Anda di halaman 1dari 2

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru

dan rakan-rakan yang saya kasihi. Pada pagi ini, saya ingin menyampaikan sebuah

cerita yang bertajuk “Akibat Berbohong”.

“Suatu waktu dahulu, ada sebuah keluarga kucing yang hidup aman dan penuh kasih

sayang. Mimi seekor anak kucing yang comel dan pintar. Namun Mimi mempunyai satu

tabiat yang tidak baik. Dia suka berbohong. Dia suka membuat kesalahan tetapi tidak

mengaku apabila ditanya.

Pada suatu hari, Mimi bermain bola di halaman rumah bersama-sama adiknya. Dia

menendang bola dengan kuat. Bola itu terkena pasu. Pasu itu jatuh lalu pecah.

“Siapakah yang memecahkan pasu ini?” soal ibu Mimi. “Adik yang pecahkan, ibu!” jawab

Mimi dengan pantas. Adik Mimi hanya diam ketakutan.

Adik Mimi tidak mahu lagi bermain dengan Mimi. Mimi berasa bosan. Dia keluar bermain

bersama-sama kawan-kawannya. Mimi ternampak sepohon pokok rambutan. Mimi

memanjat pokok itu. Selepas makan sehingga kenyang, dia memberikan kawan-

kawannya beberapa tangkai buah rambutan. Mereka berasa gembira. Mimi berjalan

pulang ke rumah.

Dalam perjalanan, Mimi bertembung dengan Pak Beruang, tuan punya pokok rambutan.

“Mimi, kamu tahu tak siapa yang mencuri rambutan pak cik ?” tanya Pak Beruang. “Oh,

saya tahu pak cik ! Mereka sedang makan rambutan di sana,” kata Mimi.
Pak Beruang berasa sangat marah. Dia ingin meminta ganti rugi daripada kawan-kawan

Mimi. Mimi ketawa. Dia cepat-cepat pulang ke rumah. “Tentu mereka teruk dimarah olah

Pak Beruang!” kata Mimi sendirian.

Sampai di rumah, ibu meminta Mimi pergi ke kedai. Mimi berpura-pura sakit kepala.

“Aduh, sakitnya kepala saya!” kata Mimi. Dia segera baring di atas katil. Ibu Mimi

menyuruh adiknya pergi ke kedai.

Ibu Mimi sedang memasak di dapur. Mimi baring di atas katil sambil membaca buku.

Tiba-tiba Mimi terbau sesuatu yang lazat. “Ibu masak apa tu ?” tanya Mimi. “Ibu masak

kari daging. Mimi berehatlah,” kata ibu. Mimi berasa sangat lapar.

Tidak lama kemudian, ibu Mimi membawa semangkuk bubur untuk Mimi. “Eh, mana kari

daging yang ibu masak tadi ?” tanya Mimi. “Bukankah kamu sakit ? Orang sakit tak

boleh makan kari daging,” jawab ibu. Mimi hendak menangis. Tapi ibu, Mimi tidak sakit!”

kata Mimi.

“Lain kali jangan suka berbohong. Nanti tiada siapa mahu berkawan dengan kamu,”

nasihat ibu. Mimi menangis. “Saya minta maaf, ibu. Lain kali saya tidak akan buat lagi,”

kata Mimi. “Esok minta maaf kepada Pak Beruang dan kawan-kawan kamu,” kata ibu.

“Baiklah, ibu,” jawab Mimi. Ibu segera mengajak Mimi makan bersama-sama adik dan

ayah. Mimi meminta maaf kepada adiknya. Ibu dan ayah Mimi berasa gembira kerana

Mimi sudah insaf.

Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai