Anda di halaman 1dari 25

SENARAI KANDUNGAN

BIL TAJUK M/S

1 Muka Depan Tugasan -

2 Senarai Kandungan -

3 1.0 Pengenalan 1

4 2.0 Konsep Asas Demokrasi 2–4

5 3.0 Teori Pengasingan Kuasa 4-7

6 4.0 Pengasingan Kuasa Dalam Sistem Demokrasi 7 - 14

7 5.0 Contoh Amalan Demokrasi Berparlimen Di Malaysia 14 – 17

8 6.0 Contoh Amalan Demokrasi Berpresiden Di Indonesia 17 – 20

9 7.0 Kesimpulan 20

10 Rujukan 21 - 23
1.0 PENGENALAN

Demokrasi merupakan sistem pemerintahan yang popular dalam kalangan negara-negara di

dunia. Demokrasi itu sendiri mempunyai satu konsep yang abstrak, kompleks dan membawa

pengertian yang sangat luas. Mana-mana pemerintahan dalam sesebuah negara itu menerima

kritikan, secara tidak langsung perkara itu berkaitan dengan amalan yang tidak demokratik.

Kebanyakkan tokoh-tokoh sejarawan dan masyarakat sendiri mempunyai persepsi yang

berbeza tehadap amalan sistem demokrasi sehinggakan menimbulkan perdebatan yang

berpanjangan mengenai konsep, mekanisme serta proses yang berkaitan dengan sistem

pemerintahan tersebut. Walau bagaimanapun, ramai bersependapat bahawa sistem demokrasi

adalah satu bentuk kerajaan yang membolehkan rakyat mengawal hala tuju mereka

(Cunningham, 2002). Ini kerana dalam sesebuah kerajaan yang mengamalkan sistem

demokrasi, rakyat mempunyai kuasa untuk membuat atau mempengaruhi keputusan yang akan

menentukan corak kehidupan mereka.

Dengan kuasa yang dimiliki oleh rakyat, sudah tentu mereka menginginkan suatu

sistem yang tidak mengetepikan kepentingan dan kemahuan mereka. Manakala kerajaan pula,

perlu mencari cara terbaik untuk menenuhi kehendak-kehendak rakyat. Demokrasi adalah

suatu ideologi politik yang lahir dari evolusi pemikiran liberalisme yang menekankan kepada

kebebasan dan kedaulatan yang mengagung-agungkan individualisme. Perkembangan

fahaman ini dicetuskan oleh ahli falsafah Greek-Yunani mendapat tempat dalam masyarakat

dan seterusnya dijadikan idealisme global. Istilah-istilah seperti negara-bangsa, masyarakat

sivil, keadilan sosial, kedaulatan rakyat, kebebasan bersuara, kapitalisme dan sebagainya

adalah terjemahan demokrasi yang berpokok pangkal dari fahaman liberalisme. Demokrasi

juga selalunya berkembang apabila wujud hubungan yang baik antara pasaran dan demokrasi.

Keadaan ini bergantung sama ada demokrasi yang membawa pembangunan, seperti yang

berlaku di barat atau pembangunan yang membawa kepada demokrasi.

1
2.0 KONSEP ASAS DEMOKRASI

Demokrasi atau dalam bahasa Inggeris iaitu democracy membawa maksud kebebasan dalam

membuat pilihan melalui amalan mencari keadilan sosial. Istilah Demokrasi telah wujud sejak

kurun ke-5 sebelum Masihi di Athens. Perkataan demokrasi sebenarnya berasal daripada dua

perkataan bahasa Greek, iaitu demos bermaksud rakyat dan kratia atau kratos bermaksud

pemerintahan (Lively, 2007). Dasar utama dalam sistem demokrasi ialah satu bentuk

pemerintahan yang berdaulatkan kepada hak serta kepentingan rakyat. Konsep inilah yang

membezakan sistem demokrasi dengan sistem pemerintahan yang lain (Catt, 1999).

Menurut Robert Dhal (1989), demokrasi membawa erti kekuasaan yang berada pada

rakyat. Aristotle melalui bukunya bertajuk Politics mentakrifkan demokrasi seperti berikut:-

"Demokrasi adalah keadaan yang manusia bebas dan golongan miskin, sebagai

golongan majoriti diberi kuasa menentukan corak pemerintahan kerajaan. Demokrasi

yang paling tulen adalah apa yang dinamakan fungsi keketuaan melalui persamaan

hak yang terkandung dalamnya; kerana ia adalah apa yang undang-undang dalam

kerajaan itu arahkan; yang keadaannya orang miskin itu tidak melampaui kuasa orang

kaya dan begitu juga sebaliknya dan kuasa tertinggi pula tidak menguasai mana-mana

satu daripada golongan miskin dan kaya ini, sebaliknya kedua-dua golongan

hendaklah sama-sama berkongsi kekuasaan itu. Kerana jika kebebasan dan persamaan

hak, sebagaimana yang beberapa pihak jangkakan hanya boleh didapati dalam

demokrasi, ia hendaklah juga boleh didapati dalam setiap pemerintahan dan kerajaan

yang sempurna; tetapi oleh sebab orang ramai adalah majoriti; dan apa yang mereka

calonkan ialah undang-undang, maka, kerajaan yang sedemikian itu adalah berbentuk

demokrasi". (Al-Buraey, 1992)

2
Holden (1974) mendefinisikan demokrasi sebagai kerajaan oleh rakyat. Dalam sistem

demokrasi, kerajaan perlu bersikap adil dan positif melalui dasar-dasar yang dilaksanakan demi

kepentingan rakyat. Dalam sistem demokrasi, rakyat mempunyai kuasa dan hak untuk memilih

pemimpin. Oleh itu, kerajaan demokrasi merupakan sistem pemerintahan yang melibatkan

kuasa rakyat secara langsung (Finer, 1970). Selain itu, Hutington (1993) mentakrifkan

demokrasi sebagai sistem politik yang demokratik dimana pemerintah akan dipilih secara adil

dan jujur dan terdapat pilihanraya yang mana calon-calon adalah bebas bertanding.

Dye & Zeigler (1996) pula mendefinisikan demokrasi sebagai sistem pemerintahan

yang melibatkan penyertaan individu dalam membuat keputusan yang memberikan kesan ke

atas hidup mereka. Penyertaan orang ramai dalam kerajaan sangat mustahak. Sebab itu sistem

demokrasi cukup sinonim dengan prinsip “rule by the many” yang bermakna pemerintahan

oleh orang ramai. Jadi, sistem demokrasi mengutamakan suara majoriti, tetapi tidak

mengabaikan hak minoriti yang menekankan soal kesaksamaan, kebebasan, keadilan,

pemilikan harta, peluang menikmati hidup yang selesa dan sebagainya adalah hak semua

warganegara.

Manakala Syed Ahmad (1995) menyimpulkan bahawa demokrasi adalah pemerintahan

atau kerajaan yang berasaskan kepada kuasa rakyat atau sistem pemerintahan oleh rakyat untuk

rakyat yang dilakukan melalui pemilihan wakil-wakil dalam pilihanraya. Asasnya, sesebuah

negara untuk digelar sebagai negara demokrasi harus menonjolkan tujuh ciri-ciri utama;

pertama, wujudnya kebebasan bersuara, media massa yang bebas dan berkecuali, pilihan raya

diadakan secara konsisten, bebas dan adil, ada kebebasan berorganisasi dan berpersatuan,

pemerintahan berasaskan majoriti, hak golongan minoriti dihormati dan akhir sekali wujud

badan kehakiman yang sentiasa bebas dan berkecuali (Zaini, 2006).

3
Namun, dalam kalangan negara-negara yang mengamalkan demokrasi kini, tidak ada

satupun negara yang benar-benar berpegang teguh kepada prinsip demokrasi yang dicetuskan

oleh pemikir awal teori ini. Teori dan amalan demokrasi yang diamalkan oleh beberapa buah

negara telah melalui beberapa proses transformasi yang berperanan dalam mengubah bentuk

serta struktur sistem pemerintahan demokrasi. Sehingga kini, sistem demokrasi telah melalui

tiga proses transformasi yang berlaku dalam tiga kurun yang berbeza iaitu lima ratus sebelum

masihi, kurun yang ke-18 dan kurun ke-20 selepas masihi. Manakala transformasi yang berlaku

dikenali sebagai demokrasi terus, demokrasi berperwakilan dan demokrasi digital.

3.0 TEORI PENGASINGAN KUASA

Pengasingan kuasa adalah sebuah doktrin politik berbentuk dasar pentadbiran negara yang

menyarankan suatu penyusunan kuasa dalam sistem kerajaan supaya diasingkan mengikut

fungsi dan struktur masing-masing. Ini bertujuan untuk mengelakkan berlakunya ketidakadilan

yang dijangka akan wujud jika kuasa itu dipegang oleh seorang individu. Pengasingan kuasa

pada amnya berkisar pada fungsi berlainan yang dijalankan oleh badan atau institusi

pemerintahan yang berlainan. Fungsi-fungsi ini dijalankan oleh badan-badan tertentu mengikut

bidang kuasa masing-masing. Pembahagian Kuasa atau dalam bahasa Inggeris dipanggil

“Separation of Powers” sangat terkenal dalam sistem pemerintahan demokrasi. Teori ini

membahagikan urusan negara kepada tiga cabang utama iaitu badan perundangan (legislative

power), badan pentabiran (executive power) dan badan kehakiman (judiciary power) (K.

Ramanathan, 1992).

Istilah doktrin berasal dari perkataan bahasa Inggeris iaitu doctrine yang bermaksud

pegangan dan ajaran. Doktrin bukan suatu agama, fahaman atau ilmu pengetahuan. Kamus

Dewan (2005) mendefinisikan doktrin sebagai prinsip atau kepercayaan yang dianggap benar

dan satu-satunya yang dapat diterima. Istilah ini mula diperkenalkan oleh ahli falsafah Aristotle

4
yang menggabungkan beberapa jenis pentadbiran seperti monarki, aristrokasi, dan demokrasi.

Kemudiannya konsep pengasingan kuasa diperbaiki dan diperjelas oleh James Harrington

(1656) dalam karyanya bertajuk Oceana dan John Locke (1690) yang terkenal dengan Civil

Government. Namun, teori pengasingan kuasa ini telah dipopularkan oleh ahli falsafah Perancis

iaitu Charles Louis Secondat de Montesquieu dalam tulisannya bertajuk Spirit of the Laws

(1748). Konsep yang diperkenalkan oleh Montesquieu adalah berpandukan kepada

pengalaman dan pemerhatian beliau ke atas dasar perlembagaan Britain dan Perancis ketika

berlakunya perubahan daripada sistem monarki mutlak kepada pemerintahan kerajaan

berparlimen (J.A Corry, 1957).

Menurut Bharuddin dan Farizah (2013), ahli sarjana politik barat berpendapat bahawa

doktrin pengasingan kuasa yang diamalkan oleh sesebuah negara adalah bermatlamatkan untuk

meraih kebebasan politik, menjaga keselamatan, menegakkan keadilan serta mengelakkan

kezaliman. Seperti yang dihuraikan oleh Montesquieu dalam tulisannya bertajuk The Spirit of

Laws:-

“Kebebasan politik dalam sesebuah masyarakat berasal dari ketenangan jiwa hanya

setelah masyakarat yakin dengan keselamatannya. Dalam usaha untuk mencapai

kebebasan ini, adalah mustahak bagi kerajaan untuk memastikan seseorang itu tidak

merasa terancam daripada orang lain. Apabila kuasa legislatif (membuat undang-

undang) dan eksekutif (pelaksana) berada di tangan orang yang sama atau sesebuah

badan yang sama, maka tidak akan adanya kebebasan. Ini kerana kegelisahan akan

timbul, undang-undang zalim akan digubal malah akan tidak akan dikuatkuasakan

secara saksama.”

(Raymond Guess & Quentin Skinner, 1989)

5
Konsep pengasingan kuasa juga sudah menjadi suatu pegangan dan prinsip yang telah

sebati dalam masyarakat akibat pengalaman sejarah silam dan diaplikasikan dalam sesebuah

pemerintahan. Menurut pendapat Sinha dan Dheeraj (1996), tiga badan utama dalam

pemerintahan iaitu kuasa perundangan, kuasa pentadbiran dan kuasa kehakiman hendaklah

diasingkan dari aspek bidang kuasa serta tidak dianggotai oleh individu yang sama. Manakala

A.V Dicey (1959) berpendapat kewujudan konsep ini dianggap dapat mengelakkan kuasa

pentadbiran, perundangan dan mahkamah dari mencerobohi bidang kuasa antara satu sama

lain. Pengasingan kuasa di anggap penting dalam pentadbiran negara kerana konsep ini

merupakan instrumen check and balance dalam sistem pemerintahan.

Mengikut teori yang dikemukakan oleh Montesquieu, dalam sesebuah pemerintahan

perlunya tiga sumber kuasa diasingkan supaya dapat mencapai kebebasan politik. Montesquieu

berpendapat rahsia kebebasan orang-orang Inggeris adalah terletak kepada amalan

pengasingan kuasa yang sememangnya menjadi hasrat rakyat. Pendapat ini diperkukuhkan

melalui tulisannya The Spirit of Laws seperti berikut (Kevin & Yeo Tiong, 1991):

“Kebebasan politik boleh diperolehi apabila tiadanya penyalahgunaan kuasa. Tetapi

pengalaman lalu menunjukkan kepada kita bahawa setiap orang yang mempunyai

kuasa berkemungkinan untuk menyalahgunakannya dan meneruskan tindakan tersebut

selama yang boleh. Untuk menghalang daripada berlakunya salahguna kuasa, adalah

bagi pihak yang berkuasa itu memeriksa di antara satu sama lain. Apabila kuasa

legislatif dan eksekutif berada ditangan orang yang sama, tidak akan adanya

kebebasan. Demikian juga tidak ada kebebasan sekiranya kuasa kehakiman tidak

dipisahkan daripada legislatif dan eksekutif. Segalanya akan berakhir jika orang atau

badan yang serupa samada bangsawan atau rakyat, melaksanakan ketiga-tiga kuasa

tersebut”.

6
Oleh itu, doktrin pengasingan kuasa diperkenalkan dengan beberapa objektif utama

iaitu:-

a) Tiada penumpuan kuasa:

Penumpuan kuasa akan memudahkan penyalahgunaan kuasa. Untuk mengelak atau

menghindari bahaya “tyranny” di mana dikatakan doktrin pembahagian kuasa dapat

mewujudkan dan mengekalkan kepimpinan, kebebasan sebenar dan menghindari

kemaharajalelaan (despotisme). Merealisasikan prinsip check and balance setiap

cabang berkuasa untuk “menyemak” dan “menyeimbangkan” kuasa dan pelaksanaan

kuasa masing-masing yang diberikan oleh Perlembagaan.

b) Menjaga kebebasan individu kerana penumpuan kuasa boleh menjadi ancaman kepada

kebebasan individu. Namun, ini bukan tujuan utama pengasingan kuasa. Tujuan utama

pengasingan kuasa adalah untuk memastikan pentadbiran berjalan dengan lancar.

4.0 PENGASINGAN KUASA DALAM SISTEM DEMOKRASI

Demokrasi berperwakilan ialah sistem kerajaan yang berasaskan kepada pemerintahan rakyat

yang dilaksanakan melalui wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya. Dalam

sistem ini, terdapat dua bentuk pemerintahan yang dominan iaitu demokrasi berparlimen dan

berpresiden. Kedua-dua sistem ini menekankan kepada kaedah pemilihan pemimpin dan

perwakilan melalui pilihan raya. Sistem pemerintahan demokrasi berparlimen diamalkan oleh

kebanyakkan negara-negara bekas jajahan British atau Komanwel. Manakala sistem

pemerintahan demokrasi berpresiden dipelopori oleh Amerika Syarikat.

i. Demokrasi Berparlimen

Demokrasi berparlimen yang juga dikenali sebagai sistem Westminster merupakan sistem

pemerintahan yang berakar umbi daripada Britain. Sistem demokrasi berparlimen ini

7
kebanyakannya diamalkan di negara-negara yang mempunyai sistem Parlimen ala-British.

Kebanyakan negara demokratik yang mengamalkan sistem berparlimen, kerajaan dibentuk

oleh parti yang memperolehi majoriti kerusi di Parlimen. Ketua negara akan melantik salah

seorang daripada ahli badan perundangan (Parlimen) sebagai ketua kerajaan iaitu Perdana

Menteri. Perdana Menteri berperanan sebagai ketua badan eksekutif. Sebab itu dalam sistem

demokrasi berparlimen dikatakan mengamalkan doktrin percantuman kuasa apabila ahli

Parlimen dilantik sebagai Perdana Menteri dan begitu juga dengan kedudukan ahli-ahli Kabinet

yang lain atau Jemaah Menteri.

Kerajaan dalam sistem demokrasi berparlimen diasaskan daripada kedudukan yang

diperolehi dalam badan perundangan. Mana-mana parti politik yang menguasai majoriti kerusi

Parlimen (Dewan Rendah) akan diberikan hak dan kuasa untuk menubuhkan kerajaan dan

membentuk Kabinet untuk memerintah negara. Dengan itu, wujudlah kerajaan berparlimen

yang berkabinet. Antara negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen ini

seperti Australia, India, Malaysia, Jerman, Kanada, Thailand, Afrika Selatan dan lain-lain.

Secara umumnya, sistem Parlimen yang terdapat di kebanyakan negara demokrasi

berparlimen terdiri daripada dua dewan iaitu Dewan Atas (Tinggi) dan Dewan Bawah

(Rendah). Negara yang memiliki dua dewan perwakilan adalah seperti Malaysia, Britian dan

India. Manakala negara yang mempunyai satu dewan perwakilan seperti Singapura, Denmark

dan Sweden. Biasanya ahli Dewan Rendah dipilih secara langsung oleh rakyat melalui pilihan

raya yang bebas.

Tempoh penggal Parlimen bergantung kepada undang-undang atau perlembagaan

negara berkenaan. Sebagai contoh di Malaysia, satu penggal Parlimen adalah 5 tahun sebelum

dibubar dan diadakan semula pilihan raya umum yang baharu. Manakala, ahli Dewan Atas

biasanya dilantik oleh ketua negara iaitu Yang DiPertuan Agong. Kedua-dua ahli Dewan

8
Rendah dan Atas boleh dilantik menjadi ahli Kabinet atau Jemaah Menteri. Perlantikan Jemaah

Menteri oleh Yang DiPertuan Agong adalah di atas nasihat Perdana Menteri. Namun begitu,

ada juga negara yang mana ahli Dewan Atas juga dipilih melalui pilihan raya.

Dalam sistem demokrasi berparlimen terdapat perbezaan antara ketua negara dan ketua

kerajaan. Ada negara yang mengekalkan sistem monarki, tetapi kuasanya tertakluk kepada

perlembagaan negara. Ini merupakan sistem beraja atau monarki berperlembagaan seperti yang

terdapat di Britian dan Malaysia. Ketua negara ialah raja berperlembagaan yang tidak dipilih

melalui pilihan raya, tetapi mewarisi pemerintahan secara tradisi atau disebut sebagai wibawa

tradisional atau traditional authority. Tempoh bagi seseorang raja berperlembagaan memegang

kuasa kebanyakannya seumur hidup sebelum digantikan oleh pewarisnya.

Selain itu, terdapat juga negara yang ketua negara menggunakan gelaran Presiden.

Negara ini dikatakan sebagai sebuah republik kerana tidak mempunyai raja berperlembagaan.

Pemilihan Presiden sebagai ketua negara seperti di India dan Singapura adalah melalui pilihan

raya. Tempoh menjadi Presiden adalah bergantung kepada perlembagaan negara berkenaan.

Ada yang dihadkan hanya untuk dua penggal berturut-turut. Jika satu penggal lima tahun, maka

ketua negara boleh memerintah selama 10 tahun sebelum dipilih Presiden yang baru.

Peranan ketua negara sama ada dalam sistem raja berperlembagaan dan republik adalah

melantik ketua kerajaan. Lazimnya ketua kerajaan yang dilantik adalah ketua parti politik yang

memenangi majoriti kerusi Parlimen. Kebanyakan sistem demokrasi berparlimen

mempraktikkan sistem pemilihan berasaskan majoriti mudah dengan amalan first-past-the-

post. Parti politik yang menguasai majoriti walaupun dengan majoriti yang kecil mengatasi

parti lawannya berhak menubuhkan kerajaan dan mengumumkan barisan Kabinetnya. Parti

yang gagal memperolehi majoriti kerusi di Parlimen akan bertindak sebagai pembangkang dan

boleh membentuk kerajaan bayangannya sendiri.

9
Ketua parti yang memperolehi majoriti akan dilantik sebagai Perdana Menteri dan

berhak untuk mengemukakan nama-nama ahli Parlimen lain sebagai anggota Kabinet yang

diterajuinya kepada ketua negara. Setelah dipersetujui oleh ketua negara, Perdana Menteri akan

menerajui kepimpinan negara bersama barisan kabinetnya yang mana setiap daripada mereka

akan dilantik untuk mengetuai mana-mana kementerian yang ditubuhkan dengan dibantu oleh

Timbalan Menteri, Setiausaha Politik dan pegawai-pegawai kerajaan. Menurut Katni (1986)

Perdana Menteri yang dilantik sebagai ketua kerajaan mempunyai beberapa fungsi iaitu:

i. Sebagai ketua Kabinet dan mengetuai kerajaan yang memerintah.

ii. Menjadi ketua badan perundangan dalam Parlimen yang akan menjelaskan dan

menetapkan dasar-dasar kerajaan dan bertanggungjawab dalam mendapatkan kelulusan

Parlimen bagi rang undang-undang dan dasar yang dibentangkan.

iii. Melalui Perdana Menteri jugalah ketua negara berbincang dan berhubung dengan

Jemaah Menteri mengenai urusan-urusan dan pentadbiran negara.

iv. Perdana Menteri juga merupakan ketua parti di Parlimen yang telah diberikan

kepercayaan oleh rakyat untuk mentadbir negara dengan berpandukan kepada kuasa dan

kepentingan rakyat yang telah meletakkan beliau dan ahli-ahlinya sebagai perwakilan.

ii. Demokrasi Berpresiden

Sistem demokrasi berpresiden mempunyai perbezaan yang sangat jelas jika dibandingkan

dengan sistem berparlimen walaupun ada beberapa persamaan antara kedua-dua sistem. Paling

ketara perbezaannya ialah sistem berpresiden mengamalkan doktrin pengasingan kuasa. Dalam

sistem berpresiden mewujudkan pemisahan antara badan perundangan dengan badan eksekutif.

Kedua-dua badan pemerintahan ini adalah bebas di antara satu sama lain. Badan eksekutif pula

tidak bertanggungjawab kepada badan perundangan atau legislatif. Badan eksekutif tidak

bertanggungjawab untuk menjawab segala tindakannya kepada badan perundangan seperti

10
yang biasa berlaku dalam sistem demokrasi berparlimen (Katni, 1986). Presiden

bertanggungjawab secara langsung kepada rakyat, bukan bertanggungjawab kepada Parlimen.

Ini merupakan kelebihan dalam sistem berpresiden, di mana wujud kebebasan bagi badan

eksekutif daripada belenggu badan perundangan seperti yang terdapat dalam sistem

berparlimen.

Sebagai contoh negara yang mengamalkan sistem demokrasi berpresiden ialah

Amerika Syarikat. Dalam sistem ini, ketua negara dikenali sebagai Presiden dan ada di antara

negara mempunyai Timbalan Presiden dan tidak mempunyai Timbalan Presiden. Negara-

negara lain yang mengamalkan sistem berpresiden yang dipilih secara langsung oleh rakyat

seperti di Pakistan, Chile, Mesir, Brazil, Filipina, Indonesia dan sebagainya. Presiden menjadi

ketua badan eksekutif yang dibantu oleh ahli-ahli eksekutifnya untuk menjamin pentadbiran

yang betul dan lancar (K. Ramanathan, 2003). Jawatan Presiden dalam sistem ini dipilih secara

langsung oleh rakyat melalui pilihan raya Presiden mengikut tempoh masa (penggal) tertentu

mengikut undang-undang negara tersebut.

Sebagai contoh, Dewan Perundangan di Amerika Syarikat dikenali sebagai Kongres.

Kongres dibahagikan kepada dua iaitu Senat (Senate) dan Dewan Perwakilan (House of

Representatives). Ahli-ahli Dewan Perwakilan terdiri daripada 435 orang ahli yang dipilih

dalam tempoh 4 tahun dan satu pertiga daripada ahli-ahli tersebut bertanding dalam jangka

masa 2 tahun. Manakala ahli Senat pula terdiri daripada 100 orang dan dua orang ahlinya dipilih

daripada setiap negeri yang akan dipilih untuk setiap dua tahun sekali (K. Ramanathan, 2003).

Dewan Senat adalah salah satu dewan perundangan yang terkuat dalam sistem berpresiden

kerana ahli-ahli Senat sering dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa belanjawan, pertahanan,

perhubungan luar, kewangan, pertanian, dan lain-lain. Senat juga berkuasa untuk menyiasat

serta melaksanakan undang-undang dan peraturan sekiranya diperlukan (Katni, 1986).

11
Selain daripada menjadi ketua kerajaan (eksekutif), Presiden diberi kebebasan untuk

memilih sesiapa sahaja yang dikehendakinya untuk menjadi ahli kabinet yang selalu dipanggil

sebagai Setiausaha. Kabinet akan bertanggungjawab dalam membantu Presiden menjalankan

pemerintahannya. Pemilihan Kabinet adalah sama seperti Presiden iaitu mereka bukanlah

terdiri daripada ahli Kongres atau ahli-ahli anggota parti. Ahli-ahli badan eksekutif berperanan

sebagai penasihat kepada Presiden sama ada akan diterima atau ditolak.

Presiden boleh mencadangkan dasar-dasar dan undang-undang kepada badan

perundangan (Kongres). Di pihak Kongres pula, mereka akan membahaskannya dan membuat

keputusan tentang sesebuah dasar. Kuasa Kongres di Amerika Syarikat adalah besar

sehinggakan Kongres berhak untuk meminda, menolak dan menerima cadangan yang

dikemukakan oleh Presiden. Walau bagaimanapun, Presiden mempunyai kuasa veto terdapat

setiap keputusan yang dibuat oleh ahli Kongres (Syed Ahmad, 1995). Selain berperanan

sebagai ketua negara dan ketua kerajaan, Presiden juga berperanan dalam hal ketenteraan

negaranya. Presiden adalah ketua tentera yang boleh mengeluarkan arahan kepada anggotanya

tentang sesuatu seperti mengisytiharkan peperangan.

Sistem Presiden, mengamalkan doktrin pengasingan kuasa antara badan perundangan

dan badan eksekutif bertujuan supaya satu badan dapat mengawal badan yang lain. Pada masa

yang sama, kuasa tidak akan tertumpu pada satu badan sahaja dan dapat diimbangkan melalui

kaedah check and balance. Menurut Syed Ahmad (1995), kaedah ini dapat menjamin hak-hak

dan kebebasan dalam mempertahankan sistem pemerintahan demokrasi serta mengelakkan

daripada berlakunya satu tirani-diktator dalam politik masyarakat.

Sistem pemerintahan berpresiden tidak boleh lari dari bahaya perpecahan pentadbiran

itu sendiri. Ini disebabkan situasi badan perundangan dan badan eksekutif saling tidak

mempengaruhi antara satu sama lain seperti dalam sistem berparlimen. Setiap badan masing-

12
masing mempunyai kebebasan sendiri dalam membuat keputusan dan dasar (Katni, 1986) .

Oleh itu, kecenderungan untuk berlakunya percanggahan dari segi dasar antara kedua-dua

badan ini tidak boleh dielakkan. Tambahan pula, sekiranya kedua-dua badan tersebut dikuasai

oleh parti politik yang berbeza yang memungkinkan berlakunya perbezaan dari dasar dan

keputusan. Keadaan ini menjadi lebih rumit apabila pihak badan perundangan atau legislatif

tidak boleh mengawal dan menyoal pihak eksekutif di Parlimen atau Kongres. Selain itu, undi

tidak percaya tidak dapat dijalankan dalam Parlimen atau Kongres terhadap ketua badan

eksekutif seperti mana boleh berlaku dalam sistem berparlimen.

Selain itu, menurut Katni (1986) satu lagi kelemahan sistem berpresiden ialah

kebebasan yang diberikan kepada ketua eksekutif boleh berakhir dengan pembelotan seperti

penyalahgunaan kuasa. Ini kerana ketua eksekutif iaitu Presiden telah dipilih secara langsung

oleh rakyat melalui pilihan raya, maka badan perundangan atau legislatif terpaksa

mematuhinya kerana pihak legislatif tidak mempunyai kuasa untuk mengurangkan kuasa

eksekutif. Sementara itu, Presiden juga berkuasa ke atas badan perundangan kerana

kesitimewaan kuasa veto ke atas keputusan-keputusan yang dibuat oleh Kongres. Di samping

itu, Presiden juga boleh melambatkan proses menandatangani undang-undang yang telah

diluluskan. Jadi, semua perkara ini boleh menjadi kelemahan dalam sistem berpresiden

walaupun mekanisme semak dan imbang antara kedua-dua badan sangat jelas berbanding

dengan sistem berparlimen.

Bagi mengimbangi kedua-dua badan tersebut, satu lagi cabang pemerintahan yang

penting ialah badan kehakiman. Menurut Syed Ahmad (1995), badan kehakiman dalam sistem

berpresiden mempunyai kuasa politik yang besar. Selain daripada menentukan bahawa

undang-undang dijalankan dengan adil, badan kehakiman di Amerika Syarikat berkuasa untuk

mempertikaikan kesahihan undang-undang itu sendiri. Sekiranya terdapat undang-undang

yang diluluskan oleh Presiden dan Kongres, tetapi bertentangan dengan hak asasi dan

13
perlembagaan tentang keadilan dan kebebasan, seorang hakim boleh membatalkan undang-

undang itu. Dalam keadaan ini, hakim bertindak sebagai alat untuk mengawal dan

mengimbangkan sesuatu sekiranya bercanggah dengan kepentingan rakyat terhadap dasar dan

undang-undang yang dibuat oleh Presiden mahupun Kongres. Berikut merupakan beberapa

fungsi Presiden di negara yang mengamalkan demokrasi berpresiden:

i. Presiden merupakan ketua negara dan ketua kerajaan dalam masa yang sama.

ii. Presiden dilantik secara langsung oleh rakyat melalui pilihan raya Presiden.

iii. Presiden dan Kabinetnya bukan sebahagian daripada ahli badan atau majlis perundangan,

di mana Presiden tidak boleh disingkirkan oleh majlis tersebut kecuali melalui proses

impeachment.

iv. Presiden tidak boleh memansuhkan majlis perundangan dan memanggil pilihan raya.

v. Doktrin pengasingan kuasa menjadi amalan dalam sistem demokrasi berpresiden.

5.0 CONTOH AMALAN DEMOKRASI BERPARLIMEN DI MALAYSIA

Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi berparlimen atau kerajaan berparlimen yang

mengamlkan konsep pengasingan kuasa. Demokrasi berparlimen bermaksud sistem

pemerintahan negara dan rakyat menerusi konsep perwakilan (K. Ramanathan, 1992).

Demokrasi berparlimen yang diterapkan dalam sistem pemerintahan Malaysia adalah ala

Westminister England di samping beberapa perubahan sejak negara mencapai kemerdekaan

(Abdullah @ Alwi, 2004). Sebelum mencapai kemerdekaan pada 1957, Malaysia merupakan

salah satu negara jajahan Britain. Oleh itu, perlembagaan dan undang-undang negara telah

digubal berdasarkan common law Inggeris dengan mengadakan syarat-syarat untuk

pengalaman ini (Rais Yatim, 2000). Salah satu syarat tersebut adalah pembahagian kuasa

kepada tiga bahagian dalam pemerintahan iaitu Perundangan, Kehakiman dan Eksekutif.

14
Doktrin pengasingan kuasa di Malaysia di bahagikan kepada tiga kelompok seperti

gambar Rajah 5.1 dibawah:

Rajah 5.1: Doktrin Pengasingan Kuasa Di Malaysia

Badan perundangan berperanan sebagai penggubal undang-undang (Syed Ahmad,

1995). Peranan ini dimainkan oleh parlimen yang berkuasa untuk membuat undang-undang

bagi seluruh persekutuab atau mana-mana bahagiannya. Parlimen dianggotai oleh Yang di-

Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat seperti yang termaktub dalam Perkara 44

(International Law Book Services, 2002). Dewan Negara dianggotai oleh 70 orang perwakilan

yang digelar sebagai senator yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. 2 orang adalah dipilih

bagi setiap negeri daripada 13 buah negeri dan 2 orang daripada wilayah persekutuan Kuala

Lumpur serta seorang bagi setiap wilayah persekutuan Labuan dan Putrajaya. Manakala 40

orang lagi adalah dilantik berdasarkan khidmat bakti cemerlang dalam satu-satu lapangan

(International Law Book Services, 2002). Bagi Dewan Rakyat pula, ia dianggotai oleh 222

orang perwakilan rakyat yang dipilih menerusi pilihanraya umum.

Badan eksekutif memainkan peranan sebagai penguatkuasa undang-undang, pelaksana

dasar-dasar awam dan pentadbir hal ehwal negara (Syed Ahmad, 1995). Badan ini menjalankan

tugas di atas nama Yang di-Pertuan Agong dan diketuai oleh Perdana Menteri. Dalam

menjalankan tugas-tugas eksekutif, Perdana Menteri akan dibantu oleh ahli Jemaah Menteri

iaitu badan pembentukan dasar negara tertinggi atau dikenali sebagai ahli kabinet (International

15
Law Book Services, 2002). Perkumpulan jemaah menteri ini dilantik oleh Yang di-Pertuan

Agong di atas nasihat Perdana Menteri setelah mendapat mandat dan kepercayaan daripada

rakyat (Md. Bohari Ahmad, 1997). Ia dianggotai oleh 35 orang menteri kabinet di dalam 25

buah kementerian. Bagi menjalankan fungsinya, menteri-menteri di kementerian turut dibantu

oleh jabatan, agensi dan badan berkanun.

Manakala badan kehakiman berperanan sebagai pentadbir keadilan dan pelindung hak

asasi daripada sebarang pencabulan (Syed Ahmad, 1995). Antara lain, badan ini juga

berperanan sebagai pentafsir undang-undang dan mempunyai kuasa untuk membatalkan

sesuatu undang-undang sekiranya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan (Ahmad

Atory, 2001). Berdasarkan Perkara 122 (1) badan ini adalah diketuai oleh Ketua Hakim Negara

(International Law Book Services, 2002). Beliau bertanggungjawab untuk menyelaraskan

kefungsian badan kehakiman tertutamanya mahkamah atasan dan mahkamah bawahan.

Mahkamah atasan terdiri daripada Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan

Mahkamah Tinggi. Manakala mahkamah bawahan pula terdiri daripada Mahkamah Sesyen dan

Mahkamah Majistret (Mardiana Nordin dan Hasnah Hussiin, 2000).

Konsep dan perlaksanaan ketiga-tiga badan tersebut termaktub dalam Perlembagaan

Persekutuan dibawah beberapa artikel tertentu iaitu Perkara 39 bagi kuasa eksekutif, Perkara

44 untuk kuasa perundangan dan Perkara 121 (1) untuk kuasa kehakiman yang bertujuan untuk

mengelakkan pemusatan kuasa iaitu penumpuan kuasa kepada satu kumpulan atau seorang

individu (Syed Ahmad, 1994). Menurut A.V Dicey (1959), kewujudan konsep ini dianggap

dapat mengelakkan kuasa pentadbiran, perundangan dan mahkamah dari mencerobohi bidang

kuasa antara satu sama lain. Pengasingan kuasa dianggap penting dalam pentadbiran negara

kerana pengasingan merupakan instrumen check and balance dalam sistem pemerintahan.

16
Secara umumnya, konsep pengasingan kuasa ini sebenarnya tidak wujud di dunia.

Pengamalan konsep ini tidak mengikut teori sepenuhnya. Konsep ini diperlukan dalam bidang-

bidang kuasa tertentu sahaja dan tidaklah seperti yang dikatakan oleh Montesquieu. Jika teori

ini diikuti sepenuhnya, maka kuasa yang diberikan kepada ketiga-tiga badan ini mestilah

berbeza. Sepatutnya ketiga-tiga badan memainkan peranan masing-masing, tetapi jika lebih

dari satu badan berada di bawah kawalan orang yang sama, keadilan sudah tidak dapat

diwujudkan. Campurtangan badan legislatif dan eksekutif dalam badan kehakiman secara

langsung menggambarkan keadilan tidak dapat diwujudkan dan ini akan mengakibatkan

penderitaan kepada masyarakat.

Keadaan inilah yang berlaku dalam sistem pemerintahan Malaysia di mana golongan

pembuat undang-undang juga adalah orang yang melaksanakan undang-undang. Walaupun ini

nyata berlawanan dengan konsep pengasingan kuasa oleh Montesquieu tetapi asas teori ini

menjadi garis panduan dalam melaksanakan konsep ini mengikuti citarasa Malaysia. Peredaran

zaman memaksa Malaysia mencari jalan paling terbaik bagi disesuaikan dengan waktu dan

keadaan yang sentiasa berubah-ubah.

6.0 CONTOH AMALAN DEMOKRASI BERPRESIDEN DI INDONESIA

Indonesia merupakan antara negara yang mengamalkan corak pemerintahan demokrasi

berpresiden sama seperti Amerika Syarikat. Di Indonesia, kedudukan antara legislatif dan

eksekutif setelah pindaan Undang-Undang Dasar 1945 (UUD 1945) adalah sama taraf.

Tambahan pula, kedua-dua badan ini mempunyai hubungan berkait misalnya dalam Fasal 5

ayat (1), yang mengatakan bahawa Presiden berhak mengajukan rancangan undang-undang

dan akan dibahas oleh Dewan Perwakilan Rakyat (DPR). Manakala Fasal 20 ayat (2), pula

mengatakan setiap rancangan Undang-undang dibahas oleh Dewan Perwakilan Rakyat dan

Presiden untuk mendapatkan persetujuan bersama. Kedua-dua fasal ini menunjukkan adanya

17
pengurangan kekuasaan legislatif yang dimiliki oleh Presiden sebagai pelaksana undang-

undang.

DPR merupakan lembaga pembuatan undang-undang di Indonesia yang diperkukuhkan

melalui perlembagaan seperti dalam Fasal 20 ayat (5), yang mengatakan dalam hal rancangan

undang-undang yang telah dipersetujui bersama tersebut tidak disahkan oleh Presiden dalam

30 hari semenjak rancangan undang-undang dipersetujui, rancangan undang-undang tersebut

menjadi undang-undang dan wajib dilaksanakan. Walau bagaimanapun, Presiden boleh

usulkan rang undang-undang namun dibawa ke DPR juga sebelum dipersetujui dan

dilaksanakan (Marthin, 2007).

Pengasingan kuasa antara badan-badan dibahagikan kepada tiga iaitu kekuasaan

legislatif, eksekutif dan kehakiman. Kekuasaan legislatif dipegang oleh lembaga yang dikenali

sebagai Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) yang terdiri daripada dua badan, iaitu DPR

yang ahli anggotanya terdiri daripada wakil-wakil parti politik dan DPRD (Dewan Perwakilan

Rakyat Daerah) yang anggotanya mewakili kawasan yang ada di Indonesia. Setiap daerah

diwakili oleh empat orang yang dipilih terus oleh rakyat di daerah masing-masing.

Menurut fasal 20 ayat (1), DPR memegang kekuasaan untuk membentuk undang-

undang sedangkan DPRD, mengikut fasal 22 ayat (1) boleh membebaskan mengajukan kepada

DPR berkenaan rancangan undang-undang yang berkaitan dengan autonomi daerah dengan

pusat, penggabungan daerah, pengurusan sumber daya alam, sumber alam dan perimbangan

Kewangan Pusat dan Daerah mahupun pentadbiran. Selain itu, DPR boleh ikut serta dalam

semua pembahasan rancangan dan mereka bebas memberikan pertimbangan kepada rancangan

tersebut. Majlis Permusyawaratan Rakyat (DPR/DRPD) adalah lembaga tertinggi negara di

Indonesia. Semenjak UUD 1945 dipinda, kedudukan MPR sebagai lembaga negara dan semua

ahli DPRD adalah ahli MPR ditambah ahli DPD.

18
Lembaga eksekutif di Indonesia berpusat pada Presiden, wakil Presiden dan kabinet.

Kabinet di Indonesia adalah Kabinet Presiden yang dibantu oleh para menteri yang

bertanggungjawab kepada Presiden dan tidak mewakili parti politik yang terdapat dalam

parlimen. Eksekutif menjalankan tugas berkaitan hal-hal dalam bidang diplomatik,

pentadbiran, undang-undang, kehakiman, tentera dan legislatif, iaitu pengaturan, pengesahan

dan pelaksanaan undang-undang. Walau bagaimanapun. Presiden berhak untuk melantik

individu-individu yang terlibat dalam parti politik untuk berada dalam kabinetnya. Ini

bertujuan untuk menjaga kestabilan pemerintahan Presiden dan menunjukkan kekuatan kuasa

lembaga legislatif di Indonesia.

Lembaga kehakiman dilaksanakan oleh Mahkamah Agung dan Mahkamah

Perlembagaan termasuk ketetapan pentadbiran para hakim sejak berlakunya refomasi di

Indonesia dan persetujuan pindaan UUD 1945. Meskipun demikian, keberadaan Menteri

Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia tetap dipertahankan dalam pelaksanaan pentadbiran

keputusan penghakiman (Manik, 2012).

Bagi jawatan Presiden dan wakil Presiden di Indonesia dilaksanakan melalui pemilihan

umum atau pilihan raya daripada rakyat. Setelah tamatnya pilihan raya, pemilihan anggota

DPRD dan DPR akan dilaksanakan dengan pencalonan secara berpasangan. Presiden yang

dilantik akan menjalankan tugas sebagai Ketua Negara dan Ketua Kerajaan yang akan dibantu

oleh wakil Presiden dalam tempoh penggal 5-6 tahun. Pilihan raya yang akan dilaksanakan

akan dibahagikan kepada dua jenis iaitu first-past-the-post dan proportional. First-past-the

post adalah pemilihan bagi anggota DPRD di daerah masing-masing dan mempunyai dewan

tersendiri.

Proportional pula untuk memilih parti politik yang disukai dan berkelayakan untuk

memperolehi kerusi terbanyak. Walaupun ada parti politik yang mendapat undi terendah,

19
mereka masih dapat kerusi MPR mengikut perbandingan dan mewakili seluruh suara rakyat

Indonesia. Presiden pula dibuat melalui sistem pilihan raya presiden dengan syarat menang

lebih 20% undi seluruh Indonesia. Kedudukan presiden/wakil presiden dikawal oleh DPR

melalui mekanisme impeachment process. Presiden tidak boleh membubarkan DPR kecuali

tamat tempoh penggal atau didakwa kesalahan jenayah (Marthin, 2007).

7.0 KESIMPULAN

Dalam perkembangan sistem pemerintahan bermasyarakat, demokrasi dianggap sebagai satu

sistem politik terbaik yang terkandung di dalamnya idealisme sosio-politik yang sesuai untuk

kehidupan manusia. Demokrasi berkembang selari dengan konsep negara bangsa, kontrak

sosial, aspirasi umum, penyertaan rakyat, hak rakyat dan sebagainya. Pemahaman mengenai

demokrasi dapat ditakrifkan sebagai sebuah negara atau kerajaan yang terhasil daripada

kehendak dan aspirasi kelompok masyarakat majoriti. Kesemua konsep ini mengikat

demokrasi dengan kehendak majoriti rakyat terhadap pemerintah. Pemerintah yang dibentuk

daripada pilihan ramai itu bertujuan memberi perkhidmatan terbaik dan memastikan kehidupan

rakyat terjamin.

Secara umumnya, konsep pengasingan kuasa ini sebenarnya tidak wujud di dunia.

Pengamalan konsep ini tidak mengikut teori sepenuhnya. Konsep ini diperlukan dalam bidang-

bidang kuasa tertentu sahaja dan tidaklah seperti yang dikatakan oleh Montesquieu. Jika teori

ini diikuti sepenuhnya, maka kuasa yang diberikan kepada ketiga-tiga badan ini mestilah

berbeza. Sepatutnya ketiga-tiga badan memainkan peranan masing-masing, tetapi jika lebih

dari satu badan berada di bawah kawalan orang yang sama, keadilan sudah tidak dapat

diwujudkan. Campurtangan badan legislatif dan eksekutif dalam badan kehakiman secara

langsung menggambarkan keadilan tidak dapat diwujudkan dan ini akan mengakibatkan

penderitaan kepada masyarakat.

20
RUJUKAN

Abdullah @ Alwi Haji Hassan. (2004). Sistem Pentadbiran dalam Sesebuah Negara Islam.

Kuala Lumpur: IKIM.

Ahmad Atory Hussain. (2001). Pengantar Pentadbiran Awam. Kuala Lumpur: Utusan

Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Al-Buraey. (1985). Administrative Development: an Islamic Perspective. London: Kegan Paul.

A.V Dicey. (1959). An Introduction to the Study of the Law of the Constitution. London:

Macmillan.

Bharuddin Che Pa dan Farizah Zulkafli. (2013). Pengasingan Kuasa Menurut Perspektif Barat

dan Islam: Kajian Amalannya di Malaysia. Prosiding International Conference On

Islam in Malay World, Bandung: Universitas Islam Negeri Sunan Gunung Djati, 29-31

Oktober 2013.

Cunningham. (2002). Theories of Democracy; A Critical Introduction. London: Routledge.

Catt. (1999). Democracy In Practice. London: Routlegde.

Dye, T.R. & Zeigler, H. (1996). The Irony of Democracy: An Uncommon Introduction to

American Politics. Fort Worth: Harcourt Brace College Publishers.

Finer, H. (1970). Theory and Practice of Modern Government. Westport: Greenwood Press

Publishers.

Holden, B. (1974). The Nature of Democracy. London: Nelson.

Huntington, S.P. (1991). The Third Wave: Democratization in the Late Twentieth Century.

Oklahoma: University of Oklahoma Press.

21
International Law Book Services. (2002). Perlembagaan Persekutuan. Selangor: Syarikat

Percetakan Ihsan.

J.A Corry. (1957). Democratic Government and Politics. Toronto: University of Toronto Press.

Kamus Dewan. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Katni Kamsono Kibat. (1986). Asas Ilmu Politik. Selangor: Biroteks.

Kevin Tan Yew Lee, Yeo Tiong Min dan Lee Kiat Seng. (1991). Constitutional Law in

Malaysia and Singapore. Singapore: MLJ Pte. Ltd.

K. Ramanathan. (1992). Asas Sains Politik. Shah Alam: Fajar Bakti.

K. Ramanathan. (2003). Institusi Politik. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors

Sdn. Bhd.

Lively, J. (2007). The Meaning of Democracy. Dlm. Micheal Saward (ed.). Democracy:

Critical Concepts in Political Science. London: Routledge: 23- 56.

Manik Sukoco. (2012). Kajian Sistem Politik dan Pemerintahan di Indonesia. Fakulti Ilmu

Sosial Prodi Pendidikan Pancasila dan Kewarganegaraan, Universitas Negeri Malang.

Mardiana Nordin & Hasnah Hussiin. (2000). Pengajian Malaysia. Selangor: Penerbit Fajar

Bakti.

Marthin Simangunsong. (2007). Hasil Penelitian Sistem Pemerintahan Presidental di

Indonesia dan Amerika Syarikat. Medan: Lembaga Penelitian Universitas HKBP.

Md. Bohari Ahmad. (1997). Demokrasi Berparlimen. dlm. Kenegaraan Malaysia. Serdang:

Universiti Putra Malaysia.

Rais Yatim. (2000). Globalisasi dan Perubahan Undang-undang. Jurnal Pemikir, Oktober dan

Disember 2002.

22
Raymond Guess & Quentin Skinner. (1989). Montesquieu: The Spirit of the Laws. London:

Cambridge University Press.

Robert Dhal. (1989). Democracy and Its Critics. London: Yale University Press.

Sinha and Dheeraj. (1996). Legal Dictionary. Kuala Lumpur: International Law Book Services.

Syed Ahmad Hussein. (1995). Pengantar Sains Politik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan

Pustaka.

Zaini Othman. (2006). Demokrasi di Negara Sedang Membangun: Pengalaman Asia

Tenggara. Bangi: Penerbit UKM.

23

Anda mungkin juga menyukai