Anda di halaman 1dari 6

Menurut Doyle (1986), bilik darjah ialah sebuah tempat yang kompleks di mana

berlakunya beberapa aktiviti pada masa yang serentak. Dalam keadaan yang dijelaskan di
atas, maka tidak hairanlah jika seseorang murid atau beberapa orang murid menunjukkan
tingkah laku disruptif ataupun destruktif yang seterusnya mungkin mengganggu pelaksanaan
proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Berdasarkan isu senario yang diberikan,
masalah disiplin tingkah laku yang berlaku dalam kalangan murid ialah murid tidak memberi
perhatian semasa proses PdP dan bercakap dengan rakan sebelah semasa guru sedang
mengajar.

Apabila berdepan dengan masalah disiplin di dalam bilik darjah, guru perlu berusaha
mengenal pasti punca sebenar kepada salah laku murid dan tidak membuat kesimpulan
dengan cepat. Hal ini kerana, jika guru membuat penilaian atau salah tafsir tentang punca
masalah murid, maka guru tidak dapat membantu murid tersebut dengan berkesan. Mengikut
Model Akibat Logikal Dreikurs, seseorang guru hendaklah memahami punca kepada masalah
tingkah laku murid tersebut (Dreikurs, Grunwald & Pepper,1982). Rasa kepunyaan terhadap
bilik darjah merupakan matlamat utama dalam pembentukan tingkah laku murid. Apabila
murid gagal mendapat rasa kepunyaan, kadangkala mereka akan menggunakan cara yang
salah untuk memenuhi keperluan tersebut. Dreikurs (1968) mendapati bahawa tingkah laku
bermasalah boleh berpunca daripada motif-motif seperti mendapatkan perhatian, mencabar
kuasa, membalas dendam dan mempamerkan kekurangan. Berdasarkan isu senario yang
diberikan, salah laku yang dilakukan oleh Preethy dan Muthusamy boleh berpunca daripada
keinginan untuk mendapatkan perhatian guru. Antara bentuk yang digunakan untuk menarik
perhatian guru dan rakan sekelas yang lain termasuklah bercakap dengan murid lain semasa
guru sedang mengajar, tidak memberikan tumpuan semasa PdP dan sebagainya. Tindakan
ini bakal mengundang perasaan marah dan sakit hati guru serta rakan sekelas. Apabila
berhadapan dengan situasi begini adalah penting bagi guru untuk menganalisa dan mencari
punca kepada salah laku tersebut. Selain itu, guru juga haruslah tidak memberikan perhatian
kepada tingkah laku yang tidak diingini tetapi memberikan perhatian kepada tingkah laku yang
diingini. Sebagai contoh, di sebalik kebisingan Preethy, guru memujinya apabila Preethy
berjaya menghantar kerja rumahnya pada masa yang ditetapkan. Secara tidak langsung, guru
memberikan pilihan kepada murid sama ada untuk terus membuat perkara yang tidak
sepatutnya dan tidak mendapat perhatian atau membuat sesuatu yang disukai guru serta
mendapat perhatian.

Di samping itu, masalah disiplin Preethy dan Muthusamy juga boleh berpunca
daripada perebutan kuasa antara guru dengan murid. Dalam hal sedemikian, guru haruslah
mengelakkan diri daripada bersemuka dan melepaskan emosi kepada murid tersebut.
Sekiranya guru melepaskan kemarahan kepada murid, keadaan ini akan menambahkan
tekanan terhadap konflik yang dihadapi. Sebaik-baiknya guru perlu bertenang dan memanggil
murid untuk berjumpa dengan guru secara individu serta mengenal pasti punca kelakuan
mereka. Kemudian, guru harus menunjukkan bahawa guru mengambil berat tentang masalah
yang dihadapi oleh murid. Seseorang murid akan berasa dirinya dihormati dan penting apabila
guru memberikan perhatian kepada pandangannya. Semasa mendengar, guru perlu sensitif
terhadap apa yang dikatakan oleh murid dan memberikan respons yang wajar. Apabila guru
memberi respons, murid akan terdorong untuk meluahkan rasa hati kerana dia merasakan
guru berminat dengan perkara yang hendak dikatakannya. Seterusnya, guru boleh
berbincang dengan mereka motif sebenar di sebalik kelakuan tersebut serta menunjukkan
sebab dan akibat yang munasabah yang bakal dihadapi oleh mereka sekiranya terus
melakukan tingkah laku tersebut.

Secara keseluruhan, Dreikurs telah mencadangkan beberapa langkah boleh dilakukan


untuk menangani murid-murid yang mempunyai motif-motif yang salah dalam mempamerkan
tingkah laku. Pertama, guru perlu mengenal pasti motif murid tersebut berdasarkan empat
motif utama yang dibincangkan dan membantu murid untuk memahami motif yang telah
ditunjukkan. Seterusnya, guru haruslah menunjukkan dan memberi kesedaran bahawa
mereka telah memilih cara atau motif yang salah untuk mendapat pengiktirafan diri. Kemudian,
guru hendaklah membantu murid untuk menukarkan matlamat yang salah kepada matlamat
sebenar yang mendatangkan manfaat kepada semua pihak dan memberikan galakan dan
bimbing murid untuk bertanggungjawab atas matlamat baharu yang dipilih. Akhirnya, guru
harus membantu murid untuk melihat akibat daripada tingkah laku yang ditunjukkan. Akibat
tersebut perlu memberikan manfaat kepada diri murid dan orang-orang di persekitaran
mereka.

Di samping itu, guru haruslah memainkan peranan dalam membina persekitaran bilik
darjah yang kondusif kerana ia akan menimbulkan perasaan bertanggungjawab dan
kesepunyaan dalam murid-murid terhadap pembelajarannya (Haliza Hamzah & Samuel,
2016). Peranan guru dalam membina persekitaran bilik darjah yang kondusif ialah
menetapkan peraturan dan rutin bilik darjah dan memelihara persekitaran psikososial yang
sihat di dalam bilik darjah. Murid di sekolah rendah memerlukan struktur dan prosedur-
prosedur kerja yang jelas agar mereka boleh berfungsi dengan baik di dalam bilik darjah. Oleh
itu, murid perlu diperkenalkan kepada rutin dan prosedur di dalam bilik darjah agar mereka
mengetahui cara melaksanakan peranan mereka supaya aktiviti PdP lebih berkesan.
Peraturan bilik darjah merupakan satu cara pencegahan terhadap masalah atau kejadian
yang tidak diingini di dalam bilik darjah. Semasa merancang peraturan dan rutin kelas, guru
perlu melibatkan murid dalam perancangan tersebut, iaitu peraturan atau rutin dibentuk oleh
guru bersama dengan murid.
Penglibatan murid dalam membuat keputusan dan bersama-sama memikul
tanggungjawab terhadap kelas dan PdP merupakan salah satu strategi untuk membina
hubungan positif antara guru dengan murid. Oleh yang demikian, guru perlu memberi peluang
kepada murid-murid untuk memikul tanggungjawab bagi menjaga kesejahteraan kelas
dengan bersama-sama membuat peraturan bilik darjah. Guru boleh berbincang dan mencapai
persetujuan dengan murid tentang peraturan yang akan ditetapkan untuk kelas mereka.
Apabila peraturan dibina bersama dengan murid, murid akan timbul rasa tanggungjawab
untuk mematuhi arahan tersebut. Agihan tanggungjawab dan membuat keputusan bersama
dapat mewujudkan satu bentuk hubungan dan komunikasi dua hala yang berkesan antara
guru dengan murid. Model Akibat Logikal Dreikurs juga menekankan kepentingan guru
memberikan kepercayaan dan tanggungjawab kepada murid-murid untuk bersama-sama
menjaga disiplin di dalam bilik darjah. Murid-murid juga harus diberikan autonomi untuk
membincangkan salah laku di dalam bilik darjah serta membantu menguatkuasakan
peraturan di dalam bilik darjah. Contohnya, murid-murid boleh melaporkan masalah disiplin
yang murid lain buat kepada guru secara rahsia. Murid-murid boleh dibimbing untuk ingat-
mengingati antara satu sama lain tentang peraturan yang telah ditetapkan. Apabila murid
faham dan mengamalkan peraturan yang ditetapkan, masalah disiplin dapat dikurangkan.

Berdasarkan Haliza Hamzah dan Samuel (2016), kepimpinan guru memberikan kesan
kepada suasana sosioemosi di dalam bilik darjah. Oleh itu, ini menunjukkan bahawa
pengurusan bilik darjah dengan cara demokratik adalah penting. Seorang guru yang
mengamalkan demokrasi akan berbincang dengan murid, memberikan murid peluang untuk
bersuara dan mendengar pandangan mereka serta memberikan murid peluang membuat
keputusan. Peraturan yang dibentuk seeloknya bermakna dan dipersetujui oleh murid di
dalam bilik darjah dan akan lebih berkesan jika guru membentuk peraturan bersama muridnya
(Haliza Hamzah & Samuel, 2016). Dreikurs berpendapat disiplin kendiri boleh dicapai di dalam
suasana bilik darjah yang demokratik. Amalan demokrasi ini akan memberikan peluang
kepada murid merasakan bahawa mereka adalah sebahagian daripada warga bilik darjah dan
bukan hanya sekadar pemerhati. Guru juga boleh mengambil kesempatan ini untuk
berbincang bersama murid tentang kepentingan peraturan bilik darjah mereka. Setelah
peraturan-peraturan ini dipersetujui dan difahami, guru boleh mempamerkan peraturan ini di
tempat yang dapat dilihat oleh semua murid dan mereka dapat membacanya dengan jelas.
Peraturan merupakan cara yang terbaik guru memaklumkan tentang tingkah laku yang
diharapkan daripada muridnya serta satu bentuk peringatan dan autoriti kepada nilai moral
murid (Haliza Hamzah & Samuel, 2016).

Seterusnya, guru yang mengambil berat dan prihatin terhadap keperluan murid-
muridnya akan membantu beliau menjalinkan hubungan yang baik dengan murid-muridnya.
Guru perlu mengetahui latar belakang dan personaliti murid. Kadangkala, murid berasa malu
untuk bersemuka dengan guru. Oleh itu, guru harus mengetahui cara yang sesuai untuk
mengenali latar belakang murid-muridnya. Guru boleh bertanya kepada guru terdahulu yang
pernah mengajar murid-muridnya atau membuat pemerhatian sendiri terhadap anak muridnya.
Selain itu, guru juga boleh menggunakan sistem pesanan ringkas seperti sms, whatsapp,
telegram untuk berhubung secara maya dengan murid-muridnya. Setelah mengetahui sedikit
sebanyak tentang personaliti anak didiknya, guru boleh mennggunakannya untuk mendekati
dan memahami murid, seterusnya membantu sekiranya mereka menghadapi masalah
akademik, sosial dan emosi. Keprihatinan guru mendengar dan mengambil berat tentang diri
murid dapat menolong guru membina hubungan yang baik dengan murid (Haliza Hamzah &
Samuel, 2016). Murid yang rapat dengan guru dapat membantu murid daripada terjebak
dalam masalah peribadi dan disiplin seperti kurang memberikan perhatian dan tidak
mendengar apabila guru mengajar.

Selain itu, guru juga perlu menunjukkan sikap yang asertif dalam menangani masalah
disiplin dan tingkah laku di dalam bilik darjah. Dalam isu senario yang diberikan, guru
mempunyai pendekatan mesra kepada pelajar dan kurang mengambil tindakan yang wajar
sesuai dan tegas terhadap murid yang mengalami masalah disiplin. Oleh itu, Preethy dan
Muthusamy tidak mengendahkan malahan mereka terus bercakap. Guru haruslah
menampilkan sikap asertif; tegas, tidak berdolak-dalik dan dalam masa yang sama tidak
autokratik. Misalnya, apabila berdepan dengan murid yang tidak memberikan perhatian dan
gemar bercakap dengan rakan sebelah semasa proses PdP, guru perlu mengambil tindakan
dengan tegas dengan mengasingkan tempat duduk kedua-dua rakan tersebut atau
memberikan time out. Hal ini bertujuan memberikan masa kepada murid untuk memikirkan
tentang tindakan atau kelakuannya. Guru perlu memastikan beliau mengambil tindakan yang
sesuai dengan masalah yang telah ditimbulkan oleh murid tersebut. Guru tidak boleh bersikap
sambil lewa. Kanak-kanak amat peka dengan respons yang ditunjukkan oleh guru. Mereka
tahu menilai guru mana yang akan mengambil tindakan dan guru yang mana satu yang akan
tidak mengendahkan perbuatan mereka. Pada umumnya, kanak-kanak akan menunjukkan
tingkah laku kurang sesuai dengan guru yang tidak mengambil berat. Hal ini kerana, kanak-
kanak tahu, mereka boleh melakukan apa-apa sahaja kerana guru tidak mengambil tindakan.
Walaupun guru seharusnya menampilkan sikap asertif, guru juga perlu bertimbang rasa dan
menyiasat terlebih dahulu punca masalah sebelum memberi peneguhan ataupun hukuman.

Pengurusan bilik darjah boleh mengurangkan tingkah laku bermasalah tetapi ia tidak
dapat menghalangnya sama sekali. Oleh itu, perlu ada intervensi yang boleh menghentikan
atau mengubah fokus tingkah laku bermasalah. Berdasarkan isu senario yang diberikan, guru
boleh menggunakan bentuk intervensi Teknik Modifikasi Tingkah Laku dalam menangani
masalah disiplin. Teknik Modifikasi Tingkah Laku bertindak berdasarkan tingkah laku yang
diberikan ganjaran akan diulangi, manakala tingkah laku yang tidak diberikan ganjaran akan
lupus. Guru boleh mengurangkan tingkah laku yang tidak diingini apabila menggabungkan
tingkah laku yang diingini dengan peneguhan postif, iaitu Prinsip Premack. Sebagai contoh,
guru boleh mengatakan kepada Preethy dan Muthusamy bahawa sekiranya mereka
menumpukan perhatian kepada pengajaran guru dan tidak berbuat bising semasa PdP
selama 25 minit, guru akan membenarkan mereka rehat selama 7 minit. Peneguhan yang
diberikan kepada tingkah laku yang diingini oleh guru akan mengurangkan tingkah laku yang
tidak diingini. Hal ini juga memberikan peluang kepada guru untuk memberikan ganjaran
kepada tingkah laku yang diingini dan bukan mendenda tingkah laku yang tidak diingini.
Contoh intervensi tersebut boleh digunakan oleh guru untuk mengurangkan tingkah laku yang
bermasalah dengan menggunakan ganjaran yang sesuai.

Kesimpulannya, guru memainkan peranan yang amat penting dalam pengurusan


tingkah laku dalam bilik darjah. Guru haruslah berusaha melengkapkan diri dengan
pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang relevan kepada persekitaran pembelajaran.
Pengetahuan yang luas di dalam pengurusan disiplin bilik darjah ditambah dengan
pengalaman yang ada akan membantu guru mensintesis satu pengurusan yang kondusif di
dalam bilik darjah masing-masing.
Rujukan

Doyle, W. (1986). “Classroom organization and management”, in Handbook on Research on


Teaching. Edisi ke-3. New York: MacMillan.

Dreikurs, R. (1968). Psychology in the classroom: A manual for teachers (2nd ed.). New York:
Harper & Row.

Dreikurs, R., Grunwald, B. B., Pepper, F. C. (1982). Maintaining sanity in the classroom:
Classroom management techniques (2nd ed.). New York: Harper & Row.

Haliza Hamzah & Samuel, J. N. (2008). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku.
Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Anda mungkin juga menyukai