Anda di halaman 1dari 7

CERAMAH AGAMA ISRAK DAN MIKRAJ

Pada tarikh 27 Rejab setiap tahun, umat Islam diseluruh dunia akan mengadakan majlis sambutan Israk dan
Mikraj. Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Nabi Muhammad ‫ ﷺ‬dari
Mekkah ke Madinah. Apabila bercerita tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini, kita secara spontan akan
terbayang kisah perjalanan Rasulullah ‫ ﷺ‬bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada
dua fasa:
1. Israk yakni perjalanan Nabi Muhammad ‫ ﷺ‬menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke
Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.
2. Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh. Perjalanan Nabi
Muhammad‫ ﷺ‬ini telah diabadikan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran:

Surah Al Israk Ayat 1

Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah ‫ ﷺ‬hanya berlangsung pada satu malam. Para ulama, hadis,
ulama feqah dan ulama tafsir secara umum menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-
duanya berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda ‫ ﷺ‬sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan
roh Nabi Muhammad‫ ﷺ‬bukannya roh sahaja.

Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah S.W.T menegaskan “asra bi
‘abdihi lailan” yang bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam. Perkataan hamba yang
dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad ‫ ﷺ‬yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukannya
rohnya sahaja.

Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman Allah itu berbunyi “asra bi rohi ‘abdihi lailan” yang
bermaksud memperjalankan roh hamba-Nya pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di mana Allah
secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hamba-Nya iaitu Nabi Muhammad‫ ﷺ‬dalam
keadaan tubuh dan rohnya serentak.

Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis imannya, mereka menyatakan
bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan berlaku atau pun mereka berbelah bahagi samada mahu
mempercayainya atau pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasul-
Nya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan kepada peristiwa ini.
Setelah Rasulullah ‫ ﷺ‬menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada masyarakat umum maka orang-
orang kafir bertambah kuat mengejek dan mendustakan Baginda ‫ﷺ‬. Fitnah terhadap Baginda ‫ ﷺ‬bertambah
kuat malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk Islam telah pun murtad kembali.
Manakala bagi mereka yang begitu membenarkan Baginda ‫ﷺ‬, maka iman mereka tetap utuh sebagaimana
kita lihat kepada reaksi Sayyidina Abu Bakar apabila dia mendengar berita daripada orang ramai tentang apa
yang telah diberitahu oleh Nabi Muhammad ‫ ﷺ‬lalu beliau dengan tegas menyatakan :

“Benar! Aku mengakui bahawa engkau merupakan Rasulullah ‫ﷺ‬. Jikabaginda ‫ ﷺ‬mengatakan bahawa
baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya.”

Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah
dan rasul-Nya sehingga beliau digelar as-Siddiq yang membawa maksud pembenar.

Selain itu, pernah juga diriwayatkan Nabi Muhammad ‫ ﷺ‬berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika di
dalam perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali diulangcerita oleh para
penceramah setiap kali sambutan Israk dan Mikraj diadakan, saya melihat roh dan intipati di sebalik peristiwa
ini masih tidak meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam.

A. SEBELUM ISRAK DAN MIKRAJ


.
Sebelum melalui kejadian Israk dan Mikraj, Nabi Muhammad‫ ﷺ‬mengalami pembedahan dada yang dilakukan
oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda ‫ ﷺ‬dicuci dengan air zam-zam serta dibuang ketulan
hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was²nya. Kemudian dituangkan hikmah, ilmu dan iman ke
dalam dada Rasulullah ‫ﷺ‬. Setelah itu, dada Baginda ‫ ﷺ‬dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”.
Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama “Buraq” untuk ditunggangi oleh Rasulullah ‫ ﷺ‬dalam
perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.

B. SEMASA ISRAK
(Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):
.
Sepanjang perjalanan (Israk) itu Nabi Muhammad ‫ﷺ‬diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di
tempat² tertentu (tempat² yang mulia dan bersejarah), Rasulullah ‫ ﷺ‬telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti
dan bersolat sebanyak dua rakaat.
Di antara tempat² berkenaan adalah:
1. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah ‫ ﷺ‬akan melakukan hijrah.
2. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah
3. Baitul-Laham (tempat Nabi Isa A.S. dilahirkan);
Peristiwa Ajaib
Dalam perjalanan itu juga Nabi Muhammad ‫ ﷺ‬menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat
menyasikan peristiwa² simbolik yang amat ajaib.
Di antara peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut :
.
1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah)
yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah ‫ﷺ‬
dibertahu oleh Jibrail : “Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan
sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.”

2. Tempat yang berbau harum. Rasulullah ‫ ﷺ‬diberitahu oleh Jibrail : “Itulah bau kubur Masyitah (tukang
sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak²nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk
menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah S.W.T
(tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).”

3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka
sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah
‫ﷺ‬: “Itulah orang² yang berat kepala mereka untuk sujud (solat).”

4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain.
Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam.
Kata Jibrail : “Itulah orang² yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.”
5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging
masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: “Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan
lelaki dan perempuan itu masing² mempunyai isteri / suami.”

6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: “Itulah orang yang makan
riba`.”

7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang
lain. Kata Jibrail: “Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang
lain.”

8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan gunting besi berkali-kali. Setiap
kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: “Itulah orang yang membuat
fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.”
9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: “Itulah
orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela,
menghinakan) orang.”

10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula
lubang itu. Kata Jibrail: “Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah
terlambat.”

11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah ‫ ﷺ‬tidak
memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. “Jika Rasulullah ‫ ﷺ‬memberi perhatian kepadanya,
nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.”

12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah ‫ ﷺ‬berhenti. Rasulullah ‫ﷺ‬tidak
menghiraukannya. Kata Jibrail: “Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.”

13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah ‫ ﷺ‬untuk bertanyakan sesuatu. Kata
Jibrail: “Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.”

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Nabi Muhammad ‫ ﷺ‬turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan
mengimamkan solat dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Nabi Muhammad ‫ ﷺ‬terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bekas yang berisi arak dan susu. Rasulullah ‫ﷺ‬
memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: “Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya
ramai umat baginda akan menjadi sesat.”
C. SEMASA MIKRAJ
(Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah S.W.T):
Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Nabi Muhammad dan Jibrail naik ke atas tangga pertama
lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
1. Di Tangga Pertama:
Nabi Muhammad ‫ ﷺ‬dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian
dapat melihat orang² yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan
kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

2. Di Tangga Kedua:
Nabi Muhammad ‫ﷺ‬. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa A.S.
dan Nabi Yahya A.S.

3. Di Tangga Ketiga:
Naik langit ketiga. Rasulullah ‫ ﷺ‬bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.

4. Di Tangga Keempat:
Naik tangga langit keempat. Rasulullah ‫ ﷺ‬bertemu dengan Nabi Idris A.S.

5. Di Tangga Kelima:
Naik tangga langit kelima. Rasulullah ‫ ﷺ‬bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani
Israil.

6. Di Tangga Keenam:
Naik tangga langit keenam. Nabi Muhammad ‫ ﷺ‬bertemu dengan Nabi². Seterusnya dengan Nabi Musa A.S.
Rasulullah ‫ ﷺ‬mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai,
termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

7. Di Tangga Ketujuh:
Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang
bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah ‫ﷺ‬.
Nabi Ibrahim A.S. bersabda,

“Dikau akan berjumapa dengan Allah S.W.T pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if,
maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu:

“LAH HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH.”


Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim A.S. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu
mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu:

“SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA


WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-‘AZHIM.”
Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga.”
Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah ‫ ﷺ‬dan Jibrail masuk ke dalam Baitul -Makmur
dan bersolat (Baitul-Makmur ini betul² di atas Baitullah di Mekah).
8. Di Tangga Kelapan:
Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah ‫ﷺ‬
menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan
sungai madu lebah. Buah, daun², batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata²
yang indah. Unggas² emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda ‫ ﷺ‬dapat
menyaksikan juga sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan
melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

9. Di Tangga Kesembilan:
Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah ‫ﷺ‬masuk di dalam nur dan naik ke
Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di
dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu
bapanya.

10. Di Tangga Kesepuluh:


Rasulullah ‫ ﷺ‬sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T
dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah S.W.T dan Muhammad, Rasul-
Nya:

Allah S.W.T :“Ya Muhammad!”

Nabi Muhammad ‫ﷺ‬: “Labbaika.”

AllahS.W.T: “Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.”

Nabi Muhammad ‫ ﷺ‬: “Wahai Tuhanku! Dikau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Dikau berikan dia
kerajaan yang besar. Dikau berkata-kata dengan Musa. Dikau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat
melembutkan besi. Dikau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Dikau kurniakan kepada sesiapa
pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Dikau ajarkan ‘Isa Taurat dan
Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Dikau
lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.”

AllahS.W.T: “Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan
amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat.
Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (Surah Al-
Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat² di akhir surah al-Baqarah
sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah,
sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji² Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua
yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) solat.”
D. SELESAI MUNAJAT

Selepas selesai munajat, Nabi Muhammad ‫ ﷺ‬di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A.S.
yang kemudiannya menyuruh Rasulullah ‫ ﷺ‬merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan,
mengurangkan jumlah waktu solat itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu),
akhirnya Allah S.W.T perkenan memfardhukan solat lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya
sebanyak 50 waktu juga.

E. SELEPAS MIKRAJ

Nabi Muhammad ‫ ﷺ‬turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul -Maqdis. Lalu menunggang Buraq
perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa
peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu
riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah).
(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id)

Penutup
Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27
Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi
meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang
memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita
agar sentiasa mengingati Allah S.W.T dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia
mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga
adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang² kafir di
zaman Nabi ‫ ﷺ‬langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi Muhammad ‫ ﷺ‬sebaik
Baginda bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah
S.W.T yang mana telah menunjukkan bukti² kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda .‫ﷺ‬

Wallahu A’lam Bish Shawab


(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

Anda mungkin juga menyukai