Anda di halaman 1dari 3

SKRIP BERCERITA TAHAP 1 : SELIMUT ROTI

Assalamualaikum dan Salam sejahtera.

Terima kasih tuan pengerusi majlis.

Yang dihormati para hakim yang bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan sekalian.

Saya akan menyampaikan sebuah cerita yang bertajuk ‘ Selimut roti’ .

Yang terlena, sedar-sedarkan


Yang tersedar, dengar-dengarkan
Yang terdengar fikir-fikirkan
Di hujung Kampung Mawar tinggal seorang wanita bernama Puan Mariam. Puan Mariam
tinggal bersama anak lelakinya yang bernama Adi. Adi selalu leka bermain. Dia jarang sekali
membantu ibunya. Setiap pagi, Puan Mariam membuat roti untuk dijual kepada orang ramai.
Pada waktu petang, dia ke bandar menjual roti. Sudah beberapa kali Puan Mariam mengajak
Adi membantunya, tetapi Adi lebih suka bermain dengan kawan-kawannya.
Pada suatu petang, Puan Mariam membawa Adi ke bandar. Tiba-tiba Adi ternampak sebuah
kereta mainan.
“Ibu, saya hendak kereta itu”,kata Adi.
“Kereta itu mahal. Ibu tidak cukup wang untuk membelinya,” jelas Puan Mariam.
“Tapi ibu, saya suka kereta itu!” kata Adi lagi.
“Mari kita pulang. Nanti, apabila ibu sudah ada cukup wang, ibu akan belikan kereta itu,”
kata Puan Mariam.
Sebaik sahaja tiba di rumah, Adi merajuk dan tidak mahu bercakap dengan ibunya. Dia juga
tidak mahu makan.
“Adi hendak juga kereta itu. Ibu mesti belikan!” kata Adi.
“Baiklah.Ibu akan belikan .Mulai hari ini, ibu perlu bekerja keras untuk mendapatkan
lebih wang. Kamu juga mesti rajin membantu ibu,” kata Puan Mariam.
Sejak hari itu, Puan Mariam bertungkus lumus membuat roti. Dia cuba membuat seberapa
banyak roti untuk dijual. Seperti biasa, Adi leka bermain dengan kawan-kawannya. Dia tidak
membantu ibunya.Suatu hari, Puan Mariam mengumpul semua rotinya.
“Adi,esok ibu akan ke bandar seberang untuk menjual roti. Ibu akan pergi selama dua
hari. Sebelum itu, ibu akan tinggalkan roti untuk kamu supaya kamu tidak kelaparan,”
kata Puan Mariam.

Pada malam itu, Puan Mariam menjahit roti untuk dijadikan selimut. Puan Mariam berpesan
supaya Adi memakan selimut roti sedikit demi sedikit sepanjang dia tiada. Keesokan paginya,
Puan Mariam berangkat ke bandar seberang. Tinggallah Adi sendirian dengan selimut rotinya.
Hari itu, Adi tinggal seorang diri di rumah. Pada waktu malam, cuaca sungguh sejuk. Adi
mengambil selimut rotinya untuk dibuat selimut. Apabila lapar, Adi mula makan selimut rotinya
sedikit demi sedikit.
Keesokannya, Adi berasa lapar. Dia memakan selimut roti lagi. Malangnya, selimut roti sudah
tinggal sedikit. Pada waktu malam, Adi kesejukan dan kelaparan. Adi sudah tidak ada selimut
untuk memanaskan badannya. Adi juga kehabisan roti.
Adi mula teringat ibunya.
“Kalaulah saya tidak memaksa ibu membeli kereta mainan itu, sudah tentu ibu tidak
keluar menjual roti. Sudah tentu saya tidak ditinggalkan keseorangan,” kata Adi dalam
hatinya. Adi mula menyesal.
“Esok, saya mesti cari ibu,” Adi bertekad.
Pada pagi esoknya, Adi ke bandar seberang mencari ibunya. Apabila tiba di sebuah kedai, dia
ternampak ibunya sedang menjaja roti. Adi berlari mendapatkan ibunya.
“Ibu!” jerit Adi. Puan Mariam terkejut melihat Adi.
“Ibu,maafkan Adi. Ibu tidak perlu susah mencari wang untuk membeli kereta mainan Adi.
Adi sedar, ibu lebih penting daripada kereta mainan itu,” kata Adi. Puan Mariam
tersenyum.
“Baiklah, ibu pulang sekarang. Sebelum itu, mari singgah ke kedai untuk membeli kereta
mainan. Ibu sayangkan Adi tetapi Adi hendaklah berjanji akan mendengar kata ibu,” kata
Puan Mariam.
“Baik,ibu. Adi berjanji. Adi akan mendengar kata ibu,” kata Adi.
Petang itu, mereka pulang ke rumah dengan perasaan gembira. Mulai hari itu, Adi menjadi
seorang budak yang sangat rajin. Dia selalu membantu ibunya membuat roti dan menjualnya di
bandar.
Kawan-kawan,
Berdasarkan cerita saya tadi, terdapat dua pengajaran yang boleh diambil iaitu pertama, kita
mestilah mendengar nasihat ibu dan kedua, janganlah kita bersikap tamak kerana orang yang
tamak, selalu rugi. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai