dengan apa yang
diperkatakan Kemboja. Mereka menganggap Kemboja sengaja merekayasa sesuatu yang
tidak nyata. Satu petang, hujan turun dengan lebatnya. Kemboja mengajak ibu bapa dan
orang kampung berpindah ke bukit yang terletak di belakang kampungnya. Menurut
pengamatannya terhadap warna awan, hujan lebat akan berterusan beberapa hari lagi dan ini
akan menyebabkan tempat tinggal mereka akan ditenggelami air. Kata-kata Kemboja tidak
diendahkan. Tok Jerawi mengatakan bahawa dia dapat menghentikan hujan tersebut.
Pergilah Kemboja meninggalkan kampung itu dalam keadaan sedih.

Ramalan Kemboja tepat. Selama tiga hari berturut-turut, hujan turun tanpa henti. Dia
menyaksikan kampungnya ditenggelami air. Penduduk kampung yang degil mati lemas.
Kemboja berasa sedih. Dia tidak dapat menyelamatkan mereka termasuklah ibu bapanya.
Setelah banjir mulai surut dan hujan tidak turun lagi, Kemboja mendapati bahawa dia tidak
bersendirian di bukit itu. Dia bertemu dengan beberapa jururawat yang bekerja secara

1
sukarela di klinik kampungnya yang tidak pernah dikunjungi penduduk kampung. Jururawat-
jururawat itu melayannya dengan baik dan mereka membawanya keluar daripada kampung
tersebut untuk membina kehidupan yang jauh lebih baik di luar sana.

LATAR MASA : Cerita ini berlaku sewaktu zaman penjajahan British.

LATAR TEMPAT : Perkampungan orang asli yang terletak jauh dari kawasan
membangun.

WATAK DAN PERWATAKAN :

KEMBOJA - Seorang kanak-kanak perempuan bijak yang berusia enam tahun.

RUMI - Ayah Kemboja, bekerja sebagai petani. Tidak mempercayaai kebijaksanaan


yang dimiliki anaknya. Seorang yang tegas dan bengis.

SURI - Ibu kepada Kemboja, isteri Rumi. Petani seperti suaminya. Sering memihak
kepada Rumi.

TOK JERAWI - Seorang tua yang pentingkan diri dan sering memandai-mandai. Tidak
mempunyai ilmu mistik, namun penduduk kampung percaya bahawa dia seorang dukun
yang handal. Merupakan penghulu di kampung itu.

JEBAT - Penduduk kampung yang percaya pada perkara karut. Gemar menghina Kemboja.

MEGASARI - Isteri kepada Jebat. Seorang yang menurut kata suami dan orang kampung.
Menjadi tidak siuman setelah bayinya meninggal dunia.

JURURAWAT 1&2 - Orang British yang bertugas di rumah sakit berhampiran kampung.

2
BABAK 1

MASA : Waktu tengahari.

TEMPAT : Kebun sayur-sayuran berkeluasan sederhana dikelilingi kawasan hutan


belantara.

Kebun sayur-sayuran itu kepunyaan Rumi dan isterinya Suri. Kelihatan Rumi sedang gigih
mencangkul tanah. Sesekali dia mengesat peluh pada dahinya. Tidak jauh dari tempat Rumi
berada, kelihatan Kemboja, anak kepada Rumi sedang duduk mencangkung sambil
membelek-belek daun hijau yang dipegangnya.

KEMBOJA : Bapak...(diam sejenak) Mengapa daun warnanya hijau? (melihat ke arah


bapanya)

RUMI : Hmmm... (tidak mengendahkan soalan Kemboja)

KEMBOJA : Mesti ada sebabnyakan pak? (masih gigih bertanya kepada Rumi)

RUMI : Sudah ditetapkan begitu sejak azali. Tidak perlu dipersoalkan. (mula berasa
rimas dengan soalan Kemboja)

KEMBOJA : Pak... pak. Kalau semuanya telah ditetapkan sejak azali, siapa yang tetapkan?

RUMI : Diamlah, Kemboja! Bising sahaja kau ini. Aku hendak buat kerjapun tidak
senang. (marah)

Kemboja menundukkan kepalanya setelah dimarahi. Tidak lama kemudian, muncul Suri yang
baru sahaja tiba di kebun itu. Di tangan Suri terdapat bekalan makanan untuk makan
tengahari suaminya.

SURI : Ada apa tu bapaknya? (berjalan menuju ke arah Rumi dan Kemboja)

RUMI : Ni, hah! Anak kau tidak reti duduk diam. Asyik bertanya itu, ini. Pening
kepala aku dibuatnya. (wajah Rumi kelihatan tegang)

Suri meletakkan bekalan makanan yang dibawanya berhampiran Rumi.

SURI : Kemboja, kenapa ganggu bapak? Mak suruh kau pergi bermain dengan
budak-budak lainkan? (sambil bercekak pingang)

3
KEMBOJA : Maafkan Kemboja, mak, bapak. Kemboja cuma bertanya. (sedih)

RUMI : Sudahlah! Baik kau pergi bermain sekarang. Cukup-cukuplah orang


kampung gelar kau budak pelik. (sambil menunding jari untuk menghalau
Kemboja)

KEMBOJA : Baiklah... (akur dengan arahan ayah dan ibunya)

Kemboja berjalan meninggalkan kawasan kebun itu dengan perasaan sedih. Sepanjang
berjalan, dia menundukkan kepalanya ke bawah. Pentas digelapkan.

BABAK 2

MASA : Waktu petang

TEMPAT: Halaman rumah Tok Jerawi

Lampu dinyalakan semula. Kelihatan beberapa orang penduduk kampung mengerumuni


rumah Tok Jerawi, dukun dan penghulu di kampung itu. Kemboja yang lalu di sana,
mengambil keputusan untuk melihat apa yang menyebabkan penduduk kampung berkumpul
di rumah Tok Jerawi.

TOK JERAWI: Anak kau ni sudah terkena sumpahan penunggu hutan. Anak kau terkena sial!

JEBAT : Macam mana sekarang ni Tok? (Dilanda kegusaran)

MEGASARI : Tolong selamatkan anak kami Tok. (Megasari mengelus pipi bayi kecilnya
yang sedang tidur nyenyak)

TOK JERAWI: Kita kena laksanakan satu upacara penyembahan untuk penunggu tu. Sepuluh
ekor ayam hutan mesti dikorbankan. (berjalan mundar-mandir)

KEMBOJA : Maafkan saya Tok Jerawi. Saya rasa tidak perlu dilakukan penyembahan itu.
Bawa saja bayi ini ke rumah sakit yang terletak di hujung kampung.

TOK JERAWI: Cis, budak kecil macam kau hendak mengajar aku! Kau apa tahu? Umur baru
setahun jagung dah memandai-mandai. (rasa tercabar)

4
Penduduk kampung mulai berbisik-bisik tentang Kemboja. Mereka mencerca keberanian
kanak-kanak itu mempersoalkan kepercayaan turun-temurun yang sudah lama diamalkan di
kampung itu.

JEBAT : Hoi, budak pelik! Kau ini tidak habis-habis dengan rumah sakit kau. Itu rumah
penjajah. Tempat orang British. Buat apa hendak ke sana?

KEMBOJA : Maafkan Kemboja, pak cik Jebat. Anak pak cik Jebat ini mungkin hanya
demam panas. Perlu dibawa...

TOK JERAWI: (Mencelah) Sudah. Usah dilayan budak pelik ni. Merepek sahaja kerjanya.

Kemboja berlalu pergi dengan perasaan sedih. Sudahlah ibu bapanya memulaukan dia,
penduduk kampung juga berbuat demikian. Semua watak menjadi kaku di posisi masing-
masing.

PENYAIR :

Malang sungguh nasib Kemboja

Dipulau orang, dibenci mak bapak

Berkata benar dibilang dusta

Hanya kerana mentah usianya

Bayi malang menjadi korban

Hilang nyawanya sebelum waktu

Sesal mak bapak tiada guna

Namun masih ego tak sudah

Watak Kemboja bergerak semula. Watak-watak lain masih kaku seperti tadi. Kemboja
kemudiannya duduk berehat di bawah sepohon pokok rendang. Sambil duduk, dia melihat
keadaan langit yang dipenuhi awan gelap. Dia bermonolog sendiri.

5
KEMBOJA : Gelap sekali warna awan. (sambil menguis-nguis permukaan tanah dengan
sebatang ranting pokok yang sudah kering) Selalunya, jika awan warnanya gelap, hujan pasti
akan turun. Tapi sepertinya kali ini hujan akan turun dalam waktu yang agak lama. Jika hujan
tidak berhenti, kemungkinan besar kampung ini akan dilanda banjir. Perkara ini mesti aku
maklumkan pada Tok Jerawi!

Kemboja berdiri daripada posisi duduknya, kemudian bergegas pergi ke rumah Tok Jerawi.
Pentas digelapkan.

BABAK 3

MASA : Waktu senja

TEMPAT : Halaman rumah Tok Jerawi

Bunyi paluan gendang yang kuat bergema ke sekeliling kampung. Tidak lama kemudian,
kelihatan berpusu-pusu penduduk kampung mengerumuni rumah Tok Jerawi. Ibu bapa
Kemboja, Rumi dan Suri turut berada di sana.

Megasari menjadi kurang siuman akibat kematian bayinya. Dia duduk di salah satu sudut
berhampiran tempat penduduk kampung sedang berkumpul. Jebat berusaha menenangkan
isterinya. Semua mata kini tertumpu kepada pasangan suami isteri itu.

MEGASARI : Jangan ambil anak aku! Jangan ambil anak aku! (bertempik dengan suara
yang nyaring)

JEBAT : Megasari, sudahlah! Anak kita sudah mati. Usah malukan aku dihadapan
penduduk kampung.

TOK JERAWI : Jebat, biarkan dia! Dengarkan apa yang ingin aku sampaikan,

JEBAT : Baiklah, tok. (bergerak menghampiri penduduk kampung yang lain)

TOK JERAWI : Wahai penduduk kampung semua, nampaknya penunggu hutan sudah
menjadi marah. Kampung kita sudah terkena sial. Lihat saja sekarang ini, satu
per satu masalah timbul. Anak Jebat mati diambil penunggu. Sekarang,
isterinya pula menjadi gila.

6
Kilat sambar menyambar. Guruh berdentum kuat. Hujan lebat mulai turun.

TOK JERAWI: Lihat, sudah aku katakan! Penunggu hutan marahkan kita semua. Pasti ada
yang melanggar pantang-larang di kampung ini.

Penduduk kampung mulai bergerak ke tempat beratap untuk berlindung daripada hujan
lebat. Suasana menjadi riuh-rendah buat seketika. Kemboja yang baru sahaja tiba bergerak
menghampiri Tok Jerawi.

KEMBOJA : Tok, saya rasa ada baiknya jika semua penduduk kampung bergerak ke bukit
yang terletak dihujung kampung. Sepertinya, hujan akan turun dalam beberapa
hari. Dikhuatiri kampung kita akan ditenggelami air. (sambil tercunggap-
cunggap kepenatan kerana berlari sebentar tadi)

TOK JERAWI: Tidak usah. Biar aku sahaja berhubung dengan penunggu hutan itu. Kita akan
buat upaca penyembahan sekali lagi supaya penunggu hutan menarik kembali
sumpahannya, dan hujan ini akan berhenti. (berlagak angkuh dan sombong)

KEMBOJA : Tok, tolonglah dengarkan kata-kata saya untuk kali ini sahaja. Kampung kita
tiada sungai atau parit yang membolehkan air hujan ini mengalir ke laut. Paras
air akan meningkat dengan cepat.

RUMI : Kemboja! Apa yang kau katakan ini? Tidak perlu masuk campur urusan
orang tua. Jangan malukan aku! (Rumi yang hanya diam sedari tadi mulai
bersuara)

KEMBOJA : Tapi bapak, nyawa kita dalam bahaya. Kita akan mati lemas jika terus
menerus berada di sini. Kita perlu pergi ke tempat tinggi.

JEBAT : Sejak bila kau pandai meramal apa yang bakal terjadi. Kau hanya budak kecil
Kemboja. Tidak lebih daripada itu. Usah kau cuba-cuba melawan kekuasaan
Tok Jerawi. Buruk akibatnya. (tersenyum sinis)

RUMI : (Wajah Rumi membengis) Sudah Kemboja! Berhenti malukan aku! (Rumi
menarik kasar tubuh Kemboja)

SURI : Malang sungguh nasib aku melahirkan anak yang memandai-mandai seperti
kau Kemboja. Sudah berapa kali aku ingatkan, usah masuk campur urusan

7
orang tua. Namun kau masih degil juga. Mulai hari ini, kau bukan anak aku
lagi. Pergilah kau seorang diri ke bukit itu. Tidak usah pedulikan kami semua.

KEMBOJA : Mak, bapak... maafkan Kemboja. Mari ikut Kemboja, mak, bapak. Kemboja
sayangkan mak dan bapak. (Kemboja meraih tangan Suri dan Rumi. Namun
ditepis kasar oleh orang tuanya itu)

JEBAT : Apa kau sudah tuli Kemboja? Mak kau bilang pergi sahaja kau sendirian.
Tidak usaha bawa orang lain. Kau berambuslah dari sini. Nanti kau mati lemas
seperti kami.

Semua penduduk kampung mengusir Kemboja daripada situ. Dengan berat hati, Kemboja
terpaksa pergi. Dia memandang sayu ke arah mak dan bapaknya. Namun kedua-dua individu
itu memalingkan wajah ke arah lain. Sudah tidak sudi lagi memandangnya.

BABAK 4

MASA : Waktu pagi

TEMPAT : Di atas bukit yang tinggi

PENYAIR :

Hari telah berganti hari

Hujan yang turun baru berhenti

Jampi serapah tidak berguna

Kampung tenggelam nyawa melayang

Sayu sungguh hati Kemboja

Melihat jasad kaku tak bernyawa

Emak dan bapak sudah tiada

Tinggal lah dia seorang saja

8
Muzik tanpa vokal lagu ‘Di manakan Ku Cari Ganti’ berkumandang. Kemboja duduk sambil
menangis di atas bukit itu. Tayangan tentang bencana banjir yang memusnahkan tempat
tinggal dipaparkan pada layar skrin.

Muzik beransur perlahan. Kemboja mengesat air matanya, lalu berdiri.

KEMBOJA : Aku perlu mendapatkan bantuan. Sudah tiga hari aku tidak makan. Aku yakin
pasti ada orang lain berada di bukit ini selain aku.

Kemboja mulai berjalan longlai di sekitar bukit itu. Dia tidak mempunyai tenaga yang cukup
untuk bergerak. Dia kemudian jatuh tersungkur di atas tanah. Tiba-tiba, muncul dua orang
wanita Inggeris di atas pentas. Mereka terlihat Kemboja, lalu bergerak menuju ke arah
kanak-kanak itu.

JURURAWAT 1 : We need to help this poor little girl.

Kemboja membuka matanya apabila terdengar suara orang bertutur dalam bahasa asing.

JURURAWAT 2 : Siapa nama kamu? Kamu dari mana? (soal wanita Inggeris itu dalam
Bahasa Melayu yang fasih. Dia membawa Kemboja pada
pangkuannya)

KEMBOJA : Saya Kemboja, saya tinggal di kampung di bawah sana. (beritahu


Kemboja lemah)

JURURAWAT 2 : Bagaimana dengan penduduk kampung kamu yang lain? Di mana


mereka?

JURURAWAT 1 : Ya, keluargamu bagaimana? Adakah mereka terselamat?

Kemboja menggelengkan kepalanya.

JURURAWAT 1 : Kasihan kamu Kemboja. Tidak mengapa, kami akan membawa kamu
pergi daripada sini. Kami akan menjaga kamu dengan baik.

JURURAWAT 2 : Betul. Kamu tidak perlu bersedih lagi Kemboja. Semuanya akan baik-
baik sahaja. Mulai hari ini, kami keluarga baru kamu.

KEMBOJA : Terima kasih. (Kemboja menghadiahkan satu senyuman ikhlas buat


jururawat-jururawat tersebut)

9
PENYAIR :

Tamatlah sudah kisah Kemboja

Si anak kecil yang bijaksana

Niat di hati mahu membantu

Dituduh pula memandai-mandai

Bila yang tua enggan mendengar

Apa yang benar dikata salah

Kerana ego badan binasa

Kerana ego nyawa melayang

Usahlah angkuh mendabik dada

Kelak menyesal tiada guna

Nasihat orang jangan diabai

Ambil yang baik tinggal yang salah

Pentas digelapkan.

10

Anda mungkin juga menyukai