Anda di halaman 1dari 6

711

6-7 September 2015 – Universiti Sultan Zainal Abidin, Malaysia


Proceedings of ICIC2015 – International Conference on Empowering Islamic Civilization in the 21st Century
eISBN: 978-967-13705-0-6

FAKTOR KELEMAHAN PERADABAN ISLAM DAN LANGKAH


MENGATASINYA
Berhanundin Abdullah & Zawawi Yusoff
Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin.

zawawi@unisza.edu.my

Abstrak

Sejarah dunia telah memaparkan tentang kehebatan umat Islam menguasai tamadun dunia
pada era kegemilangan pemerintahan Islam dan keluasan empayarnya. Umat Islam
mengukir sejarah manis menerusi perkembangan pelbagai bidang ilmu dan kemahiran
terutamanya pendidikan, perubatan, falak atau astronomi, kemasyarakatan, kebudayaan,
ekonomi, pentadbiran dan pemerintahan. Malangnya disebabkan masalah dalaman dan
kelalaian umat Islam sendiri menyebabkan usaha memartabatkan tamadun dunia terbantut.
Dalam dunia era teknologi maklumat dan serba moden ini, umat Islam perlu memulihkan
kehebatan ummah dalam tamadun dunia. Manakala dalam ehwal keagamaan umat Islam
hendaklah meletakkan asas yang kukuh agar dunia menghormati dan menjadikan tamadun
Islam sebagai tonggak tamadun dunia. Meskipun harapan ini terlalu ideal tetapi ia perlu
direalisasikan secara beransur-ansur dan berperingkat-peringkat mengikut kesesuaian
masa, masyarakat dan tempat. Justeru, artikel ini akan cuba mengenalpasti punca-punca
kelemahan umat Islam kini menguasai tamadun dunia dan mengutarakan cadangan
bagaimana untuk mengembalikan semula kehebatan ummah untuk berada di kemuncak
tamadun dunia.

Kata Kunci: Peradaban Islam, Pendidikan, Perubatan, Falak, Astronomi

1. PENGENALAN
Tamadun merupakan satu proses peradaban yang dikenali sebagai madani
dengan maksud pembangunan, perbandaran dan penerapan budi pekerti mulia.
Tamadun ini selalu digunapakai kepada tindakan dan kemajuan yang dicapai
khususnya pembangunan duniawi dalam kebudayaan, kemasyarakatan, perilaku,
pemikiran, kemajuan sains, teknologi, kesenian dan sesusasteraan (Esposito 1995,
11).
Kemunculan kerajaan-kerajaan Islam selepas zaman Rasulullah SAW dan
Khulafa al-Rashidin seperti kerajaan Umaiyyah, kerajaan Abbasiyyah, kerajaan Turki
Seljuk, kerajaan Turki Uthmaniyyah, Empayar Moghul India, dan Kesultanan Melaka
telah terbukti membawa banyak asas-asas ketamadunan dunia. Pusat keilmuan
yang hebat telah mewujudkan satu tamadun Islam dan dunia yang agung. Ramai
ahli-ahli sains, falsafah dan pendidik muncul dari negeri-negeri Islam terutamanya
pada zaman keemasan Islam. Pada kurun ke-18 dan ke-19 masihi, nasib malang
menimpa dunia Islam di mana banyak kawasan-kawasan Islam jatuh ke tangan
penjajah Eropah dan Amerika. Selepas Perang Dunia Pertama, Empayar Turki
Uthmaniyyah (empayar Islam terakhir) berpecah. Maka merosotlah perkembangan
ilmu dan kemahiran umat Islam untuk menguasai tamadun dunia. Usaha, gaya
hidup, pembudayaan ilmu dan kebangkitan era tamadun barat telah merebut peluang
dan menjadikan segala hasil usaha umat Islam sebagai milik mereka.
712
6-7 September 2015 – Universiti Sultan Zainal Abidin, Malaysia
Proceedings of ICIC2015 – International Conference on Empowering Islamic Civilization in the 21st Century
eISBN: 978-967-13705-0-6

2. PUNCA-PUNCA KELEMAHAN UMAT ISLAM MENGUASAI TAMADUN DUNIA


Kelemahan umat Islam menguasai tamadun dunia berpunca dari faktor dalaman
umat Islam sendiri dan dari luaran khususnya pihak musuh. Antaranya:

2.1 Perbezaan Mazhab Pemikiran.


Setelah pembunuhan ke atas khalifah Umar dan Uthman maka berlakulah
perpecahan sehingga muncul mazhab-mazhab iaitu Khawarij (menkafir sahabat
besar), Syiah Rafidhah (pendukung Ali) dan Syiah Nashibah (membenci Ali). Pada
zaman tabiin, muncul aliran pemikiran Qadariyah dan Muktazilah di Basrah serta
Jahmiyyah dan Mujassimah di Khurasan. Pada abad ketiga, khalifah al-Makmun
yang cerdik dan rasionalis, telah mendatangkan buku-buku Falsafah Yunani
sehingga ada mazhab mula berani mencela para sahabat (Mamduh Farhan Buhairi
1422, 13017). Perpecahan makin ketara disebabkan oleh pertikaian mengenai al-
Quran, Sunnah, Sifat Allah (Muhammad Jali 1988, 61-98, Shalahudin Maqbul t.t, 51-
65) persoalan Sunnah (Nashir ibn Abd. Allah al-Qifari 1994, 125-399), syurga-neraka
dan dosa besar (Awwad al-Mu’tiq 1402, 27-28). Tumpuan kepada ilmu-ilmu lain dan
kemahiran mula terbantut.

2.2 Keruntuhan Moral dan Sikap Umat Islam.


Keruntuhan nilai moral disebabkan oleh pengaruh barat banyak dibawa masuk
menerusi aktiviti hiburan, kesenian dan berbagai budaya kuning yang melalaikan
yang dianggap sebagai kemajuan oleh generasi muda dan remaja. Keruntuhan ini
diikuti dengan sikap umat Islam yang tidak menyahut persaingan dunia dalam
pembangunan ilmu. Strategi ini telah disusun rapi dan dikawal selia oleh kuasa barat
untuk melemahkan umat Islam dari segi ilmu dan agamanya (al-Qaradhawy 1999,
35).

2.3 Agenda Kristianisasi dan Perang Salib.


Pada abad ke-17M, gereja Katolik Roma yang menguasai pemerintahan
Eropah, telah mendirikan Kementerian Propaganda Agama di Vatikan bertujuan
mengembangkan agama Kristian di serata dunia. Sekolah propaganda agama asing
dibangunkan di Paris dengan pembiayaan dari kementerian ini. Berbagai institusi
didirikan di Jerman, Perancis dan Bulgaria. Sekolah-sekolah baharu didirikan untuk
memberi latihan yang lebih baik kepada para pengembang Kristian. Asas utama
kerjasama antara gerakan pengembang Kristian dengan para imperialis ialah Perang
Salib. Perang Salib bermula pada tahun 1095M (489H) sehingga hampir dua abad
(Nahmar Jamil 1987, 25-28). Agenda ini bertujuan memalapkan obor perkembangan
ilmu-ilmu Islam.

2.4 Perancangan penjajah terhadap dasar Islam.


Seorang orientalis yang terkenal iaitu Snouck Hurgronje mencadangkan teknik
“kawan” terhadap ulama dan “pisah” antara Islam sebagai agama dan Islam sebagai
falsafah politik, dengan andaian semakin jauh jarak antara keduanya maka semakin
cepat proses kehancuran umat Islam (Nazri 1989, 57). Ia bertujuan supaya umat
Islam lupa kepada tugas mengembangkan ilmu demi tamadun manusia.

2.5 Halangan ke Atas Ulama dan Pendakwah (Syed Qutb 1971:44).


Barat menghalang pendakwah dan pemimpin kerana tanpa ulama ilmu tidak
akan dapat dikembangkan. Contohnya tindakan penjara dan seksa seperti yang
713
6-7 September 2015 – Universiti Sultan Zainal Abidin, Malaysia
Proceedings of ICIC2015 – International Conference on Empowering Islamic Civilization in the 21st Century
eISBN: 978-967-13705-0-6

menimpa kepada Muhammad Kamaluddin al-Sananirriy dan Dr. Abdul Mun’im Abu
al-Fatah di Mesir (Nazri Mohd Amin 1989, 24), Haji Abdul Rahman Limbong dibuang
ke Mekah. Mustafa al-Siba’ie (1972, 80) menyebut bahawa apabila musuh telah
merasa seolah-olah putus asa untuk menghapuskan dakwah Islam, mereka akan
bertindak dengan cara kekerasan iaitu membunuh pendukung dakwah seperti
pembunuhan Hassan al-Banna pada tahun 1948, ‘Abd Qadir ‘Audah pada tahun
1954, Syed Qutb pada tahun 1965, Nik Hassan (ketika turun dari rumah untuk
berwuduk solat subuh) dan Mohd Abdul Latif dari Petani ditembak mati (waktu
pulang dari mengajar) (Nazri Mohd Amin 1989, 26).

2.6 Kegagalan Dalam Sistem Pengurusan dan Pentadbiran.


Sejak abad ke-11M, barat telah melancarkan gerakan kolonialisme dan
memaksa menerima sistem sekular barat dalam sistem pengurusan dan pentadbiran.
Gerakan ini bertujuan menyerah urusan tersebut kepada golongan birokrat
berpendidikan sekular. Menurut Mahayudin Haji Yahaya (1998, 199) bahawa
golongan inilah yang dikenali sebagai golongan birokrat yang mendapat pendidikan
Inggeris sekular yang memimpin dan mentadbir negera. Akhirnya ilmu bidang
pengurusan dan pentadbiran Islam menjadi lumpuh.

2.7 Polisi Pemisahan antara Pentadbiran Negara dan Urusan Agama.


Polisi barat memisahkan urusan pemerintahan daripada agama dan adat istiadat
menerusi perjanjian-perjanjian yang ditandatangani antara pihak Inggeris dan
pemerintah Islam dalam abad ke-19M memberi kesan kepada perkembangan ilmu di
dunia Islam (Abdul Rauf 1987, 123).

2.8 Menghalang Penerbitan Kitab Ilmu.


Antara kawalan yang dijalankan oleh penjajah ialah dengan mewujudkan
undang-undang terhadap penulisan. Contohnya, kawalan penulisan ke atas Negeri-
negeri Selat melalui Undang-undang 1886 Registration Kitab-kitab, yang mewajibkan
penyerahan naskhah terbitan kepada kerajaan dan maklumat seperti nama dan
alamat orang yang memilikinya. Publishing and Book Enactment 1915 and The
Seditious Publications (Prohibition) Enactment 1919 (sebagai tindakan susulan
daripada pemberontakan Tok Janggut pada April–Mei 1915), menghalang orang
Melayu menyuara dan melahirkan perasaan politik (Arkib Negara Malaysia 1999, 5).
Hakikat sebenar ialah menghalang pertumbuhan ilmu Islam.

2.9 Ketinggalan dalam Pertumbuhan Ekonomi.


Umat Islam kini ketinggalan terlalu jauh dalam sektor ekonomi disebabkan oleh
lemahnya penghayatan ilmu Islam. Kemunduran ini menyebabkan orang non-Muslim
mengambil peluang menggunakan kaedah Islam seperti sistem perbankan.

2.10 Penyerapan sistem sekular dalam pendidikan.


Pada akhir abad ke-19M minat penjajah Inggeris untuk terus mengekalkan
pengaruhnya di Negara-negara Islam telah berhasil menerusi pendidikan dengan
mendirikan secara rasmi sekolah-sekolah Inggeris (Cheesman 1955). Inggeris
memperkenalkan kebudayaan barat untuk pelajar. University St. Joseph (1874) di
Suriah dan Universiti Amerika di Beirut (1866) mengembangkan ajaran Kristian,
kebudayaan barat, fahaman materialisme, nasionalisme dan liberalism. J.B. Gibb
menulis dalam bukunya “Suriah, Lubnan dan Jordan” bahawa “Kedua-dua universiti
714
6-7 September 2015 – Universiti Sultan Zainal Abidin, Malaysia
Proceedings of ICIC2015 – International Conference on Empowering Islamic Civilization in the 21st Century
eISBN: 978-967-13705-0-6

ini membuka jalan bagi masuknya pemikiran barat ke Suriah, Lubnan, dan Jordan.
Manakala unsur pemikiran baharu terpenting yang mereka sebarkan adalah
nasionalisme”.

2.11 Merahsia dan Menyembunyikan Khazanah Tamadun Islam Kepada


Tamadun Dunia.
Sebahagian besar khazanah sumbangan tokoh-tokoh Muslim disembunyikan
dan diubahsuai sehingga menjadi hasil sumbangan tokoh barat seperti bidang
astronomi. Sebahagian besarnya disimpan sebagai dokumen rujukan di negara-
negara barat.

3. USAHA MENGEMBALIKAN SEMULA KEHEBATAN UMMAH


3.1 Penghindaran Perbalahan antara Sesama Umat Islam
Perkara penting untuk berjaya menguasai ilmu dan kemahiran ialah
menghapuskan sebarang persengketaan sesama umat Islam kerana ia sangat
merugikan. Perselisihan mengenai mazhab, pemikiran dan amalan selagi tidak
membabitkan soal akidah maka tidak perlu dipanjangkan. Sekiranya bertentangan
dengan akidah, maka perlu penyelesaian mengikut perlembagaan induk iaitu al-
Quran.

3.2 Peningkatan Ketinggian Nilai Rohani dan Akhlak Mulia Serta Perubahan
Sikap.
Hanya keunggulan kerohanian dan akhlak dapat mengembalikan maruah serta
kehormatan umat Islam. Usaha ini menjadikan umat Islam mampu mengembalikan
semangat memajukan disiplin ilmu dan mendominasi tamadun dunia. Asas ini akan
melahirkan daya keintelektualan, ketinggian moral dan semangat kerja.

3.3 Penolakan Agenda Kristianisasi dan Perang Salib.


Tiba masa umat Islam bersatu menangani agenda Kristianisasi dan Perang Salib
menerusi perkembangan dakwah dan peningkatan pencapaian dalam ilmu Islam.
Menghapuskan segala unsur-unsur yang merugikan dan menghalang perkembangan
budaya ilmu.

3.4 Kewaspadaan Terhadap Kesan Perancangan Penjajah Terhadap Dasar


Islam.
Umat Islam sepatutnya melepaskan diri dari meletakkan pergantungan kepada
dunia barat. Segala fahaman dan pengaruh penjajah yang memusnahkan agenda
kekuatan Islam perlu diganti dengan nilai dan budaya ilmu Islam yang sebenar.

3.5 Sanjungan Golongan Ulama dan Pendakwah.


Ulama dan pendakwah perlu berani dan bangkit menegakkan kebenaran tanpa
menghiraukan tekanan dari mana-mana pihak demi mempertahankan keunggulan
tamadun ilmu Islam. Pendekatan yang bijak perlu dimainkan menerusi penglibatan
dalam semua disiplin ilmu, pengetahuan dan kemasyarakatan.

3.6 Penguasaan dalam Bidang Pengurusan dan Pentadbiran.


Selepas penjajah, golongan birokrat sekularlah yang menerajui pengurusan dan
pentadbiran, maka kaum Muslimin harus berjuang mengembalikan kuasa tersebut ke
715
6-7 September 2015 – Universiti Sultan Zainal Abidin, Malaysia
Proceedings of ICIC2015 – International Conference on Empowering Islamic Civilization in the 21st Century
eISBN: 978-967-13705-0-6

tangan-tangan pemimpin Islam. Kesedaran ini perlu dipupuk semula demi


menjayakan usaha mengembalikan sinar ilmu Islam tersebar luas.

3.7 Agama Sebagai Asas Kenegaraan.


Perubahan ketara yang diperlukan ialah berkaitan sumbangan terhadap nilai
sebenar perikemanusiaan berasaskan polisi Islam yang tidak memisahkan
pentadbiran negara dengan tuntutan agama. Antaranya dengan mewujudkan
kesatuan ummah, menghapuskan permusuhan, mengembalikan kemuliaan diri
manusia, dan menghidupkan semangat kerukunan dalam masyarakat.

3.8 Kebebasan Media Islam dari Cengkaman Materialisme, Hedonisme dan


Ideologi Barat.
Umat Islam perlu sedar bahawa sekian lama nilai barat tertanam dalam
penyebaran media massa dunia Islam. Oleh itu segala yang membawa keburukan
dan kemungkaran perlu ditukar ganti dengan wajah baharu yang boleh
membangkitkan semangat daya saing dalam mengembalikan tamadun dunia
berpaksikan nilai Islam.

3.9 Penguasaan dalam Bidang Ekonomi.


Umat Islam tidak boleh ketinggalan dalam bidang ekonomi kerana ia menjadi
faktor utama untuk maju dan berjaya dalam kehidupan yang kian mencabar. Mereka
perlu menguasai pengurusan secara Islam yang sekarang diimplementasikan oleh
pihak lain seperti sistem perbankan secara Islam. Penguasaan sumber juga agak
penting agar umat Islam tidak meletakkan pergantungan kepada orang bukan Islam
kerana kebanyakan sumber dan bahan yang diperlukan adalah yang halal, bersih
dan dibenarkan oleh Syariat Islam.

3.10 Peningkatan Penguasaan Pelbagai Disiplin Ilmu dalam Pendidikan.


Umat Islam hendaklah berusaha memurnikan semula usaha mengembalikan
zaman kegemilangan tamadun Islam. Semua disiplin ilmu khususnya yang berkaitan
dengan penyelesaian masalah semasa umat manusia kini mesti diterokai oleh umat
Islam berdasarkan sumber dari al-Quran dan al-Sunnah seperti dalam bidang
perubatan, teknologi maklumat, astronomi, bioteknologi, kemasyarakatan dan
pendidikan.

3.11 Pendedahan Khazanah Tokoh-tokoh Muslim.


Umat Islam perlu kembali meneropong bidang baharu di samping menjadikan
khazanah usaha tokoh-tokoh terdahulu sebagai jambatan. Jambatan ini mampu
mengembalikan kegemilangan disiplin ilmu dunia Islam seterusnya menerajui
tamadun dunia.

KESIMPULAN
Kegemilangan tamadun dunia yang dipelopori umat Islam suatu masa dahulu
hendaklah dikembalikan kepada umat Islam untuk membangun semula. Tamadun
kini kian mencabar dan sebahagiannya telah menghancurkan hakikat kemanusiaan
dan menjadikan manusia sebagai haiwan yang berakal. Keruntuhan ini hendaklah
diperjuangkan demi mengembalikan maruah manusia sebagai makhluk yang paling
mulia. Segala agenda tamadun dunia moden kini perlu segera diganti dengan
peradaban yang membawa kemurnian dan kesejahteraan manusia sejagat.
716
6-7 September 2015 – Universiti Sultan Zainal Abidin, Malaysia
Proceedings of ICIC2015 – International Conference on Empowering Islamic Civilization in the 21st Century
eISBN: 978-967-13705-0-6

RUJUKAN
Abdul Rauf, 1987, Ikhtisar Sejarah Islam dan Hubungannya Yang Khusus Dengan
Semenanjung Malaysia. Terj. Oleh Rustam A. Sani. Edisi Kedua. Petaling
Jaya:Penerbit Fajar Sdn. Bhd.
Ahmad Muhammad Jali. 1988. Dirasah ‘An al-Firaq Fi Tarikh al-Muslimin: al-Khawarij
Wa al-Syi’ah. Riyadh: Markaz al-Faishal.
Arkib Negara Malaysia. 1999. Majlis Pengkisahan Sejarah Semangat Nasoinalisme
Dalam Bidang Penulisan. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia.
Awwad al-Mu’tiq. 1409. Al-Mu’tazilah. Riyadh: Dar al-Ashimah.
Cheesman, H. R. 1955. Education in Malaysia, 1900-1941. Malayan Historical
Journal. Jilid. 1. Nombor 1. Jun.
Esposito, J. L. 1995. The Oxford Encylopedia of The Morden Islamic World, Vol 111,
Oxford: Universiti press.
Mahayudin Haji Yahaya. 1998. Islam Di Alam Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Mamduh Farhan Buhairi. 1422. Al-Syi’ah Minhum Alaihim, Indonesia: Dar al-Faruq.
Mustafa al-Siba’ie. 1972. Al-Sirah al-Nabawiyyah. Al-Qahirah: Dar al-Kutub al-
‘Arabiyyah.
Nahmar Jamil. 1987. Menghadapi Ancaman Pengkristianan. Kuala Lumpur: Pustaka
al Mizan.
Nashir ibn Abd. Allah al-Qifari. 1994. Ushul Madzhab al-Syi’ah al-Imamiyah al-Itsna
Asyariyah. Cet. 2. Dimasq: Dar al-‘Ulum.
Nazri Mohd Amin. 1989. Penderitaan Umat Islam Abad Ke 20. Shah Alam: Penerbit
Hizbi Sdn. Bhd.
Al-Qaradhawy, Yusuf. Dr. 1999. Tamadun Islam: Altenatif Masa Depan. Terj. Haji
Juanda Haji Jaya. Selangor: Maktabah al-Qardhawi.
Shalahudin Maqbul. t.t. Zawabi’ Fi Wajh al-Sunnah. T.tp.
Syed Qutb. 1971. Fi Zilal al-Quran. Cetakan Ketujuh. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-
‘Araby.

Anda mungkin juga menyukai