Anda di halaman 1dari 17

Bandingkan kesan pendidikan kepada pembangunan insan dan negara antara

pendidikan dalam era sebelum merdeka dengan pendidikan dalam era selepas
merdeka.

1.0 PENGENALAN

Memetik kata-kata Yusof Al Qaradhawi seorang sarjana dan tokoh pemikir Islam yang
tersohor dan disegani masa kini, beliau mengatakan “Apabila kita hendak melihat wajah
negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya
golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi,
tentunya negara kita akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur tetapi jika
keadaan sebaliknya maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk
yang berlaku”. Oleh itu, untuk melihat maju atau mundur sesebuah negara bergantung
kepada genarasi mudanya. Dalam konteks ini, pendidikan dilihat sebagai wahana
terbaik dalam melahirkan generasi yang dinamik, progresif, cemerlang, berakhlak dan
berhemah tinggi.

Sememangnya sering diperkatakan bahawa anak muda merupakan pewaris kepada


kepimpinan negara di masa hadapan. Golongan ini merupakan pelapis berjiwa kental
yang menjadi aset dalam memacu kelangsungan pembangunan negara. Lantaran itu,
pendidikan mampu mematangkan golongan muda dari aspek keintelektualan ilmu,
kewarasan akal, kemurnian budi, kecerdasan minda dan keterampilan sahsiah.
Rentetan itu, pembangunan insan dan negara harus ditekankan dan dijayakan dalam
perkembangan pendidikan di Malaysia.

Jika melihat kepada sorotan sejarah pendidikan di negara ini, pastinya kita sedar
bahawa pendidikan di negara kita telah melalui pelbagai peringkat. Perkembangan
pendidikan di Malaysia jelas menunjukkan perbandingan yang ketara dalam
pembangunan insan dan Negara era sebelum merdeka dan zaman pascamerdeka.
Pendidikan di Malaysia telah melalui saat suka dan duka serta sering berlaku
perubahan demi perubahan untuk memartabatkan pendidikan di negara ini. Bermula
dengan era masyarakat tradisional dan berubah pada era penjajahan. Pihak penjajah
telah memperkenalkan Sekolah Vernakular, Sekolah Inggeris dan bagi memantapkan
lagi sistem pendidikan pada masa itu beberapa laporan di buat antaranya Laporan
Barnes 1950, Laporan Fenn-Wu 1951, Ordinan Pelajaran 1952 dan Laporan Razak
1956. Pendidikan selepas merdeka menunjukkan perkembangan yang ketara bermula
dari tahun 1957 hingga 2010 yang memperlihatkan pelbagai usaha dalam
meningkatkan mutu pendidikan di Malaysia.

2.0 PEBANGUNAN INSAN DAN NEGARA ERA SEBELUM MERDEKA

1
Pendidikan pada Zaman Pramerdeka terbahagi kepada beberapa peringkat yang
menjadi pemangkin kepada pembangunan insa dan negara di Malaysia. Terdapat dua
peringkat iaitu era masyarakat tradisional dan era penjajahan.

2.1 Era Masyarakat Tradisional

Era ini merupakan salah satu bentuk pendidikan yang berkisar kepada pembelajaran
secara turun-temurun yang diwariskan kepada genarasi seterusnya. Pembangunan
insan berdasarkan proses pembelajaran untuk melahirkan insan yang berkemahiran,
berkebolehan dalam aspek teknik dan praktikal. Pendidikan era masyarakat tradisional
diajar oleh ibu bapa, ahli keluarga dan masyarakat sekeliling. Ibu bapa khususnya
memberi tunjuk ajar berdasarkan kemahiran yang dimiliki. Jika bapa seorang nelayan
sudah tentu perkara yang diajarkan kepada anaknya adalah berkaitan dengan teknik
menangkap ikan, menghadapi gelora dan sebagainya. Di samping itu, ibu akan
mengajar anaknya kemahiran memasak, mencuci dan segala yang berkaitan dengan
pekerjaan di rumah. Matlamat pendidikan lebih cenderung untuk melahirkan generasi
yang mempunyai adab sopan, hormat antara satu sama lain dan mempunyai kemahiran
yang tinggi dalam bidang yang dipelajari. Hal ini bertepatan dengan pendapat Hasan
Langgulung (1995) yang mengatakan bahawa fungsi pendidikan adalah pengembangan
potensi yang ada pada individu supaya dapat digunakan olehnya dan masyarakat untuk
menghadapi arus perubahan.

Perkembangan pendidikan pada era ini juga telah menghasilkan Sekolah Pondok dan
Madrasah untuk mempelajari bidang ilmu yang lebih luas. Pembelajaran yang diajar
berteraskan kepada agama Islam seperti Tauhid, Akidah dan Akhlak. Intitusi pendidikan
berpaksikan kepada falsafah pendidikan Islam ini mampu melahirkan masyarakat yang
menjiwai agama pada setiap masa dan mengaplikasinya dalam kehidupan seharian.
Hala tuju pengajian pada peringkat ini berkesan untuk menjadi pendorong kemajuan
manusia dalam aspek kerohanian, pemikiran, moral dan keduniaan berdasarkan
falsafah pendidikan agama melalui keunggulan pendidikan Islam yang diterapkan
dalam pembelajaran.

2.2 Era Penjajahan

Kedatangan Portugis dan Belanda ke Tanah Melayu tidak banyak mengubah sistem
pendidikan tradisional. Perubahan yang amat ketara berlaku apabila Inggeris mula
menguasai negeri-negeri Melayu. Pada zaman penjajahan Inggeris terdapat lima jenis
pendidikan yang berbeza dan masing-masing berorientasikan keperluan identiti kaum
iaitu Sekolah Inggeris, Sekolah Melayu, Sekolah Pondok, Sekolah Vernakular bagi etnik
Cina dan India. Penubuhan sekolah Melayu bermula pada tahun1821 apabila
tertubuhnya Sekolah Melayu Gelugur, Pulau Pinang.Sekolah aliran Melayu yang
ditubuhkan oleh pihak penjajah menekankan kepada kurikulum asas, iaitu pelajaran
membaca, mengarang, ejaan, menulis, ilmu kira-kira, ilmu alam dan latihan jasmani.

Bentuk kemahiran asas yang diajar pula ialah perkebunan dan penternakan. Falsafah
pendidikan berbentuk kemahiran sengaja disalurkan mengikut dasar untuk

2
mengekalkan masyarakat Melayu sebagai kaum tani. Kurikulum sekolah Melayu tidak
berkembang lebih daripada setakat memberikan pendidikan dasar selama empat tahun,
kecuali latihan perguruan sebagai peringkat tertinggi pendidikan Melayu. Jelas kelihatan
program pembangunan insan semasa zaman penjajahan Inggeris bertujuan menyekat
peluang orang Melayu untuk mengembangkan bakat mereka dan memisahkan mereka
daripada perkembangan sosio-ekonomi negara. Keadaan ini telah membentuk keadaan
sosial yang tidak seimbang di Malaysia apabila negara mencapai kemerdekaan.

Penubuhan sekolah vernakular Cina bermula di Melaka pada 1815. Kebanyakan


sekolah Cina yang ditubuhkan secara persendirian menggunakan premis perniagaan,
rumah kediaman, bangunan tokong yang disumbangkan oleh orang perseorangan atau
persatuan yang mewakili suku kaum Cina tertentu seperti Hakka, Hokkien dan
sebagainya. Hampir semua sekolah Cina berkembang dengan pesat di bandar besar di
Pantai Barat Semenanjung Malaysia seperti Kulala Lumpur, Johor Baharu, Ipoh serta
Taiping. Kewujudan sekolah vernakular Cina disebabkan kesedaran masyarakat Cina
tentang kepentingan pendidikan dan kaedah pendidikan yang digunakan pula bertulang
belakangkan falsafah pendidikan moden yang berasal dari negara China. Dari segi
pembangunan insan, matlamat pendidikan lebih cenderung untuk meningkatkan
kemahiran dan penguasaan dalam bidang matematik, sains, dan sebagainya.

Penubuhan sekolah Tamil bermula di Pulau Pinang dan Perak oleh pihak Syarikat
Perladangan Eropah. Kehadiran pihak Inggeris yang membuka ladang getah dan kopi
secara besar besaran turut merancakkan penubuhan sekolah vernakular Tamil di
kawasan lading-ladang kepunyaan mereka. Pembangunan insan di sekolah Tamil telah
mengalami perubahan kerana dasar pemerintahan Inggeris yang memberi bantuan dan
kemahiran. Buktinya, pada tahun 1925 Kod Buruh diperkenalkan. Dalam kod tersebut
terkandung bahawa setiap ladang diwajibkan menubuhkan sekolah Tamil apabila
terdapat lebih daripada 20 orang kanak-kanak India dalam lingkungan umur
persekolahan 7 hingga 14 tahun. Kesannya, pada tahun 1930 terdapat empat jenis
sekolah vernakular Tamil, iaitu dibiayai oleh pemerintah, pengurusan ladang, komuniti
India tempatan dan Persatuan Mubaligh Kristian.

Penubuhan sekolah Inggeris adalah berteraskan falsafah untuk memperkembangkan


agama Kristian dan menyebarkan ideologi penjajah Inggeris. Sekolah yang pertama
ialah Penang Free School, Pulau Pinang (1816).Sekolah Inggeris terbahagi kepada dua
jenis, iaitu sekolah Free School yang mendapat bantuan daripada kerajaan. Jenis
kedua ialah sekolah Inggeris separa bantuan yang ditubuhkan serta dibiayai oleh
persatuan mubaligh Kristian dengan mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan.
Pembangunan insan dalam pendidikan Inggeris pada masa ini adalah untuk melatih
tenaga kerja seperti kerani dan juru teknik bagi jabatan-jabatan kerajaan. Walau
bagaimanapun, dalam memenuhi permintaan golongan bangsawan Melayu, pihak
Inggeris telah menubuhkan Maktab Melayu Kuala Kangsar (1905) yang menggunakan
model pendidikan Inggeris yang bercorak Grammar School di England. Pihak Inggeris
memperkenalkan Special Malay Class pada tahun 1930an bagi memberi lebih peluang
kepada kanak-kanak Melayu yang ingin melanjutkan pelajaran. Hal ini telah memberi
implikasi besar dalam pembangunan insan bagi masyarakat Melayu kerana

3
menyedarkan orang Melayu dari golongan bawahan untuk turut sama mendapatkan
pendidikan Inggeris.

Pada keseluruhannya, pendidikan di zaman penjajahan Inggeris ialah bersifat bebas


atau laissez-faire kerana terdapat lima jenis pendidikan yang telah diwujudkan tidak
mempunyai keseragaman, iaitu Inggeris, Melayu, Cina, Tamil dan agama Islam. Setiap
jenis sekolah itu mempunyai falsafah dan hala tuju pengajaran dan kurikulum yang
berbeza. Akibat kewujudan sistem ini yang kurang mempunyai sistem kawalan
peringkat pusat telah menyebabkan konsep intergrasi atau perpaduan kaum sukar
dilaksanakan. Sistem pendidikan pada masa pemerintahan Inggeris telah menimbulkan
situasi rumit dalam sistem pendidikan sekarang dari segi keseragaman dan pencapaian
hasrat integrasi nasional. (Sufean Hussin, 1993)

Akibat daripada ketidakseimbangan ini, pihak Inggeris telah membuat kajian. Rentetan
daripada itu, beberapa laporan telah dirangka antaranya Laporan Barnes (1950),
Laporan Fenn-Wu (1951), Ordinan Pelajaran (1952), Laporan Razak (1956). Laporan
ini telah membawa perubahan yang besar dalam pembangunan insan dan negara kita
khususnya.

Laporan Barnes 1950

Laporan Barnes merupakan satu percubaan menuju ke arah perpaduan negara apabila
mengusulkan agar matlamat pendidikan hendaklah membentuk satu rupa bangsa yang
berasaskan berbagai kaum. Sistem vernakular yang berasingan hendaklah dibubarkan
dan digantikan dengan satu jenis sekolah yang sama untuk semua kaum iaitu sekolah
nasional (kebangsaan). Laporan ini bertujuan untuk mempertingkatkan kepentingan
bahasa Inggeris di samping mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa
perhubungan di sekolah. Namun begitu, laporan ini telah ditentang hebat oleh orang
bukan Melayu terutama orang Cina kerana mereka khuatir sekolah Cina akan hilang.

Laporan Fenn-Wu 1951

Laporan Fenn-Wu diperkenalkan ekoran ketidakpuasan hati dalam kalangan


masyarakat Cina. Di samping mempertahankan kedudukan bahasa Cina, laporan ini
juga ditugaskan untuk memberi nasihat tentang penyediaan buku teks sekolah Cina
yang berorientasikan kepada Tanah Melayu sebagai satu cara untuk mendekatkan
masyarakat Cina dengan situasi kehidupan Tanah Melayu.

Ordinan Pelajaran 1952

Pihak Inggeris kemudiannya telah menyatukan kedua-dua laporan itu dan dijadikan
Ordinan Pelajaran 1952. Ordinan ini telah menetapkan bahawa penubuhan dua jenis
aliran persekolahan, iaitu bahasa Melayu dan Inggeris. Selain itu, Bahasa Cina dan
tamil akan diajar sebagai bahasa ketiga jika terdapat permintaan daripada ibu bapa
dengan syarat terdapat 15 orang dalam sebuah bilik darjah dan Sekolah Cina dan Tamil

4
tidak diterima sebagai sistem pelajaran kebangsaan. Walau bagaimanapun, Ordinan ini
tidak dapat dijalankan kerana menghadapi pelbagai masalah.

Namun begitu Jawatankuasa Khas telah dilantik untuk menguruskan dasar yang
tercatat dalam Ordinan 1952 melalui tiga objektif, iaitu:

1. Penggunaan dua bahasa secara beransur-ansur di sekolah vernakular Melayu dan


penggunaan tiga bahasa di sekolah Cina dan Tamil, supaya sekolah itu akan secara
beransur-ansur dapat diserapkan ke dalam sistem sekolah kebangsaan.

2. Menghadkan kadar kemasukan murid ke sekolah kebangsaan Inggeris seperti


sediakala.

3. Penubuhan pendidikan menengah vokasional.

Namun begitu, sehingga tahun 1956, Ordinan 1952 tidak menghasilkan perubahan
yang besar kepada kepada pembangunan insan dan negara kerana ia tidak
memberikan kepuasan kepada semua pihak. Manakala kaum Cina terus menguruskan
pendidikan mereka sendiri tanpa campur tangan kerajaan dan struktur persekolahan
Melayu tinggal seperti sediakala.

Laporan Razak 1956

Objektif Laporan Razak ialah untuk melahirkan sekolah yang berjiwa Tanah Melayu
dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Laporan Razak
melambangkan Tanah Melayu telah melaksanakan dasar bertolak ansur, dasar
perpaduan kaum, dasar demokrasi dan dasar kesejagatan. Laporan ini juga telah
menunjukkan sistem pendidikan telah bertambah maju apabila bertambahnya bilangan
murid, guru dan sekolah. Sebagai asas untuk melaksanakan usul Laporan Razak, suatu
undang-undang diluluskan iaitu Ordinan Pelajaran 1957.Laporan Razak telah menjadi
asas perkembangan pendidikan di Malaysia selanjutnya.

3.0 PEMBANGUNAN INSAN DAN NEGARA SELEPAS MERDEKA

Pendidikan di Malaysia telah mengalami pelbagai anjakan dan perubahan bagi


merealisasikan matlamat kerajaan menjadikan pendidikan di Malaysia bertaraf dunia.
Terdapat pelbagai peringkat pada pascamerdeka iaitu era 1957-1970, era 1971-1990,
era 1991-2000 dan era 2001-2010.

3.1 Era 1957-1970

Selepas Malaysia merdeka dari penjajahan Inggeris satu dasar telah dibentuk bagi
memantapkan pembangunan insan dan negara yang sedia ada. Oleh itu, Ordinan
Pelajaran 1957 telah dibentuk yang mencakupi peraturan-peraturan pelajaran (disiplin
sekolah) 1959. Hal ini merupakan sejarah Malaysia pada waktu itu, kerana

5
perancangan pendidikan dirangka untuk meliputi semua kaum dalam masyarakat di
Malaysia serta meliputi semua aspek struktur dan perkembangan pendidikan negara.

Di atas kesedaran yang tinggi terhadap masa depan pendidikan di Malaysia, Laporan
Rahman Talib yang dirangka telah mencadangkan supaya Bahasa Melayu dijadikan
mata pelajaran wajib selain Bahasa Inggeris. Bahasa Melayu mesti diajar dari darjah
satu di semua jenis sekolah rendah dan syarat lulus dalam Bahasa Melayu bagi calon-
calon ke sekolah menengah, dan pusat latihan guru. Cadangannya juga termasuk
pemberian insentif kepada guru-guru supaya mendapat kelulusan yang baik dalam
mata pelajaran Bahasa Melayu. Lantaran itu, Akta Pelajaran 1961 dibentuk dan
dirangka agar mampu melonjakkan bidang pendidikan di negara ini.

Kesannya, pada tahun 1962 pendidikan percuma kepada semua pelajar dilaksanakan
bertujuan agar semua rakyat tidak kira miskin atau kaya berhak mendapat pendidikan.
Selain itu, berkuatkuasa pada tahun 1964 setiap pelajar berhak mendapat pendidikan
selama 9 tahun iaitu dari darjah 1 hingga tingkatan 3. Pada masa yang sama
Rancangan Malaysia Pertama telah diperkenalkan dari tahun 1966 hingga 1970
bertujuan untuk menjaga kebajikan seluruh rakyat, dan meninggikan taraf hidup
kawasan luar bandar terutamanya dalam kalangan mereka yang berpendapatan
rendah.

Kesimpulannya, hala tuju pendidikan era ini lebih becorak kepada penyatuan semua
kaum melalui pengenalan Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran wajib bagi
memudahkan interaksi antara kaum. Selain itu, falsafah pendidikan yang bersifat sama
rata tanpa menyisihkan kaum, darjat dan agama memangkinkan lagi perkembangan
pembangunan insan di negara Malaysia. Era ini menunjukkan anjakan paradigma yang
proaktif dalam sistem pendidikan negara.

3.2 Era 1971-1990

Selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969, Malaysia telah memperkenalkan Dasar Ekonomi
Baru (DEB) bagi mengurangkan jurang sosio-ekonomi antara kaum di negara ini. DEB
dilaksanakan melalui Rancangan Malaysia Kedua 1971-1975 (RMK2), RMK3 1976-
1980, RMK4 1981-1985, RMK5 1986-1990. Di samping itu, bagi mengelakkan
kecelaruan antara kaum di Malaysia, Bahasa Melayu diperkenalkan sebagai bahasa
pengantar utama dan kerajaan telah membuat semakan terhadap Dasar Pelajaran
Kebangsaan 1979 dan melaksanakan pembaharuan dalam meningkatkan kualiti
Pendidikan Negara.
Kerajaan telah melaksanakan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) untuk golongan pelajar
miskin yang tidak mampu untuk membeli buku teks dan Rancangan Makanan
Tambahan(RMT) bertujuan untuk memberi makanan yang seimbang kepada pelajar
terutamanya yang berasal dari keluarga yang kurang berkemampuan. Usaha ini
menunjukkan kerajaan begitu komited dalam membela nasib pelajar yang kurang
berkemampuan.

6
Pada tahun 1982, Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) diperkenalkan di peringkat
percubaan atau lebih dikenali sebagai rintis. Agenda ini diteruskan dengan pelaksanaan
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1988 apabila pelajar
dalam KBSR telah melangkah masuk ke tingkatan 1 dan menggunakan empat
matapelajaran sebagai rintis iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan
Bahasa Tamil.
Dalam era ini juga Falsafah Pendidikan Negara (FPN) diperkenalkan. Falsafah
Pendidikan ini menjurus ke arah pembangunan insan dan warganegara yang baik
dengan mengemukakan ciri-ciri seperti percaya dan patuh kepada Tuhan, berilmu
pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berbakti dan memberi sumbangan
kepada diri, masyarakat, agama, bangsa dan negara serta memiliki sahsiah yang
seimbang dan sepadu. Selaras dengan FPN yang disuratkan pada tahun 1987
berbunyi:

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan kearah perkembangan bagi


potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang
seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan
kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat
Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, bertanggungjawab dan
berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara" (Falsafah Pendidikan Negara,
1987)

Apabila FPN diperkenalkan, pembangunan insan melalui pendidikan nampak jelas dan
nyata untuk melahirkan insan yang cemerlang dari segi emosi, jasmani, intelek dan
rohani. Penambahbaikkan yang dijalankan mengakibatkan sistem pendidikan kita
semakin sistematik. Oleh itu, falsafah pendidikan yang digunapakai akan
merealisasikan matlamat kerajaan untuk mencapai masyarakat majmuk yang bersifat
sejagat.

3.3 Era 1991-2000

Era ini memperlihatkan negara telah melangkah maju kehadapan melalui RMK6 1991-
1995 dan RMK7 1996-2000 bagi memastikan kemajuan negara terus terancang. Dalam
pada itu, kerajaan juga telah memperkenalkan Dasar Pembangunan Negara yang
mempunyai cita-cita tentang tujuan, rasional, konsep, pelaksanaan dan kesan-kesan
pembangunan. Antara yang telah dilaksanakan oleh kerajaan seperti Dasar
Pembangunan Nasional, Dasar Bersih, Cekap dan Amanah serta Pelan Integriti
Nasional.

Dasar Pembangunan Nasional adalah bertujuan menyatupadukan rakyat untuk


memperkukuhkan lagi kestabilan sosial dan politik serta pembangunan ekonomi yang
berterusan. Kerajaan turut memperkenalkan Dasar Bersih, Cekap dan Amanah yang
berobjektifkan mewujudkan etika kerja dan sikap berkhidmat untuk peningkatan hasil
dan mutu kerja. Selain itu, pelancaran Pelan Integriti Nasional dengan matlamat untuk

7
memantapkan nilai-nilai etika dan integriti serta membudayakan nilai-nilai tersebut
dalam diri setiap anggota masyarakat.

Pada tahun 1992 kerajaan telah memperkenalkan pendidikan umum selama 11 tahun
iaitu setiap rakyat Malaysia diwajibkan mengikuti sesi persekolahan bermula dari tahun
1 sehingga tingkatan 5. Sementara itu, pemurnian dalam Kurikulum Baru Sekolah
Rendah kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah telah berlaku dengan
menggunakan akronim yang sama iaitu KBSR. Usaha ini dilihat mampu meningkatkan
mutu pendidikan dalam kalangan rakyat Malaysia dalam menentukan hala tuju
pembangunan insan dan negara di masa hadapan.

Pada era ini juga telah mempelihatkan perubahan yang pesat dalam falsafah dan hala
tuju pendidikan negara. Asas perundangan bagi melancarkan lagi pembangunan
pendidikan diperkukuhkan melalui penggubalan dan pindaan akta berikut:

1. Akta Pendidikan 1996- Menggantikan Akta Pelajaran 1961 khususnya peruntukan


kuasa-kuasa Menteri Pelajaran da penginstitusian prasekolah.

2. Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) 1996- Bermatlamatkan menjadikan


Malaysia Pusat Kecemerlangan Pendidikan.

3. Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996- Membolehkan penubuhan sebuah majlis
yang menentukan dasar dan menyelaras pembangunan pendidikan tinggi.

4. Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara 1996- Menyediakan peruntukan


pinjaman pelajar dan skim tabungan bagi meningkatkan akses kepada pendidikan
tinggi.

5. Akta Universiti dan Kolej Unversiti (AUKU) (pindaan) 1996- memperluas autonomi
dalam pengurusan dan kewangan kepada universiti awam bagi menentukan program
ke arah kecemerlangan dalam pendidikan.

6. Akta Lembaga Akreditasi Negara (LAN) 1996- Memastikan tahap akademik yang
tinggi, jaminan kualiti tinggi dan kawalan mutu pendidikan terpelihara dalam penyediaan
pendidikan swasta.

7. Akta Institusi Teknologi MARA (ITM) (Pindaan) 2000- Membolehkan ITM dinaiktaraf
menjadi universiti.

8. Akta PTPTN (Pindaan) 2000- Membenarkan pinjaman kepada pelajar di Institusi


Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta.

Jika diteliti, perubahan demi perubahan dalam sistem pendidikan negara telah
mengadaptasikan satu hala tuju pembangunan insan dan negara yang lebih cemerlang,
gemilang dan terbilang.

8
3.4 Era 2001-2010

Pada abad ke-21, negara telah menghadapi cabaran globalisasi iaitu dunia tanpa
sempadan menyebabkan Malaysia harus bersaing dalam memperkasakan
pembangunan pendidikan dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Penambahbaikan
telah dijalankan bagi meneliti semula projek dan program yang dirancang. Hal ini
bertepatan dengan matlamat pembangunan insan dan negara untuk melahirkan
warganegara yang berilmu pengetahuan celik ICT, berkemahiran dan berakhlak mulia.

Pelbagai perubahan dan cabaran alaf ke-21 menyebabkan penambahbaikan dan


pemantapan hala tuju dan falsafah pendidikan diperhebatkan dalam perundangan,
dasar dan program utama seperti berikut:

1. Akta Pendidikan 1996 (Pindaan 2002) memperuntukan pendidikan wajib bagi


pendidikan rendah yang dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 1 pada 1
Januari 2003.

2. Program Bimbingan dan Kaunseling diperkukuhkan dengan memperuntukan seorang


kaunselor bagi setiap 500 orang pelajar bermula dari tahun 2003 (Keputusan Jemaah
Menteri, 2002)

3. Pada tahun 2003, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam
Bahasa Inggeris diperkenalkan (Keputusan Jemaah Menteri, 2002) dan Bayaran
Insentif Subjek Pendidikan (BISP) turut diperkenalkan.

4. Pemberian bantuan one-off RM120 kepada murid sekolah rendah daripada keluarga
miskin pada tahun 2002-2003 bagi melaksanakan pendidikan wajib (Bajet 2002 dan
2003). Pada tahun 2004 bantuan ini digantikan dengan Kumpulan Wang Amanah
Pelajar Miskin (KWAPM).

5. Pada tahun 2004, Skim Baucer Tuisyen (SBT) diperkenalkan untuk memberi bantuan
tuisyen kepada murid sekolah rendah Tahun 4 hingga 6 yang miskin dan pencapaian
rendah dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

6. Mata pelajaran Vokasional (MPV) diperkenalkan di Sekolah Menengah Harian pada


tahun 2004. (Berasaskan Program Sekolah ke Kerjaya di bawah Pembiayaan Bank
Dunia, 1998-2003)

7. Program j-QAF diperkenalkan pada tahun 2005 dan diperluaskan pada tahun 2006
bagi memastikan murid Islam menguasai Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain
apabila tamat sekolah rendah (Keputusan Jemaah Menteri, 2003)

8. Pada tahun 2006 aktiviti kokurikulum diperbaiki dengan penambahan peruntukan per
kapita pelajar daripada RM2.50 kepada RM10 untuk sekolah rendah dan RM12 untuk
sekolah menengah (Keputusan Jemaah Menteri, 2005). Di samping itu, aktiviti

9
kokurikulum dijadikan syarat kelayakan ke IPTA mulai 2006 (Keputusan Jemaah
Menteri, 2005)

Pada era ini juga, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 (PIPP)
diperkenalkan untuk memartabatkan pembangunan insan di Malaysia. Antara yang
termaktub dalam PIPP ialah berdasarkan kepada enam teras iaitu membina negara
bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan sekolah kebangsaan,
merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profesion keguruan dan melonjakkan
kecemerlangan institusi pendidikan. Pada peringkat ini hala tuju pendidikan negara
lebih bersifat untuk melahirkan masyarakat yang mampu bersaing di peringkat global
berdasarkan kepada falsafah pendidikan yang dicanangkan dalam sistem pendidikan di
Malaysia.

4.0 PERBANDINGAN PEMBANGUNAN INSAN DAN NEGARA SEBELUM DAN


SELEPAS KEMERDEKAAN

Pendidikan di negara kita telah mengalami perubahan dalam sistem


pendidikan.Perubahan ini memperlihatkan perbandingan antara sebelum dan selepas
kemerdekaan dari aspek pembangunan insan dan negara . Oleh itu, terdapat
perbandingan yang jelas hasil dari perkembangan sistem pendidikan di negara ini.

4.1 Kesan dari aspek falsafah pendidikan

Falsafah berasal daripada perkataan Yunani Tua iaitu Philosophia yang bermaksud
“cinta kepada ilmu pengetahuan atau hikmah”. Falsafah pendidikan negara mempunyai
perbezaan yang jelas sebelum dan selepas kemerdekaan. Sebelum kemerdekaan
falsafah pendidikan kita lebih bercorak tradisional. Hal ini disebabkan masyarakat lebih
mementingkan kecerdasan dan kemahiran untuk meneruskan hidup dengan bekerja
yang bersesuaian dengan kemahiran yang dimiliki. Falsafah pendidikan masyarakat
tradisional lebih cenderung kepada aspek-aspek kerohanian, akhlak dan moral. Hal
dibuktikan berdasarkan penubuhan sekolah-sekolah pondok dan madrasah yang
memberi pengajaran dan pembelajaran seperti membaca al-Quran dan tajwid, Tafsir al-
Quran, Hadis, Fiqah dan Tauhid (Awang Had Salleh, 1980).

Pada zaman penjajahan falsafah pendidikan lebih tertumpu kepada menjaga


kepentingan British di Tanah Melayu. Era ini telah memaparkan pendidikan yang
diperkenalkan oleh penjajah telah melebarkan jurang pendidikan, perpaduan dan
integrasi antara kaum. Sistem ini mengakibatkan masyarakat Melayu terus berada di
Kampung, Cina menguasai bandar dan India akan bermastautin di ladang-ladang.
Pendidikan yang diperkenalkan adalah bertujuan untuk mengelakkan peningkatan taraf
hidup masyarakat pribumi. Pihak penjajah memperkenalkan pendidikan bebas untuk
mengelakkan berlakunya penentangan dalam masyarakat pribumi.

Pada era selepas kemerdekaan, Falsafah Pendidikan Negara (FPN) diperkenalkan


yang menekankan bahawa pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke

10
arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu
untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi,
dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah
bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak
mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta
memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan
negara.

Di samping itu, FPN merupakan roh, nadi dan penjana kepada keutuhan sistem dan
dasar pendidikan negara. FPN merupakan perkara penting untuk dijana demi
memastikan generasi pelapis yang merupakan aset terpenting negara di masa hadapan
mampu untuk berperanan di tengah-tengah gelombang kemodenan dan arus
globalisasi yang kian mencabar. Pembentukan masyarakat madani yang diimpikan
memerlukan percambahan dan pemupukan nilai-nilai agama, moral dan etika.
Kesemua elemen-elemen tersebut penting agar segala cita-cita murni yang sering
dicanangkan benar-benar dapat direalisasikan ke arah mencapai wawasan negara
untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Jelaslah disini menunjukkan
bahawa terdapat perbandingan yang nyata antara falsafah pendidikan negara sebelum
dan selepas kemerdekaan.

4.2 Kesan dari aspek dasar pendidikan

Dasar membawa maksud bahagian yang terpenting, asas atau pokok sesuatu perkara
(Kamus Dewan Edisi Ketiga, 2002). Dasar pendidikan di negara kita mempunyai
perbandingan yang ketara antara sebelum dan selepas merdeka. Pada era penjajahan,
pihak kolonial Inggeris telah memperkenalkan dasar pendidikannya tersendiri.
Antaranya ialah dasar penyekatan yang bersifat menghalang kemajuan orang Melayu.
Pihak Inggeris lebih cenderung untuk memastikan masyarakat Melayu kekal sebagai
petani, nelayan dan memuliakan kerja buruh (Awang Had Salleh, 1974). Menurut
Sufean Hussin (1996) dasar sekatan ini bertujuan untuk mengongkong dan
membendung pemikiran tradisional serta primitif atau kekampungan orang-orang
Melayu. Hal ini menyebabkan pembelajaran di sekolah vernakular Melayu adalah
sekadar membasmi buta huruf pada tahap minimum. Kesan langsung dari dasar ini
mewujudkan satu fenomena status dalam pendidikan yang menyebabkan golongan
yang mampu akan mendapatkan pendidikan dan masyarakat bawahan terus disisihkan
kerana dasar yang diperkenalkan tidak menyedarkan masyarakat tentang kepentingan
pendidikan.

Kesedaran yang tinggi terhadap sistem pendidikan kolonial yang ditinggalkan penjajah
mendorong kerajaan merangka dasar pendidikan yang lebih baik untuk menyelesaikan
ketidakseimbangan dalam pendidikan antara kaum di Malaysia. Langkah utama yang
dilakukan oleh kerajaan Perikatan selepas merdeka ialah membetulkan dan menyusun
semula sistem pendidikan yang diwarisi dari penjajah. Dasar yang dirangka
diperkukuhkan oleh perlembagaan dan undang-undang untuk memastikan setiap dasar
yang dilaksanakan berkesan dan berjaya.

11
Antara dasar yang dirangka ialah Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berfokuskan
kepada satu sistem pelajaran yang dapat memenuhi keperluan negara dan
menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik. Selain itu,
dasar kesejagatan dan penyeragaman yang berfungsi untuk menggunakan satu
sukatan pelajaran dan peperiksaan yang sama untuk kepelbagaian etnik, bahasa,
budaya, agama dan latar belakang geografi. Salah satu tindakan yang diambil untuk
memperkasakan dasar ini adalah melalui pelaksanaan Bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar agar memudahkan perhubungan antara masyarakat.

Justeru, bagi memantapkan lagi sistem pendidikan yang sedia ada dasar demokrasi
diperkenalkan. Dasar ini bertujuan untuk mengembangkan potensi individu itu sendiri
dengan memberi keutamaan kepada pelajar yang mempunyai kemajuan tanpa mengira
latar belakang, agama, bangsa dan bahasa. Jelaslah bahawa terdapat perbezaan
dalam usaha pembangunan insan dan negara dari aspek dasar pendidikan di Malaysia
sebelum dan selepas kemerdekaan.

4.3 Kesan dari aspek pembentukan perpaduan

Perpaduan merupakan elemen penting dalam pembentukan sebuah masyarakat yang


pelbagai kaum di Malaysia. Jika diperhatikan perbandingan yang jelas wujud dalam
sistem pendidikan sebelum dan selepas kemerdekaan dalam pembentukan perpaduan
etnik yang pelbagai iaitu Melayu, Cina dan India. Masyarakat majmuk di negara ini
mampu merencatkan perpaduan jika tidak ditangani dengan betul dan berhemah.
Menurut Sanusi Osman (1985) masalah sebenar yang kita hadapi bukan berpunca
daripada berbagai kumpulan etnik yang ada di negara ini, tetapi yang lebih penting ialah
perasaan perkauman dalam kalangan rakyat di negara ini terlalu dibesar-besarkan.

Sejarah telah membuktikan sebelum mencapai kemerdekaan perpaduan sukar dicapai


kerana dasar pendidikan penjajah yang berbeza untuk setiap kaum di Malaysia pada
ketika itu. Setiap bangsa dibahagikan kepada kurikulum pendidikan yang berbeza.
Melayu diajarkan teknik penternakan dan pertanian di samping membaca, mengira dan
menulis. Kaum Cina mengambil sistem kurikulum dan guru dari negara China manakala
kaum India, kurikulum mereka berdasarkan Kod Buruh. Pendidikan bersifat bebas yang
diperkenalkan oleh British menyebabkan perpaduan sukar dicapai. Dasar pecah dan
perintah yang diperkenalkan oleh British juga melebarkan lagi jurang perpaduan antara
masyarakat dan akhirnya membawa kepada tradegi hitam dalam sejarah negara iaitu
rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Apabila Malaysia mencapai kemerdekaan kerajaan telah merangka beberapa pelan


dasar pendidikan untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang
kaum di Malaysia. Kesedaran terhadap tragedi rusuhan kaum yang mampu
membantutkan perpaduan, maka DEB telah diperkenalkan untuk merapatkan jurang
sosio-ekonomi masyarakat. Selain itu, kerajaan telah menggubal Akta Pelajaran 1961
yang menggariskan Bahasa Melayu sebagai pengantar utama pada semua peringkat
pendidikan serta penggunaan kurikulum dan peperiksaan yang sama untuk semua
pelajar. Di samping itu, dasar pendemokrasian pendidikan dilaksanakan pada tahun

12
1962 dengan memberi pendidikan percuma untuk semua pelajar. Dasar ini diperluas
dengan perubahan dasar untuk melanjutkan pendidikan universal dari 9 tahun kepada
11 tahun pada tahun1992. Kesamarataan dan peluang pendidikan kepada semua
masyarakat yang diperkenalkan oleh kerajaan mampu membentuk perpaduan yang
utuh. Hal ini berdasarkan pendapat Azyumardi Azra (2006) yang menyatakan bahawa
pendidikan yang tidak seimbang dan tidak memberi peluang kepada semua masyarakat
untuk menonjolkan kebolehan harus dilenyapkan kerana pendidikan seperti ini gagal
dalam menjalankan fungsinya untuk menyatupadukan rakyat. Jelaslah bahawa usaha
dan tujuan pendidikan kita dalam membentuk perpaduan kaum mempunyai perbezaan
mengikut zaman dari dahulu hingga kini.

4.4 Kesan dari aspek pembangunan modal insan

Pembangunaan modal insan merupakan salah satu matlamat utama dalam pendidikan.
Menurut Becker (1987), modal insan ialah yang berkaitan dengan pengetahuan,
maklumat, idea-idea, kemahiran dan tahap kesihatan yang dimiliki oleh individu dalam
menjalankan tugas dan tanggungjawab. Persoalannya, sejauh manakah pendidikan
sebelum dan selepas kemerdekaan memberi implikasi terhadap pembangunan modal
insan? Pada peringkat awal, sistem pendidikan di negara kita hanya berteraskan
pendidikan oleh ibu bapa dan ahli keluarga. Sistem ini berdasarkan konsep warisan. Ibu
bapa akan mengajar segala kemahiran yang dimiliki kepada anak-anak. Oleh itu, modal
insan yang dilahirkan hanya mempunyai kemahiran yang diberikan oleh ibu bapa
mereka. Masyarakat tradisional ini juga menerapkan pendidikan agama dan
menghantar anak-anak mereka ke sekolah pondok dan madrasah. Kesedaran ini
selaras dengan firman Allah yang bermaksud:

“Sebenarnya mereka yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari
kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu”. (Surah Fatir, 28)

Pendidikan semasa era penjajahan dilihat kurang signifikan dalam membangunkan


modal insan. Hal ini disebabkan hala tuju dan falsafah pendidikan Inggeris tidak
memberi peluang kepada masyarakat Melayu khususnya untuk mengembangkan bakat
dan kebolehan. Selain itu, jenis pendidikan yang bersifat bebas menyebabkan terdapat
perbezaan jurang dalam pendidikan yang akhirnya membantutkan pembangunan modal
insan.

Perbandingan yang jelas dapat dilihat pada zaman pascamerdeka. Usaha dalam
membangunkan insan dan negara pada ketika ini lebih bercorak untuk membangunkan
modal insan. Hal ini selaras dengan ucapan YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi
sempena Hari Pekerja (2000) menyeru rakyat berganding bahu agar pendidikan negara
mampu melahirkan modal insan yang kekal relevan dengan kehendak industri dan
pasaran semasa serta mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Antara usaha-usaha
yang berjaya melahirkan modal insan adalah penubuhan universiti.Tujuan penubuhan
universiti ini adalah untuk memberi sumbangan kepada negara mengeluarkan tenaga
terlatih dalam beberapa bidang yang relevan, khususnya bagi pembangunan modal
insan yang mampu memberi sumbangan kepada masyarakat.

13
Di samping itu, kerajaan juga memperkenalkan j-QAF untuk memastikan pelajar
mempunyai kemahiran dalam tulisan jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain untuk
melahirkan insan yang cemelang akademik dan sahsiah. Komitmen kerajaan untuk
melahirkan modal insan terserlah melalui pelancaran PIPP yang mengariskan
pembangunan modal insan sebagai teras kedua untuk memperkukuhkan hala tuju dan
falsafah pendidikan negara.

4.5 Kesan dari aspek membasmi kemiskinan

Pendidikan merupakan langkah yang proaktif bagi meningkatkan taraf hidup dan
membolehkan individu keluar dari kepompong kemiskinan. Hal ini dibuktikan melalui
Duke (1985), Coombs dan Manzoor (1974) yang mengatakan bahawa cara yang
terbaik bagi menyerang dan membasmi kemiskinan ialah melalui pendidikan dan
latihan. Walau bagaimanapun, pembangunan insan di negara kita memperlihatkan
perbandingan yang jelas dari aspek membasmi kemiskinan antara sebelum dan
selepas kemerdekaan.

Pada era masyarakat tradisional falsafah pendidikan yang diterapkan tidak mampu
untuk membasmi kemiskinan kerana sistem pendidikan pada masa itu yang bersifat
warisan iaitu anak-anak akan mewarisi pekerjaan ibu bapa. Walau bagaimanapun,
kehadiran pengajian agama Islam telah membuka minda masyarakat Tanah Melayu
pada masa itu tentang peri pentingnya pendidikan seterusnya melonjakkan
pembangunan insan maju selangkah ke hadapan. Namun kekangan yang dihadapi
ialah sebelum abad ke-20 masih tiada sistem dan organisasi pendidikan berbentuk
formal dan sistematik di negeri-negeri Tanah Melayu.
Perubahan sistem pendidikan yang diperkenalkan oleh penjajah semakin memburukkan
keadaan kerana falsafah pendidikannya lebih bersifat bebas. Masyarakat Melayu
khususnya masih dihimpit kemiskinan kerana sistem pendidikan penjajah yang tidak
memberi peluang kepada masyarakat Melayu untuk menonjolkan bakat.

Menurut Sufean Hussin (1996) kegagalan pendidikan untuk berfungsi bagi membasmi
kemiskinan pada era penjajahan disebabkan kurang kesedaran masyarakat Melayu
ketika itu perihal kepentingan celik huruf dan pendidikan disebabkan oleh dasar
pendidikan penjajah. Selain itu, tiada sistem pengangkutan yang baik dan kesempitan
pemikiran orang Melayu ketika itu menyatakan bahawa hala tuju sekolah-sekolah
kerajaan adalah untuk menyebarkan ideologi sekular yang bertentangan dengan ajaran
Islam telah menghambat perkembangan pendidikan.

Setelah mencapai kemerdekaan, ketidakseimbangan dalam sosio-ekonomi masyarakat


telah memaksa kerajaan memperkenalkan DEB sekaligus untuk meningkatkan
pendapatan Bumiputera dan membasmi kemiskinan tegar. Kebanyakan dasar kerajaan
yang diperkenalkan adalah bertujuan untuk membantu golongan miskin. Antaranya
ialah memberi pinjaman buku teks kepada pelajar berpendapatan rendah, RMT, Akta
PTPTN, pemberian one-off RM 120 kepada murid sekolah rendah daripada keluarga
miskin, pengagihan KWAPM dan Skim Baucer Tuisyen. Langkah ini membuktikan

14
bahawa hala tuju pendidikan pada era selepas merdeka menitikberatkan pembasmiaan
kemiskinan bagi merealisasikan matlamat kerajaan untuk mencapai kemiskinan sifar
menjelang tahun 2020.

4.6 Kesan dari aspek pembangunan negara

Dunia telah menyaksikan dan sejarah telah membuktikan bahawa sejak zaman awal
generasi manusia, ilmu memainkan peranan penting di dalam menentukan jatuh
bangunnya sesuatu tamadun. Justeru, pendidikan mempunyai peranan penting dalam
menentukan pembangunan sesebuah negara. Hal ini bertepatan dengan firman Allah
SWT bahawa manusia dan jin tidak akan dapat menguasai dunia dan seisinya
melainkan dengan kekuasaan ilmu (Surah Ar-Rahman, 33).

Persoalannya sejauh manakah dasar dan corak pendidikan yang diamalkan di Malaysia
sama ada sebelum dan selepas kemerdekaan mampu memainkan peranannya dalam
membangunkan negara?

Sorotan sejarah telah memaparkan bahawa dasar dan corak pendidikan pada peringkat
awalnya hanya bersifat tidak formal dan tidak mampu menjadi penggerak ke arah
pembangunan negara. Namun, setelah sistem pendidikan kolonial diperkenalkan tidak
dinafikan bahawa sistem ini telah mempengaruhi pembangunan negara yang masih
dikuasai oleh penjajah pada masa itu. Hal ini berdasarkan kepada sistem pendidikan
kolonial telah mengurangkan kadar buta huruf di tahap minimum. Pengurangan ini telah
membantu membangunkan negara kerana petani yang menerima pendidikan 4 tahun
persekolahan rendah, lebih proaktif sebanyak 20.4% daripada petani buta huruf.
(Jamison dan Lan, 1982).

Dasar dan corak pendidikan pascamerdeka mempunyai ciri-ciri unggul yang mampu
untuk memartabatkan pembangunan negara. Pendidikan pada era ini mempunyai
kapasiti untuk membasmi kemiskinan melalui hala tuju dan falsafah yang diperkenalkan
oleh kerajaan iaitu menyediakan pendidikan kepada semua anggota masyarakat tanpa
mengira bangsa, agama dan latar belakang. Selain itu, hasil pembelajaran akan
membentuk pengetahuan, kemahiran, inovasi dan nilai yang menjadi anjakan kepada
pembangunan sumber tenaga yang melonjakkan pembangunan negara. Peningkatan
pengetahuan ilmu seperti menguasai maklumat, fakta, prinsip, konsep, kepercayaan,
kebiasaan, sikap dan kemahiran mampu dijadikan asas kukuh dalam pembangunan
negara (Abdul Rahman Md. Aroff dan Zakaria Kasa, 1994).

Apabila dasar pembangunan insan dan negara telah diterapkan dalam sistem
pendidikan, maka mampu meningkatkan kemahiran dan mengubah nasib seseorang
individu. Perubahan ini akan menjana peningkatan taraf hidup dan sosial masyarakat.
Peningkatan ini akan memberi impak positif terhadap ekonomi negara khususnya
dalam peningkatan guna tenaga yang akhirnya meningkatkan Keluaran Dalam Negara
Kasar (KDNK). Lantaran itu, sememangnya tidak dapat disangkal bahawa falsafah dan
hala tuju pendidikan yang terancang memainkan peranan penting dalam
membangunkan insan dan negara dari segi ekonomi, politik dan sosial.

15
5.0 Penutup

Kesimpulannya, proses pembangunan insan dan negara telah mengalami perubahan


demi perubahan mengikut zaman dalam usaha untuk memartabatkan sistem
pendidikan sebagai agen ke arah pembangunan masyarakat. Oleh itu, pendidikan yang
berorientasikan falasafah untuk melahirkan insan yang berjiwa besar dan seimbang dari
segi jasmani, emosi, rohani dan intelek akan menentukan hala tuju pembangunan
negara di masa hadapan. Justeru, di dalam menguruskan pembangunan insan untuk
membentuk masyarakat madani bagi kelangsungan sebuah negara yang cemerlang,
gemilang dan terbilang, kita seharusnya bangkit dari mimpi indah dan sedar bahawa
sudah tiada masa untuk kita terus beretorika, bertegang leher dan berkering tekak
memperdebatkan sesuatu isu tanpa pengaplikasian resolusi untuk menjadi realiti.
Ingatlah, jatuh bangunnya generasi mendatang adalah impak terbesar dari generasi
yang beraksi dimasa ini.

Akhirnya, marilah kita bersama-sama merenung firman Allah yang bermaksud; “Tidak
sepatutnya bagi orang-orang yang berilmu itu pergi semuanya (ke medan
perang).Mengapa tidak pergi bagi tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang
untuk mendalami pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan
kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepada mereka, supaya mereka itu
mendapat memelihara diri mereka.”( Surah at-Tawbah, 122 ). Sesungguhnya
pendidikan berkesan tunjang ke arah pembentukan negara maju.

Bibliografi
Abdul Rahman Ahmad, 2006. Pembangunan Modal Insan: Apa dan Kenapa Perlu
Dalam Konteks Organisasi di Malaysia. Kuala Lumpur, Penerbit Human Resources
Academy.

Abdul Rahman Aroff dan Zakaria Kasa, 1994.Falsafah dan Konsep Pendidikan.
Selangor, Penerbit Fajar Bakti.

Adnan Haji Awang (Penyunting), 1985.Pendidikan dan Kewarganegaraan di Malaysia.


Kuala Lumpur, Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung.

Al-Quran dan Terjemaahan, 2005. Bandung, Penerbit Diponegoro.

Azyumardi Azra, 2006. Paradigma Baru Pendidikan Nasional. Jakarta, Penerbit Buku
Kompas.

Awang Had Salleh, 1980. Pendidikan ke Arah Perpaduan: Sebuah Perspektif Sejarah.
Kuala Lumpur, Penerbit Fajar Bakti.

16
Hasan Langgulung, 1995. Manusia dan Pendidikan: Suatu Analisa Psikologi dan
Pendidikan. Jakarta, Penerbit PT. Al Husna Zikra.

http://www.moe.gov.my.

http://www.scribd.com.

Kamarudin Kachar, 1989. Perkembangan Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur,


Penerbit Teks Publishing sdn.Bhd.

Kamus Dewan Edisi Ketiga, 2002. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd.Kamal Hassan, 1988. Pendidikan dan Pembangunan: Satu Perspektif


Bersepadu. Kuala Lumpur, Penerbit Nurin Enterprise.

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, 2006-2010. Kuala Lumpur, Kementerian


Pendidikan Malaysia.

Sufean Hussin, 1996. Pendidikan di Malaysia: Sejarah, Sistem dan Falsafah. Kuala
Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

17

Anda mungkin juga menyukai