Anda di halaman 1dari 6

Bismillah ..

puja dan puji dirafakkan ke hadrat Allah SWT atas karunia yang TAZKIRAH
IHYA’ RAMADHAN 1433H

TAZKIRAH 1: MOHONLAH KEAMPUNAN

Daripada Ka’ab Bin Ujrah r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,“Hadirlah ke
mimbar.” Maka kami semua pun hadir. Apabila baginda naik satu anak tangga mimbar, baginda
berkata, “amin” dan apabila naik anak tangga yang kedua, baginda berkata “amin” dan apabila
baginda naik anak tangga yang ketiga baginda berkata “amin.” Apabila baginda turun, kami telah
bertanya, “Ya Rasulullah! Hari ini sesungguhnya kami telah mendengar dari Tuan sesuatu yang
belum pernah kami dengar.”

Beliau bersabda, “Sesungguhnya Jibril telah muncul kepadaku dan berkata :Binasalah dia yang
mendapati Ramadhan tetapi belum juga diampunkan. Maka aku berkata, amin.” “Apabila aku
naik anak tangga yang kedua dia berkata : Binasalah dia yang apabila engkau disebutkan
didepannya,tidak pula dia menselawatimu. Maka aku berkata, amin.” “Apabila aku naik anak
tangga yang ketiga dia berkata : Binasalah dia yang mendapati kedua-dua ibu bapanya atau salah
seorang darinya telah tua tetapi mereka tidak menjadi sebab untuk dia masuk ke dalam
syurga. Aku berkata “amin.” [Riwayat Hakim dan Ibnu Hibban di dalam sahihnya]

1. Bersegeralah bertaubat meminta keampunan daripada Allah SWT dan


berazam untuk tidak mengulangi dosa-dosa yang telah dilakukan itu
lagi. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah, lagi Maha Pengampun. Tiada dosa dan
kesalahan yang tidak akan diampunkan-Nya, melainkan perbuatan syirik kepada-Nya. Oleh
itu, janganlah sesekali kita berasa sedih dan berputus asa terhadap-Nya. Selagi nyawa
dikandung badan, selagi itulah pintu taubat masih terbuka seluas-luasnya. Sabda Nabi
SAW, ertinya:
“Demi nyawaku di tangan Allah, sekiranya kamu (manusia) tidak melakukan dosa,
nescaya Allah akan melenyapkan kamu dan mendatangkan satu kaum lain yang berdosa
lalu mereka menyesal dan meminta keampunan Allah, kemudian Allah akan
mengampunkan mereka”[Riwayat Muslim, no 2749, 4/2106]

2. Perbanyakkanlah selawat ke atas junjungan mulia, Rasulullah SAW terutamanya  setiap


kali nama baginda SAW disebut. Firman Allah SWT yang acapkali dilafazkan oleh para khatib di
masjid-masjid ketika khutbah Jumaat;

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Hai orang-orang


beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya. [al-
Ahzab: 56]
Diriwayatkan bahawa makna selawat Allah kepada Nabi adalah pujian atas beliau di hadapan para
malaikat-Nya, sedang selawat malaikat bererti mendoakan manakala selawat umatnya bererti
permohonan ampun untuknya. (Demikian seperti disebutkan al-Bukhari dari Abul Aisyah). [2]

3. Berbaktilah kepada kedua-dua ibu bapa kita sebelum terlewat.Hendaklah kita sentiasa mengambil
berat dan menjaga hati mereka lebih-lebih lagi tatkala usia mereka semakin lanjut. Jangan sesekali kita
berkasar terhadap mereka, kerana sesungguhnya tiada suatupun yang dapat kita lakukan untuk membalas
jasa-jasa yang telah mereka taburkan ke atas kita. Hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya. Wa
iyazubillah, jangan sesekali kita menderhaka kepada kedua-dua orang tua kita.
selamat menyambut Ramadhan pada tahun ini… Mudah-mudahan kita beroleh keberkatan dan
istiqamah dalam beramal demi mencapai keredhaan-Nya. Ameen…
 
TAZKIRAH 2: BONUS DAN TAWARAN ISTIMEWA DI BULAN RAMADHAN

Bulan ini bolehlah dianggap sebagai bulan ‘bonus' dari Allah SWT sebagai rahmat bagi hamba-
hambaNya. Gandaan pahala di bulan dan ketika puasa adalah amat hebat. Ia berdasarkan hadith Qudsi
yang menyebut : "Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh hingga 700
kali ganda, maka berkata Allah SWT : Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas untukKu dan Akulah
yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan makanan, minuman dan syahwat mereka (di
siang hari) hanya keranaKu" (Riwayat Al-Bukhari & Muslim) . 

Cuba kita renungkan kembali, kerap kali kita akan merasa gembira apabila tiba hujung tahun bagi
mendapat bonus dari majikan kita Mengapa kita gembira bila mendapat bonus, gaji dan insentif? Sudah
tentu jawabnya kerana ; "dapat duit " .Mengapa kita seronok mendapat duit ? Jawabnya ; kerana boleh
membeli itu dan ini, bergaya dan lain-lain. Lalu berapa lamakah keseronokan barang dan perkara yang
dibeli tadi ?Sudah tentu jawabnya, bergantung kepada apa yang dibeli, ada yang rosak cepat dan ada yang
lambat. Jika demikian, jika barang itu lambat rosak, berapa lamakah keseronokan itu akan berterusan?
Jawabnya, paling panjang adalah sekadar kita masih hidup sahaja. 

Baiklah, selepas kematian adakah masih ada seronok? Jika tidak, maka apakah yang boleh
menyeronokkan kita selepas mati ? Jawabnya ; tidak lain tidak bukan adalah pahala dan amalan yang
dikumpul. Jika banyak dan berkualiti, semua matawang pahala itu akan memberi seribu satu macam
keseronokan berpanjangan sehingga satu tarikh yang hanya diketahui Allah s.w.t dan ia pastinya amat
panjang. 

Jika demikian, mengapa tidak tercetus perasaan seronok menerima kehadiran Ramadhan sebagaimana
seronoknya kita menerima bonus atau insentif duit? Sedangkan Ramadhan adalah bulan bonus untuk
meraih pahala sebanyaknya, bulan dipermudahkan peluang untuk ke syurga Allah s.w.t.

Justeru, niat yang ikhlas dan benar ketika melaksanakan kewajiban Ramadhan adalah kunci kepada
‘bonus' yang ditawarkan oleh Allah. Bermakna, barangsiapa yang berpuasa Ramadhan bukan kerana
Allah tetapi disebabkan oleh rasa malu kepada rakan-rakan, atau ter'paksa' menuruti suasana atau hanya
ingin menunjuk-menunjuk dan lain-lain sebab keduniaan, tiadalah orang seperti ini layak mendapatkan
‘bonus' dan tawaran istimewa ‘pahala luar biasa' yang ditawarkan oleh Allah. 

Selain itu, pahala ‘bonus' ini juga boleh tergugat dengan amalan-amalan keji bercakap buruk seperti maki,
mencarut, mengeji orang, mengumpat, memfitnah dan apa-apa yang berkaitan dengan dosa lidah dan
anggota juga akan menipiskan lagi ganjaran pahala seseorang walaupun ia berniat benar ketika berpuasa.
Ini ditegaskan oleh Nabi SAW dalam sebuah hadith ertinya :
"Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala puasa, maka tiada hajat
Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya"
(Riwayat Al-Bukhari, 4/1903 - Fath al-Bari).
Sekian, terima kasih.

TAZKIRAH 3 : BULAN IBADAH, BULAN MUJAHADAH, BULAN RAHMAH DAN BULAN


MAGHFIRAH

Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah SWT- Tuhan semesta alam. Kita sangat-sangat bersyukur
kepada Allah SWT kerana dengan kehendak-Nya, Dia telah memilih kita untuk sekali lagi berada dalam
bulan Ramadhan yang mulia, yakni masuk ke dalam universiti Ramadhan.

Kenapa dinamakan universiti Ramadhan? Kerana bulan ini merupakan bulan tarbiah, bulan pendidikan, di
mana jiwa-jiwa kita ditarbiah dengan undang-undang Ramadhan dan hati-hati kita dimotivasikan dengan
kelebihan-kelebihan atau fadhilat-fadhilat Ramadhan
Bukan senang nak masuk univerisiti, tapi kita pada hari ini Alhamdulillah syukur, dipilih oleh Tuhan
untuk sama-sama masuk university Ramadhan. Pendaftarannya cukup mudah, tak payah bayar duit cuma
niat saja sama ada niat setiap hari ataupun niat sebulan terus.
 
Bulan bertuah ini juga bolehlah disebut sebagai bulan ibadah. Boleh juga disebut sebagai bulan
mujahadah. Disebut juga bulan rahmah dan bulan maghfirah. Dan macam-macam lagi sebutan yang baik-
baik. Jangan kita sebut dengan yang tak baik sudahlah. “Wuih nak mai dah bulan bala, nak makan minum
pun susah.
 
Jadi namanya bulan ibadah, bulan mujahadah, bulan rahmah, bulan maghfirah.Kenapa dinamakan bulan
ibadah? Kerana pada bulan ini manusia berlumba-lumba untuk menambah amal-amalan mereka. Kalau
sebelum bulan Ramadhan dia malas nak beramal ibadah, tapi apabila sampai saja bulan Ramadhan,
biasanya amalan seseorang akan bertambah walaupun sedikit. Betul tak? Jadi pada bulan ini manusia
berlumba-lumba untuk menambah amal-amalan mereka. Ataupun dari segi hakikatnya untuk menambah
‘pengabdian’ kepada Allah SWT. Perkataan ibadah berkait rapat dengan perkataan abdi, berkait juga
dengan perkataan abdullah. Beribadah ni maksudnya berabdi kepada Allah. Macam mana cara berabdi
kepada Allah? Sebenarnya senang saja. Buat apa yang Dia suruh dan jangan buat apa yang Dia larang.
Selain itu, kita tambah dengan buat apa yang Dia suka, iaitu amalan-amalan sunat. Begitulah cara-cara
berabdi kepada Allah.
 
Kenapa dinamakan bulan mujahadah? Sebab pada bulan ini kita berperang melawan nafsu. Sesiapa yang
berlawan sungguh-sungguh dengan nafsunya, dia dikira mujahid. Kalau setakat lawan sikit-sikit ni, taklah
dinamakan mujahid, tidaklah dinamakan mujahadah. Kena bersungguh-sungguh, baru dia dikira sebagai
mujahid, barulah usahanya itu dinamakan mujahadah.
 
Perkataan mujahadah ini adik-beradik dengan jihad, iaitu satu usaha yang bersungguh-sungguh. Secara
khususnya dinisbahkan kepada berperang melawan musuh-musuh Islam tetapi secara umumnya
dinisbahkan kepada satu usaha yang bersungguh-sungguh. Mujahadah juga berkait-rapat dengan
mujahidin.
 
Kenapa dinamakan bulan rahmah? Sebab pada bulan ini rahmat Allah melimpah-ruah.
Kenapa dinamakan bulan maghfirah? Perkataan maghfirah ini berkait-rapat dengan perkataan istighfar.
Yang kita sebut lepas solat “Astaghfirullahal ‘azim” tu istighfarlah. Istighfar maksudnya minta ampun.
Maghfirah maksudnya ‘keampunan’. Jadi bulan Ramadhan ini adalah bulan keampunan. Pintu taubat,
pintu keampunan terbuka seluas-luasnya. Terpulanglah kepada kita sama ada hendak menggunakan
kelebihan-kelebihan yang ada sepanjang bulan ini ataupun tidak. Siapa tak mahu, rugilah.... pada bulan-
bulan lain tak ada macam ni.

Sekian, terima kasih.


 
TAZKIRAH 4 : KESILAPAN MUSLIM DI BULAN RAMADHAN siri 1

Sebenarnya terdapat objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini
terbahagi kepada dua  iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di
dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif 'mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith
sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar
sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta
keampunan Allah SWT.
Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat
akibat kekurangan ilmu dan kekurang keperihatinan umat Islam kini. Antara yang dimaksudkan adalah :- 

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja(bukan kerana uzur yang
diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti
mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum
lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. Ia dikira
denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di
dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia
berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari) 

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam . Jelasnya, individu
yang melakukan amalan ini terhalang dari
mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah
baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama
pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar
menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW.
(Fath al-Bari, 4/138) 
3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain . Ini satu lagi kesilapan umat
Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan
solat malam. Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu
mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18) 

4) Menganggap waktu imsak sebagai 'lampu merah' bagi sahur . Ini adalah kerana waktu imsak
sebenarnya tidak lain hanyalah 'lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi
mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur,
tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk
imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat
sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md 'Uqlah, hlm 278)

Bersambung di pertemuan akan datang....sekian, terima kasih.

TAZKIRAH 5 : KESILAPAN MUSLIM DI BULAN RAMADHAN siri 2

5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar,
solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman
sesorang. Justeru, 'ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi
'kurus kering' pastinya.

6) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih . Ini jelas suatu kelompongan
yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar
semua solat fardhu berbanding solat sunat, terutamanya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi
SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh
malam. 

7) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan


alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi
pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan
mengurangkannya di Ramadhan ini. 

8) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat . Sedangkan Imam As-
Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat
lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

9) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat . Ini nyata apabila ramai antara
wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da
didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di
rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid. 

10) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka . Ini satu lagi jenis kerugian yang
kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-
Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga
berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad
Syakir : Sohih ) Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith. 

Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak
akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

 Sekian , terima kasih.

TAZKIRAH 6 : BULAN RAMADHAN BULAN MELATIH SIFAT SABAR


Rasulullah sollallahualaihiwasallam bersabda, Allah berfirman, "Setiap amalan anak Adam ialah untuk
dirinya kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah untukKu dan Akulah yg akan membalasnya, dan
sesungguhnya bau mulut orang yg berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau al-misk
(kasturi)." Hadith Riwayat Bukhari.

Apabila seseorang berpuasa dengan ikhlas maka dia akan bersabar untuk menahan dirinya daripada segala
perkara yg membatalkan puasa. Dia perlu bersabar dengan semua kategori kesabaran. 3 kategori sabar:

Kategori pertama: Sabar untuk melakukan ketaatan


Kategori kedua: Sabar untuk meninggalkan maksiat
Kategori ketiga: Sabar di atas ujian Allah yg menyakitkan

Ketiga-tiga kategori sabar terdapat di dalam ibadah puasa iaitu bersabar melakukan taat, bersabar
meninggalkan maksiat dan bersabar di atas ujian lapar, dahaga dan lemahnya tubuh badan kesan daripada
berpuasa. Bahkan Baginda bersabda dalam sebuah hadith yg dinilai sebagai hasan oleh Imam
Tirmizi, "Puasa itu sebahagian daripada kesabaran."

Allah berfirman dalam Surah az-Zumar ayat 10, "Sesungguhnya (Dia) memberi ganjaran kepada orang-
orang yg sabar dengan ganjaran yg tidak terhitung." Baginda juga bersabda, "Dan ia (Ramadhan) bulan
kesabaran dan kesabaran itu ganjarannya syurga." Riwayat Ibnu Khuzaimah di dalam Kitab Sahihnya.

Ayuh berpuasa, ayuh bersabar, ayuh ke syurga!

Anda mungkin juga menyukai