Anda di halaman 1dari 10

BAB 1.

0 PENDAHULUAN

1.1 PENGENALAN

1.1.1 Pelaksanaan Kurikulum Sejarah Sekolah Rendah

Matlamat penting dasar pendidikan negara adalah untuk mewujudkan suatu


identiti bangsa atau sebagai alat untuk pembinaan bangsa. Pendidikan
Sejarah dapat memainkan peranan sebagai alat pembinaan bangsa apabila
digunakan dengan efektif dan bertanggungjawab (Hazril, 2003). Dalam hal
ini, mata pelajaran sejarah dijadikan medium mendidik murid mengenai
nilai-nilai murni melalui refleksi dan pengajaran yang diperoleh hasil
daripada pembelajaran mengenai peristiwa silam disamping memupuk dan
memperkukuh semangat setia negara dan jati diri sebagai warganegara
Malaysia dan warga dunia. Melalui pengetahuan dan penghayatan sejarah
tanahair dan sejarah negara luar yang berkaitan, para murid dapat
memahami keadaan masyarakat dan negara serta hubungannya dengan
sejarah dunia. Usaha ini bertujuan mewujudkan semangat perpaduan dan
kekitaan bangsa dan negara Malaysia. Pendidikan Sejarah juga dapat
mewujudkan ingatan bersama terhadap Sejarah sebagai rangka rujukan
kesedaran dan persefahaman antarabangsa

Oleh itu Kurikulum Standard Sekolah Rendah mata pelajaran


Sejarah dirangka yang merupakan transformasi pendidikan dengan
memberi penekanan kepada domain kognitif, efektif dan psikomotor, serta
menerapkan nilai tambah alaf baru seperti kemahiran berfikir, kemahiran
teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran pelbagai kecerdasan,
kajian masa depan dan pembelajaran sepanjang hayat. Kurikulum ini juga
memberi penekanan kepada penerapan nilai murni, semangat patriotik,
elemen kewarganegaraan dan nilai sivik. Disamping itu Kurikulum Standard
Sekolah Rendah mata pelajaran Sejarah ini dihasilkan juga untuk
membantu guru pelatih menjadi lebih proaktif, dinamik dan progresif serta
memantapkan pemahaman serta pengetahuan terhadap matlamat, objektif
dan kandungan Kurikulum Standard Sekolah Rendah. Selain itu, ianya
dapat membantu guru pelatih menyediakan serta melaksanakan aktiviti
pengajaran dan pembelajaran secara berkesan.
1.1.2 Kemahiran Abad Ke-21

Cabaran pendidikan abad ke-21 merupakan pendidikan yang menjurus


kearah kemahiran abad ke-21 (KA-21) yang mengambil berat akan ilmu
pengetahuan, berkemahiran, celik TMK, berakhlak, pemikiran global,
kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dan kemenjadian murid. Senario ini
menyebabkan guru pelatih di abad ke 21 perlu melengkapkan diri dengan
pengetahuan dan kemahiran abad ke-21. Guru pelatih perlu sentiasa
mencari pendekatan, kaedah, strategi dan teknik pengajaran terkini agar
murid dapat dididik dengan pegetahuan dan kemahiran mengikut kehendak
semasa berdasarkan elemen-elemen KA-21 yang diperlukan dalam dunia
pekerjaan masa kini. Menurut Linda Dan Elizabeth (2011) , kemahiran abad
ke-21 merupakan pembelajaran sebenar di alam pekerjaan yang akan
melengkapkan murid-murid dengan kemahiran untuk hidup di abad ke-21.

KA-21 amat penting dalam profesionalisme guru pelatih kerana guru


pelatih merupakan sumber ilmu kepada murid, manakala murid
sememangnya sentiasa dahagakan ilmu untuk membolehkan mereka
berdaya saing dan mampu berdikari mengahadapi cabaran dalam
kehidupannya. Pada abad ke 21, sekiranya guru pelatih tidak mempunyai
pengetahuan dan KA-21, maka apa yang akan disampaikan dan pedagogi
yang diguna pakai tidak akan ada nada pembaharuan dari segi
pengetahuan dan kemahiran dengan kata lain di takuk lama. Hal ini secara
langsung menjadikan guru pelatih tidak releven dengan tahap pendidikan
semasa. Pembelajaran berterusan hingga ke liang lahad seharusnya
menjadi pegangan guru pelatih abad ke 21, dengan ini menjadikan mereka
berpengetahuan, berkemahiran peka kepada perubahan, bersedia
menghadapi pelbagai cabaran dan melahirkan modal insan yang
cemerlang.
Guru pelatih yang menguasai KA-21 akan menjadi lebih kreatif,
inovatif dan memberikan impak yang positif kepada pengajarannya
seterusnya dapat meningkatkan pencapaian murid. Kekuatan seseorang
guru pelatih terletak kepada pengetahuan dan kemahiran pedagoginya.
Pengetahuan pedagogi ini bukanlah hanya berdasarkan kepada
pengalaman atau pengetahuan tradisional yang mana pengajarandan
pembelajaran terlalu berpusatkan guru. Oleh hal yang demikian, KA-21
akan membolehkan guru pelatih melakukan perubahan dalam pedagogi
dengan lebih berpusatkan kepada murid dengan mengadaptasikan
kemahiran-kemahairan seperti kolaboratif di dalam pengajaran dan
pembelajaran. Guru pelatih yang menggunakan KA-21 dalam pengajaran
dan pembelajaran akan membuatkan murid lebih dihargai dan lebih rapat
dengan guru.

Menurut Faridah, Faiziah dan Amran (2016) dalam buku bertajuk


Pengajaran dan Pembelajaran Abad-21, mereka mengkategorikan empat
perkara iaitu kemahiran pemikiran kritis, kemahiran pemikiran kreatif,
kemahiran komunikasi, dan kemahiran kolaboratif sebagai kemahiran
pembelajaran abad ke-21. Kepentingan memupuk kemahiran abad ke-21
kepada pelajar sememangnya penting dalam mencapai matlamat dan
hasrat yang tercatat dalam PPPM 2015 – 2025. Namun, sebagai nadi
utama mendidik pelajar, guru pelatih memainkan peranan penting dalam
memupuk kemahiran tersebut. Oleh yang demikian, guru pelatih perlu
mempunyai ciri-ciri tertentu sebagai pendidik abad ke-21. Merujuk kepada
Buletin Anjakan Buletin Transformasi Pendidikan Malaysia bil 5/2015,
terdapat enam ciri Guru Abad ke-21 iaitu:

i. Menguasai kandungan kurikulum

ii. Kemahiran .dalam pedagogi

iii. Memahami perkembangan pelajar dan menyayangi mereka

iv. Memahami psikologi pembelajaran

v.Memiliki kemahiran kaunseling

vi. Menggunakan teknologi terkini


Dalam menguruskan PdP dalam bilik darjah, guru pelatih abad ke-
21 perlu menguasai kepakaran dalam ciri-ciri guru pelatih abad ke-21
seperti yang telah dinyatakan. Menguasai subjek atau kandungan
kurikulum merujuk kepada pengetahuan sedia ada guru pelatih serta
kemahiran dan pengalaman guru pelatih yang perlu digabungkan untuk
membina satu PdP yang terbaik dalam proses pembelajaran murid yang
lebih berkesan. Penguasaan guru pelatih dalam pedagogi abad ke- 21
bermaksud guru pelatih mempunyai kemahiran mengintegrasikan
teknologi maklumat dan media di dalam PdP berserta guru pelatih boleh
membuat penyesuaian dengan pedagogi serta konsep dan teknik PdP abad
ke-21. Selain itu, guru pelatih mempunyai kemahiran dalam membuat
perancangan program dalam menyokong dan membantu perkembangan
pelajar seperti melalui strategi sharply focused, Deep Dive, analisis data
dan mempelbagaikan aktiviti pelajar untuk mencari ilmu di luar kelas adalah
antara ciri-ciri pendidik abad ke-21 (Buletin Anjakan Bil 5, 2015).

Faedah pembelajaran abad ke-21

1.2 PERNYATAAN MASALAH

Pelaksaaan kurikulum sejarah dalam bilik darjah sering menjadi


perbincangan dalam kalangan ahli akademik dan masyarakat. Hal ini
disebabkan proses pengajaran dan pembelajaran sejarah sering dianggap
masih bersifat konservatif, tradisional, tidak aktif dan gagal mewujudkan
suasana “attractive” hingga memberi implikasi dan pengaruh negatif
kepada murid (Zunaida Zakaria, Abdul Razak Ahmad, & Mohd. Mahzan
Awang, 2012). Kegagalan ini akan menyebabkan matlamat pendidikan
sejarah yang digariskan tidak dapat dicapai sepenuhnya. Justeru, untuk
menyelesaikan permasalahan ini, suatu bentuk transformasi dan inovasi
yang baru seiring dengan perubahan dan perkembangan pendidikan di
Malaysia diperlukan. Oleh hal yang demikian, pembelajaran dan
pengajaran abad ke-21 telah diperkenalkan sejajar dengan perlaksanaan
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard
Sekolah Menengah (KSSM). Penekanan terhadap mata pelajaran Sejarah
oleh pihak kerajaan adalah disebabkan kepentingan sejarah dalam
melahirkan warganegara yang cintakan negara. Namun, dalam kalangan
pelajar mata pelajaran Sejarah kurang mendapat tempat di hati mereka
kerana dikatakan membosankan dan padat dengan fakta-fakta (Anuar
Ahmad, Siti Haishah Abdul Rahman dan Nur Atiqah T. Abdullah, 2009).
Kelemahan sebenar dalam menguasai kurikulum sejarah adalah
disebabkan gaya penyampaian yang kurang berkesan.

Selain itu, kaedah paling popular yang digunakan dalam P & P


adalah khutbah atau kaedah kuliah, manakala bentuk penyelidikan masih
berpusatkan guru (Subadrah Nair, 2005). Pengajaran dan pembelajaran
abad ke-21 memerlukan guru berfikir, merancang, berbincang, menilai,
mereka cipta dan membuat keputusan (Buletin Anjakan Buletin
Transformasi Pendidikan Malaysia bil 4/2015). Apa yang menjadi masalah
dalam kalangan guru pelatih khususnya guru pelatih Sejarah ialah dari
segi kefahaman, kesediaan dan kemahiran mereka untuk memberi input
kemahiran abad ke-21 dalam pengajaran dan pembelajaran. Seseorang
guru pelatih perlu mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran
abad ke-21 yang memfokuskan kepada elemen-elemen kemahiran
pemikiran kritikal, pemikiran kreatif, kemahiran komunikasi dan kolaborasi.
Oleh hal yang demikian, kajian ini ingin meneroka tahap kemahiran abad
ke-21 dalam pengajaran dan pembelajaran guru pelatih Sejarah dalam
sekolah rendah sebagai kajian awal.

Penerimaan ciri-ciri PAK21 dalam kalangan pelajar masih pada


tahap sederhana. Hal ini menggambarkan kemahiran yang dimiliki oleh
guru untuk menerapkan pedagogi abad ke-21 masih perlu ditingkatkan
(Ismail, Daud,2018). Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) selaku
institusi latihan yang dipertanggungjawabkan melatih bakal guru dalam
aspek kurikulum, pedagogi, amalan profesionalisme, kokurikulum dan
pelbagai kemahiran keguruan perlu melaksanakan transformasi reka
bentuk pendidikan yang sesuai dengan keperluan generasi kini. Sekiranya
guru pelatih masih mengharapkan bimbingan yang berterusan tanpa
memikirkan ciri-ciri PdP yang boleh memupuk pelbagai kemahiran abad ke-
21 kepada murid, persepsi masyarakat dan warga pendidikan terhadap
keberkesanan IPG melatih guru yang kompeten akan kekal kurang
berkesan (Barnet et al. 1987) dalam Aziz Omar (2011).

1.3 TUJUAN KAJIAN

Kajian ini dijalankan bagi meninjau tahap kemahiran abad ke-21 guru
pelatih Sejarah sekolah rendah dalam pengajaran dan pembelajaran.

1.3.1 OBJEKTIF KAJIAN

i) Mengenalpasti tahap kemahiran pengajaran abad ke 21 dalam kalangan


guru pelatih sejarah IPGKRM

ii) Mengenalpasti tahap kemahiran abad ke 21 yang paling dominan dalam


kalangan guru pelatih sejarah IPGKRM

iii) Mengenalpasti tahap kemahiran abad ke 21 yang paling rendah dalam


kalangan guru pelatih sejarah IPGKRM

iv) Mengenalpasti tahap hubungan antara kemahiran-kemahiran abad ke


21 dalam kalangan guru pelatih sejarah IPGKRM

1.3.2 SOALAN KAJIAN

i) Apakah tahap kemahiran pengajaran abad ke 21 dalam kalangan guru


pelatih sejarah IPGKRM?

ii) Apakah tahap kemahiran abad ke 21 yang paling dominan dalam


kalangan guru pelatih sejarah IPGKRM?

iii) Apakah tahap kemahiran abad ke 21 yang paling rendah dalam kalangan
guru pelatih sejarah IPGKRM?

iv) Adakah terdapat hubungan antara kemahiran-kemahiran abad ke 21


dalam kalangan guru pelatih sejarah IPGKRM?
1.3.3 HIPOTESIS KAJIAN

Pengkaji mengemukakan dua hipotesis iaitu hipotesis null, H0 dan hipotesis


alternartif, H1 berdasarkan persoalan kajian iaitu :

H0 : Tidak terdapat hubungan yang signifikan terhadap kemahiran


abad ke-21 dalam PdP di kalangan guru pelatih Sejarah

H1 : Terdapat hubungan yang signifikan terhadap kemahiran abad ke-


21 dalam PdP di kalangan guru pelatih Sejarah

1.4 SKOP DAN BATASAN KAJIAN

Tumpuan kajian ini untuk mengetahui tahap kemahiran abad ke-21 guru
pelatih Sejarah Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Seremban.
Kajian ini memfokuskan kepada lima konstruk kemahiran abad ke-21 iaitu
kemahiran pemikiran kritis, kemahiran pemikiran kreatif, kemahiran
kolaboratif,kemahiran komunikasi, dan kemahiran teknologi maklumat dan
komunikasi. Faktor kos yang tinggi dan batasan geografi menyebabkan
penyelidik hanya mengambil sampel kajian dari kalangan guru pelatih
sekolah rendah. Selain itu, sekolah rendah dipilih kerana mata pelajaran
Sejarah merupakan satu subjek yang masih baru dilaksanakan. Kajian ini
merupakan berbentuk tinjauan yang mengumpul maklumat daripada
sampel yang telah ditentukan terlebih dahulu. Sampel dipilih secara
penentuan terlebih dahulu di mana hanya guru pelatih yang mengajar
subjek Sejarah sahaja akan dipilih sebagai sampel.

Faktor keperibadian iaitu kejujuran responden juga menjadi satu


batasan kajian yang dianggap penting. Hal ini kerana penyelidikan yang
dijalankan adalah berdasarkan kepada soal selidik yang diberikan kepada
responden. Faktor masa juga diambil kira oleh pengkaji sebagai batasan
kajian. Hal ini kerana berlakunya kekangan masa semasa menjalankan
kajian ini, di mana pengkaji perlu berhubung setiap minggu dengan setiap
sekolah yang yang terlibat bagi mendapatkan kembali soal selidik yang
telah dijawab.
1.5 KEPENTINGAN KAJIAN

Kajian ini membantu guru pelatih dalam mengenal pasti kemahiran yang
diperlukan dalam perkhidmatannya di sekolah seterusnya dapat memupuk
kemahiran tersebut terhadap murid sebagai persediaan menempuhi bidang
kerjaya kelak. Keberkesanan proses pengajaran merupakan aspek yang
sangat penting dalam pendidikan. Justeru itu, untuk meningkatkan dan
memperhebat usaha-usaha kea rah amalan pengajaran berkesan
memerlukan daya kreativiti guru pelatih yang dapat menggunakan segala
kebolehan dan kemahiran dalam menyampaikan isi pelajaran khususnya
elemen KA-21.

Hal ini dapat dilakukan berdasarkan ketajaman idea-idea baru bagi


menjana penguasaan maksimum para murid terhadap ilmu pengetahuan
yang disampaikan. Kesimpulannya, kajian ini memberikan gambaran yang
jelas untuk dijadikan sebagai panduan dan membuat perubahan demi
mempertingkat kualiti dan keberkesanan kerjaya guru pelatih agar modal
insan yang dilahirkan bersedia mengharungi kehidupan yang berkembang
maju.

Kajian ini dapat menambah bahan ilmiah berkaitan kemahiran abad


ke-21 kerana topik yang dibincangkan ini boleh dikatakan masih baru.
Penulisan dan pengkajian tentang kemahiran abad ke-21 juga
sememangnya boleh dikatakan agak kurang berbanding pengkajian lain di
Malaysia ini. Oleh hal yang demikian, kajian ini boleh menambahkan lagi
bahan literatur memandangkan masih kurang kajian dijalankan seperti
mana kajian di negara luar. Kebanyakan bahan kajian yang dapat dicapai
sama ada internet atau buku didapati dari sarjana-sarjana Barat. Oleh hal
yang demikian, kajian ini boleh memperbanyakkan bahan kajian
berdasarkan perspektif tempatan. Akhir sekali, kajian terdahulu atau
sebelum ini masih banyak ruang untuk diperbaiki. Kajian-kajian yang
didapati kini kebanyakannya berfokuskan kemahiran abad ke-21 untuk
subjek Sains dan Matematik. Oleh hal yang demikian, kemahiran abad ke-
21 dalam kalangan guru pelatih Sejarah adalah releven untuk dikaji.
1.6 DEFINISI OPERASIONAL

Pengkaji telah menggunakan beberapa definisi operasional berkaitan


dengan aspek yang dikaji. Definisi ini bertujuan mengelakkan kekeliruan
terhadap beberapa istilah.

i. Pemikiran Kritis
Guru-guru pelatih yang berupaya menganalisis masalah yang
kompleks, menyiasat soalan yang mana tidak ada jawapan yang
jelas, menilai mata yang berbeza pandangan atau sumber
maklumat, dan membuat kesimpulan yang sesuai berdasarkan
bukti dan hujah.
ii. Pemikiran Kreatif
Guru-guru pelatih yang dapat menjana secara kreatif dan inovatif
dalam penyelesaian kepada masalah yang kompleks atau tugas-
tugas berdasarkan sintesis, analisis dan kemudian
menggabungkan atau menyampaikan apa yang diperolehi
dengan cara yang baru dan asli.
iii. Kemahiran Komunikasi
Guru-guru pelatih yang dapat menyusun dan berkongsi pemikiran
mereka dengan berkesan melalui pelbagai media, secara lisan
dan bertulis.
iv. Kemahiran Kolaboratif
Guru-guru pelatih yang memberi kerjasama untuk menyelesaikan
masalah, dan bekerja dengan berkesan dalam pasukan untuk
mencapai matlamat yang sama serta memikul tanggungjawab
bersama dalam menyelesaikan tugas.
v. Kemahiran Teknologi Maklumat Dan Komunikasi
Guru-guru pelatih yang mahir menggunakan teknologi dan
perisian di dalam pengajaran dan pembelajaran. Menggunakan
medium interaktif dan internet dalam kehidupan
1.7 RUMUSAN

Pada abad ke 21, kualiti guru pelatih sangat dituntut dan diperlukan dengan
menguasai kemahiran pemikiran kritis, kemahiran pemikiran kreatif,
kemahiran koloboratif dan kemahiran komunikasi serta kemahiran teknologi
maklumat dan komunikasi yang dapat digunakan di dalam
perkhidmatannya di sekolah. Penguasaan kemahiran ini bukan sahaja
dapat melahirkan modal insan yang bertaraf global tetapi menghasilkan
pemikiran, penemuan dan ciptaan baru yang dapat memberikan
sumbangan kepada negara dan dunia. Melalui kajian ini, diharapkan dapat
memperoleh maklumat yang berguna berkenaan dengan kemahiran abad
ke-21 dalam kalangan guru pelatih sejarah sekolah rendah .

Peta 1.1 Peta Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar

Anda mungkin juga menyukai