Anda di halaman 1dari 3

Kembalikan Pengajaran Sains dan Matematik dalam

Bahasa Melayu
Oleh Dr. Kamarudin Musa, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak. Diterbitkan di blog
Pengarah Institut Peradaban Melayu, UPSI pada 7 November 2008.

PENGGUNAAN bahasa Inggeris dalam pengajaran dan


pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) perlu
diberhentikan segera. Hal ini demikian kerana tidak ada alasan
yang konkrit dan jitu bagi meneruskan pelaksanaan PPSMI.

Harus diingat bahawa pelaksanaan PPSMI pada tahun 2002,


dilaksanakan tanpa perancangan dan kajian yang teliti. Sebaliknya
PPSMI muncul hasil daripada hasrat dan kehendak pemimpin
tertentu pada hal tidak ada alasan kukuh bagi memaksa pelaksanaan
PPSMI pada waktu itu.

Ini adalah kehendak orang politik tertentu semata-mata. Oleh sebab


itu, maka apa perlunya sehingga kini kita masih lagi berdolak-dalik
dalam hal PPSMI ini. Kita memberi pelbagai alasan semata-mata
bagi mengesahkan pelaksanaan dasar yang sememangnya
bercelaru dan tidak utuh sifatnya.

Akibat yang nyata daripada pelaksanaan PPSMI ini


sudah memperlihatkan dengan jelas akan keruntuhan integriti dalam
kalangan pencetus dan penyokongnya, serta bangsa Melayu
seluruhnya.

Integriti dalam konteks patuh dan akur terhadap apa


yang dilembagakan dan dipersetujui bersama sebagai satu kontrak
sosial.

Pelaksanaan PPSMI, jelas sekali memperlihatkan sikap yang tidak


beretika dalam kalangan pencetus, perencana dan penyokongnya
apabila dengan jelas mencabuli peruntukan 152 dalam
Perlembagaan, Akta Pendidikan 1996, Akta Bahasa Kebangsaan
1967 dan Rukun Negara.

Kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai Bahasa


Kebangsaan diperjelas dengan nyata dalam kesemua akta berkaitan.
Ia diperteguh pula dengan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka
sebagai kerangka bagi membina dan melaksanakan bahasa
kebangsaan tersebut.

Maknanya, bahasa Melayu dalam konteks kedudukannya sebagai


bahasa kebangsaan adalah bahasa rasmi bagi membawa roh yang
tersirat, iaitu bukan sahaja setakat menjadi bahasa komunikasi
negara, tetapi juga sebagai bahasa ilmu, sebagai bahasa moden
yang berperanan dalam pembangunan pendidikan dan proses
penjanaan ilmu.

Hal ini dipertegas pula dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan


2006-2010. PIPP menyatakan: “Cabaran KPM adalah untuk
memastikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam
sistem pendidikan dan digunakan sebagai bahasa ilmu serta bahasa
perpaduan.”

Persoalannya, apakah segala yang dihasratkan ini akan menjadi


kenyataan dengan terus mengekalkan pelaksanaan PPSMI?
Jawapan yang nyata adalah ia tidak lebih daripada memaparkan
suatu kekeliruan pemikiran, serta menunjukkan dengan nyata
bahawa kita sebenarnya tidak mempunyai integriti, dan seterusnya
mendedahkan bahawa kita bersikap tidak adil terhadap bahasa
Melayu dan terhadap segala peruntukkan undang-undang yang
dibuat mengenainya. memperundangkan

Bagaimana mungkin sesuatu yang sudah direncanakan dan


diperundangkan dirombak sewenang-wenangnya, hanya bagi
melayan pemikiran yang kabur terhadap realiti konsep pembangunan
bangsa.

Agak malang dalam kesibukan memperkatakan soal integriti, kita


(bangsa Melayu khususnya) pada hakikatnya sudah memperlihatkan
jiwa dan sikap yang tidak berintegriti. Ini khususnya jelas dapat dilihat
dalam konteks mematuhi perkara yang sudah disuratkan dalam
melaksanakan perkara yang berkaitan dengan kedudukan dan
peranan bahasa Melayu.

Kita mencanangkan soal yang berkaitan dengan kepatuhan kepada


Rukun Negara sebagai ideologi negara sebagai wadah perpaduan
bangsa, tetapi pada realitinya kita (bangsa Melayu) tidak seutuhnya
menjunjung asas-asas pernyataan prinsip Rukun Negara.

Dinyatakan bahawa Rukun Negara mengikrarkan lima prinsip:


Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara,
Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang, Kesopanan
dan Kesusilaan, namun dalam pelaksanaan PPSMI jelas sekali kita
terkeluar daripada perkara yang diikrarkan dalam Rukun Negara. Di
sini terlihat musnahnya integriti bangsa Melayu, apabila wujudnya
pelanggaran terhadap apa yang diikrarkan.

Pelaksanaan PPSMI nampak jelas tidak mempedulikan semangat


dan roh yang terkandung dalam Perlembagaan Negara, serta amat
jelas pertentangan kehendak sebagaimana yang digariskan dalam
Rukun Negara.

Dalam hal ini, bagaimana orang mahu menghormati bangsa Melayu,


kalau bangsa Melayu itu sendiri tidak mempunyai integriti dan tidak
tahu menghormati bangsanya.

Oleh yang demikian, dengan tegas perlu dinyatakan bahawa


pelaksanaan PPSMI hendaklah ditamatkan segera. Kita tidak perlu
menunggu persidangan meja bulat diadakan selanjutnya, kerana apa
yang dikatakan persidangan meja bulat itu, tidak lebih sekadar helah
untuk terus melanjutkan PPSMI dan merendahkan status bahasa
Melayu.

Orang Melayu sekiranya masih mahu dihormati dan terus dipandang


tinggi dalam aspek integriti perlu tegas dan berani bertindak
menamatkan PPSMI. Walau bagaimanapun ini tidak bermakna kita
menidakkan akan kepentingan bahasa Inggeris dalam konteks usaha
pembelajaran dan pengajaran.
Tamat.

Anda mungkin juga menyukai