Anda di halaman 1dari 4

Pembelajaran sepanjang hayat ialah pembelajaran yang berterusan sejak dari lahir

sehingga ke liang lahad (maut), sama ada secara formal atau tidak formal, sedar atau tidak,
secara berkumpulan atau individu. Perkara yang baru dan berbeza dihadapi setiap hari dan
ianya selalunya memerlukan proses pembelajaran dalam menghadapinya (Michael D. dan
Diane R., 2008). Hal hal ini kerana pembelajaran sepanjang hayat atau latihan serta
pembangunan pendidikan mempunyai hubungan yang signifikan dalam meningkatkan kualiti
guru tanpa mengira usia atau subjek yang diajar. Pembelajaran sepanjang hayat menjadi
semakin penting di Malaysia kerana tekanan daripada ledakan globalisasi, perubahan teknologi
yang pantas dan pertumbuhan penduduk di Malaysia (Mohamed Rashid Navi Bax dan Mohd
Nasir Abu Hassan, 2005). Pembelajaran sepanjang hayat (PSH) menjadi wacana kepada
latihan dan pendidikan di Malaysia ekoran perlaksanaannya boleh meningkatkan prestasi kerja,
pengetahuan, kemahiran dan tahap pendidikan seseorang guru. Kemahiran di tempat kerja
boleh ditingkatkan melalui latihan yang berterusan. Namun, adakah PBS telah menjayakan
aspek PSH guru-guru di Malaysia?

Yang Berbahagia Datuk Ab. Rahim bin Md. Noor iaitu Ketua Setiausaha Kementerian
Pengajian Tinggi mengatakan “Kerajaan yang mampu menyediakan ekosistem terbaik kepada
semua warganegaranya di mana setiap mereka dapat mengembangkan potensi dan bakat
secara optimum. Dengan kata lain, kerajaan sedang berusaha gigih untuk membina satu
kehidupan yang lebih baik untuk seluruh lapisan rakyat ataupun warganya melalui PSH”
(Direktori PSH, 2012, m/s 49). Ini menunjukkan PBS yang dilaksanakan pihak kementerian
telah membantu guru dalam mengembangkan potensi mereka daripada kekal pada takuk yang
lama. Kebanyakan guru telah menyahut kementerian dalam pelaksanaan PBS ini disamping
meneruskan PSH dengan menghadiri kursus-kursus PBS yang disediakan. Kursus ini sedikit
sebanyak menambahkan pengetahuan mereka dalam pentaksiran ini atas dasar menerima ilmu
baru seperti kaedah penyediaan heterogen instrumen PBS dan penyelenggaraan fail amnya.
Malah, guru perlu meningkatkan ilmu pengetahuan dengan lebih tinggi lagi kerana pelaksanaan
kursus PBS memastikan guru-guru berfikir secara kreatif, kritis dan inovatif. Para guru perlu
mengekalkan momentum kecemerlangan ilmu mereka kerana para pelajar kini bersikap suka
menyoal secara terbuka ekoran penerokaan ilmu secara kendiri dan ini memerlukan seseorang
guru itu bersikap sentiasa bersiap siaga dalam menjawab segala pertanyaan yang diajukan
pelajar. Pelajar kini dikatakan sentiasa ingin tahu dan suka bertanya. Hal ini memerlukan guru
sentiasa bersedia dengan bekalan ilmu terkini yang mampu menyelamatkan guru daripada
soalan “maut” pelajar.

Seterusnya, PBS juga membantu dalam pembelajaran sepanjang hayat guru melalui
usaha guru tersebut dalam memacu sistem pendidikan negara ke tahap yang lebih utuh dan
unggul. Guru iaitu penjawat awam yang memikul amanah dalam kemandirian kemajuan negara
dan maruah bangsa berperanan dalam meningkatkan pencapaian pelajar-pelajar pada semua
peringkat yang mana signifikan dalam pembangunan modal insan di samping mewujudkan
tenaga kerja mahir supaya impian murni wawasan 2020 iaitu konsep ‘negara membangun’
tercapai. Antara cara PBS membantu pendidik termasuklah melalui pelan pembelajaran
peribadi (kepentingan diri). Pelan ini meliputi aspek pembelajaran secara peribadi, belajar cara
belajar, pendidikan berterusan dan persekitaran pembelajaran kendiri (PPK). Kaedah–kaedah
ini diterapkan oleh PBS khususnya untuk memastikan para guru tidak keciciran dalam mencari
ilmu di samping berusaha menambahkan ilmu di dalam dada masing-masing. Ini membantu
melonjakkan kecemerlangan di dalam diri pendidik sama ada untuk diri mereka mahupun untuk
tempat mereka bertugas. Aktiviti pembelajaran guru bukan sahaja berlaku di sekolah sahaja,
malah pada masa kini, aktiviti pembelajaran guru boleh berlaku ditempat yang lain. Sebagai
contoh, guru masa kini sering melaksanakan aktiviti latihan dalam pembelajaran (LADAP).
Dalam aktiviti tersebut, para guru bersama-sama berbengkel antara satu sama lain tentang
sesuatu bidang subjek ataupun program-program baharu pihak pendidikan seperti PBS dan
lain-lain dari semasa ke semasa. Ini dapat meningkatkan proses pengajaran guru di dalam
kelas seterusnya mencapai kehendak pihak kementerian dalam melahirkan guru yang sentiasa
berilmu dan dahagakan ilmu. Guru yang menghadiri kursus LDP selalunya dikehendaki untuk
melatih guru-guru lain apabila mereka kembali ke sekolah (Cheah & Lim, 2010). Secara umum,
ia kelihatan seperti sangat efisyen kerana lebih ramai guru yang akan terdedah dengan teori
dan pedagogi baru dalam masa yang singkat.

Disamping itu, PBS juga berjaya memastikan PSH kebanyakan pendidik terus berjalan
iaitu melalui kajian dan refleksi yang dihasilkan oleh guru terhadap pelajar mereka. Melalui
kajian, mereka dapat berfikir di luar kotak disamping memikirkan jalan untuk memudahkan
pengajaran harian di dalam kelas. Guru juga perlu memikirkan kaedah-kaedah yang membantu
keberkesanan penyampaian ilmu kepada pelajar-pelajar kerana di dalam kelas yang berlainan
memerlukan proses atau cara pengajaran yang berlainan. Malah, setiap band yang diberikan
oleh guru terhadap pelajar menunjukkan kajian yang guru lakukan perlu dilakukan refleksi
dengan mengimbas kembali apa yang perlu diperbaiki demi melahirkan mutu pelajar yang
diimpikan kerajaan untuk masa hadapan. Sekiranya keperluan tenaga kerja mahir tidak dapat di
penuhi oleh anak tempatan, maka kita terpaksa menerima lebih ramai tenaga mahir dari luar
dan sekaligus akan merencatkan usaha pembangunan tenaga kerja yang mahir dan berkualiti
di kalangan masyarakat kita. Guru digalakkan untuk membuat refleksi secara kritis dan holistik
bagi menambah baik kemahiran guru pada sesi pengajaran yang akan datang disamping
membantu para pelajar dalam memperkembangkan ilmu mereka. Amalan reflektif ini ialah
amalan berfikir atau merenung kembali sesuatu pengalaman bertujuan untuk penambahbaikan
pada masa hadapan dan mengimbangi antara pengalaman sendiri dengan golongan terdahulu.
Mereka digalakkan berkongsi pengalaman dan pandangan dalam penulisan refleksi dan catatan
sampingan mereka dengan guru lain sebagai pemerhatian dan kajian terhadap diri dan pelajar.
Ia juga merupakan konsep pembelajaran sepanjang hayat yang dapat meningkatkan mutu
pengajaran guru serta mampu melahirkan guru yang cemerlang, pakar serta mahir dalam
bidangnya. Guru-guru seyogianya mengambil inisiatif dan manfaat akan usaha kerajaan dalam
meningkatkan penyertaan program Pembelajaran Sepanjang Hayat oleh pihak kementerian
khususnya KPM melalui kursus-kursus yang relevan, inovatif dan memberi nilai yang tinggi
kepada setiap guru. Antaranya termasuklah PBS kerana PBS memastikan guru berfikir,
membuat refleksi diri dan pelajar malah turut bertindak sebagai pengkaji ke arah mentafsirkan
tahap perkembangan ilmu pelajar yang berbeza-beza titik penumpuannya.

Kesimpulannya, PBS telah membantu guru dalam mengamalkan konsep pembelajaran


sepanjang hayat yang mana mampu meningkatkan profesionalisme keguruan (kemahiran guru
secara kreatif, kritis dan inovatif), serta menaikkan martabat seorang guru. Guru masa kini
harus lebih peka terhadap perkembangan terkini dalam kehidupan seharian serta
perkembangan terkini dunia pendidikan kerana segalanya terletak di bahu mereka dalam
pembentukan modal insan yang cemerlang dan utuh jati diri. Ingatlah bahawa “Guru perlu
menjadi pelopor kepada penghayatan pendidikan sepanjang hayat (B.H Rabu, 16 Mei 2007)”.
Hal hal ini kerana guru yang berkonsepkan kaedah pendidikan sepanjang hayat mampu
membentuk pelajar yang sentiasa dahagakan dan cintakan ilmu.

Anda mungkin juga menyukai