Anda di halaman 1dari 4

DUNIA berada pada satu titik penting yang bakal melakar sejarah.

Revolusi Industri
4.0 dijangka akan membawa perubahan ketara yang akan memberi kesan besar di
dalam kehidupan manusia.

Menurut Profesor Klaus Schwab, pengasas dan pengerusi eksekutif World Economic
Forum, Revolusi Industri 4.0 menggabungkan dunia biologikal, fizikal dan digital
serta menghasilkan pelbagai teknologi baru yang memberikan kesan kepada pelbagai
disiplin, ekonomi dan industri.

Dengan berkembangnya teknologi automasi, robotik, pengkomputeran awan,


kecerdasan buatan dan Internet untuk segala-galanya (IoT) dan komunikasi, kerja-
kerja berbentuk rutin bakal diganti oleh mesin ataupun robot.

Di negara maju, perkembangan teknologi yang pesat dikenal pasti sebagai salah satu
daripada punca yang menyebabkan kehilangan pekerjaan bagi golongan pekerja
separuh mahir.

Gabungan teknologi automasi dan kecerdasan buatan umpamanya, berkemampuan


mengambil alih kerja-kerja rutin yang sebelum ini dilakukan oleh manusia bukan
sahaja di sektor perindustrian malahan juga di sektor-sektor ekonomi yang lain.

Kesannya, jurang pendapatan semakin meluas dan tentunya boleh membawa kesan
sosial yang buruk terhadap masyarakat.

Munculnya golongan populis yang membawa kepada kemenangan Donald Trump di


Amerika Syarikat dan juga Brexit di United Kingdom antara lainnya dikaitkan dengan
jurang pendapatan yang besar di negara-negara tersebut.

Ringkasnya, perkembangan Revolusi Industri 4.0 dan kesannya terhadap sosio-


ekonomi sesebuah negara tidak boleh dipandang ringan.

Selain dari kesan positif terhadap pertumbuhan ekonomi dan memudahkan kehidupan
manusia, revolusi tersebut juga mempunyai sisi negatif yang perlu diberi perhatian
serius oleh penggubal polisi.

Walaupun Malaysia belum mencapai status negara maju yang didominasi oleh
pengaruh teknologi Revolusi Industri 4.0, namun kesannya sudahpun mula dirasai.
Perkhidmatan e-hailing seperti Grab sebagai contoh telah membuka lembaran baru di
dalam sektor pengangkutan dengan menawarkan kos yang kompetitif sekaligus
menggugat kedudukan teksi sebagai salah satu mode perkhidmatan di negara ini.

Penggunaan teknologi yang semakin berkembang dengan kos yang kompetitif bakal
meningkatkan produktiviti dan seterusnya menggalakkan industri untuk turut serta di
dalam gelombang Revolusi Industri 4.0.

Dengan itu, kesan positif Revolusi Industri 4.0 terhadap pertumbuhan ekonomi
memang dapat dijangka.

Persoalannya, adakah pemain-pemain industri tempatan bersedia untuk bersama arus


Revolusi Industri 4.0, terutama sekali industri kecil dan sederhana dan perusahaan
berbentuk mikro?

Persoalan ini mestilah diberi perhatian serius oleh semua pihak, tidak kira sektor
awam mahu pun sektor swasta, termasuklah pemegang-pemegang taruh utama seperti
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan SME Corp

Untuk jangka masa panjang, penekanan mestilah diberi kepada sektor pendidikan
supaya tenaga kerja yang dihasilkan melalui sistem pendidikan negara dapat
memenuhi keperluan pasaran pekerjaan berteraskan Revolusi Industri 4.0.

Ini seterusnya akan membantu mengatasi masalah jurang pendapatan yang besar
sebagaimana yang telah berlaku di negara-negara maju.

Walaupun pendidikan itu bersifat jangka panjang, inisiatif mestilah dimulakan dari
sekarang kerana pelajar hari inilah yang bakal menjadi tenaga kerja pada masa
hadapan.

Bukan sahaja proses pembelajaran perlu menarik dan menyeronokkan, lebih dari itu,
ianya mestilah dapat menghasilkan pelajar yang berfikiran kritis, kreatif dan inovatif
melalui sistem pendidikan formal, aktiviti ko-kurikulum dan sebagainya.

Ini tentunya satu cabaran besar yang perlu diberi perhatian serius oleh pihak
Kementerian Pendidikan dan pemegang-pemegang taruh yang berkenaan.

Di dalam era ketidaktentuan pada hari ini, mahu tidak mahu pihak berwajib mestilah
berani mencuba perkara baru. Inovasi di dalam pendidikan yang dilaksanakan di
negara-negara lain boleh diambil contoh dan disesuaikan mengikut keperluan
tempatan.

Tentunya untuk memperkenalkan perkara baru, perancangan yang lengkap mestilah


disediakan mengambil kira semua sumber yang diperlukan.

Program baru yang bersifat eksperimentasi ini bolehlah dilaksanakan dengan skala
kecil dahulu supaya keberkesanannya dapat dinilai terlebih dahulu sebelum
pelaksanaan secara menyeluruh.

Apa sahaja bentuk kejayaan mahu pun kegagalan dari percubaan ini hendaklah
dijadikan pengajaran untuk diambilkira sebelum membuat keputusan untuk
melaksanakan pada skala yang lebih besar. Dengan itu juga, risiko dapat dihadkan.

Di dalam fasa pelaksanaan pula, pemantauan rapi hendaklah dilakukan secara berkala
untuk menilai keberkesanan sesuatu program yang dilaksanakan.

Kesimpulannya, kemajuan teknologi Revolusi Industri 4.0 tidak akan berhenti dan
kesannya di dalam kehidupan manusia tidak dapat dielakkan. Perubahan teknologi
yang berlaku dengan pantas ini memerlukan pelan perancangan yang mampan dan
menyeluruh oleh penggubal dasar negara supaya perkembangan ekonomi berasaskan
Revolusi Industri 4.0 dapat dimanfaatkan sebaiknya.

Kesan positif dan manfaatnya hendaklah bersifat inklusif agar dapat dirasai oleh
segenap lapisan masyarakat. Pelaksanaan dan pemantauan polisi mestilah diberikan
perhatian serius supaya objektif-objektif yang ditetapkan dapat dicapai.

Jika tidak ditangani dengan baik, Malaysia akan ketinggalan dan perkembangan
Revolusi 4.0 boleh memberi kesan buruk kepada negara. – 7 Januari, 2019.

* Mohammad Abdul Hamid adalah penulis ialah seorang jurutera bertauliah, YDP
Ikram Bandar Tun Razak dan sedang mengikuti program Sarjana Polisi Awam di
Universiti Malaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan


pandangan rasmi The Malaysian Insight.

Ads by Kiosked
Daftar atau log masuk di sini untuk komen.

Anda mungkin juga menyukai