Anda di halaman 1dari 4

JURNAL MINGGU 1 (1 April 2013 5 April 2013) HASIL PEMBELAJARAN TIDAK TERCAPAI

Masalah Pada hari Selasa bersamaan 3 April 2013, saya mengajar subjek Sains bagi murid-murid tahun 5 Tekun. Tajuk yang diajar ialah memahami litar bersiri dan selari selama satu jam. Saya telah menetapkan tiga hasil pembelajaran yang perlu dicapai oleh murid adalah seperti berikut:1. melukis simbol komponen litar elektrik iaitu bateri, mentol, wayar penyambung dan suis dengan betul 2. melukis dua gambar rajah litar dengan betul 3. membanding beza susunan mentol dalam litar bersiri dan litar selari secara bertulis Hanya hasil pembelajaran kedua tidak tercapai setelah saya menyemak lembaran kerja yang diberikan. Tiada seorang murid yang berjaya melukis dua gambar rajah yang betul. Saya telah menunjukkan satu contoh gambar rajah litar dan melukisnya di papan hitam serta memberikan penerangan yang ringkas sebelum waktu proses pengajaran dan pembelajaran tamat. Malahan, murid-murid ini mengangguk dan mengatakan faham apa yang telah diajar.

Analisis Masalah Soalan-soalan yang timbul di dalam pemikiran saya setelah menyemak lembaran kerja murid adalah seperti berikut:1. Adakah murid faham tentang pengajaran melukis gambar rajah litar? 2. Adakah murid akan mengangguk tanda faham walaupun mereka tidak faham? 3. Bagaimanakah tahap pembelajaran murid ini jika diberikan kerja rumah? 4. Apakah tahap intelektual murid-murid ini? 5. Mungkinkah faktor pengajaran guru yang kurang jelas? 6. Apakah yang perlu saya lakukan untuk membantu murid tersebut?

Berdasarkan pemerhatian saya di dalam bilik darjah, murid-murid mengangguk tanda faham dan aktif menjawab soalan yang dikemukakan. Setiap soalan yang diberikan akan memenuhi jangkaan jawapan murid yang saya nyatakan. Hal ini bermaksud murid faham dan mempunyai idea tentang sesuatu konsep sains.

Maka, saya telah berjumpa dengan guru sains 5 Tekun dan memberitahu tentang masalah ini. Berdasarkan temu bual dengan guru tersebut, saya dapat merumuskan bahawa:1. Murid-murid faham tentang pengajaran gambar rajah litar tersebut kerana memberikan respon yang positif selepas saya mengajar.

2. Murid-murid akan menunjukkan respon yang negatif jika tidak faham sesuatu seperti bertanya kepada guru, mengatakan tidak faham dan mengerutkan dahi.

3. Oleh kerana kelas ini merupakan kelas terakhir, guru sains tersebut mengakui bahawa terdapat segelintir murid yang tidak dapat mengaplikasikan ilmu yang telah dipelajari secara bertulis. Mereka boleh menjawab soalan lisan dengan baik tetapi tidak dapat menyatakannya secara bertulis. Selain itu, mereka tidak yakin untuk menjawab soalan secara bertulis.

4. Setelah melihat keputusan ujian pertama baru-baru ini, terdapat empat orang yang gagal dalam ujian tersebut. Tahap intelektual murid-murid tersebut berada di tahap yang sederhana kerana saya berpendapat mereka mudah faham terhadap sesuatu pengajaran.

5. Menurut Brophy dan Good (1998), ciri-ciri guru yang berkesan ialah meletakkan harapan yang bersesuaian dengan pelajar serta mengajar untuk pelajar menguasai pengetahuan. Pada pendapat saya, pengajaran guru yang kurang jelas merupakan salah satu faktor hasil pembelajaran tidak tercapai. Kelemahan diri saya yang tidak faham akan keperluan murid iaitu mereka perlu dibimbing dengan melukis satu gambar rajah litar manakala saya akan membetulkan lukisan tersebut semasa di dalam bilik darjah agar mereka boleh menjawab soalan yang seterusnya di rumah.

Cadangan Antara cadangan untuk menyelesaikan masalah ini adalah seperti berikut:1. Saya mengajar melukis gambar rajah litar pada kelas seterusnya 2. Saya mengubah rancangan pengajaran harian yang lebih ringkas tetapi bermakna 3. Penerangan guru mestilah lebih jelas dan spesifik 4. Aktiviti yang dirancang memberi peluang kepada murid untuk memahami litar bersiri dan selari serta melukis gambar rajah litar berdasarkan pemerhatian 5. Murid-murid perlu membuat pembetulan bagi lembaran kerja yang diberikan dan disemak oleh guru

Tempoh penyelesaian 5 April 2013 sehingga 12 April 2013

Tindakan Susulan 1. Usaha yang pertama ialah saya menyediakan dan mengubah rancangan pengajaran harian yang lebih ringkas dengan dua hasil pembelajaran yang memungkinkan murid-murid dapat mencapainya di akhir pengajaran dan pembelajaran. Hasil pembelajarannya ialah melukis satu gambar rajah litar dengan betul berdasarkan litar yang telah dibina dan menerangkan secara lisan tentang litar bersiri dan litar selari.

2. Seterusnya, penerangan guru diberikan dengan lebih jelas dan spesifik pada fasa penstrukturan semula idea. Menurut Sharifah Alwiah Alsagoff (1983) pengajaran yang berkesan adalah merujuk kepada guru yang dapat membawa pelajar kepada hasil pembelajaran terakhir yang diinginkannya. Hal ini melibatkan corak pengajaran berstruktur dari segi organisasi bilik darjah serta mementingkan isi pelajaran. Ketika penerangan diberikan, saya menjelaskan kesalahan-kesalahan murid melukis gambar rajah litar dan menunjukkan cara melukis dua gambar rajah litar dengan betul di papan putih. Saya mengingatkan mereka tidak mengulangi kesalahan melukis gambar rajah litar.

3. Aktiviti yang disediakan dibahagikan kepada empat kumpulan. Setiap kumpulan melukis satu gambar rajah litar dan mengikut stesen yang diagihkan oleh murid. Hal ini kerana tempoh pengajaran dan pembelajaran hanya tiga puluh minit sahaja. Oleh itu, saya membetulkan gambar rajah litar yang telah ditampal pada papan putih agar murid sedar akan kesilapan yang dilakukan. Sememangnya saya tidak menggalakkan kumpulan membuat pembentangan.

4. Murid-murid perlu membuat pembetulan bagi lembaran kerja yang diberikan kerana lembaran kerja yang diberikan mudah. Saya berharap murid-murid dapat menguasai kefahaman tentang melukis gambar rajah litar daripada peringkat mudah. Saya akan menyemak pembetulan yang dilakukan oleh murid.

Kesimpulan Menurut Dick and Reiser (1989), pengajaran yang berkesan membolehkan pelajar memperolehi kemahiran, pengetahuan dan sikap yang diharapkan. Maka, guru berperanan utama untuk menyediakan aktiviti pengajaran yang memungkinkan murid-murid mencapai hasil pembelajaran yang dirancang. Hal ini demikian kerana guru akan menilai sama ada hasil pembelajaran tercapai mahupun tidak pada akhir pengajaran dan pembelajaran.

Anda mungkin juga menyukai