H ari ini Jumaat. Muhaimin akan bersolat Jumaat di
masjid. Dia hendak menunggang basikal. Datuknya berkata, “Lebih baik kita berjalan kaki. Jarak rumah kita ke masjid tidak sampai satu kilometer. Lagi jauh perjalanan, lebih banyak pahala kita dapat.”
Muhaimin menyarung kasutnya. Datuknya berkata
pula, “Aimin, kasut kamu itu berjenama dan baharu. Kasut begitu kesukaan orang. Baik kamu pakai selipar nenek.”
“Selipar nenek ini besar, atuk.”
Haji Rahmat memahami keengganan cucunya. Dia
memegang bahu cucunya dan berkata dengan suara yang lembut, “Besar sedikit sahaja, Aimin. Pakai sahajalah, ya. Kalau pakai kasut, atuk khuatir kamu akan balik berkaki ayam.”
Muhaimin memahami dan mematuhi kata-kata
datuknya. Dia menyarung selipar neneknya. Kemudian dia beriringan dengan datuknya menuju ke masjid. Dia melihat datuknya tersengeh-sengeh mendengar bunyi cepak-cepuk seliparnya.
Solat Jumaat selesai. Haji Rahmat menunaikan solat
sunat. Muhaimin berdiri di ambang pintu. Orang ramai keluar dari masjid. Muhaimin melihat pergerakan mereka menuju ke pintu pagar. Kini Muhaimin melihat datuknya berdoa. Panjang doa datuk, kata hatinya. Dia terus menunggu. Dia bersandar pada jenang pula. Kini cuma tinggal seorang pemuda di tangga. Pemuda itu melihat ke arahnya dan bertanya “Adik tunggu siapa?”
“Tunggu atuk,” jawabnya.
Pemuda itu menyarung selipar. Muhaimin nampak
selipar itu macam selipar neneknya. Si pemuda menoleh. Muhaimin melihat senyumannya sungguh manis. Baik pemuda ini, kata hati Muhaimin.
“Assalamualaikum, adik,” kata si pemuda. Dia
bergegas ke keretanya. Muhaimin tetap menjawab salam dengan suara yang perlahan.
Kini Muhaimin berdiri pula di tengah ambang pintu.
Dia melihat datuknya melipat sejadah. Datuknya menyusun sejadah yang sudah berlipat itu di sebelah mimbar. Kemudian datuknya bergerak untuk keluar. Muhaimin pula bergerak ke tangga. Dia melihat kereta pemuda itu sudah berada di luar pagar.
“Atuk!”
Haji Rahmat menutup pintu masjid. Kemudian dia
merapatkan kedua-dua belah gril. “Kenapa Aimin?”
“Selipar nenek sudah diambil orang,” kata Muhaimin
dengan suara yang sayu. “Mungkin pemuda itu yang mengambilnya.”
berkaki ayam.” “Mungkin pemuda itu tadi yang mengambil selipar nenek.”
“Sudahlah. Tidak baik bersangka buruk. Pakai sahaja
selipar atuk. Mari kita pulang.”
“Biarlah Aimin yang berkaki ayam. Atuk pakailah
selipar ini.”
“Aimin orang bandar. Orang bandar tidak biasa
berkaki ayam. Atuk orang kampung. Sejak kecil atuk biasa berkaki ayam. Lagipun atuk bekas askar. Biarlah atuk yang berkaki ayam. Aimin pakailah selipar ini.”
Muhaimin tetap menolak tawaran datuknya. “Biarlah
Aimin yang berkaki ayam. Atuk tengok nanti, orang bandar juga boleh berkaki ayam”
Haji Rahmat menyarung seliparnya. Dia berkata, “Elok
juga Aimin belajar menjadi budak lasak. Atuk tidak pernah berkasut waktu budak-budak. Pada masa itu kulit kaki atuk keras dan berkematu.”
Mereka melangkah pulang. Dari tangga masjid ke
pintu pagar lebih kurang seratus meter. Pohon mangga dan rambutan berbaris di kiri kanan jalan. Dahan pohon-pohonan di sebelah-menyebelah bertemu dan membentuk separuh bulatan. Bentuk itu seolah-olah pintu gerbang. Kini Haji Rahmat dan Muhaimin sedang berjalan di bawah naungan pohon- pohonan itu.
Haji Rahmat menutup pintu pagar. Kemudian dia dan
cucunya menuju ke rumah mereka. Jalan yang mereka lalui bertar. Jalan itu berupa permatang. Lebarnya lima kaki sahaja. Di kiri kanan jalan terbentang sawah padi yang baru dituai. Muhaimin berjalan terjengket- jengket kerana jalan itu menyimpan haba. Dia tetap menolak tawaran datuknya untuk mengambil giliran memakai selipar.
Sebaik-baik tiba di rumah, Muhaimin berehat di sofa.
Dia menggosok-gosok tapak kaki kanannya. Warna merah yang bertompok-topok kelihatan pada tapak kakinya. Haji Rahmat terus ke dapur. Dia menceritakan kisah kehilangan selipar itu kepada isterinya.
Sebentar kemudian, Hajah Piah datang. Dia membawa
segelas air sirap. “Minumlah dahulu. Nanti nenek tengok tapak kaki Aimin itu.”
Muhaimin menyambut gelas sirap berais. Dia
membaca bismillah dan meneguk air sirap itu. “Terima kasih, nenek,” ucapnya setelah suku gelas air sirap itu dinikmatinya. “Tidak usahlah nenek khuatir. Kaki Aimin tidak ada apa-apa. Tetapi, Aimin rasa pemuda itu tidak patut mengambil selipar nenek.”
Hajah Piah tersenyum. “Datuk kata, pemuda itu
memberikan senyuman kepada Aimin. Benarkah?”
“Benar, nenek. Aimin yang beritahu atuk. Rupa-
rupanya senyumannya itu ada makna.”
“Habiskan minuman. Nenek hendak beritahu sesuatu
kepada Aimin.”
Aimin menghabiskan minumannya, “Beritahulah,
nenek.” Hajah Piah memegang kedua belah tangan cucunya. Dengan suara yang lembut, dia berkata, “Aimin, kita mesti bersangka baik. Pemuda itu mungkin orang luar. Dia mungkin dalam perjalanan. Dia singgah di masjid untuk bersolat. Mungkin dia memakai kasut. Kasutnya diambil orang. Jadi, dia mengambil selipar Aimin ….”
“Selipar nenek.”
“Ya, dia mengambil selipar nenek yang Aimin pakai.
Selipar itu sebagai ganti kasutnya yang mahal. Bukankah Aimin sendiri mempunyai kasut berjenama dan mahal?”
“Ya. Tetapi kasut itu ibu yang belikan sebagai hadiah
hari jadi.”
Hajah Piah mengusap kepala cucunya. “Aimin, kasut
pemuda itu juga mungkin hadiah daripada tunang atau isterinya. Dia masih memberikan senyuman manis kepada Aimin walaupun dia hanya mendapat ganti sepasang selipar.”