Anda di halaman 1dari 1

Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh

Agama yang berbeza, fahaman politik yang berlainan, pemikiran dan kerjaya yang tidak serupa,
namun, kita semua boleh hidup dalam sebuah negara yang sama berlandaskan kepercayaan dan
saling hormat-menghormati.

Kepelbagaian budaya dalam negara Malaysia seharusnya tidak menimbulkan masalah perkauman.
Setiap kaum ataupun etnik perlu mengambil iktibar dan memainkan peranan mereka dalam
memastikan konflik perkauman seperti peristiwa 13 Mei 1969 tidak berulang. Perpaduan kaum amat
penting dalam menyumbang ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020.

Apakah cara terbaik untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat? Persoalan ini sering
bermain di fikiran kita sama ada kita suka atau tidak. Apabila dunia kini seolah wujud tanpa
sempadan, pelbagai anasir boleh meracuni pemikiran terutama golongan “Generasi Y” dengan
mudah.

Pengaruh media baharu sebagai sumber maklumat di negara ini semakin berkembang dan mula
menunjukkan perubahan yang ketara ke atas cara dan gaya fikiran masyarakat. Internet dan media
digital memberi ruang dan peluang kepada masyarakat untuk membina jaringan komunikasi antara
satu sama lain, merentas kelas sosial, agama dan budaya.

Teknologi maklumat dan komunikasi mempunyai potensi yang tinggi untuk mengubah dan
memperkasakan pendidikan, perdagangan, bisnes, kerajaan elektronik dan golongan wanita. Justeru
itu, implikasinya ke atas institusi asas seperti keluarga, gender, ekonomi dan masyarakat awam
begitu ketara. Namun, sebagai rakyat Malaysia, kita semua perlu bersama-sama menilai dan
menapis apa sahaja maklumat yang diperolehi agar tidak menganggu gugat institusi demokrasi
negara kita.

Selain itu, makanan juga antara elemen terpenting dalam memupuk perpaduan kaum. Misalnya,
majoriti rakyat Malaysia tidak dapat menolak keinginan untuk menikmati keenakan rasa nasi lemak
yang dibungkus dengan daun pisang. Jika dahulu, nasi lemak hanya sinonim sebagai makanan orang
Melayu, tetapi kini perkara ini telah berubah dan menjadi makanan rutin kaum Cina, India dan
bangsa lain menikmati nasi lemak panas ini menggunakan tangan. Tiada siapa yang menafikan
budaya 'memakan nasi lemak' mampu menjadi kuasa perpaduan antara kaum.

Perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan
suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur. Oleh itu, segala kerjasama semua
pihak seperti kerajaan, masyarakat dan pertubuhan badan bukan kerajaan amatlah diperlukan untuk
meningkatkan lagi perpaduan negara Malaysia.

Sesungguhnya apa yang sedang kita nikmati sekarang adalah sesuatu yang telah dipinjamkan kepada
kita oleh anak cucu kita di mana ianya perlu dipulangkan kembali kepada mereka bila tiba masanya
dengan sekurang-kurangnya dalam keadaan yang sedia ada ataupun lebih baik daripada sekarang.
Manakala jambatan perpaduan yang kukuh dan kuat pula telah diwariskan oleh nenek moyang kita,
oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menjaga dan memeliharanya dengan
sebaik yang mungkin.

Kredit: Hazlianayati binti Sudin @ Subdin

Anda mungkin juga menyukai