Anda di halaman 1dari 4

ARKIB : 03/08/2004

Nasib buku ilmiah bahasa Melayu di universiti

Oleh HASRI HASAN

Cubalah bayangkan jika semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini
menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama dengan harapan agar
institusi masing-masing menjadi universiti bertaraf dunia dan mempunyai 'perisa'
antarabangsa.

Tentulah nampak hebat di luarnya tetapi secara lahiriahnya, ketamadunan bangsa sendiri
menjadi taruhan, lebih-lebih nasib bahasa Melayu sendiri yang semakin terhakis.

Berkaitan dengannya, penerbitan buku ilmiah-buku ilmiah bahasa Melayu juga pasti akan
layu dan tiada masa depan kerana perkembangannya dibantutkan oleh aspirasi universiti
antarabangsa itu.

Telah ada peraturan dan perundangan dikuat kuasakan yang cukup untuk memastikan
bahawa bahasa Melayu akan terus terpelihara sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa
ilmu di Malaysia.

Perlembagaan Persekutuan, perlembagaan yang tertinggi sehingga mengatasi semua


undang-undang di Malaysia dengan jelas melalui Perkara 152 (1) mengatakan bahawa
bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan
sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen.

Dasar Pendidikan Kebangsaan (1979) pula telah menggariskan dengan jelas pelaksanaan
strategi pendidikan negara dalam fasal yang pertamanya bahawa matlamat menjadikan
Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang utama.

Walaupun telah ada peruntukan yang jelas serta sokongan oleh aspirasi Dasar Pendidikan
Kebangsaan, namun nasib bahan-bahan penerbitan dalam bahasa Melayu ini masih tidak
menentu.

Akibat daripada ketidakpercayaan pendukung-pendukung akademik terhadap buku-buku


tempatan sendiri menyebabkan ia tidak dapat menjana keuntungan dan seterusnya
penerbitan judul-judul baru tidak dapat dijalankan.

Hasilnya, dalam jangka masa panjang, buku-buku bahasa Melayu selama-lamanya tidak
akan dapat bersaing dengan buku-buku Inggeris luar negara.

Terdapat berapa sebab mengapa nasib buku-buku ilmiah bahasa Melayu terancam:

1. Polisi Universiti

Pada pemulaan pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan ini, buku-buku bahasa Melayu
banyak diterbitkan dengan diterajui oleh Dewan Bahasa dan Pustaka bertujuan untuk
menyediakan bahan-bahan rujukan dan bacaan dalam bahasa Melayu yang mencukupi bagi
institusi pengajian tinggi di negara ini.
Namun mulai tahun 1995, beberapa IPTA telah mula menggunakan bahasa Inggeris
sebagai bahasa pengantar kursus Sains dan Teknologi yang tertentu. Langkah ini telah
menjadi titiktolak kepada nasib buku-buku akademik bahasa Melayu di negara ini.

Polisi pendidikan yang menghalakan arah pendidikan di Malaysia dijalankan dalam bahasa
Inggeris dengan alasan menjadikan pelajar Malaysia lebih kompetitif dan menjadikan IPT di
Malaysia boleh menerima pelajar asing, secara tidak langsung meminggirkan buku-buku
ilmiah dalam bahasa Melayu daripada arus pasaran perdana di IPT.

2. Jangka hayat buku pendek

Buku-buku ilmiah/akademik mempunyai ciri-ciri jangka hayat yang pendek kerana


sebahagian besar kandungan fakta-fakta yang terdapat dalam buku akademik berlandaskan
kajian dan data-data yang terkini sesuai dengan peringkat pembacaan tinggi pembaca
sasarnya.

Hasil-hasil kajian dan perolehan data-data terkini memerlukan aktiviti-aktiviti penyelidikan


yang berterusan oleh pengarang dan ini memerlukan belanja yang besar untuk
merealisasikannya.

Dengan pasaran buku yang kecil, buku akademik bahasa Melayu tidak berupaya mengejar
perkembangan baru dalam dunia pendidikan seperti mana yang diamalkan oleh penerbit-
penerbit buku Barat yang mengeksport bukunya ke negara ini dan menjadi pesaing yang
efektif kepada buku-buku bahasa Melayu.

Sudah pasti, sebahagian daripada para pensyarah universiti lebih selesa menyandarkan
garis panduan pengajarannya kepada bahan rujukan dari buku Barat yang lebih terkini,
mantap dan berwibawa berbanding judul tempatan lama yang masih berada di pasaran.

3. Kuantiti cetakan rendah

Penerbit buku akademik bahasa Melayu sering menghadapi masalah untuk memasarkan
buku-buku bahasa Melayu kerana harganya yang relatif lebih tinggi berbanding dengan kos
fotokopi.

Harga ini juga sering dibandingkan dengan harga buku import yang tidak banyak bezanya
tetapi mempunyai kualiti yang jauh lebih baik.

Harga yang mahal ini disebabkan oleh jumlah kos pengeluaran per unit yang tinggi akibat
daripada jumlah kuantiti cetak yang rendah. Ada buku akademik yang dicetak sebanyak 500
naskhah sahaja untuk memenuhi pasarannya.

Sesebuah buku perlu menghadapi kos-kos pengeluaran seperti kos panel penilai,
penyuntingan, reka letak, filem, kertas, dakwat, cetak dan jilid. Semua kos di atas adalah
sama bagi semua jenis buku tetapi bagi buku akademik, jumlah cetakannya amat kecil.

4. Pasaran buku akademik bahasa Melayu kecil

Pemasaran buku akademik pengajian tinggi secara keseluruhannya bukanlah kecil seperti
yang dijangka kerana saiz pasarannya kini sangat besar dan menguntungkan dengan
jumlah pelajar kira-kira 450,000 orang pelajar di lebih 558 buah IPTA/IPTS di seluruh
negara.

Faktor di atas juga ditambah dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan bidang pendidikan
sebagai satu industri komersial. Banyak universiti dan kolej baru ditubuhkan setiap tahun.

Daripada 558 buah IPT, 18 buah merupakan universiti atau kolej universiti awam yang
dijangka menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Secara tidak
langsung, buku-buku akademik bahasa Melayu secara logiknya haruslah mempunyai
pasaran yang baik di IPTA.

Bagaimanapun, anggapan ini meleset kerana banyak fakulti di IPTA telah beralih
menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama seperti di fakulti sains
komputer, perakaunan, sains, teknologi dan kejuruteraan.

Fakulti-fakulti yang masih menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar


pula adalah fakulti berorientasikan sastera seperti bidang sains sosial, kesusasteraan,
sejarah, pendidikan, linguistik bahasa Melayu, pengajian Islam dan seumpamanya. Jumlah
ini tidak besar dan keadaan ini diburukkan lagi oleh amalan fotokopi di dalam dan luar
kampus.

Beberapa buah IPTA yang menggunakan buku-buku akademik bahasa Melayu sebagai
rujukan utamanya pula mempunyai kurikulum yang berbeza. Buku yang mempunyai
kandungan yang sesuai untuk sesebuah universiti tidak semestinya sesuai untuk universiti
yang lain.

5. Pulangan kepada pengarang tidak setimpal

Sebahagian pengarang yang menghasilkan berbagai buku-buku akademik di Malaysia terdiri


dari para pensyarah di IPT. Dengan masa yang terbatas kerana komitmen pengajaran dan
penyelidikan yang tinggi menyebabkan aktiviti penulisan buku terhad kepada mereka yang
benar-benar mempunyai minat dalam penulisan sahaja.

Selain itu, para pengarang buku akademik pengajian tinggi rata-rata berpendapat royalti
yang diperoleh daripada penulisan tidak setimpal dengan usaha intelektual yang dicurahkan.
Hal ini disebabkan prestasi penjualan buku yang lesu sehingga mengakibatkan pembayaran
royalti yang tidak seberapa.

Hal ini membantutkan minat ahli akademik untuk terus bergiat aktif di penulisan akademik.
Banyak masa dan sumber terpaksa dilaburkan untuk menjadikan sesebuah penulisan
akademik mencapai tahap intelektual yang tinggi tetapi imbuhannya tidak seberapa.

6. Proses penerbitan lama

Salah satu faktor yang membantutkan minat pengarang dalam aktiviti penulisan buku
akademik adalah proses penciptaan buku dari manuskrip ke buku yang kadangkala
memakan masa yang panjang.

Proses penerbitan buku-buku akademik amat lama kerana setiap manuskrip yang diterima
harus melalui proses penerbitan yang ketat demi mengekalkan mutu penulisan tersebut.
Namun begitu, kelewatan masa ini menyebabkan banyak fakta dan data menjadi lapuk dan
adakalanya menjadi tidak relevan seperti data-data percukaian, teknologi dan sains
komputer.

7. Amalan fotokopi berleluasa

Melakukan fotokopi sebuah karya tanpa izin penerbit dan dilakukan dalam tujuan yang
banyak bagi tujuan komersial bersalahan di bawah Akta Hak Cipta 1987 kerana aktiviti ini
dianggap satu rompakan harta intelek.

Hal ini telah memberi kesan kepada penerbit-penerbit tempatan yang menerbitkan buku-
buku akademik bahasa Melayu. Pasaran yang telah sedia ada memang kecil malah
dirompak pula dengan aktiviti fotokopi.

8. Persaingan dengan penerbit antarabangsa

Banyak penerbit buku ilmiah tempatan telah awal-awal lagi terpaksa menyerah kalah
dengan aktiviti-aktiviti pemasaran agresif yang dimainkan oleh penerbit antarabangsa di
negara ini.

Bagi sesebuah penerbit antarabangsa, mereka mempunyai cukup sumber untuk


menggerakkan satu pasukan pemasaran yang besar dan ditambah pula dengan peruntukan
alat-alat bantu pemasaran seperti naskhah contoh, brosur, manual jawapan untuk
pensyarah, persembahan multimedia sehingga membuatkan para pensyarah lebih selesa
dan mudah menggunakan buku akademik bahasa Inggeris dari Barat walaupun ada bab-
bab di dalamnya yang tidak relevan dengan perspektif tempatan.

Satu lagi isu ialah persepsi para pensyarah tempatan sendiri yang lebih percaya dengan
kewibawaan para penulis Barat berbanding buku-buku akademik tempatan. Ada beberapa
faktor yang menyebabkan persepsi ini terjadi iaitu:

(a) Latar belakang pendidikan para pensyarah ini sendiri dari Barat.

(b) Data penyelidikan dari Barat yang lebih terkehadapan.

(c) Terpengaruh dengan anggapan bahawa Barat lebih maju pemikirannya berbanding ahli
akademik tempatan.

Faktor-faktor tersebut menyebabkan masa depan buku-buku ilmiah bahasa Melayu amat
membimbangkan. Kekurangan judul-judul baru bahasa Melayu yang diterbitkan memberi
sebab kepada IPT untuk menggunakan bahasa Inggeris di universiti dengan alasan buku-
buku dalam bahasa Melayu yang tidak mencukupi

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?


y=2004&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm#ixzz5Amd7U6s2

© Utusan Melayu (M) Bhd

Anda mungkin juga menyukai