Anda di halaman 1dari 7

TEKS UCAPAN

YB DATO SRI DR. HAJI WAN JUNAIDI BIN TUANKU JAAFAR


MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR

SEMPENA MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA


YB MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR

MAHKOTA 2 DINING ROOM


HOTEL ISTANA, KUALA LUMPUR

27 JUN 2016

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH DAN


SALAM 1MALAYSIA.

1. Terlebih dahulu marilah kita semua bersama-sama mengucapkan

kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dariNya,

dapat kita berkumpul di sini bagi menghadiri Majlis Berbuka Puasa yang

kita adakan pada hari ini yang merupakan siri ke 3 selepas yang pertama

yang telah diadakan di Kuching pada 18 Jun 2016 yang lalu, siri ke dua

di Dewan Baiduri, NRE pada 23 Jun 2016 dan yang ketiga pada hari ini.

2. Hari ini, kita telahpun 22 hari berpuasa di dalam bulan Ramadhan

yang mulia ini dan In sha Allah tinggal lebih kurang lapan hari lagi kita

seluruh umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri.

3. Harapan saya ialah dangan adanya penganjuran majlis berbuka

puasa seperti ini ia akan dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim

sesama kita di Kementerian dan juga dengan Jabatan dan Agensi.

1
Hadiri yang dihormati sekalian

4. Berpuasa di bulan Ramadhan merupakan Rukun Islam yang ketiga.

Selain daripada menahan lapar dan dahaga di siang hari, berpuasa turut

mengajar kita erti kesabaran, ketabahan dan selalu mensyukuri nikmat

yang diperolehi. Selari dengan matlamat ini, marilah kita bersama-sama

menyempurnakan tahap keimanan dan meningkatkan ketaqwaan dengan

melakukan nilai tambah yang antara lainnya seperti memperbanyakkan

sedekah, melakukan solat sunat Terawih dan bertadarus. Sesungguhnya

bulan Ramadhan juga mengajar kita erti bersyukur dengan segala nikmat

yang kita perolehi ini. Dan dengan rasa kesyukuran itu ia diharapkan akan

dapat meningkatkan lagi ketaqwaan kita terhadap Allah SWT.

Hadirin yang dihormati sekalian

5. Bercakap mengenai konsep melakukan ibadah, ia tidak sahaja

tertumpu di bulan Ramadhan semata-mata, malahan setiap hari apabila

kita melakukan tugas seharian juga boleh dikatakan sebagai ibadah.

Malahan tugas kita bagi memastikan pengurusan sumber asli dan alam

sekitar negara diuruskan secara lestari adalah ibadah yang tinggi nilainya

di sisi Allah SWT kerana selaku khalifah di muka bumi ini, kita lah yang

bertanggung jawab yang menguruskannya.

2
6. Apa yang paling penting ialah apabila kita berkerja, selain daripada

mencari rezeki anggaplah kita melaksanakan tugas yang diamanahkan

bagi memastikan kelangsungan alam sekitar dan sumber asli yang

mampan untuk diwariskan kepada anak cucu kita kelak.

Dato-Dato, Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian

7. Apabila saya mengambil alih meneraju Kementerian Sumber Asli

dan Alam Sekitar pada bulan Ogos tahun lepas, banyak perkara-perkara

yang di dalam perancangan yang ingin saya lakukan bila dilantik menjadi

Menteri di Kementerian ini. Walaupun Kementerian Sumber Asli dan Alam

Sekitar ini hanya diwujudkan pada tahun 2004 dan bolehlah dianggap

sebagai salah sebuah kementerian yang muda berbanding Kementerian

seperti Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan dan

Kementerian Kewangan, namun tugas dan tanggungjawab kita adalah

amat berat yang merangkumi perkara-perkara di udara, di muka bumi,

lautan dan juga di dalam bumi seperti galian dan mineral.

8. Isu-isu alam sekitar kini semakin mendapat perhatian bukan sahaja

daripada para penyelidik, ahli sains, media massa, Kerajaan, Pertubuhan-

pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari dalam dan juga luar negara. Oleh

itu apa juga yang kita lakukan dalam menguruskan sumber asli dan alam

sekitar negara, setiap tindakan kita akan diperhati dan diberi penilaian.

3
9. Tahap kesedaran masyarakat terhadap isu-isu berkaitan aktiviti

penerokaan hutan secara haram dan tanpa kawalan, pemburuan hidupan

liar yang semakin terancam, selain isu-isu perubahan iklim, pemanasan

global serta kenaikan paras air laut semakin meningkat sering menjadi

tajuk-tajuk utama berita. Selaras dengan peningkatan tahap kesedaran

masyarakat itu juga menjadikan tugas kita semakin hari semakin berat

dalam memastikan kita dapat melaksanakan amanah dan mandat yang

telah diberikan kepada kita.

10. Namun begitu ingin juga saya tegaskan di sini bahawa bukanlah

menjadi tanggungjawab NRE dan jabatan-jabatan di bawahnya semata-

mata dalam memastikan kelestarian alam sekitar dan sumber asli negara

ini diuruskan dengan mampan. Ia juga adalah merupakan tanggungjawab

setiap satu daripada kita yang mendiami bumi Malaysia yang bertuah ini.

Hadirin yang dihormati sekalian

11. Bagi melaksanakan tugas yang diberikan dengan cemerlang, kita

perlulah memahami apa yang perlumkita lakukan. Seringkali sesuatu itu

tidak dapat dlaksanakan disebabkan oleh beberapa faktor seperti

kekurangan sumber, pengetahuan dan kepakaran dan juga disebabkan

oleh peraturan dan undang-undang yang sedia sudah menjadi tidak

relevan lagi.

4
12. Perkara yang serupa juga yang kita hadapi dalam menguruskan

hal-hal berkaitan sumber asli dan alam sekitar negara. Ini kerana kuasa

dan peruntukkan undang-undang berkaitan sumber asli dan alam sekitar

yang pelbagai dan ada yang memerlukan kajian semula bagi disesuaikan

dengan keadaan semasa. Malah ada sesuatu perkara tersebut tidak

mempunyai sebarang undang-undang atau peraturan yang

melindunginya.

13 Seperti yang saya pernah sebut sebelum ini, saya akan melihat

kembali undang-undang berkaitan alam sekitar dan pengurusan sumber

asli negara agar undang-undang yang sedia ada ini dapat dikaji semula

bagi memastikan visi, misi dan objektif NRE dapat dicapai dan

direalisasikan.

14. Sehubungan itu juga, saya ingin menyeru agar setiap Ketua-Ketua

Jabatan di bawah NRE dan Setiausaha-Setiausaha Bahagian di NRE

bersama-sama saya agar kita dapat melaksanakan tugas dan amanah

yang diberikan ke arah mencapai Visi, Misi dan Objektif NRE.

Saya amat berkeyakinan, kalau kita semua sama ada di peringkat

Kementerian mahupun Jabatan dapat berkerjasama berganding bahu

dalam melaksanakan tugas yang juga dikira sebagai ibadah itu, In sha

Allah kita akan berjaya melakukannya.

5
Tuan-tuan dan puan-puan hadirin sekalian,

15. Saya tidak bercadang mengambil masa yang lama untuk berucap

pada petang ini. Justeru itu, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima

kasih kepada semua pihak yang sudi meluangkan waktu untuk sama-

sama memeriahkan majlis pada petang ini dan terima kasih juga

diucapkan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus untuk

menjayakan Majlis berbuka puasa bersama saya pada petang ini.

16. Semoga kerjasama padu seperti ini akan turut diterjemahkan dalam

konteks yang lebih luas, khususnya dalam membantu kerajaan

membangunkan sumber asli negara secara lestari di samping

menguruskan alam sekitar negara dengan kaedah yang paling mapan.

17. Memandangkan AidilFitri bakal menjelang tidak berapa lama lagi,

saya rasa tidak terlalu awal bagi saya untuk mengambil kesempatan di

sini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri serta Maaf Zahir

dan Batin bagi pihak saya dan juga isteri saya kepada semua para hadirin.

Semoga kehadiran Syawal yang bakal tiba beberapa hari lagi dapat kita

sambut seperti yang disyariatkan Islam dan bagi meraikan kemenangan

setelah sebulan kita menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan Al-

Mubarak ini.

6
18. Sebelum mengakhiri ucapan saya ini, izinkan saya membacakan

serangkap pantun seperti berikut:

Kita berpuasa di Bulan Ramadhan;


Melatih diri melawan godaan;
Alam sekitar anugerah tuhan;
Buat diwarisi ke generasi hadapan.

Sekian, WABILLAHI TAUFIK WAL HIDAYAH WASSALAMUALAIKUM

WARRAHMATULLAHI WABARAKATUH.

Anda mungkin juga menyukai