Anda di halaman 1dari 3

“Teknologi tercipta dek akal manusia,

Intergriti terhapus dek penggunaanya”

Dato’ Seri Abdullah bin Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-5 pernah
berkata “Modal insan bukan setakat mempunyai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang,
tetapi ia juga mencakupi aspek peribadi serta akhlak yang tinggi perlu ada pada seseorang itu”.
Dalam nada yang serupa,integriti telah mengajar sekalian anak watan Tanah Melayu menuai
kudrat membebaskan nusa. Maka benarlah kata Yusuf Al-Qhardawi kerana integriti banyak
bangsa menjadi dewasa.

Salam aspresiasi saudara pengerusi, saf kehakiman penuh berintegriti, dif-dif kehormat yang
dihormati, seterusnya hadirin dan hadirat yang diberkati, Assalamualaikum
warahmatulhiwabarakatuh, salam ceria ikatan murni.

Cabaran Dunia Tanpa Sempadan Menghakis Nilai Intergriti.  Begitulah indahnya alunan
gabungan aksara yang membentuk tajuk pidato saya pada hari ini. Sebelum lidah melontar
madah, sebelum tangan tarikan gaya, izinkan saya mendefinisikan tajuk pidato saya pada hari
ini. Secara intelektualnya, frasa cabaran bermaksud rintangan. Manakala secara
konseptualnya, frasa dunia tanpa sempadan bermaksud fenomena globalisasi. Seterusnya
maksud menghakis itu sendiri merupakan mengikis sedikit demi sedikit sehingga habis dan
hilang. Dan akhir sekali frasa nilai integriti bermaksud sifat jati diri yang merangkumi juga
keikhlasan, kejujuran dan ketulusan. Justeru secara keseluruhannya, cabaran dunia tanpa
sempadan bermaksud fenomena globalisasi mengikis sedikit demi sedikit sehingga hilangnya
sifat jati diri yang merangkumi kesemua aspek positif dalam diri seseorang. Ingin saya tekankan
bahawa tajuk pidato saya pada hari ini, Cabaran Dunia Tanpa Sempadan Menghakis Nilai
Intergriti merupakan tonggak utama dalam aspek perkara yang harus diutamakan dan
dititikberatkan oleh setiap anggota masyarakat.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Justeru untuk memudahkan lagi pemahaman hadirin hadirat semua tentang mengapakah saya
bersetuju untuk membentangkan tajuk pidato saya pada hari ini, saya telah meletakkan tiga
kata kunci utama dalam konteks nilai integriti itu sendiri. Kata kunci saya yang pertama,
berlakunya penyalahgunaan teknologi tanpa mengira masa. Seperti yang kita ketahui Cabaran
terhadap keutuhan budaya dan moral umat daripada ledakan dan gelombang teknologi
maklumat dalam era globalisasi kini tidak kurang hebatnya.  Internet, umpamanya,
membolehkan penggunanya menimba segala jenis ilmu pengetahuan dan maklumat dengan
mudah, tetapi pada masa yang sama ia mengandungi banyak sekali maklumat yang bersifat
destruktif, tidak bermoral dan bertentangan dengan nilai-nilai budaya dan etika umat
beragama.  Pendedahan kanak-kanak, golongan remaja dan orang dewasa kepada bahan-
bahan yang bersifat erotik dan lucah di dalamnya boleh menimbulkan sindrom ketagihan yang
bakal merosakkan peribadi dan moral para penagihnya. Beberapa taipan kata kunci pada
papan kekunci lalu diklik pada tetikus untuk melakukan “dosa di hujung jari”.  Baru-baru ini
masyarakat Malaysia dikejutkan dengan penemuan Badan Bertindak Kesedaran Penderaan
Seksual Kanak-Kanak betapa kanak-kanak dengan mudah terdedah kepada 1.5 juta laman web
lucah. Nilai intergriti para remaja yang bakal menjadi pendukung negara mulai terhakis dengan
berlakunya penyalahgunaan teknologi tanpa mengira masa ini.

Di bawah lembayung kata kunci kebebasan bersuara mengikut rasa tanpa memikirkan binasa.
Kebangkitan teknologi komunikasi baru seperti internet telah menyediakan ruangan kepada
setiap individu untuk bersuara dengan bebas. Melalui Facebook, Twitter, Blog dan fenomena
globalisasi yang lain, sesiapa sahaja dapat menyuarakan pandangan, berkongsi pengalaman
dan maklumat mahupun mengkritik terhadap sesuatu isu.Keadaan ini telah membentukkan satu
alam kehidupan sosial dalam dunia siber di mana pertukaran maklumat dan pandangan
terhadap sesuatu perkara berlaku dan hal ini dapat mempengaruhi pandangan awam.
Berdasarkan pernyataan Habermas, sfera awam yang membolehkan rakyat bersuara dan
berdebat secara bebas dan rasional dapat dibentuk di dunia siber. Namun, kesan sistem
komunikasi dua hala yang dijalankan di dunia siber adalah tidak sama secara menyeluruh
dengan pandangan Habermas yang ideal. Hal ini kerana pelbagai masalah sosial masih berlaku
akibat penyalahgunaan internet oleh sesetengah golongan yang tidak bertanggungjawab.Dalam
perbincangan mengenai teknologi komunikasi baru ini, fenomena wujudnya sekumpulan orang
yang menggunakan hak kebebasan bersuara ini secara tidak bertanggungjawab menjadi aspek
penting yang perlu dikajikan. Hal ini demikian kerana dominasi dari segi masyarakat, politik dan
ekonomi juga adalah wujud dalam sfera awam di dunia siber. Oleh itu, kita boleh melihat
pelbagai masalah sosial yang banyak telah wujud. Terdapat golongan yang mengambil
kesempatan untuk menyebarkan fitnah, maklumat palsu yang belum dikenal pasti, khabar
angin, ugutan, bahan lucah, sindiran dan sebagainya melalui ruang untuk bersuara tersebut. Di
sini kita dapat lihat menghakis sifat intergriti yang lama kelamaanya akan menjadi kosong dan
terhapus terus.
Akhir sekali dalam membentangkan cabaran dunia tanpa sempadan menghakis nilai integriti di
bawah lembayung kata kunci jenayah siber diabaikan dan digelapkan mata. enayah internet
sering berlaku dengan mudah, di mana-mana dan bila-bila masa saja dalam dunia tanpa
sempadan. Walaupun pihak PDRM dan BNM sentiasa bekerjasama dalam memberi kesedaran
dan peringatan kepada masyarakat bagi memerangi “Jenayah Kewangan” masih ramai yang
menjadi mangsa! Komputer bukan saja digunakan sebagai alat memeras ugut, mendatangkan
ketakutan kepada mangsa melalui e-mel malah mendesak mangsa agar menyerahkan apa-apa
harta kepadanya. Gejala ini boleh membahayakan dari segi kewangan kerana pelakunya boleh
dengan segera melenyapkan jumlah wang yang besar secara maya. Selain itu, ia juga
mendatangkan kesan yang besar kepada keluarga dan hak persendirian.nilai intergriti terhapus
dalam kalangan pelaku kesalahan itu dan juga masyarakat kit sendiri. Kita hanya memandang
remeh akan hal ini tanpa mengambil tahu akan kesan dan akibatnya terhadap keluarga dan
masyarakat. Mungkin sekarang kita tidak menjadi mangsa namun apakah tindakan yang akan
kita lakukan sekiranya kita yang menjadi mangsa akan keadaan ini pada suatu hari nanti. Fikir-
fikirkan wahai siding hadirin sekalian.

Pada penghujung bicara,jelas tertera, tatkala kita jadikan integriti  sebagai budaya dan
pegangan, maka impaknya bangsa yang dulu tertiarap dimamah, kini kembali tegak
bermaruah.  Sebagai rakyat Malaysia suka untuk saya ingatkan , Pada hari ini, impian kita
adalah untuk menjelmakan bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang bukan bangsa
yang kecundang, pincang dan terbuang . Ingat,   jangan biar ayam direban disambar helang,
jangan biarkan padi di tangan menjadi lalang, mari bangkit dan sama-sama berjuang ke arah
negaraku yang semakin gemilang. Kita bendung bersama-sama perihal Cabaran Dunia Tanpa
Sempadan Menghakis NIlai Intergriti.

Sekian, wabillah hitaufik walhidayah wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai