Anda di halaman 1dari 3

NORMA BAHARU KELANSUNGAN HIDUP BERMUTU

Bismillahirahmanirrahim
Gita Puji Buat Yang Maha Kasih, Seribu Kasih Buat Para Kekasih
Sekalung Penghargaan Buat Saudara Pengerusi, Kombinasi Kehakiman Intelektual Bervisi,
Hadirin Sidang Penonton Maya Yang Disanjungi
Assalamualaikum, Salam Sejahtera, Salam Keluarga Malaysia

Saudara, hari ini sudah 23 purnama kita menyaksikan, siapa sangka, sudah 500 hari kita

berkurung, 33 juta rakyat berkampung, terduduk dan termenung, pengakhiran pandemik

seakan tiada kunjung, bermula dari 31 Disember 2019, seramai 220 juta manusia telah

dihentak oleh wabak yang berbisa, hatta pada saat saya sedang berpidato hari ini, 23 000

daripadanya di Malaysia telah pergi meninggalkan kita.

Kendatipun begitu, saya percaya setiap ketentuan pasti memiliki alasan, setiap yang berlaku

pasti punya nawaitu, yang pergi sentiasalah dalam kenangan, yang hidup perlu meneruskan

kehidupan, atas inspirasi inilah, saya suguhkan:

NORMA BAHARU KELANSUNGAN HIDUP BERMUTU

Menurut Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom

Ghebreyesus menyatakan, penularan covid-19 yang mencengkam dunia kini bukanlah

sebuah ancaman yang harus kita remehkan, ia adalah kebenaran pahit yang harus kita

telan, kendatipun begitu, hayat manusia perlu diselamatkan, agar ketamadunan boleh

diteruskan, justeru, tiga perspektif saya bawakan, untuk kita mencari sebuah jawapan,

bagaimana fasa kehidupan baru ini, mampu membangun sebuah keberlangsungan.

Pertama, Transformasi Pendidikan Penerus Pembangunan Modal Insan.

Hari ini kita tidak boleh menafikan, bahawa wujudnya keciciran dalam pendidikan, tatkala

rakan di bandar selesa berPDPR, sahabat kita diceruk desa pula masih terkapai-kapai,

tahukah anda disaat kita berhimpun hari ini, seramai 1.85 juta dari 5 juta pelajar seluruh
Malaysia masih belum punya peranti sendiri. Lantaran itulah, istilah “lost generation”

menjadi sindrom menakutkan dalam konteks pendidikan norma baharu ini.

Syukurlah, melalui program subsidi pembelian peranti dilaksana, sahabat B40 di luar bandar

hingga ke ceruk desa, mampu belajar dengan selesa, sekalipun Pandemik menjadi

penghalang mobilasi manusia, berbekalkan iltizam 500 000 guru di Malaysia Google

Classroom, pendidik negara berjaya merangkul kedudukan kedua paling aktif di dunia,

sesungguhnya usaha dan keringat ini terlalu mahal harganya, demi memanusiakan manusia

guru tetap bersedia, terima kasih warga pendidik tercinta-!

Kedua, Ekonomi Lestari Membangun Produktiviti.

Bermula dari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pertama, 65% syarikat terjejas

pendapatan, 30% keuntungan makin berkurangan, ini belum lagi kita bercerita tentang

peratusan pengangguran sebanyak 4.5% dicatat, sekaligus menjadikan rekod ini paling

tinggi dalam dua dekad, seakan-akan memberi satu isyarat, pelan strategik harus dirangka

sebelum ia semakin melarat.

Sebab itu, bermula daripada Kerangka 6R Pelan Pemulihan Ekonomi dilaksana, untuk

membantu ekonomi bangkit semula, sebutkan sahaja, PERMAI, PEMERKASA, PRIHATIN atau

PENJANA, semuanya bermatlamatkan yang sama, ekonomi perlu bergerak semula, yang

rentan perlu dibela, yang lemah perlu diperkasa, tatkala negara lain terduduk dan

termangguh, syarikat Malaysia seperti Top Glove, Hartalega, Supermax dan Kossan menjadi

gergasi pelaburan dunia, memberi ilham betapa kelestarian ekonomi boleh bergerak semula,

produktiviti terus menjana pendapatan buat rakyat dan negara.


Ketiga, Pemantapan Sosial Melalui Solidariti.

YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam ucapan perdana

menyatakan, “marilah kita, mencungkil persamaan, dengan tidak lagi menggali perbezaan,

bersatu dan bersepakat, menyelamatkan keluarga kita keluarga Malaysia”.

Melalui wahana Keluarga Malaysia, kehidupan norma baharu ini seakan-akan menjadi

semakin mudah, persatuan rakyat sentiasa melancarkan apa sahaja perancangan kita untuk

menuju pada kehidupan pasca-pandemik.

Lihat sahaja, dalam pendaftaran sukarelawan vaksinasi MYVAC, seramai 320 000 individu

telah mendaftar untuk menyertai khidmat dalam Program Imunisasi Kebangsaan Negara.

Sekalipun wujud, anasir negatif seperti pentaksub Teori Konspirasi dan Anti-Vaksinasi,

negara tetap berjaya mencapai 80% jumlah imunisasi, pada seluruh rakyat Malaysia, terima

kasih atas solidariti anda-!

Khulasahnya, kualiti hidup pada zaman getir ini harus menjadi matlamat utama dalam

penghidupan kita, sesuai dengan misi dunia melalui Matlamat Pembangunan Mapan (SDG),

segala perancangan harus ditegakkan, segala pengharapan letaknya ditangan kita semua,

buat semua rakyat Malaysia, guru-guru, ibu dan ayah, demi generasi kami, yang akan

mewarisi tanah air kita ini, teruslah berjuang dan berbakti, kita hapuskan pandemik ini-!

Anda mungkin juga menyukai